Friday, July 31, 2009

~ Nilai Sebuah Persahabatan ~


Akhirnya semalam barulah saya dan cik hubby berpeluang menonton DVD Billu Barber (filem Hindi) setelah terperap dalam rak lebih seminggu lepas saya membelinya. Filem tersebut mengisahkan tentang Billu seorang tukang gunting rambut di sebuah kampung bernama Budbuda. Billu menjalani kehidupan bersama-sama isteri dan 2 orang anaknya dengan penuh kedaifan. Malahan sering menjadi ejekan oleh masyarakat kampung dengan kemiskinannya sekeluarga. Sehinggalah pada satu hari kampung berkenaan dikunjungi oleh seorang pelakon terkenal, Sahir Khan untuk menjalani pengambaran filemnya yang terbaru. Dengan serta-merta hidup Billu berubah hanya kerana tersebar khabar angin mengatakan bahawa Billu sebenarnya adalah seorang rakan lama kepada Sahir Khan. Khabar angin itu telah disebarkan oleh isteri dan anak-anaknya kerana sebelum ini Billu pernah bercerita bahawa dia adalah rakan kepada pelakon tersebut namun tidak pernah pula dia menceritakan sejauh mana perkenalan mereka.

Orang kampung mula berbaik-baik dengan Billu hanya semata-mata untuk memenuhi hajat masing-masing yang ingin berjumpa dengan Sahir Khan (agaknya inilah realitinya di India kan…pelakon superstar menjadi pujaan berlebih-lebihan malah gambar-gambar mereka diletak setara dengan gambar-gambar tuhan mereka). Semakin hari mereka semakin taksub untuk bertemu dengan pelakon berkenaan dan sentiasa mendesak Billu agar menunaikan permintaan dan menjadi perantara antara mereka dan Sahir. Billu berada dalam dilema antara sahabat lama dan masyarakat kampung Budbuda. Sebolehnya dia tidak mahu menggunakan ikatan persahabatannya itu untuk kepentingannya sendiri mahupun orang lain. Kehidupan Billu berubah sekali lagi apabila dia gagal memenuhi permintaan orang kampung. Masyarakat kampung kembali memulaukannya sekeluarga.

Di hari terakhir pengambaran, Sahir Khan telah berkunjung di sekolah kampung tersebut sebagai memenuhi permintaan Guru Besar sekolah. Dalam ucapannya Sahir telah menceritakan bagaimana dia berjaya menjadi seorang pelakon disegani. Betapa azam dan kerja kuat telah menjadikannya berjaya dan paling penting dalam ucapannya itu, beliau menyebut tentang seorang sahabat yang merupakan insan penting dalam kejayaannya iaitu sahabat yang bernama Billu. Billu yang mendengar ucapan Sahir merasa sangat terharu dan terus kembali ke rumahnya. Atas kekesalan orang kampung, mereka mempertemukan kembali dua orang sahabat ini.

Filem ini telah memberi sebuah nilai persahabatan kepada saya. Betapa antara dua sahabat sejati, keikhlasan menjadi tunjang utama. Balasan atas kebaikan kepada seorang sahabat tidak ternilai, cukup kalau sahabat itu tidak terus melupakan ikatan persahabatan yang telah terjalin itu, walaupun jarak masa bisa memisahkan. Menariknya dan menjadi satu kebetulan pula, sedang kami menonton filem ini, cik hubby menerima SMS dari seorang kenalan, mengucapkan Selamat Hari Persahabatan (betulke semalam ‘Friendship Day’?). Dan satu kebetulan juga bilamana dalam minggu ini juga, saya menjadi keluh kesah dek seorang sahabat yang sedikit meragui ikatan persahabatan yang telah terjalin antara kami sejak sekian lama. Semuanya bagai berkait antara satu dengan yang lain.


p/s: Tiba-tiba saya jadi rindu pada mereka yang pernah menjadi sahabat.


Wednesday, July 29, 2009

~ Warkah Buat Teman ~

Menemui temanku yang dikasihi…

Apa khabar mu di sana? Aku mendoakan semoga dikau sihat sejahtera di samping keluarga tercinta. Sudah berapa lama agaknya kita tidak bersua sejak tamat pengajian di daerah S itu ya. Walaupun selepas itu hubungan kita seperti biskut gayanya, sekejap ada, sekejap tiada. Namun, semua itu tidak pernah menjadikan aku lupa pada setiap kenangan yang pernah kita lalui bersama. Hakikatnya ikatan persahabatan kita umpama jauh di mata, dekat di hati. Aku sentiasa merindui mu teman. Betapa di daerah itu kita berjuang untuk berjaya, berkongsi segala rasa; suka dan duka lalu kita semakin saling mengenali. Walaupun kita hanya rapat sewaktu di semester-semester akhir pengajian, aku amat menyenangi diri mu. Kau terima seadanya aku sebagai seorang insan yang punya kelemahan mahupun kelebihan. Aku senang untuk berkongsi segala-galanya dengan mu teman. Waktu itu, dikau menjadi penghiburku di kala gundah, pembangkit semangatku di kala aku hampir tersungkur, pembimbingku saat aku seakan-akan tergelincir. Begitu juga dengan dirimu, pendek kata kita ini saling melengkapi.

Hadirnya Cinta...

Temanku,

Masihkah dikau ingat wahai teman, pada ketika perasaan yang satu itu mula mengetuk pintu hatimu. Aku tidak pasti sama ada aku orang pertama yang mengetahuinya ataupun tidak, tapi aku bangga sebagai temanmu kerana kau memilih untuk berkongsi rasa itu dengan diriku. Percayalah teman bahawa rasa cinta itu sememangnya sangat indah. Bila kita sedar akan kehadirannya….ada rasa getar di hati, rasa rindu yang membuai, rasa ingin selalu disamping. Namun, waktu itu kulihat dikau seakan-akan masih bermain tarik tali dengan H. Setiap malam kita berbicara mengenainya, aku cuba yakinkan dikau tentang rasa itu. Mungkin sudah tiba masanya untukmu menerima cinta itu dari H. Telah kulihat kesungguhan H dalam memenangi hatimu. Aku jadi tersentuh dan terharu. Akhirnya aku gembira dengan perkembangan cerita cinta kau dan H. Dan waktu itu aku sangat berharap agar cinta kau dan dia akan berjaya sampai ke destinasi. Namun…takdir telah menentukan bahawa manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua yang berhak menentukan segala-galanya.

Teman yang disayangi,

Seperti yang dikau maklum, pada ketika dirimu sedang asyik menyulam cinta dengan H, rasa itu juga telah menjengukku. Aku tidak pernah menolak rasa yang datang itu kerana aku senang untuk melalui saat-saat indah seperti itu. Tentu kau masih ingat Z kan. Bermula dengan hanya menjadi peneman sewaktu kau berjumpa H, kami mula menjalinkan sesuatu yang lebih indah dari itu. Sejak itu kita berempat sentiasa bersama.

Ingat tak lagi teman, kita berempat pernah mengikrar sebuah janji? Tempoh perjanjian itu telah lama kita lepasi dan perjanjian tetap tinggal perjanjian yang tak pernah tertunai. Tapi…tak mengapalah. Itu semua cerita lama. Usahlah kita ungkit kembali, kelak hanya menyeksa diri. Seperti yang telah aku jelaskan, kita hanya mampu merancang.

Kembali pada kisahku dan Z. Sebaik sahaja kita berpisah kerana perjuangan yang sudah sampai penghujung, kisah kita berempat bagai turut sama berada di garisan penamatnya. Aku tidak langsung mengetahui perkembangan kau berdua, begitu juga kau yang pastinya tidak mengetahui apa yang terjadi seterusnya antara aku dan Z. Waktu bagai mengejar kita dan sudah tentu dalam tempoh perpisahan kita ini pelbagai perkara telah kita lalui. Antara kau, aku, H dan juga Z… masing-masing menelusuri jalan-jalan dan lorong-lorong kehidupan yang berbeza. Pada diriku sendiri, sebaik aku melangkah keluar dari medan perjuangan itu, di hadapan ku sudah terbentang sebuah perjuangan yang lebih besar yang harus didepani. Aku sudah tidak punya ruang untuk melayan emosi berlebih-lebihan dan kisah indah perihal perasaan dan hati sudah kuketepikan sementara. Sejak itu juga antara aku dan Z semakin sepi.

Duhai teman,

Dapatkah kau bayangkan betapa sudah lama kita tidak bertemu, bersua dan saling menukar cerita. Sehinggalah di satu laman sosial telah mempertemukan kita walaupun sekadar di alam maya. Tahukah saat itu adalah saat yang ku tunggu-tunggu. Sepanjang perjalanan ini aku tidak pernah melupakan mu teman. Ingin sekali aku tahu perkembangan dirimu. Syukur kepada Yang Esa kerana pertemuan ini akhirnya dapat juga aku merisik khabar mu nun jauh di sana. Syukur kepadaNya juga kerana kau kini sedang menjalani episod yang bahagia ku kira. Begitu juga aku di sini. Kita masing-masing sudah punya kehidupan sendiri, keluarga sendiri dan dikelilingi orang-orang yang kita sayangi. Seiring itu juga, aku pasti kita berdua telah menjadi 2 orang insan yang semakin matang untuk mendepani liku-liku kehidupan yang semakin mencabar ini.

Biar kupujuk rajukmu…

Teman yang dirindui,

Pintaku padamu, janganlah kau selak lagi kisah lama itu. Kisah itu telah ku jilidkan menjadi sebuah buku kenangan dan buku itu telah kusimpankan baik-baik di dalam perpustakaan hatiku. Jika boleh, tidak ingin lagi aku singkap semua yang telah dilalui dan terjadi itu. Apa yang terjadi akan ku jadikan pengajaran dan iktibar buat diriku. Sesungguhnya tidak pernah kunafikan ianya adalah sebuah kenangan yang terindah. Untuk apa lagi kita berbicara soal itu seandainya ia hanya akan merobek dan mencarik hati.

Aku ingin kita teruskan ikatan antara kita ini tanpa keraguan, hanya keikhlasan. Inilah kehidupan kita dan teruskanlah episod kebahagiaan ini untuk mendapat kebahagiaan yang lebih di masa depan. Walaupun sejarah tidak harus kita tinggalkan namun jangan kita biarkan sejarah itu terus menghantui seluruh hidup kita. Kumohon seribu kemaafan andainya warkah ini bisa melukakan perasaanmu. Sungguh, bukan itu yang kuinginkan. Aku hanya mohon sedikit pengertian dari mu bahawa sehingga saat ini dan selamanya… kau tetap temanku yang sejati. Meski hidup kita berbeza, namun hati kita tetap sama.

Friday, July 24, 2009

~ Jom ramai-ramai ~

Pesta Buku Selangor sudah bermula hari ini 24 Julai hingga 3 Ogos 2009. Pencinta-pencinta buku... jom kita meriahkan pesta ilmu ini. Orang Gomen dah gaji kan... haaa... tunggu apa lagi. Buat yang belum merasakan cinta... nah mungkin inilah detiknya untuk mula menyemai benih cinta.


Thursday, July 23, 2009

~ Kalut ~



Ini cerita awal pagi tadi. Semuanya menjadi kalut kerana kesilapan sendiri. Mood tak best petang semalam terbawa-bawa sampai ke rumah, bukan mood marah-marah, ini mood yang buat saya jadi malas nak buat apa-apa pun. Dari ofis singgah kedai makan dulu, makan siap-siap sebab saya lapar sangat lepas tu sampai rumah dengan perut kenyang, terus lemah longlai. Banyak kerja rumah yang terbengkalai. Kononnya lepas tidurkan anak-anak nak bangun sambung buat kerja-kerja rumah tapi yang terjadi sebaliknya...dengan saya sekali tidur sampai ke pagi. Bangun pagi barulah saya kelam kelibut nak siapkan beg-beg anak, nak gosok baju lagi, siapkan anak-anak, siapkan bekal untuk si abang dan siapkan diri sendiri jugak. Habis semua isi rumah saya kejankan, suruh cepat. Sampai satu tahap tu si abang sound saya..."ibu ni kalut le". Saya pulak yang terkedu dan akhirnya cuba tenangkan diri. Inilah akibatnya kalau tangguh-tangguhkan kerja. Bukan setakat kita aje tension, yang lain-lain pun turut disabitkan. Tak ke naya tu. Untuk cik hubby, abang dan adik...maafkan ibu ye, hari ni ibu 'out of control' sikit.


Lupakan cerita tak best, mood saya dah ok hari ini. Semuanya rasa terkawal dan lancar saja walaupun ada tergelincir sikit-sikit. Kehidupan sememangnya begitu kan...






Wednesday, July 22, 2009

~ Kecil Hati ~

Saya sudah hilang mood untuk bekerja petang-petang begini. Bukan sebab rasa malas, bukan juga tak suka dengan kerja saya cuma berasa kecil hati sejak sebelum tengahari tadi. Setakat dimarahi bos, sepatutnya tak boleh simpan rasa kecil hati tu kan tapi sebagai manusia, tidak banyak pasti sedikit tercuit hati ni. Saya tak pasti sama ada saya bersalah dalam hal ini, tapi saya sedar yang saya juga harus dipertanggungjawabkan dan saya terima semua tu. Cuma saya agak kesal dengan cara bos saya, yang saya rasa semacam tak kena gaya. Tapi siapalah saya ni kan untuk mempersoalkan setiap tindakan seorang bos.
Perasan juga sejak pagi tadi, suasana di pejabat ni semacam serba tidak kena. Pun tidaklah saya tahu mengapa, cuma lepas satu, satu perkara terjadi yang telah mengganggu mood semua orang. Tidak mahu membawa rasa yang tidak enak ini kemana-mana, saya pilih di sini untuk muntahkan segala rasa pahit, kelat, masam. Dalam banyak-banyak hari yang menghiasi hidup kita... hujan, panas, mendung pasti berkunjung. Biarlah kita terima secara positif dan buang segala yang negatif.







Tuesday, July 21, 2009

~ Cerita Anak Dara Pingitan ~

Petang tadi dengan tidak sengaja melayan 2 orang anak dara pingitan dengan topik yang sangat best...kisah cinta. Sekali sekala melayan sejarah cinta orang ni best juga kan. Ala-ala macam doktor cinta lagaknya. Dengan kita sekali boleh terimbau kisah cinta lalu... ecewah. Nak dapat skop yang best mestila kena mukadimmah bijak sikit kan... mula-mula cerita sikit, lepas tu si doktor pun ajukan soalan-soalan berkaitan yang menjurus kepada kisah yang tersebut... dan si anak dara pun singkap sikit lagi...lama-lama sesi semakin rancak... tapi masih lapik-lapik tak cerita sampai habis.

Si doktor bukannya apa, sekadar nak tahu kenapalah 2 orang anak dara ni tak sampai seru walimatulurus lagi. Kalau nak diikutkan umur dua-duanya kira sedang elokle kalau nak dilangsungkan... dapat le juga doktor cinta ni merasa nasi minyak diorang. Nak kata tak cantik, dua-duanya comel, sedap mata memandang. Nak kata pemalu sangat, dua-duanya alahai malas doktor nak cerita... kadang-kadang tu terlebih peramah pun ada juga. Tapi doktor jamin le yang diorang keturunan baik-baik belaka. Elok tingkah lakunya, baik pekertinya pendek kata lengkaple kalau ada yang nak jadikan suri hidup (aiseh promosi le pulak). Itulahkan... tak tahu lah apa yang menjadi halangan diorang ni. Satu sebab tu mungkin le belum sampai jodohkan. Tapi kalau tak diusahakan pun macam mana jodoh tu nak datangkan.

Itu yang doktor musykil tu. Ikut pengalaman doktor le kan... kita tolak ketepi dulu sebab utama yang kat atas tu, kita kaji sebab yang lain pulak. Selalunya kes-kes yang macam ni, diorang mesti pernah ada kisah cinta silam yang buat diorang semacam serik, lebih berhati-hati dan lebih berwaspada. Berbalik pada 2 si anak dara tadi haaaa... memang betullah pandangan awal doktor tadi. Yang seorang tu memang pernah bercinta sebelum ni tapi entah macamana boleh terputus dan sampai sekarang ni macam serik sikit nak bercinta. Yang seorang lagi pula, tak pernah bercinta, tapi kesnya ala-ala teman tapi mesra, tak pernah sentuh soal hati. Walaubagaimanapun hubungan teman tapi mesra diorang ni masih berterusan... walaupun ramai yang dok usha-usha si dara dengan harapan dapat mencuri hatinya yang tega itu.

