Friday, May 25, 2012

:: Dari kekasih untuk kekasih... ::

Duhai kekasihku...

Izinkan daku berbicara di sini untuk menyatakan rasa hati dan luahan jiwaku kepadamu. Ku kira ini adalah warkah cinta pertama dariku buatmu sejak kita berkenalan 12 tahun yang lalu. Zaman kita zaman teknologi... mana mungkin juga untukku melayangkan waima sepucuk surat sedangkan hampir setiap hari juga kita pasti bertemu. Kukira juga ini adalah tinta istimewa dariku untukmu sempena hari yang paling istimewa untuk kita berdua.

Kekasihku...

Tidak lama untuk kita mengambil keputusan yang amat penting dalam hidup kita berdua ini ya... Kita hanya berkenalan tidak sampai setahun lalu mengambil keputusan untuk bersatu menghadapi hidup bersama. Ya... demikianlah jodoh kita yang telah ditentukan olehNya. Masih terngiang-ngiang di kepala saat-saat dikau melafazkan kalimah keramat itu. Aku terima nikahnya... Saat itu, semakin kuat rasa dalam hati bahawa aku telah benar-benar bersedia untuk melangkah bersamamu. Membina masa hadapan kita bersama... Mengharungi hitam putih kehidupan bersama...

Kini... setelah 11 tahun berlalu dan kita masih bersama dengan kuasaNya. Syukur aku kepadaNya kerana ikatan suci ini masih terpelihara sehingga kini dan semoga ianya kekal hingga ke akhir hayat kita berdua.

Kita berdua telah melalui dan mengharungi segala fasa rencah kehidupan sebagai suami dan juga isteri. Aku isterimu dan engkau adalah suami. Kita tempuh segala onak dan duri walau adakala ianya merobek jiwa,mengocak ketenangan hati. Ternyata melalui fasa-fasa awal hidup bersama terasa begitu sukar namun kita redah segala rintangan, kita cantas segala halangan. Ada waktu juga benteng keegoan harus diketepikan. Ada ketika airmata juga pernah menjadi peneman memujuk jiwa yang dalam kesedihan. Daku percaya bukan kerana kita tidak sesuai bersama... namun itu semua adalah hakikat... hakikat di mana dua jiwa yang berbeza ingin menjadi satu. Kita adalah dua insan yang berbeza... manusia biasa yang punya cara, punya gaya, punya fikiran, punya kehidupan yang nyata berbeza. Namun perbezaan itulah yang  sebenarnya melengkapkan hidup kita.

Aku bahagia hidup denganmu wahai sang kekasih. Terima kasih Tuhan kerana mempertemukan diriku dengan dirimu. Kita dipertemukan untuk saling melengkapi. Kau ada lebih dan kurang, aku juga ada lebih dan ada yang kurang. Sepanjang perjalanan kehidupan kau dan aku ini, kita berusaha untuk menampung mana yang kurang dan mengawal mana yang terlebih. Paling penting kita berusaha... ya sayang...

Kita harus percaya bahawa Tuhan sering menguji. Dia datangkan ujian buat kita untuk menyedarkan kita yang pastinya selalu terleka. Fasa demi fasa kita tempuh dengan tidak sedikit ujian dariNya. Namun aku tetap bersyukur kerana kita mampu untuk bertahan dan perjuangan kita dalam kehidupan ini harus tetap dipertahankan.

Sayangku...

Hidup kita bertambah serinya dengan kehadiran dua cahayamata kilauan ayahbonda. Dikurniakan dua permata jiwa lelaki dan perempuan amanah dari Yang Esa. Nikmat yang mana lagi harus kita dustakan? Syukur lagi buat kesekian kalinya kepada Dia. Mereka berdua menjadikan hidup kita berdua lebih ceria dan meriah. Begitupun... disebalik nikmat terindah ini masih banyak ujian dan dugaan yang diberiNya buat kita. Ya.... ujian itu pasti buat kita menilai diri disisiNya bukan?

11 tahun yang penuh warna-warni. 11 tahun yang ada putih dan hitam. Ada cerah ada kelam. Cinta dan kasih semakin hangat dan mendalam. Aku dan dirimu masih tetap satu.

Kekasihku... pujangga jiwa...

Ditinta ini juga kumohon kemaafan darimu seandainya sepanjang ikatan ini ada salah dan khilafku terhadap dirimu. Aku percaya itu... kerana aku ini insan biasa yang bisa berbuat salah dan dosa. Maafkanlah diriku andai ada perilakuku, tutur kataku yang telah mengoyak, merobek hati kecilmu. Aku pinta juga darimu semoga kita bersama-sama memperbaiki diri juga keluarga yang sedang kita bina ini kearah redha dan rahmatNya.

Ingatlah duhai sang kekasih... Aku pelengkapmu dan kamu melengkapi aku...

"Selamat ulangtahun perkahwinan KITA yang  ke-11 en.hubby"

Saturday, May 05, 2012

:: Bertiga... ::


Alhamdulillahhhh hujan sudi datang di awal pagi minggu ini. Rasa sejuk dan nyaman lagi mendamaikan. Suka pula dia semenjak dua menjak ni buat entry tentang makanan saja kannn... Seronok rasanya bercerita tentang makan, tentang masakan lagi-lagi yang dibuatnya sendiri.... bertambah suka kalau apa yang dia hidangkan tu berjaya menambat selera en.hubby dan anak-anak. Lagipun bukankah melalui makanan dan masakan dapat mengeratkan lagi kasih sayang dan menguatkan rasa cinta.

Hujung minggu ini kami hanya bertiga. En.hubby outstation sebelah utara dan dibawanya kereta bersama. Apalagi yang boleh dibuat melainkan memerap sahaja di rumah. Pagi ini kami bersarapan ala barat sikit... pankek bersama sosej goreng dan juga telur separuh masak. Resepi pankek yang mudah dan sedap ini baru saja diperoleh semalam dari Pn.Wawa. Terima kasih yaaaa....

Kalau tidak ada apa-apa kekangan dan juga moga diizinkanNya, petang ini akan berkunjung ke Sentul untuk menemui bonda tercinta yang baru datang semalam bersama pakcik dan makcik Ju. Itupun kalau maksu sudi membawa kami bertiga heheh... insyaallahhhh. Dan mungkin esok juga akan ke majlis kenduri saudara sebelah bonda.... di mana ye? Lupa pula...

Jika pagi ini bersarapan ala barat, semalam juga makan malam kami ala barat. Tidak pernah buat pun sebelum ini dan kali ini saja hendak cuba ubah selera. Alhamdulillahhhh.... gendang gendut tali kecapi, perut kenyang suka hati lalalala...

Hmmm.... minggu hadapan minggu peperiksaan pertengahan tahun buat si abang. Elok jugalah tidak kemana-mana, dapat abang buat latihan dan ulangkaji. Dah mula sejak tadi dan segala macam babak-babak drama sudah keluar.... lagi-lagi bila kena buat latihan matematik... sabar saja wahai ibu..." Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan kami, terangkanlah hati anak-anakku untuk menerima pelajaran. Kau bukakanlah pintu hati mereka seluas-luasnya. Lembutkanlah jiwa mereka. Aminnnn Ya Rabbbb... Hanya Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi"





" Hujan lebat mencurah sejak pagi. Sejuk sepanjang hari, buat dia rasa malas untuk berlama-lama di pejabat. Cik Puan Mastura sudah berada di ruang lobi. Nampak gaya sang hujan tidak berhajat untuk pergi mungkin hingga lewat malam nanti. Keretanya yang diparkir di hujung bangunan direnung dari kejauhan. Ada seseorang yang cukup dia kenali sedang merenungnya kembali. Di tangannya memegang sekaki payung. Sang Arjunakah? Tiba-tiba kakinya terasa kejang... "

Wednesday, May 02, 2012

:: Bahagia itu saat bersama... ::

Salah satu perkara yang boleh mengerat dan memesrakan hubungan kekeluargan adalah bila makan bersama-sama. Saat menikmati rezeki kurniaanNya bersama-sama dengan mereka yang kita sayangi adalah saat terpaling indah bukannnn... Kita berkongsi rasa, berkongsi nikmat, berkongsi cerita dan gelak ketawa...


 Melihat anak-anak gembira, hati ibu dan abah pun akan jadi gembira. Gurau, gaduh, gelak.... gurau balik, gaduh balik kemudian gelak pula... kerenah anak-anak adakala menghiburkan, adakala juga mengharu-birukan...

Saat-saat begini boleh buat ibu dan abah tersenyum.... namun mungkin sekadar untuk beberapa minit sahaja malah tidak mustahil hanya sekadar beberapa saat. Tiba-tiba sahaja mereka boleh bertekak dan bisa buat abah dan ibu pun bertukarrrrr jadi hulk? jadi singa? grrrrrr!!!! dan sebenarnya.... begitulah hakikat kehidupan. 


Mari peluk ibu wahai sang puteri penenang hati... bisa juga buat ibu bergundah di hati  kala kamu buat perangai ikut suka-suki huhuhu...

 Duduk dekat dengan ibu wahai putera pejuang agama... Doa ibu buat kamu moga menjadi umat yang kental jiwa dan mempertahankan agamamu insyaallahhhh... 

 Sentiasa dekat dan rapat-rapat.... sayang awak sampai bila-bila. Kamu pelengkapku dan aku melengkapi kamu...

Akhirnya yang dipesan pun tiba. Tiba saat kita makan bersama. Rezeki yang Allah tentukan buat kita. Moga kita mensyukuri segala nikmatNya. 

 Moga Allah sentiasa melimpahkan rezekiNya buat kita. Syukur... syukur...


 Hidangan yang enak, lebih enak saat dinikmati dan dikongsi bersama-sama. Moga bahagia ini milik kita selamanya.





Kita sudahi dengan ais krim penyejuk tekak. Senyuman yang melenturkan jiwa... moga senyuman ini kekal selamanya insyaallahhhh. Dan alhamdulillahhhh untuk hari ini yang sangat indah...




" Dia rasa Sang Arjuna mungkin bukan untuk dirinya? "