Friday, August 28, 2009

:: Ramadhan ini ::

Minggu ini hanya 2 hari saya bekerja setelah bercuti 5 hari. Seronok pula rasanya jadi suri rumah walau hanya beberapa hari dan lebih istimewa sebab dalam bulan puasa. Jadi dapat la saya memasak untuk berbuka, memandangkan selalunya kalau hari-hari bekerja juadah berbuka hanya dari Pasar Ramadan saja. Lagipun nak bagi semangat sikit pada si abang untuk terus bertahan, saya layan sajalah permintaan dia nak makan apa-apa.

Sepanjang bercuti juga, saya menkhatamkan untuk kedua kalinya novel Ketika Cinta Bertasbih(KCB). Saya amat tertar
ik dengan novel islami ini, tambahan lagi dengarnya ia sudah difilemkan. Dan dengarnya juga filem KCB bhg 1 sudah ditayangkan di pawagam di Indonesia. Tak sabar rasanya untuk menunggu tayangannya di sini. Novel ini saya ulang baca sebaik saya lihat ‘trailer’nya lalu sambil membaca dapatlah saya bayangkan watak-watak yang diceritakan. Lebih ummmphhh rasanya. Saya pasti filem ini menepati apa yang disampaikan di dalam novel kerana penulis novel ini sendiri iaitu Kang Abik terlibat sepenuhnya dari mula pencarian pelakon-pelakonnya hinggalah ke hari penggambarannya. Mengikut pandangan peribadi saya sendiri, saya lebih suka KCB kerana ciri-ciri islamik itu sangat menyerlah, terasa sangat menyentuh jiwa nurani saya jika nak dibandingkan dengan filem Ayat-Ayat Cinta. Selain menanti tayangan filem KCB, saya juga ternanti-nanti novel terbaru Kang Abik berjudul Dari Sujud ke Sujud iaitu sambungan novel KCB.


Mood bekerja sudah hilang entah ke mana… tak tahulah kenapa. Mungkin saya mula masuk pejabat pun dah di pertengahan minggu, jadi semangat tu seakan luntur sikit. Insyaallahhh… harap-harap minggu depan saya lebih bersemangat walaupun di bulan puasa. Esok Sabtu kan…cadangnya nak masak nasi minyak lagi. Si abang hari-hari asyik tanya, ‘Tak ada nasi minyak ke ibu?’. Sejak saya buat nasi minyak hari Selasa lalu, hidangan itu sajalah yang dapat buka selera dia. Sampai ke sahur dia belasah makan nasi minyak….emmm suka benar le tu.

p/s: ada satu perkara hari ini yang telah membuat saya merasa terlalu sedih. sedih sebagai seorang saudara muslim, kerana ia seharusnya tidak jadi begitu. pun saya bukan lah umat yang terbaik namun, perkara asas ini sepatutnya kita sebagai umatNya harus menguasai dan jika kita masih lemah, seharusnya kita usaha untuk pelajari dan baiki. Ya Allah Ya Tuhanku....ampunilah daku atas keberasaan ini. Aku amat sedih hingga hampir menitiskan airmata. Aku pohon padaMu agar bukakanlah pintu hati kami, terangkanlah jiwa kami agar kami terus membaca dan menghayati kalamMu.

Monday, August 24, 2009

:: Ramadhan penuh nikmat, Rindu Mak terubat ::

Sahur pertama Ramadhan tahun ini kami di Sungai Petani. Sengaja kami rancangkan sebab tak mahu mak sambut Ramadhan ni dengan rasa kesunyian dan keseorangan. Waktu sampai tu wajah mak memang lain, ada rasa bahagia pada wajah itu, mungkin rindu terubat dengan kehadiran anak-anak dan cucu-cucu. Walaupun hidangan sahur yang sederhana, tapi berkumpul bersama itulah yang paling bermakna dan kami makan dengan berselera.

Tengahari Sabtu, kami pergi Tanjung Dawai nak cari bekalan ikan masin, ikan bilis segala bagai. Kalau balik SP memang tak sah le kalau tak berkunjung ke Tanjung Dawai. Stok bekalan kering yang wajib mesti ada kat rumah, tambah-tambah di bulan puasa ni kan. Hujan yang turun sepanjang pagi bukanlah penghalang. Beli jangan tak beli, hanya gambar mampu bercerita. Sebelum tu, mak dah siap-siap masak untuk iftar pertama ini. Menu hari pertama ni, sayur keladi masak asam pedas, pejeri nenas dan ikan cencaru belah belakang…aduh terliur sangat…seperti biasa saya hanya membantu sahaja. Untuk kuih pula, bancuhan tepung cucur jagung juga dah siap bancuh, tinggal nak menggoreng saja petang nanti. Air tangan mak memang tak boleh lawan kannn…maklah chef paling best di dunia. Cuma, en. hubby dan anak-anak agak terkilan sebab belum dapat menikmati bubur lambuk. Ke pasar ramadhan dekat rumah, tapi tak ada pula yang jual bubur lambuk. Sebenarnya bubur lambuk ni dah jadi kemestian en. hubby dan anak-anak sepanjang Ramadhan. Saya hanya mampu memujuk sajalah…esok-esok boleh cari lagi.

Si abang berjaya berpuasa satu hari ini, walaupun adakalanya dia merengek-rengek, lapar. Tok, paklong, maksu, abah dan ibu berusaha memujuk dan bagi semangat supaya dia berjaya sampai habis. Malamnya kami bertarawikh di masjid. Si adik pun ok saja menunggu di tepi saf sehingga kami selesai solat. Si abang pula bersama-sama en. hubby di saf lelaki. Ada rasa yang tak mampu saya ucapkan sebab setelah sekian lama sejak melahirkan, akhirnya saya dapat kembali berjemaah solat sunat tarawikh bersama-sama di masjid. Inilah sebenarnya saat-saat yang saya rindukan setiap kali Ramadhan menjengah. Saya juga berusaha untuk khatam Quran tahun ini seperti tahun-tahun sudah… insyaallahhhh.

Hari Ahad kami dah balik, tak dapat nak berlama-lama di SP sebab en. hubby dah mula kelas pertama hari Isnin. Pagi sebelum bertolak, mak dah siap buat roti jala dan ayam goreng kicap untuk bekalan kami berbuka. Kami bertolak lepas Zuhur dan singgah rumah makcik di Seberang Prai, ambil sepupu yang ikut balik. Bertolak dari rumah makcik dah jam 4 petang, terpaksalah kami berbuka di jalan. Hari kedua Ramadhan kami berbuka di R&R Tapah. Si abang bocor puasa hari ni sebab tak bangun sahur. Sabar ajelah…


Friday, August 21, 2009

:: Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan ::



Selamat tinggal duhai Sya’ban …
Selamat datang yaaa Ramadhan…
Kami menyambutmu dengan rasa kesyukuran
Setelah setahun lalu kami kau tinggalkan…

Madrasah Ramadhan…
Mungkin titik permulaan
Buat kami memperkukuh keimanan
Kecintaan kami buatMu Rabbul Jalil

Moga kami dapat
Hiaskan malammu dengan Tahadjud dan Tarawih
Basahkan lidah kami dengan zikrullah
Bersihkan tangan-tangan kami dengan sedekah
Sucikan hati dan jiwa dengan dendangan kitabMu Ya Allah…

Ramadhan ini…
Harapan kami
Tetap teguh pada peganganMu
Insyaallahhhh

Tuesday, August 18, 2009

:: Minggu Yang Tak Sihat ::


Sepanjang minggu lepas saya melalui hari-hari yang sangat mengujikan. Saya diserang ulser di merata tempat di dalam mulut. Sebenarnya ulser ini adalah satu perkara biasa bagi saya kerana selang 2 bulan sekali pasti terkena. Namun, kali ini sangat luar biasa sakitnya sebab kena di banyak tempat. Ia menyukarkan saya untuk makan, minum, bercakap, berkumur, menelan…hampir kesemua nikmat itu terasa diambil Tuhan dari saya. Disebabkan itu juga, saya rasa tidak sedap badan, demam bagai. Risau juga sebab wabak yang satu itu pun sedang mengganas. Dek kerana ulser tu juga, semua mood saya hilang entah kemana. Hilang mood untuk bekerja, membaca…malah nak buat apa-apa pun rasa malas saja.

Syukur alhamdulillahhhhh, selepas tujuh hari ia sudah semakin sembuh. Dan segala nikmat itu Tuhan pinjamkan semula kepada saya. Jika difikirkan balik, saya pasti ada hikmahnya. Mungkin selama ini saya terlampau leka dengan nikmatNya, maka Tuhan mahu saya kembali mengingatiNya. Mungkin Dia mahu saya menjaga lidah saya agar hanya membicarakan perkara yang baik-baik saja, tidak bercakap yang sia-sia. Saya pasti Tuhan sedang menguji saya, agar saya sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaanNya, mensyukuri segala pemberianNya. Saya hanya insan biasa yang sering terleka, kadang-kadang tergelincir, adakalanya menjadi pelupa. Moga Tuhan masih menyayangi saya dan sebab itulah Dia turunkan ujian ini agar saya bisa bangun dari kelekaan itu.

Sedikit info tentang ulser (dipetik dari Malaysian Dental Association.http://www.mda.org.my/)

Ulser Mulut

oleh Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir ( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Pernahkah anda merasa perit dan sakit di bahagian dalam pipi atau di bawah bibir? Apabila anda memeriksa dengan menggunakan cermin muka, anda akan melihat satu tompokan putih. Ibu akan menasihatkan supaya anda meletakkan secubit garam pada bahagian itu supaya ia cepat sembuh. Tompokan putih itu ialah sejenis kudis yang terdapat di dalam bahagian lembut mulut kita. Tompokan itu dinamakan ulser mulut. Selain bahagian pipi, lidah juga mudah mendapat ulser. Rasa sakitnya menyebabkan anda hilang selera untuk mengambil makanan atau minuman panas. Malahan sukar untuk bertutur. Ulser mulut sebenarnya merupakan tindak balas terhadap jangkitan bakteria, virus atau fungus. Ulser boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal umur. selain jangkitan bakteria atau fungus, ulser juga boleh disebabkan kerana kecedaraan fizikal seperti tergigit bibir atau lidah, terkena dawai alat ortodontik dan sebagainya. Ulser juga boleh timbul kerana kekurangan zat makanan, tekanan, kurang rehat atau tidur dan keadaan mulut yang kotor. Rawatan tertentu seperti rawatan sinar X atau ubat kimia khas (kemotherapi) terutama kepada penyakit kanser boleh menyebabkan terjadinya ulser mulut. Ulser mulut yang tidak serius kurang merasa sakit dan akan sembuh dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas mendapat rawatan. Ulser boleh dirawat dengan meletakkan garam ke atas tompokan putih tadi. Awas! cara ini amat menyakitkan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan rawatan dengan sejenis krim atau gel yang terdapat di kedai farmasi.
Rasa sakit kerana ulser boleh juga diredakan berkumur-kumur dengan air garam suam atau ubt kumur antibakteria. Tetapi cara yang paling baik ialah dengan mengamalkan petua berikut:
a. Banyak minum air suam.
b. Berehat dan tidur dengan cukup.
c. Amalkan tabiat menjaga agar mulut dan gigi berada pada tahap kesihatan yang baik.
d. Mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pastikan anda mengambil cukup vitamin B12
dan vitamin c.
Jika ulser mulut anda tidak sembuh malah semakin merebak, anda mesti segera berjumpa dengan doktor gigi. Ulser mulut yang lambat sembuh mungkin tanda awal barah mulut.

Monday, August 10, 2009

:: 2 Hari Di Hari Minggu ::

Syukur alhamdulillah en. hubby sudah selesai mendaftar pada hari Sabtu. Saya dan anak-anak menjadi pengikut setia sebagai peneman menandakan sokongan…ecewah. Ramai juga mendaftar hari tu, ada yang ditemani isteri, ditemani suami dan anak-anak, yang sendirian pun ada. Ada juga yang muda, yang pertengahan usia mahupun dihujung senja. Semua berkobar untuk menuntut ilmu, berjuang kembali sebagai pelajar. Selepas ini pastinya akan berlaku perubahan dalam jadual harian kami sekeluarga sebab en. hubby akan mengikuti kelas pada setiap hari kecuali hujung minggu Sabtu dan Ahad. Kelasnya akan berlangsung lewat petang hingga malam. Nampaknya, saya dan anak-anak harus berkorban masa dan juga tenaga untuk kejayaan en. hubby. Pun saya sudah tetapkan di minda dan hati saya bahawa pengorbanan ini juga adalah demi masa depan kami sekeluarga. Semoga apa yang kami rancang dan usahakan akan dipermudahkan… insyaallah…


Hari Ahad, kami pergi kenduri kahwin anak sepupu sebelah mak. Mak dan makngah dah datang hari Sabtu dan tinggal di rumah adik di Sentul. Singgah Sentul dulu kemudian baru gerak ke rumah kenduri bersama-sama. Cuaca sangat panas dan terik hari ni. Dari rumah kenduri lebih kurang jam 2.30 petang terus balik semula rumah adik di Sentul. Petangnya adik ajak ke Bazar Tilawah Al-Quran di PWTC. Sesuatu yang menarik di sini ialah booth Permata Hijrah Enterprise. Booth ini menyediakan rawatan mata percuma dengan toner mata yang dihasilkan dari formula air zam-zam, air suling yang bermutu tinggi, mutiara dalam laut, herba & karangan laut. Mak, makngah, dikyah dan si abang turut mencuba rawatan ini. Toner mata tersebut sesuai digunakan oleh semua peringkat umur. Pelbagai produk untuk pelbagai kegunaan lain turut dikeluarkan oleh syarikat yang beribu pejabat di Pengkalan Kubor, Kelantan ini. Rawatan untuk resedung pun ada. Keterangan lanjut boleh berkunjung ke sini. En. hubby membeli satu toner mata khusus untuk permulaan rabun. Si abang baru-baru ni merungut sebab katanya dia tak dapat nak baca tulisan kecil di papan hitam sekolah. Dia cakap juga, cikgu yang mengajarnya tu suruh ibu dan abah bawa dia pergi ‘check’ mata. Ada kemungkinan dia rabun jauh. Jadi, kebetulan kami dapat tahu pasal Permata Hijrah ni, saya dan en. hubby fikir apa salahnya kita mencuba kan. Kami akan bawa juga dia ke klinik untuk ‘check’ mata dia tu. Kalau sesiapa berminat boleh berkunjung ke Bazar ini sepanjang Tilawah Al-Quran berlangsung.

Thursday, August 06, 2009

:: 15 Sya'ban 1430 ::

Syukur alhamdulillah hari ini kita dah sampai di pertengahan bulan Sya'ban, bulan penuh ibadah. Aura Ramadhan sudah semakin terasa. Saya percaya ramai yang mengambil keberkatan sempena bulan mulia ini dengan berpuasa sunat. Sambil mencari pahala tambahan, ia juga sebagai satu latihan untuk menghadapi Ramadhan.
Sejak petang semalam, hati saya berbunga gembira kerana apa yang dihajatkan termakbul. Moga langkah pertama ini akan menjadi pembuka untuk langkah seterusnya dalam mencari keredhaan Ilahi. Moga dia istiqomah di dalam setiap tindakannya...insyaalahhhh...
Ya Allah Ya Tuhan Kami, Kau tetapkanlah hati kami untuk sentiasa mengingatiMu. Kau teguhkanlah iman kami dalam mentaatiMu. Jadikanlah kami dan anak-anak kami umat yang sentiasa di dalam redhaMu. Ya Rabb, hanya Kau yang kami harapkan untuk meluruskan hati dan jiwa kami ke arah jalanMu. Kerana kami hanya hambaMu yang lemah dan lalai.

Sunday, August 02, 2009

:: 3 dalam 1 ::

~ 31 Julai 2009 ~
Hari ini Izzuddin genap usianya 7 tahun. Apa yang saya harapkan darinya...moga dia akan membesar dengan sempurna menjadi orang yang berjaya di dunia mahupun di akhirat... insyaallah.




~ 1 Ogos 2009 - Housekeeping Day dan Pesta Makanan Terengganu~

Sepanjang hari, bermula awal pagi saya dan en. hubby mengemas rumah sampai ke petang. Rasa puas dan lega kerana akhirnya dapat juga melunaskan hajat yang dah beberapa kali hari minggu asyik tertangguh dek aktiviti lain. Semak juga mata bila lihat sawang dah makin bertambah di kebanyakan sudut rumah, habuk tak usah cakaple, bunga hiasan pun dah mula tukar warna. Walaupun pada awalnya, ingat nak upah saja orang untuk mencuci dan mengemas rumah, tapi setelah ditimbang tara segala bagai, sebaiknya kami sendirilah yang melakukannya... ini rumah kita, biarlah kita yang menjaganya bersama.



Malamnya...en. hubby ajak pergi Stadium Nasional Bukit Jalil, ada Pesta Makanan Negeri Terengganu. Pesta tersebut mula jam 6 petang dan berakhir jam 11 malam. Kami kesana lepas Maghrib dan seperti yang dijangka, perkarangan stadium telah sesak dengan pengunjung. Maklumlekan...makanan yang disediakan adalah percuma selagi stok masih ada hehehe. Ini merupakan pengalaman pertama kami ke acara sebegini, sebab kami ni jenis yang tak berapa gemar nak berebut-rebut kan...inipun saja seronok nak tengok suasana. Lagipun dengan keadaan dunia yang dilanda H1N1 tentulah acara-acara terbuka macam ini bakal mengundang risiko. Itupun terpulanglah kepada diri masing-masing, pandai-pandailah menjaga diri terutamanya anak-anak kecil. Memang banyak gerai-gerai atau khemah-khemah dari pelbagai daerah negeri Terengganu yang mengambil bahagian dengan menyediakan pelbagai juadah tradisional Terengganu. Malas nak berebut, kami hanya mengunjungi satu khemah saja dan dapatle merasa laksa(kuah putih), nasi impit+serunding ikan+kuah kacang dan juga lemang serta rendang. Kemudian pandai-pandaile kami cari port untuk makan. Makanan memang sedap dan lazat. Cuma itulah kannn...tak sanggup nak beratur, berebut bagai... Sambil makan-makan, dihiburkan pula dengan nyanyian dari penyanyi yang berasal dari Terengganu antaranya Saleem(Iklim) dan Anis Soraya. Lepas makan, kami berkunjung pulak ke khemah buah-buahan, rambutan ada, dokong ada, durian pun ada... kalau sanggup bolehle makan sampai puas. Satu perkara yang tak berapa sedap mata saya memandang dan saya kira semacam dah jadi satu budaya masyarakat kita, kalau benda percuma ni, kalau boleh nak angkut bawa balik satu lori. Dah le berebut macam tak pernah dapat semua tu, siap bawa plastik pula nak bungkus bawa balik. Kalau setakat sebungkus dua tu mungkin tak kisah le kot, mungkin nak jamu sedara-mara ke, jiran-jiran ke, rakan taulan yang tak boleh nak datang kannn. Ini ada juga yang ambil guni, plastik sampah(warna hitam tu), lepas satu...satu diorang masukkan buah-buah sampai penuh guni. Gayanya dah macam nak bawa balik berniaga le pula. Kalau nak diikutkan setakat mana sangat le kita ni nak makan kan... tapi tulah kan dah namanya percuma kot... angkut selagi terdaya walaupun dah tahu buah-buahan ni bukannya tahan lama sampai berhari-hari...alih-alih buah dah busuk haaa ke tong sampah juga le tempatnya.

Saleem Iklim tengah nyanyi lagu apa ntah

Kami balik dalam pukul 10, sebelum sampai rumah singgah Mamak Baraketh pekena Chicken Chop dengan Nescafe Ais. Oooppsss...en.hubby sempat juga sambar dua biji buah durian bawa balik hahaha...kecik comei je buahnya. Tapi kecik bukan sebarang kecik, buahnya teramatle moleknya. Merasale anak-beranak...

~ 2 Ogos 2009 - Kesilapan yang kecil beri impak besar ~

Hari ni en. hubby pergi ofis dan saya pun kena standby. Awal-awal lagi dah dapat panggilan telefon dari user, ada masalah katanya. Saya cuba selesaikan malangnya, masih tidak berjaya. Saya cuba sampai ke tengahari, masih gagal selesaikan masalah. Risau juga sebab ini melibatkan orang awam...cuba hubungi rakan pejabat untuk minta bantuan, tapi dia pula berada di luar kawasan dan hanya akan balik jam 2 petang huhu... apa saya nak jawab dengan user ni.... nampaknya macam kena reschedule. User telefon, cakap calon dah tak boleh tunggu sebab lama sangat, terpaksa reschedule ke tarikh lain walaupun hakikatnya reschedule itu akan membawa sedikit kerugian dan soal jawab bagi pihak user kepada pihak atasannya. Lepas jam 2 petang, rakan pejabat saya telefon dan masalah diselesaikan dengan sedikit saja pembetulan. Rupanya saya telah terpadam satu baris penting dalam fail tersebut...kiranya macam ni la, saya tambah satu baris tapi terpadam pula satu baris yang sedia ada. Ohhh betapa lalainya saya...rasa kesal pun ada, tapi apa boleh buat benda dah terjadi. Satu pengajaran buat saya...