Pada doktor, soal hati ni memang susah nak diterka. Orang kata cinta itu datangnya dari mata turun ke hati. Tapi kalau setakat rupa paras yang sedap mata memandang, perangai gelojoh aje memanjang pun macam mana cinta tu nak turun sampai ke hati kan. Mau tersekat kat kerongkong aje. Silap-silap termuntah hijau pula kalau dah si teruna ala-ala tak berapa nak senonoh lagaknya.

Nak cari pasangan yang betul-betul sesuai dengan kita ni bukannya senang. Dalam Islam sendiri dah ada garis panduannya. Teringat doktor dalam satu ceramah, ustaz kata banyak-banyaklah berdoa supaya kita beroleh pasangan yang sesuai dengan kita. Kalau dapat jenis yang taat pada perintah Allah dan agama...alhamdulillah...bertuahlah si dara. Tapi kalau ditakdirkan yang sebaliknya... maka terimalah dia seadanya, di samping kita sendiri banyak berdoa dan mohon pada Allah moga si pasangan tu kembali kepada Allah jua. Menurut ustaz lagi, kalau dapat yang jenis kedua ni, kita sendiri kena banyak bersabar, kuatkan iman, teguhkan hati, tak boleh paksa dia berubah sekelip mata.

Terfikir juga doktor, agaknya diorang ni ada rasa takut juga kot bila hari-hari asyik dijamu santapan menyentap jiwa perihal rumahtangga orang keliling yang kadang-kadang tu dah cecah tahap 18SG. Gerun di hati sapa yang tahu... trauma sendiri buat apa nak bagi tahu walaupun yang jadi tu tak ada kena-mengena dengan kita pun kan...

Perihal si 2 dara tadi... doktor doakan moga mereka bertemu jodoh jua. Semoga mereka peroleh cinta sejati...dari mata turun ke hati...cinta luhur di bawa sampai mati.
Terbang-terbang si merpati
Terhinggap pula di dahan patah
Buka-bukakanlah pintu hati
Cerita dulu tu sudah-sudahlah...

Sang merpati jatuh ke tanah
Patah sayap alangkah kesiannya
Kalau sudah ada yang menjengah
Apa tunggu lagi... terimalah seadanya

Merintih si merpati mohon simpati
Menangis sendiri menanggung siksa
Kalau sudah itu cinta sejati
Pohon diberkati Allah jua

Hayat merpati sampai di sini
Dek sayapnya yang hilang sebelah
Moga diperkenan niat yang suci
Ditemani mimpi yang indah-indah

Monday, July 20, 2009

~ Digamit Memori ~

Dalam dinginnya malam
Di satu perjalanan yang tenang
Ditemani suara dari corong

Diri jadi asyik
Sang DJ yang setia
Memutarkan lagu-lagu
Diri jadi terhibur

Lagu itu lagu kita
Memori lama mula menyapa
Oh…kenangan
Diri makin terbuai
Terlontar pada kenangan lalu

Lagu-lagu itu yang menemani kita
Menjadi penghibur sepanjang perjalanan
Perjalanan kita meniti kedewasaan

Teman…
Sungguh lagu-lagu itu mengundang memori
Sungguh memori itu kembali menggamit rasa rindu
Sungguh saat-saat indah itu telah mengeratkan kita

Sang DJ mula berbicara
Oh…lagu-lagu itu sudah tiada
Diri mula sedar di alam nyata
Sungguh asyik melayan kenangan yang datang tiba-tiba
Kerna lagu-lagu itu…

~ Tinta Baru ~

Di tinta baru ini... ingin saya mulakan. Meluahkan apa yang dirasa, berkongsi cerita. Walau tidak saya tahu dengan siapa... namun biarlah ia memberi rasa pada jiwa. Rasa pada jiwa mereka, dia dan saya. Biar luluh segala resah, biar lepas segala gundah, biarkan cerita menjadi cerita yang memberi seribu makna.