Sunday, April 29, 2012

:: Minum petang Ahad ::

Hari ini adalah hari yang betul-betul bersantai di rumah. Hormon rajin pun bercambah dengan begitu bersemangat. Sejak pagi tadi bergotong-royong mengemas rumah bersama en.hubby dan anak-anak, seronok benar rasanya. Lega bila tengok rumah bersih dan kemas... rasa benar-benar lapang. Tak tahulah berapa lama boleh bertahan huhuhu...


Bila rajin dah datang tu, sampai ke petanglah jadi rajin. Maka terhidanglah minum petang yang enak... pengat(orang utara sebut serawa) ubi resepi bonda. Alhamdulillahhhh... lebih enak saat makan bersama-sama mereka yang disayangi.




" Sesekali bila malam, dia terkenang Sang Arjuna. Pernah juga Cik Puan Mastura terfikir, bila ianya bermula, bila tercetus sang perasa? Kalut sekali jiwanya... Hendak membenarkankah apa yang dirasa? "

:: Langsung dari iphone ::

Cubaan buat entry dari iphone. Dah hampir setahun iphone ni tapi baru kali ini saja nak cuba-cuba. Hari ini tidak merancang untuk kemana-mana. En.hubby kata hari ini adalah hari untuk mengemas rumah. Hmmm... Yelah sangat!!! Sedang fikir-fikir hendak masak apa tengahari ni.

Saturday, April 28, 2012

:: Sarapan pagi Sabtu ::

Sabtu ini adalah Sabtu yang rajin mungkin? Awal-awal pagi sudah berjaya menyiapkan sarapan untuk wajah-wajah kesayangan hamba. Hari ini masih ada aktiviti yang akan terlaksana insyaallahhh... meski pun terpaksa mengubah perancangan asal.

 Memandangkan kesayangan-kesayangan masih belum bersedia untuk bangun bersarapan bersama, maka perutnya yang sedang rancak menyanyi berdondang sayang harus diutamakan terlebih dahulu. Sepiring bihun goreng dan secawan nescafe untuk dirinya...

Ditemani juga dengan potongan buah mangga yang manis... enaknya. Syukur alhamdulillahhhh...




" Bulan ini bulan yang sibuk bagi Cik Puan Mastura. Langsung membuatkannya lupa seketika pada Sang Arjuna. Ya, hatinya sedikit lega. Agak jarang dia bertemu Sang Arjuna kerna si dia juga kelihatan sibuk. Mereka lupa seketika 'hal' mereka. Sampai bila??? "

Wednesday, April 25, 2012

:: Aku...April dan Buku... ::

Sudah lama benar ku kira tidak berbicara tentang kekasih-kekasihku ini. Ternyata mereka telah kuabaikan walaupun tidak berniat untuk terus melupakan. Ya... tidak pernah lupa kerana setiap bulan ada sahaja yang ku bawa pulang ke rumah namun tidak juga aku berlaku adil kepada mereka kerana membiarkan mereka tertunggu-tunggu... Bilakah waktunya aku kelek... aku ulit...



Andai kalian mampu berbicara... sudah ku pasti akan berkumandang irama dan lagu ini...." ini tidak adil... tidak adil bagiku..." (alunkan bak lagu Yuna sang penyanyi) Aku cuba untuk adil namun cabang hidup kian bercambah menuntut waktu dan tumpuan. Ruang waktu kian sempit dan terhimpit... masa juga kusalahkan untuk kujadikan alasan. Walhal diri sendiri tiada usaha untuk menjadi bijak mengatur ruang waktu.


Andailah kalian tahu... adakala ruang waktu yang ada itu kubiarkan sahaja berlalu tanpa apa-apa. Pembazir terhebat sudahnya jadi diriku ini. Malu pada kamu? Ya... sudah tentu. Bersalah juga ada... bilakah akan mula menelaah? Mencari diriku yang dulu? Aku cuba...

Yang pasti, hujung purnama nanti... kamu, kamu dan kamu pastikan ketemu teman-teman baru lagi. Aku yakin itu sebab aku dan si dia sudah mula berkira-kira. Bakal bertambah lagi bilangan kekasihku... haru...

:: Nota adik ::

Sejak ada papan putih ni, adik memang suka menulis, menconteng, melukis dan segala bagai. Maklumlah dia kan suka berangan. Ini adalah nota adik untuk ibu yang ditulisnya petang tadi. Susah juga sebenarnya hendak faham apa yang cuba disampaikan oleh adik, tapi bila diulang banyak kali hmmmm... tahulah kisahnya heheh...



Apa sebenarnya ye, yang cuba diceritakan oleh si adik ni? Cer teka!!!



"Sejak beberapa hari ni, asal terserempak sahaja dengan Sang Arjuna hatinya menjadi tak keruan. Duduk tak kena, berdiri pun tak kena... hendak bernafas pun terasa payah. Cik Puan Mastura susah untuk mengelak lagi sebab kadang-kadang dia pun terasa lain macam kalau sehari tidak bertemu dengan Sang Arjuna. Mahu dibuat apa dengan hatinya kini? "

Saturday, April 21, 2012

:: Sneak Peek 2 : Menawan Puncak; Melawan Ketakutan ::

Hari ini mencipta sejarah... untuk pertama kali...






:: Sneak Peek 1 : Simpan Kenangan Lama; Cipta Kenangan Baru ::

Belum ada waktu untuk bercerita panjang... bagi intro sikit saja. Antara aktiviti yang berlaku dalam April Yang Indah...

Friday, April 20, 2012

:: April yang... ::

Hmmm... sendu rasa hati bila tengok hanya satu entry sahaja yang melekat di sini untuk bulan ini. Tidaklah tahu apa sebenarnya yang melanda diri pada waktu dan ketika ini.

April padanya adalah yang paling istimewa, namun April tahun ini juga adalah yang paling sibuk dengan bermacam-macam perkara dan aktiviti. Macam-macam hal termasuk hal kerja, hal peribadi dan lagi... dan lagi...atau dia juga sudah pandai mencipta alasan?



" Sejak kebelakangan ini Cik Puan Mastura asyik hilang fokus.... fokus pada kerja, fokus pada kehidupan... Kenapa dia jadi begitu? Kerana Sang Arjunakah? Mungkin jawapan sebenarnya sudah ada? "

Sunday, April 01, 2012

:: Beri ruang... ::

Dia sangat perlukannya...
Dia perlu ruang
Dia perlu sunyi
Untuk cerita dengan diri

Beri dia ruang itu
Beri dia masa itu
Untuk dia buktikan sesuatu

Beri dia ruang
Untuk ilham yang datang
Muntahkan segala
Dalam ruang
Yang ada

Cerita itu untuk aku
Cerita itu untuk dia
Cerita itu untuk mereka
Cerita itu untuk kita

Usah ditanya
Usah menerka
Usahlah terjah

Kerana dia perlu
ruang itu...

" rupanya Cik puan Mastura silap. Awan tiada kala malam untuk dia berbicara. Dia renung ke langit kelam di atas ruang sana. Dia tidak boleh berbicara, lidahnya kelu tanpa kata. Hanya Sang Arjuna yang dia nampak. Bagaimana? Dia masih tiada jawapan namun hatinya macam ingin berkata-kata. Apa ye? Biarkan dulu untuk Cik puan Mastura tidur dengan lena.  "