Saturday, January 23, 2010

:: 6 hari seminggu ::

Tahun ini giliran untuk bekerja pada setiap hari minggu (Sabtu & Ahad) hanya tinggal 3 orang saja termasuk saya. Kalau tahun lepas ada 6 orang, tidaklah terasa sangat sebab dalam sebulan tu ada la sekali saja harus bertugas pada hujung minggu. Atas sebab-sebab yang tertentu, tinggal saja kami bertiga. Yang bertiga ni la akan dibahagi hari bertugas. Kiranya dalam sebulan ada 4 minggu didarab dengan 2 hari (Sabtu&Ahad), jadi jumlahnya 8 hari. Kalau dibahagi dengan 3, seorang 2 hari 1/2. Hmmm...terpaksa le pandai-pandai bahagi.

Kadang-kadang bila difikir-fikirkan rasa macam dah tak sanggup nak 'standby' pada hari minggu. Sebabnya, pada hari minggu lah hari untuk bersama keluarga, menguruskan segala urusan rumahtangga dan segala macam perkara lagi. Jadi kalau sudah bekerja pada hari minggu, waktu mana lagi yang ada kesempatan? Akan tetapi bila mengenangkan ini adalah amanah malah bekerja juga kan satu ibadah haruslah diikhlaskan hati. Juga berharap moga rezeki yang diperolehi ini akan diberkati.

Sebenarnya bermula semua ini kemungkinan disebabkan kelemahan sistem itu sendiri. Saya rasa kalau sistem yang dibina adalah terbaik seharusnya tidak ada masalah dan kami juga tidak harus 'standby' sepanjang masa. Dengar cerita projek terbaru dah diluluskan tahun ni dan harap-harap kalau kelemahan sistem ini diperbaiki malah diberi penambahbaikan ataupun dibina sistem yang baru pun lebih elokkan. Insyaallahhhh...moga-moga.


p/s: Owh!! hari ni giliran saya rupanya...

:: Berhenti Berharap ::

Hati kecil terusik
Kerana mereka...
Mereka yang kami sayangi...
Namun, mereka tidak memahami

Sering sendiri
mengharap ada yang mengerti...
hanya sesekali...
merasa dihargai...
selebihnya, masih sendiri

Adakala rasa terasing
mengharap ada orang disisi...
pandang kanan, pandang kiri...
kami sepi sendiri...lagi

Dunia kami, hanya di sini
Mereka? masih ada yang lebih bererti...
Kami? beginilah...
masih berharap yang selamanya

Mimpi demi mimpi
mengharap yang tak pasti...
masih lagi tidak kunjung tiba...
mungkin akan tiba masa...
kami harus...


berhenti berharap...

Tuesday, January 19, 2010

:: Jom ramai-ramai ::

Kalau berminat untuk beli buku-buku atau novel dengan harga istimewa, jom kita pergi ke Karnival Alaf 21 pada 29 Jan 2010 hingga 1 Feb 2010. Rasanya banyak aktiviti diadakan, malah masa ni juga boleh berjumpa dengan penulis-penulis kegemaran. 'Entry' ini juga sebenarnya untuk log acara ini untuk saya supaya tidak lupa. Hmmm.... novel baru Norzailina Nordin akan dijual di sini, pasti dengan harga istimewa, mesti kena beli nih. Pencinta buku... jom ramai-ramai.

~ mari meluncur di lautan minda ~

:: Program cuti-cuti::

Sepanjang malam ini saya sedang gigih mengatur program untuk percutian kami ke KK bulan Mac nanti. Memandangkan en. hubby telah memberi tanggungjawab kepada saya sebagai pengurus program, saya kenalah buat rancangan perjalanan dan aktiviti kami di sana nanti, termasuklah tempahan bilik hotel, sewa kereta, bajet makan minum, aktiviti dan sebagainya. Tempahan hotel dan kereta sewa ni harus dibuat lebih awal memandangkan tarikh percutian tu nanti waktu musim cuti sekolah. Kalau lambat-lambat bimbang dah penuh. Saya ambil inisiatif mengkhatam forum berkenaan dengan topik percutian kesana untuk mendapat lebih banyak maklumat. Kena buat analisis kadar hotel mana yang lebih berpatutan, bayaran sewa kereta yang mana lebih menguntungkan. Bajet pun kena kawal supaya tidak 'overdose'. Perancangan awal aktiviti pun kena atur secara efisien supaya tidak banyak masa yang terbuang. Tempoh percutian pun tidaklah terlalu lama hanya 4H 3M sahaja, jadi harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Hasil malam ini, saya sudah mempunyai beberapa senarai hotel untuk dihubungi dan rangka aktiviti pun sudah berlegar dalam kepala tinggal nak taip semula untuk dibentangkan pada en. hubby. Sambung esok pula nampak gayanya ni... mata sudah berat, katil sudah memanggil-manggil, nak kena bangun awal pula tu esok.....

Sunday, January 17, 2010

:: Akhirnya... ::

Akhirnya dapat juga saya memuat turun filem Ketika Cinta Bertasbih 2 (KCB2). Hari tu dah tengok KCB1, semalam dah siap khatam KCB2 dengan dikyah. Aduhhh....2 kali khatam 2 kali merambu-rambu airmata kami lagi-lagi bila tiba 'scene' yang sedih dan menyentuh perasaan. Tak tahulah pula bila filem ni akan ditayangkan di Malaysia. Saya dah tak boleh menunggu lagi. Cerita ni sangat 'best'. Sangat dekat dengan kehidupan kita malah kalau boleh melalui kehidupan yang begitu. Walaupun bukan filem kita, bukan budaya kita namun, kita masih seagama. Banyak ilmu, pengajaran, pesanan yang dapat kita kutip melalui filem ini..... malah terlalu banyak. Akhirnya.... saya puas hati.

Friday, January 15, 2010

:: Bila nafsu memintas akal... ::

yang baru nampak lama...
yang elok dah nampak buruk...
yang terang jadi kelam...

bila nafsu memintas akal...

keperluan atau tidak bukan alasan...
wang bukan lagi ukuran...
ruang sempit tidak menjadi persoalan...

bila nafsu memintas akal...

bazir ke boros ke, tidak jadi hal...
asal dapat penuhi hajat...
beban digalas penuh tekad...

bila nafsu memintas akal...

beribu alasan untuk bertahan...
konon hendak mengikut 'trend'...
wang dalam dompet tak sedar makin kempis...
aduh!!!macamana boleh berhabis?

lalu akal waras memberi salam...
bukan kesal mahupun sebal...
harap ia jadi iktibar...
biar nafsu dapat dikawal...


p/s: ingatan untuk diri sendiri...lepas ni tak nak buat lagi huhuhu...

Thursday, January 14, 2010

:: Alasan ::

Malam ni saya masih bercuti dari memasak. Semalam alasannya sebab saya penat(memang penat pun, bukan rekaan) tapi hari ni...saya tidaklah penat sangat, cuma petang tadi masa sudah diambil untuk ke kedai kaca mata dan anggaran sampai rumah pun mungkin dah Maghrib. Jadi kalau mula memasak pun dah lepas Maghrib, itu belum kira masa menunggu untuk ayam/ikan beku dicairkan terlebih dulu... tambahan pula saya ni jenis yang agak lambat buat kerja, agak-agak pukul berapa la baru dapat makan kannnnn. Maka dengan efisiennya en. hubby telah menaja makan malam kami sekeluarga malam ini. Kan senang... balik rumah saja terus dah boleh makan, lepas tu dah boleh buat kerja-kerja rumah yang lain. Lagipun abang ada kerja sekolah... nak kena tengok juga kan.

Apakah semua ini.......alasan semata-mata menandakan bahawa M besar akan melanda? Itu saya sendiri le yang kena jawab...hehehe.

:: Abang dan Kaca Mata :

Petang tadi dah selamat ambil spek mata abang. Bermula hari ini...maka bermulalah hidup abang bersama kaca matanya huhuhu... sebenarnya saya sendiri rasa macam tak 'best' saja. Tak tahulah kenapa, rasa seperti tidak kena saja. Macam ada satu kekurangan kannn... tapi dah nak buat macamana , terpaksa terima la juga. Itupun tadi sudah berkajang pesanan dititipkan buat anak tersayang ni tentang penggunaan dan penjagaannya. Maklumlakan, budak baru 8 tahun ni... semua perkara baru, benda baru mestilah mengujakan. Takut pula bila di sekolah teruja nak tunjuk pada kawan-kawan...lepas tu semua berebut pula nak tengok...macam-macam kemungkinan la boleh jadi...kalau tak jatuh, patah ke...apa ke...hishhhh risau la juga. Benda bukannya murah kannnn. Hmmm...nak fikir positif saja ni, saya perlu beri kepercayaan pada abang dan insyaallahhh...pandai-pandailah dia nanti.

Amacam?Nampak macam budak bijak tak?

Kelakar pun ada juga tadi bila tengok abang pakai spek. Sebabnya... sepanjang jalan keluar dari kedai, dua-dua tangan dia asyik dalam poket seluar saja. Wahhh...agaknya dia rasa macam bijak je kan. Huh...memang mamat perasan betulla anak ni.


:: Percutian Singkat ::

Yey!!!...sudah 'confirm' tempahan untuk program cuti-cuti yang pertama di tahun ini. Insyaallahhh.... kalau tidak ada aral melintang, kami anak-beranak akan bercuti di A Famosa Resort, Melaka pada 31/1 hingga 2/1. Hanya 2 hari 1 malam, oklah untuk permulaan, kira macam 'start' enjin lah ni hehehe. Nak lama sikit... tunggu....bulan 3 nanti. Sebenarnya A Famosa Resort ada buat promosi sempena ulangtahunnya yang ke...berapa ek! Nak tahu lebih lanjut sila berkunjung ke sini. Tempoh kunjungan bermula 1 Januari hingga 10 Februari 2010. Kalau berminat boleh cepat-cepat 'booking'. Jom bercuti jom...!!!

"rehatkan minda, tenangkan jiwa...moga hidup lebih ceria"

:: Rehat ::

Semalam saya rehat dari memasak. Saya juga berehat dari menyediakan bekal pagi ini. Saya sangat perlukan rehat, tenaga saya sudah kehabisan. Mujurlah en. hubby dan anak-anak sangat memahami. Jadi bila tidak memasak, apa yang kami makan semalam? Mari kita tengok...

ibu : 'Pakcik, egg benjo 1, burger ayam 2 ye. Yang ayam tu, dua-dua tak nak sayur, tapi 1 tu letak sos tomato, lagi satu tak payah letak sos.

penjual burger : "betul ke ni. dua-dua ayam tak nak letak apa-apa?

ibu : "ye pakcik, budak-budak 2 orang ni tak makan sayur."

penjual burger : "hmmm...yelah."

En.hubby tak nak burger, dia makan aje apa-apa yang ada kat rumah nanti....huhuhu kesian le pulak.

Pagi ni, semua bangun lebih awal sikit dari biasa sebab nak singgah gerai nasi lemak tepi jalan dekat rumah. Bekal tetap masing-masing bawa, tapi bekal beli le...ibu dan abah bawa nasi lemak, abang bawa kuih apam, adik bawa kuih apam gula hangus. Ok... misi selesai, selamat makan dan selamat melaksanakan tugas masing-masing.

Hari ni pula macamana ye? Kita tinggu saja nanti...

Tuesday, January 12, 2010

:: Padah atau Peluang ::

Bagaimanalah agaknya bila mereka yang selama ini menjadi penyelamat, hero, penyelesai kepada masalah, menjadikan perjalanan kerja kita berjalan lancar tiba-tiba hilang dalam hidup kita. Hilang mereka itupun kerana beralih angin, demi kemajuan kerjaya yang lebih gemilang. Apa akan jadi pada kita yang ditinggalkan ini? Ia mungkin padah sekiranya kita sedia maklum bebanan kerja yang ditinggalkan itu akan terus jatuh ke atas batu jemala bahu kita yang sedia lemah ini. Dari sudut lain, ia mungkin boleh kita anggap satu peluang menonjolkan kebolehan dan kemahiran diri. Jika selama ini kita berselindung di sebalik kemahiran orang lain, mungkin ini masanya kita berada di barisan hadapan. Ada pendapat yang mengatakan begini....'take it as a challenge'. Namun ada juga berfikir begini... 'kalau tak sanggup, mohon saja tukar ke tempat lain'. Padahnya... kita sudah tidak dapat berselindung lagi, dah tak boleh mengelak, penyelamat sudah tidak ada, hero sudah hilang. Pendek cerita, kitalah pula yang kelihatannya seolah-olah menjadi seperti superhero penyelamat dunia. Namun... bersediakah kita andai itu takdirnya? Atau kita jadi gabra, resah tak tentu hala? Atau mungkin begini responnya...' jangan risau saya kan ada... biar saya selesaikannya. Yakinlah dengan kemampuan saya'. Wahhh... andai begitu positifnya respon kita, tidak ada apa lagi yang perlu dibimbangkan. Datanglah segala tujuh mala petaka, ribut taufan dan badai mahupun tsunami akan ku hadapi dengan gagahnya sebagai mereka yang di hadapan. Hakikatnya... sudahkah kita ukur kemampuan diri. Bolehkah semuanya nanti digalaskan terus ke bahu kita? Hakikatnya juga....rasa macam nak lari dulu pun ada sebelum bala datang menimpa. Jadi...amacam? Ada berani? Takpun.... cha alif but!!!!Cabuttttt!!!

Monday, January 11, 2010

:: Rabun ::

Sah... abang rabun jauh. Petang tadi dah bawa dia untuk buat optometri. Hmmm...boleh tahan juga tahap kerabunan abang tu. Lebih kurang 20 minit buat ujian optometri, saya dah dapat rasa dah lepas ni mesti kena pakai spek. Sebenarnya tahun lepas lagi dia dah mengadu tak berapa nak nampak apa yang cikgu tulis dekat papan putih, dan itulah yang cuba produk Permata Hijrah. Nampaknya ada faktor lain lagi yang menyumbang, tabiat dia yang suka menonton terlalu dekat dengan tv dan kalau menghadap 'laptop' pun sama juga.

Yang boleh bawa dia ke optometrist ni sebab tengahari tadi abang mengadu pada en.hubby, dia tak nampak dan tak boleh baca apa yang cikgu tulis di depan. Kawan-kawan dia pun ada cerita perkara yang sama. Kesian pula rasanya kalau ditangguh-tangguhkan, takut nanti menjejaskan pelajaran dia pula. Maka selepas dapat keputusan dari optometri tu, dengan terpaksa relanya menempah spek mata. 3 hari lagi baru dapat. Selepas ni abang pun dah sama macam en. hubby. Abang dah risau kalau dia pakai spek nanti dah tak kacak, yang en. hubby pula risau nanti anak dia dah tak boleh nak serius dalam sukan bola sepak.....haaaa camana tu? sapa nak jawab?

Moralnya.... untuk sesiapa yang masih ada anak kecil, didiklah dari sekarang jangan biarkan dia menonton dekat sangat dengan televisyen. Tak pasal-pasal pula seawal usia 8 tahun dah harus pakai spek macam si abang. Kalau nak tengok dari faktor keturunan pun ada kemungkinan tak ek?

Saturday, January 09, 2010

:: First Kick @ FirstKick Academy ::

Wahhh tajuk 'entry' yang berbau mat saleh...hihihi. Awal pagi lagi kami anak-beranak sudah sangat teruja ke sesi latihan bolasepak pertama si abang dengan FirstKick Academy. Akademi bolasepak ini diterajui oleh jurulatih-jurulatih profesional malah pernah mewakili beberapa negeri dalam Liga Malaysia. Setiap Sabtu bermula jam 8 hingga 10 pagi abang akan mengikuti sesi latihan bagi mengisi masa juga menyerlahkan potensi diri. Yuran bulanan yang agak berpatutan malah dilatih oleh mereka yang berpengalaman dan bertauliah, ini adalah satu pilihan terbaik untuk abang. Kalau abang suka dan terus berminat mungkin dia akan pergi lebih jauh. Sebelum sesi latihan bermula, taklimat ringkas kepada ibu bapa disampaikan oleh ketua jurulatih(beliau pernah mewakili negeri Perlis tapi saya tak ingat pula nama dia). Taklimat berkenaan dengan silibus dan kaedah yang akan digunakan kepada para pelajar...sangat jelas dan menarik walaupun saya tidak berapa faham hahaha. Untuk permulaan ini, abang nampak sangat teruja dan 'enjoy'...ok lah tu kannn.

bakal pemain pro?


taklimat

serius...tak faham


'warming up'

latihan bersama jurulatih


Friday, January 08, 2010

:: Pencemaran Bau ::

Tak taulah saya nak kategorikan 'entry' kali ini sebagai apa...18s... atau? Namun saya terasa nak cerita juga walaupun ianya mungkin akan memberi kesan yang mungkin mengganggu jiwa hehehe. Petang tadi tidak tahulah apa yang tidak kena dengan perut saya ni. Asyik nak meragam saja, hingga buat saya tak berapa selesa. Nak kata lapar...dah cukup makan dah malah terlebih pun ada kot. Perut agak memulas-mulas macam dipintal-pintal, cuma masih di bawah kawalan lagi. Mungkin juga sebab satu hari suntuk ni saya tidak melakukan sebarang proses penyucian perut. Lebih kurangnya macam ni lah....tak buang tapi asyik dok mengisi saja. Jadi mungkin keupayaan dan jumlah ruang untuk mengisi sudah penuh. Maka mesin pemprosesan sudah meragam... tidak lancar seperti kebiasaannya. Memang sesuatulah...

Sehinggalah melewati jam 6 petang lebih-lebih, en. hubby dan anak-anak sampai ke pejabat untuk mengambil saya. Keadaan saya yang tidak berapa selesa itu masih lagi berterusan dan masih belum ada tanda-tanda pemulihan walaupun sudah berkali-kali saya berulang-alik ke bilik kecil itu. Nak dijadikan cerita, keadaan saya yang makin kritikal ini tidak dapat dibendung lagi. Di dalam kereta dengan kesejukan penghawa dingin ditambah dengan kesejukan oleh hujan renyai-renyai di luar, en. hubby dan anak-anak adalah mangsa yang menerima kesan terhadap pembebasan gas beracun yang telah berjaya membuat hidung mereka anak-beranak menjadi kembang dan kempis. Yang sebenarnya sebaik masuk ke dalam kereta saya telah memberi amaran awal tentang tiupan angin kencang yang berlaku dalam perut saya ini. Dan saya sudah pesan bahawa angin kencang ini mungkin akan mencetuskan satu fenomena bau yang sangat tidak enak untuk dihidu huhuhu. Saya minta mereka bersedia, maka tidak sampai 2 minit selepas amaran awal itu.....fuhhhhh...pencemaran bau itu akhirnya berlaku jua. Sepanjang perjalanan, letusan pembebasan gas itu berlaku berulang-ulang lebih kurang dalam 4 ke 5 kali juga lah. Dapatkah anda bayangkan, apa yang telah terjadi kepada en. hubby dan anak-anak yang terkurung di dalam ruang sempit itu, disokong lagi dengan pendingin hawa yang sangat dingin. Nak buka tingkap tak boleh pula sebab hujan sedang mencurah-curah. Tanpa rela hati mereka anak-beranak terpaksa menahan kembing kempis hidung sehingga menjadi merah padam muka masing-masing. Owhhhh.... maafkanlah ibu, kejadian ini adalah yang julung kali berlaku ibarat dunia yang pertama kali diserang tsunami(boleh ke bagi contoh macam tu?)... cuma tsunami itu datang tanpa amaran.

Sehingga 'entry' ini ditulis (taip), keadaan saya masih tidak berubah. Usaha untuk menyingkirkan isi dalam perut masih juga tidak berjaya. Hanya sapuan krim halia menjadi ikhtiar saya yang seterusnya untuk meredakan sedikit kocakan dan gelodak rasa yang sedang bercampur gaul di dalam perut saya ini. Nak minum teh halia, saya memang tak berapa gemar. Cara bagaimana lagi ya?

Thursday, January 07, 2010

:: Gangguan jiwa ::

Kita semua pernah alami gangguan jiwa. Selagi kita bernama manusia, menjadi khalifah di muka bumi, menjalani kehidupan di alam fana ini maka selang masa itu kita pasti pernah alami gangguan pada jiwa. Dengan liku hidup sehari-hari, sama ada manusia itu adalah ibu, bapa, anak, isteri, suami, pekerja, majikan, datuk, nenek mahupun siapa saja, tekanan pasti wujud dalam apa jua bentuk. Bukankah tekanan itu merupakan salah satu gangguan jiwa? Tekanan hadir dalam pelbagai bentuk sepanjang kita memenuhi peranan sebagai manusia, melaksanakan tanggungjawab kita dan berbagai lagi fungsi seorang manusia demi kelangsungan sebuah kehidupan. Cuma apa yang membezakan kita dengan seorang pesakit jiwa? Kita manusia adalah sama, namun bagaimana kita mengawal tekanan agar tidak mempengaruhi fikiran sehingga hilang segala kewarasan... itulah perbezaannya.

Persoalannya, kenapa semakin ramai yang tidak dapat mengawal gangguan yang berlaku dalam jiwa mereka. Dan seperti kebetulan pula, bilangan yang ramai itu juga adalah di kalangan umat Islam. Bukankah Islam itu adalah agama yang menenangkan lagi mendamaikan. Apakah umat Islam kini semakin jauh dari Penciptanya? Gerun mendengar khabar hampir setiap minggu ada saja kes-kes gangguan jiwa ini sehingga membawa kepada peristiwa pembunuhan. Apakah sudah hilang kewarasan akal sebagai manusia khasnya umatNya. Terbaru, seorang anak yang telah membunuh ahli keluarganya termasuk bapanya(kepalanya di penggal), datuk dan neneknya dan juga adik perempuannya. Saya percaya dia juga sedang mengalami gangguan jiwa yang sangat kronik.

Ingin saya berkongsi pengalaman berhadapan dengan orang yang mengalami masalah seumpama ini. Ia berlaku pada kawan baik saya sendiri. Kisahnya bermula sekitar hujung tahun 1996. Kami berkawan baik sejak di sekolah menengah, malah kami juga saling mengenali keluarga masing-masing. Si N yang saya kenal merupakan seorang yang sangat aktif dan sentiasa berfikiran positif. Sehinggalah saya menyambung pelajaran di I*M dan N meneruskan perjuangan mengambil peperiksaan STPM. Kami masih berhubung melalui surat walaupun jarak memisahkan. Namun saya perasan melalui bait-bait surat N kepada saya, dia semakin tertekan dengan kehidupannya. Dia merindui kenangan-kenangan yang kami lalui dulu. Dia semakin lemah untuk mengharungi STPM. Dia merasa sangat rendah diri dan hampir hilang keyakinan diri. Dan akhirnya keputusan STPMnya sangat mengecewakan. Namun dia cuba menghadapi dengan tabah dan saya juga berusaha sebaik mungkin memberi dorongan dan kata-kata semangat buat N. Saya amat berharap kami akan berjaya tidak kira walau di mana kami berada dan walau apa jalan yang kami lalui sekalipun. Mengukuhkan lagi ikatan persahabatan ini, kami pasti akan berjumpa setiap kali saya pulang cuti semester.

Penghujung 1996, N dimaklumkan oleh ibunya yang menelefon saya sendiri telah mengalami kemurungan. Dia menjadi seorang yang sangat pendiam, tidak mahu bercakap, berjumpa dengan sesiapapun. Malahan kadang-kadang dia akan bercakap-cakap seorang diri. Kelihatannya dia seperti sedang berbual dengan seseorang. Saya melihat sendiri keadaannya waktu itu semasa pulang bercuti. Saya tidak berseorangan ke rumah N, seorang lagi kawan baik kami J turut bersama. Melihat N...hati jadi luluh, sayu dan pilu. Hilang sudah keceriaan pada hidupnya yang dulu yang sentiasa menceriakan orang lain. Nekad untuk menyelami jiwa N, saya dan J sepakat untuk bermalam di rumah N untuk beberapa hari. Rupanya itu juga yang diharapkan oleh keluarga N terutama ibunya. Mereka amat berharap dengan kehadiran kami dapat mengembalikan N yang dulu. Saya dan J ingin membantu N, kami ingin merungkai segala masalah N dan mencari jalan keluar kepada ujian yang dilalui N ini. Kami ingin sangat tahu bagaimana semua ini boleh terjadi kepada N. Apa yang berlaku seterusnya? Nantikan sambungan kisah N...

Wednesday, January 06, 2010

:: Cerita kurang enak ::

Sewaktu di tahun 1 abang punya pengalaman yang kurang manis dengan subjek Pendidikan Islam(PI). Ikut hemat saya dari sudut pandangan seorang ibu, dia bukannya tidak suka dengan subjek ini cuma dia agak lambat untuk menangkap dan memahami. Kelemahan ini menyebabkan dia jadi 'stress' bila setiap kali harus menyiapkan kerja sekolah PI. Kebetulan pula, boleh dikatakan setiap hari pasti ada saja kerja sekolah yang harus disiapkan di rumah dan kadang-kadang tu ada kerja yang harus disalin di papan hitam tapi abang tak sempat nak habiskan. Tambahan pula ustazah yang mengajar pun macam garang semacam je. Hmmmm.... keadaan ini memang menambahkan tekanan dan bebanan kepada abang. Bila abang tertekan maka ibu juga akan turut jadi tertekan, sebabnya dia asyik le nak tanya pada ibu macamana nak buat. Apa yang boleh saya bantu waktu itu, hanyalah memujuk dia untuk usaha juga siapkan kerja sekolah. Dengan subjek-subjek yang lain abang memang tak ada masalah. Malahan kalau satu hari tu ada 2 atau 3 kerja sekolah yang dibawa balik, PI akan duduk senarai terakhir untuk disiapkan. Langsung berbeza dengan saya dahulu, subjek ni lah yang paling saya suka dan memang tip top pun ecewahhh sempat lagi tuh.

Saya sedang berusaha cari jalan macamana nak mengurangkan tekanan abang terhadap subjek ini. Mungkin tahun ni dapat membantu abang sebab dia dah masuk sekolah KAFA. Cuma cerita persekolahan awal tahun ini pula sudah terpalit dengan pengalaman yang tidak berapa nak manis, masam-masam kelat pun ada juga dengan subjek PI ni. Hari Selasa, abang dah kena marah dengan ustazah(ustazah yang sama mengajar di tahun 1) sebab tak bawa buku tulis. Lebih tepatnya buku tulis yang abang bawa tu tak cukup dah digunakan untuk subjek-subjek lain. Kena pula PI subjek terakhir hari Selasa. Kannn....awal-awal tahun pun dah ada kisah tragis dengan subjek ni. Hari ni punya cerita pula pun pasal tak bawa buku tulis juga(buku tulis khas untuk subjek ni, kod buku G5) dan abang kena marah lagi. Petang tadi saya terus jadi emo dengan ustazah ni. Awal-awal minggu ni pun dah nak marah grrrr....

Yang sebenarnya dua-dua kes ini adalah disebabkan kecuaian ibu dan abah huhuhu.... Kes pertama en. hubby yang tak bagi bawa semua buku tulis. Kes kedua pula, silap ibu yang tidak semak dulu semua buku-buku selepas membelinya minggu lepas. Orang koperasi tu tanya anak tahun berapa, dan saya jawab la tahun 2. Jadi dia pun siapkan lah semua buku-buku tulis untuk tahun 2 seperti dalam senarai. Malangnya selepas saya bayar dan ambil buku saya terus gerak. Saya dah tak semak betul ke, cukup ke buku-buku yang dia bagi tu. Rupa-rupanya, lepas terjadi kes kedua ni, dan bila saya tengok balik senarai hah! sah orang tu tak bagi buku G5... tapi harga yang saya dah bayar hari tu sudah termasuk sekali. Sapa nak jawab ni? Nampak jelaslah kan... memang salah saya. Kesian abang... Macamana nak tebus kesilapan ini? Hah...nak kena pergi kedai buku tu balik lah jawabnya...bila nak pergi ya?Hmmmm.....

Tuesday, January 05, 2010

:: Beli novel lagi ::

Petang tadi lepas hantar abang sekolah KAFA, saya menemani en.hubby ke IOI Mall untuk satu urusan. Urusan en.hubby selesai dalam 10 minit kemudian dan tiba-tiba saya teringat kedai buku Popular di situ dan saya masih ada senarai novel yang ingin dibeli tapi tidak berjumpa di MPH Alamanda semalam. Saya ajak en.hubby ke situ... dan jeng jeng jeng... saya dapat apa yang dihajati. Bukan satu tapi dua hahaha...


En. hubby ok saja bila saya nak beli novel terbaru Ramlee Awang Murshid(RAM) ni sebab dia berkongsi minat dengan saya terhadap semua karya-karya si RAM ni. Novel yang lagi satu tu... pandai-pandailah saya bodek. Bila nak baca? Belum tahu lagi yang penting sudah ada dalam koleksi. Ini satu lagi resolusi 2010 untuk menambahkan koleksi buku dan bahan bacaan saya. Setiap bulan mesti diperuntukkan sejumlah bajet untuk buku-buku dan juga majalah.


:: Dia nangis lagi huhu... ::

Hari ni abang nangis lagi masa di sekolah KAFA. Tak tahulah apa yang buat dia beremosi sangat, mungkin sebab tempat baru, belum ada kawan lagi buat dia rasa semacam. Tapi saya suka tengok kawan-kawan sekelas dia, walaupun belum kenal mereka sangat 'supportive'. Masing-masing cuba pujuk abang, tapi abang ni makin dipujuk makin kuatlah esakkannya. Geram juga saya dibuatnya. Sengaja saya biarkan dia dalam kelas sementara saya menunggu di luar sambil tu jenguk-jenguk juga akan dia. Waktu tu masih awal dan kelas hanya akan bermula jam 2.30 petang jadi masih belum terlihat kelibat ustazah yang akan mengajar di kelasnya. Saya menunggu hingga ustazah datang. Dalam pukul 2 lebih saya terus gerak, masa tu pun elok saja ustazah masuk kelas. Saya pasti abang akan ok selepas ini.

Petang jam 5.30 saya sudah tercegat di depan kelas. Ustazah abang nampak saya kemudian dia angkat kedua-dua ibu jari tanda 'best' sambil sebut bereeeehhhhh (dialek kelate). Tergelak saya dibuatnya. Dah agak mesti abang akan ok. Waktu tu tidak nampak pula kelibat abang dalam kelas rupanya dia ke tandas. Melalui perbualan saya dan abang masa dalam kereta, dia dah ada 2 orang kawan kelas KAFA. Seorang namanya Haziq dan seorang lagi Imran. Syukur alhamdulillahhh...Esok en. hubby mengambil alih tugas, sudah semestinyalah abang akan ok.

:: Kalaulahhh... ::

Baru balik dari Putrajaya...hantar abang ke sekolah, hantar adik ke tadika dan hantar en. hubby ke pejabat. Sekarang menghadap 'lappy', sambil 'update' blog sambil jalan-jalan.

Pagi ni saya buat nasi goreng untuk sarapan dan bekal si abang (salah satu resolusi tahun baru; buat sarapan tiap-tiap hari). Sesekali fikir seronok juga kalau macam ni hari-hari kan. Mungkin tidak jadi suri rumah tapi kalaulahhhh dapat bekerja dari rumah... agaknya segala urusan rumahtangga akan lebih teratur dan terurus. Macam yang saya lalui dua hari ni lah.... bangun awal pagi siapkan sarapan, hantar anak-anak dan en. hubby, balik rumah uruskan kerja-kerja rumah, kemudian bila dah 'settle' semua tu haaa...bolehlah mulakan kerja sampai tengahari.... tiba tenghari berhenti sekejap untuk masak hidangan tengahari, kemudian keluar pula ambil si abang dari sekolah terus hantar ke sekolah KAFA. Nampak macam terurus sangat kannnn........ wahhhhh angan-angan setinggi langit. Kalaulahhh program perintis bekerja dari rumah tu memilih saya sebagai perintis alangkah seronoknya. Baru-baru inikan ada kerajaan buat program seumpamanya dan yang terpilih tu adalah staf dari JKR. Beberapa orang kakitangan JKR terpilih untuk memulakan program bekerja dari rumah. Tengok respon dari mereka nampak sangat positif. Hishhh kalaulahhhh

Hakikatnya... esok dah mula kerja, kena masuk pejabat balik. Harus gunakan masa yang ada sepanjang hari ini dengan sebaik-baiknya.

Monday, January 04, 2010

:: Novel Pertama 2010 ::

Tengahari tadi sebelum ambil abang di sekolah, saya singgah sekejap di Alamanda. Ingatkan nak ambil duit saja...memandangkan masih ada waktu lagi saya pun ronda-ronda lah dulu. Alih-alih sedar tak sedar (iyelah tu tak sedar) kaki ni dah berada dalam MPH. Akhirnya selepas setengah jam kat dalam tu inilah buku pertama yang saya beli di tahun ini.


Kalau tak silap saya ini adalah siri kelima Dear Yayah. Tiga sirinya terdahulu, saya hanya pinjam dari Dikyah. Siri keempat pula saya beli tapi dihadiahkan kepada Dikyah sempena hari jadinya. Tapi sebelum saya bagi Dikyah, saya dah siap baca dulu la... tiba siri kelima hmmmm....tanpa berfikir panjang saya terus ambil dan bayar. Bukan untuk diberikan pada siapa-siapa, siri terbaru ini adalah untuk diri sendiri. Sesekali menyelami jiwa dan kehidupan remaja seronok juga rasanya. Iyelahkan saya dulu juga pernah jadi remaja. Remaja yang dunianya penuh warna-warni, penuh cabaran, penuh rasa ingin mencuba, ingin bercinta dan macam-macam lagi. Walaupun hakikatnya remaja dulu dan kini mungkin jauh berbeza namun selagi bernama remaja gelodak jiwa rasanya masih sama. Indah sungguh dunia remaja kannnn.... inilah yang ada dalam siri Dear Yayah. Lepas ni nak terus baca...

:: Ingatkan ok... rupanya... ::

Awal pagi tadi lepas hantar si abang terus gerak hantar en.hubby dan adik. Abang nampak ok saja walaupun masa tu masih belum kelihatan kawan-kawan sekelasnya. Masa hantar si adik saya ikut juga sebab ingat nak bayar yuran sekolah dan ambil baju uniformnya sekali. Masa tu ramai le ibu bapa yang hantar anak-anak terutamanya yang umur 4 tahun. Jadi... dah siap-siap bersalam, cium segala adik terus ke tempat kawan-kawannya dan pelajar-pelajar lain berkumpul. Nampak macam ok. Sementara menunggu nak bayar yuran tu saya dan en. hubby meninjau-ninjau le ke arah anak-anak dok berkumpul tu alih-alih nampak adik sedang menangis sedu-sedan sambil mata tu menjeling-jeling ke arah abah dan ibu. Alahai... dah tahun kedua adik kat sini dik... apehal pula adik nangis ni. Saya dan en.hubby biarkan saja dia, tak boleh nak layan sangat. Setelah menunggu lebih 15 minit alih-alih cikgu adik cakap yuran boleh bayar pada hari Khamis atau Jumaat saja. Ek elehhh...kenapa la tak dibagitahunya kita ni awal-awal. Kalau tidak tak ada la nak kena menunggu dan adik pun mungkin tidak akan menangis sebab nampak abah dan ibu kat sekolah... hishhhh buang karan betul.

Itu cerita adik di pagi hari. Tiba tengahari, saya dan en. hubby ambil si abang pula di sekolah. Kemudian bawa dia pergi makan dulu...masa tu seronokla dok bercerita perihal adik yang sangat sadis pagi tadi. Si abang pun siap gelak-gelak tak ingat. Lepas makan kami pun bawa abang ke sekolah KAFA. Masa ni keadaan agak kelam-kelibut dengan ibu bapa yang baru nak mendaftar anak-anak. Setelah mengenal pasti kelas si abang, saya dan en.hubby pun bersalam lah dengan dia, kononnya macam kami nak balik lah. Tapi kami tunggu di luar kelas, sebab saja nak tengok siapa ustazah yang bakal mengajar dia. Alih-alih en.hubby cuit saya sambil menunjuk kearah si abang. Laaaa haiii.......nangis juga yang sulung ni. Siap teresak-esak lagi tu. Tengok budak-budak lain selamba ok saja. Mujur la ustazah cakap boleh bawa balik dia dulu sebabnya hari ni tak sempat nak buat apa-apa pun, ramai sungguh ibu bapa yang baru nak mendaftar anak-anak. Hmmmm.... mujurlah kan boleh balik awal, kalau tidak tak tahulah saya drama sadis apa pula yang bakal berlaku. Dalam kereta nak balik rumah, haruslah ada sesi pujuk-memujuk, harap-harap esok dia dapat lalui kelas KAFA dengan baik.

Haaaiiii janganlah tiap-tiap tahun begini juga dramanya...

Sunday, January 03, 2010

:: Aktiviti... aktiviti... aktiviti ::

Malam tahun baru lalu kami berkumpul bersama jiran-jiran rapat... aktiviti ber'barbecue' belakang rumah. Acara bermula dari jam 10 malam...dan mulanya saya ingat kaum-kaum bapa saja yang berkumpul rupanya ada juga yang bawa 'mem' beserta anak-anak. Saya ikut join, dan seperti biasala bila berkumpul bersama ni, macam-macam le yang menjadi topik perbincangan. Topik biasa bila kaum ibu-ibu berkumpul tentulah perihal anak-anak, kerjaya, rumah tangga... bla bla bla. Seronok juga sesekali berkumpul macam ni. Kebiasaannya masing-masing sah-sah sibuk dengan segala aktiviti harian, jadi sesekali ada aktiviti seumpamanya dapatlah mengeratkan silaturrahim sesama kami. Sampai ke tengah malam jugalah kami berembun kat belakang rumah. Masa tepat jam 12 tengah malam tu, tiba-tiba ada letupan bunga api pula. Eh... macam meriah pula rasanya, entah ada jiran lorong mana entah yang pasang bunga api. Anak-anak le yang paling suka, mak ayah ni tak adalah rasa apa pun. Masa 'mem -mem' dah masuk tidur dengan anak-anak semua... kaum bapa-bapa masih ligat berembun. Tak sedar entah pukul berapa baru en. hubby masuk rumah. Sedar dah pagi...

Hari Jumaat langsung tidak kemana-mana. Saya ni seperti biasalah dengan rutin-rutin biasa seorang ibu. Banglong dan adik datang ke rumah lepas sembahyang Jumaat. Meriah sikit rumah. Terubat rindu nak jumpa si kecil Luqman. Dah pandai merangkak dah si kecil tu. Makin geram tengok gelagat dia. Hishhh... ini yang buat keinginan saya yang satu itu makin melonjak-lonjak. Bila la agaknya Dia nak kabulkan hasrat????

Hari kedua di tahun 2010.... ikatan suci telah terpatri, maka bersatulah 2 hati 1 jiwa. Moga ikatan suci ini berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. Kami menghadiri majlis akad nikah sepupu (pengantin lelaki). Akad nikahnya berlangsung di Kapar, Klang. Syukur alhamdulillah segalanya berjalan lancar sepanjang majlis. Yang paling 'best', menu kenduri tidak seperti kebiasaannya...nasi putih dengan sayur lemak kobis bersama ikan masin goreng telah berjaya menambat selera, sampai en. hubby bertambah 2 pinggan lahhhh...ada lagi menu-menu sampingan lain tapi yang utama ni lah paling ummpphhhh!


Afiq dan Zaleha

kami yang turut meraikan

Hari ini... tidak kemana-mana. Persediaan terakhir untuk memulakan musim persekolahan 2010 esoknya. Kasut sekolah, baju sekolah, beg, 'stationary' dan yang sewaktu dengannya semuanya dah dikumpulkan. En. hubby pun dah siap balut buku teks si abang. Saya akan bercuti 2 hari mulai esok. Pun bukan sebab anak-anak yang akan masuk sekolah cuma saja-saja ambil cuti awal tahun. Lagipun anak-anak sudah di tahun kedua tidak seperti tahun lalu, si abang baru masuk Tahun 1 dan si adik pula baru tukar sekolah tadika baru. Untuk tahun ini masing-masing sudah biasa jadi tidak ada apa-apa yang nak dirisaukan sangat. Cuma si abang saja yang buat pertama kali akan memulakan sesi kelas KAFA pada sebelah petang. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar... insyaallahhhh.