Sunday, July 18, 2010

:: Hujan dan lapar; ada kena-mengena? Ye... ada..ada ::

Tiba-tiba hujan turun tengahari tadi selepas awan mendung memberi amaran. Syukur alhamdulillah... hujan juga satu rahmat. Mujur juga pakaian di jemuran sempat kering tapi masih terpaksa terkocoh-kocoh berlari mengangkat kain di ampaian waktu hujan mula turun. Waktu tengahari pada hari cuti adalah waktu yang sibuk bersilat di dapur hinggakan awan sudah gelap masih berlagak biasa. Bila hujan mula menjenguk... apalagi kelam-kelibut jadinya...

Menu tengahari kami hanya biasa dan tetap menu sempoi; gulai lemak udang dan ikan goreng. Kuah lemak kuning tu, si adik memang gemar. Seronok tengok anak-anak makan kalau lauknya kena dengan selera. Adik ni, sejak lepas baik dari demam ni semakin bertambah selera makannya. Abahnya dah pesan, jangan ditegur-tegur, biarkan sahaja, biar naik sikit berat badannya tu.
Nampaknya hujan tengahari berlarutan hingga ke petang. Anak-anak pun sudah macam cacing kepanasan sahaja bila terpaksa berkurung di dalam rumah seharian. Masing-masing asyiklah mengintai keluar sebalik tingkap; agaknya dalam hati tu berdoa minta hujan berhenti.

Waktu-waktu hujan beginikan, mulalah perut ni pun asyik terasa lapar sahaja. Padahal kami makan tengahari pun sudah agak lewat, lepas Zohor macam tu. Kebetulan pula waktu asyik menonton televisyen, keluar pula iklan KFC. Tiba-tiba sahaja perut makin berkeroncong dengan lajunya. Gendang gendut, gendang gendut beralun rentak lagu yang pelbagai. Mulalah kenen-kenen dengan en. hubby. "abah, cuba abah dengar bunyi dalam perut ni. macam lapar sahajakan." En. hubby buat tak dengarr le pula. Ulang lagi skrip yang sama...en. hubby masih begitu. "Abah, tengok orang makan KFC... macam sedap je. Emmm... sedapnya le hai cheezy wedges".
Selang beberapa minit, en. hubby cakap..." Cepat siap. Ibu pakai tudung. Jom kita keluar jalan-jalan cari makan". Yey!!! akhirnya... Walau di luar sana hujan masih galak mencurah-curah, kami anak-beranak sanggup redah.

Mari kita makan KFC. Sampai rumah terus menuju ke meja makan. Tunggu apalagi, tunggu hendak ngap! sahaja. Rupa-rupanya perut masing-masing juga turut bernyanyi, bukan perut ibu seorang.

Dalam perjalanan untuk menyerbu restoran yang telah dikenal pasti, ternampak pula gerai menjual raja segala buah ini. Memandangkan en.hubby adalah penggemar tegar si raja buah ini maka beliau sudah siap-siap berhajat hendak singgah di gerai tersebut masa perjalanan balik nanti.

Maka tertunailah hajat en.hubby untuk menikmati si raja buah tadi. Ini entah kali keberapa punya hajat yang sudah tertunai. Asal nampak sahaja gerai jual durian, mulalah berhajat... tak puas-puas. Sanggup meredah hujan yang turun renyai-renyai itu.


Ni sama naik sahaja dengan abahnya. Sudah nampak tanda-tanda bakal mengikut jejak abahnya nak jadi penggemar tegar juga ni. Ibu tidaklah gemar sangat pun tidaklah tak suka sangat. Setakat rasa seulas, dua ulas, tiga ke empat ulas... macam tu... Tapi kalau si adik, dalam banyak-banyak buah, buah durianlah yang paling dia tak gemar. Tidak usahlah hendak memujuk rayu dia, memang takkan dia makan. Boleh siap cakap, buah tu tak sedap langsung....

En. hubby beli 4 biji kesemuanya. Sambil makan, dibukanya kesemua 4 biji buah durian tu. dah puas, selebihnya disimpan dalam peti sejuk. Tunggulah, tak berapa hari tu nanti kosonglah bekas tu.

Syukur alhamdulillah... atas segala nikmat dan rezeki yang Allah beri ini. Selalu hendak kena ingatkan anak-anak supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Bersyukur sebab kita masih dapat makan yang sedap-sedap, masih dapat menghirup udara yang segar walau sudah ada tanda-tanda tercemar. Itupun kadang-kadang rasa sedih juga bila anak-anak asyik buat perangai, mengamuk tidak tentu pasal kalau hajat mereka tak dapat kita penuhi. Ibu bapa sekarang terpaksa mendepani cabaran yang sangat hebat untuk membesar dan mendidik anak di zaman ini mahupun zaman akan datang kannn....

No comments: