Monday, July 05, 2010

:: Cerita Wayang ::

Mengikut perkiraan, rasanya sudah beberapa purnama (macam kembali di zaman purba pula) kami sekeluarga tidak keluar menonton wayang. Hendak lebih tepat, aktiviti itu terpaksa ditangguhkan sejak en.hubby jatuh motor lebih 2 bulan lalu. Kebetulan jugak agaknya masa itu tidak ada filem yang menarik untuk menarik kami menonton di pawagam.

Maka, baru-baru ini, abang sudah bising-bising dengan ibu ajak menonton wayang filem Zoo. Hmmm... Zoo ye, filem ini memang buat ibu lemah semangat sikit bila dengar abang sebut-sebut hendak tengok. Tetapi kalau abah dan adik sebut-sebut pasal Toy Story 3, terus semangat ibu mencanak naik hampir tahap petala ke lapan hahaha... walau dalam hati ibu sebenarnya asyiklah sebut-sebut filem The Karate Kid, ya libas sana libas sini... memang sesuai dengan jiwa.

Berpakat dalam diam dengan en.hubby, hujung minggu hendak bawa anak-anak menonton wayang. Cerita apa? Belum tentu lagi, hinggalah tiba hari kejadian, lebih tepat lagi hari Ahad. Hari Sabtu tidak boleh sebab en.hubby bawa si Persona ke klinik, hampir seharian juga masa dihabiskan di klinik.

Tiba hari kejadian, anak-anak masih kami biarkan dalam misteri hehehe... mereka masih tertanya-tanya kemanakah gerangan ibu dan abah hendak bawa. Walaupun dalam perbincangan antara mereka sesama sendiri seakan dapat meneka pakatan antara ibu dan abah. Tetapi kita buat tak tahu sahaja. Akhirnya sampailah di tempat yang di tuju. Maka misteri pun terbongkar sebab anak-anak zaman ini memang cekap menerka. Tidak bolehlah hendak berahsia sikit. Tengok lokasi pun sudah boleh diagak apa aktiviti seterusnya.

Kemudian, beraturlah kami anak-beranak membeli tiket. Hah! cerita apa hendak ditonton? Ini masih misteri... jeng jeng jeng... Saya mengikut sahaja rancangan en.hubby walaupun cerita yang saya idam-idamkan tidak termasuk dalam senarai huhuhu...

Sebulat suara en.hubby, maka kami anak-beranak menonton 2 filem berturut-turut (movie marathon). Hakikatnya, cerita ibu suka memang tidak masuk senarai langsung, maka jawapannya filem apa? Hah! betullah tu, Zoo dengan Toy Story 3. Kononnya kata en. hubby hendak memberi keadilan (adilkah? adilkah?) kepada semua pihak, alang kepalang tu kita marathonkan sahaja... Wajah anak-anak waktu ini? Hahaha.... terkejutlah, apalagi. Semacam tidak percaya sahaja bahawa abah sangat bermurah hati pada hari itu malah siap menaja makan tengahari wah..wah..wah.. memang patut abah pun kan, sebab abahkan ketua keluarga hehehe...

Tetapi abah tetap memujuk si ibu ini yang sedikit dukalara kerana hajatnya hendak menonton The Karate Kid tidak kesampaian. Memandangkan waktu masih ada sebelum tayangan filem yang pertama, abah bawa kami masuk ke kedai buku. En.hubby yang bijak, sebabnya kalau sudah dapat menjejak kaki ke kedai buku maka akan cairlah hati ibu hihihi... lagi bertambah cair malah siap melimpah cecairnya bila en.hubby belanja belikan buku. Yey! suka... suka... suka.... sangat.
Ok, berbalik kepada filem-filem yang telah kami sekeluarga tonton. Pertamanya filem Zoo. Masyaallah, kenapalah abang beria-ia ajak ibu dan abah menonton cerita ni? Rasa macam tidak berbaloi pula melaburkan duit menonton cerita ini. Bukanlah niat di hati tidak mahu menyokong filem Melayu. Tetapi kalau sudah filem itu dibikin sekadar mahu sahaja tetapi tidak bersungguh-sungguh, macamana hendak meyakinkan khalayak di seluruh Malaya ini yang majoritinya masyarakat Melayu. Mesej yang ingin disampaikan tu memanglah boleh kita faham (budak-budak faham ke tidak?), hendak mendidik kita supaya sayangkan haiwan. Malah tema sebegini yang diangkat dalam filem juga sebenarnya berjaya menjadi satu tarikan untuk menarik minat anak-anak hendak menonton (contoh terdekat si abanglah). Akan tetapi kalau sudah perjalanan ceritanya yang agak caca-merba itu ditambah dengan pelakon utamanya yang cakap terjerit-jerit bikin jiwa orang yang menonton inipun haru-biru tak tahu hujung pangkal. Yang tak tahan lagi tu lawak slapstik yang masih ditonjolkan. Hmmm... tapi (ada tapi juga tu) untuk hiburan mungkin sampai juga dengan elemen-elemen menarik perhatian kanak-kanak seperti haiwan-haiwan yang boleh bercakap. Kiranya filem Zoo ni tahap ok ok sahajalah kot.

Untuk filem kedua yang kami anak-beranak tonton ni hah! memang syok habis hehehe... (macam bias saja kan)....Toy Story 3. Cerita kali ini agak berbeza dan sedikit touching. Di lema sekumpulan barang permainan bilamana tidak lagi dipeduli oleh tuannya, dalam filem ini tuannya si Andy lah. Andy sudah meningkat dewasa dan seiring dengan itulah barang-barang permainannya sejak di zaman kanak-kanak lagi sudah tidak dipedulikan lagi. Biasalahkan bila seseorang kanak-kanak itu semakin meningkat meniti usia remaja, sudah pastilah ada kegemarannya yang lain pula. Jadi, kumpulan barang-barang permainan Andy sewaktu zaman kanak-kanaknya itu semacam rasa kecil hatilah sebab Andy dah tak main-main dengan mereka, bukan setakat itu sahaja malah mereka disimpan di dalam kotak simpanan pula tu. Mungkin lebih teruja sebab kebanyakan penonton sudah mengenali watak-watak barang permainan Andy dalam 2 siri filem ini sebelum ini. Malas hendak ulas panjang-panjang, maka dipendekkan, akhirnya di hujung cerita kita tahu jugalah sebenarnya Andy masih sayangkan barang-barang permainannya itu, terutamanya si Sheriff.


Waktu dalam kereta hendak balik ke rumah, saya bertanya si abang. "Abang tengok tak macamana Andy tu jaga toys dia? Sampai dia dah besar pun toys dia semua ok lagi. " Abang dah tunjuk muka tak bersalah campur tersengih-sengih. Sabar sajalah kan anak-anak ni. Saya teringat pula zaman kecil-kecil saya dahulu, ada lagi tak toys yang saya simpan sampai sekarang? Tak ada pun, iyelah seingat saya juga dulu-dulu mak dan abah tak adapun nak beli barang-barang permainan ni, kita main sajalah apa yang ada di sekeliling kita. Jadi macamana nak simpan kan... tapi budak-budak sekarang bukan main sakan lagi. Siap dengan beberapa storage lagi ibu abah sediakan untuk simpan segala koleksi mainan anak-anak. Harap-harap lepas ni anak-anak pandailah jaga mainan masing-masing sekurang-kurangnya dapat menilai betapa bukan sedikit duit nak beli semua tu. Wallahua'lammm...

No comments: