Sunday, February 27, 2011

:: Sarapan ::

Semalam tengok iklan Breakfast@McD di tv... terus teringin hendak bersarapan di sana. Kebiasaannya saya kurang gemar dengan set sarapan McD ini. Tetapi semalam entah kenapa macam teringin sangat, nampak sedap saja.

Maka, pagi ini terus ajak anak-anak... kita ke McD. Saya ambil set ini ;


Yang sebenarnya memang saya kurang gemar, hanya layan tekak teringin ini sahaja. Kenginan pun sudah dipenuhi. Cukuplah... alhamdulillahhh...

Saturday, February 26, 2011

:: Projek 2011 ::

Projek pertama untuk tahun 2011 ini nampaknya akan mula berjalan... insyaallah. Perbincangan awal dengan jiran sebelah rumah telahpun berlangsung tadi. Jadi lepas ini pelan akan dibuat untuk dapatkan approval dari pihak majlis. Jiran sebelah sudi untuk tolong minta rakannya buatkan pelan kemudian terus submit ke majlis.

Harap-harap semuanya berjalan lancar mengikut bajet yang saya peruntukkan.

:: Alah membeli, menang memakai ::

Sebelum ini saya pernah berhajat kalau dapat duit claim pergi Sarawak hendak beli handbag. Kononnya hendak beli yang kaw-kaw sikitlah kan. Kira nampaklah duit tu kemana halanya.

Maka, oleh kerana duit claim sudah masuk, hari ini bawalah anak-anak untuk meneruskan misi. Hari ini kami pergi Alamanda. Pusing punya pusing, keluar masuk kedai/supermarket... akhirnya tidak ada satu pun yang berkenan di hati. Atau mungkin tidak bernafsu untuk membeli handbag kali ini. Pegang yang itu letak, pegang yang ini letak kemudian terus sahaja berjalan keluar....hihihi.. Sampaikan termasuk butik Bonia... sahaja jalan-jalan cuci mata... lagilah tidak ada yang berkenan (lebih kepada buat-buat tidak berkenan bila mengenangkan harganya... huhuhu). Misi mencari handbag telah gagal. Masih selamat duit dalam dompet. Tunggulah nanti masa sale di SOGO ke kannn...maksu jom!

Disebabkan anak-anak sudi menemani saya hari ini, mari hiburkan hati mereka sikit ye...

Yang dah besar ni pun nak naik juga

Gambar di bawah ini diambil di rumah. Anak tudung yang saya pakai tu baru sahaja beli di Alamanda tadi. Ada awning sikit, kain pun sedap sahaja dipakai. Sampai rumah, cuba-cuba pakai dengan selendang yang en.hubby beli tu. Nampak macam ok, dah cuba gerak-gerakkan muka sana sini, selendang tu tetap tak lari... jadi lepas ni boleh pakai selendang... hihihi...

Sibuk je budak 2 orang ini tau... tersengih-sengih pula tu...siap kembang-kembangkan hidung...

p/s : abah tak ada, kami berjimba hahaha...

Friday, February 25, 2011

:: Ubah selera ::

Sesekali meneroka luar dari kebiasaan apa salahnya kan. Hidup ini sebenarnya penuh warna warni. Warna-warni cerita menambahkan lagi rencah dalam kehidupan.

:: Sekuntum mawar merah ::

Petang semalam, adik tiba-tiba berlari masuk ke dalam rumah meluru mendapatkan saya. Ada sesuatu di tangannya yang ingin ditunjukkan. "Ibu, tengok ni... bunga ros". "Eh! adik ambik kat mana ni, kat rumah orang ke?", saya sedikit terkejut. "Taklah kat luar lah, pokok ibu". "Hah! pokok ibu? ala... ada berapa? Kenapa adik petik... kesianlah bunga ni".

Kemudian, saya pun keluar ke laman rumah. Baru rasa hendak menjenguk pokok-pokok bunga yang tidak banyak manapun itu. Betullah hanya sekuntum, dah pula dipetik si adik. Sayangnya... Saya memang langsung tidak perasan. Nampak sangat dah lama terbiar pokok-pokok bunga saya itu. Mujurlah tidak merajuk, masih juga sudi mengeluarkan bunga.

:: Melentur buluh... ::

Saya fikir anak-anak zaman ini cukup mewah. Mungkin ada segelintir yang tidak dan masih hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun saya percaya majoriti anak-anak zaman ini sangat beruntung. Apa sahaja yang dimahu seboleh-bolehnya akan dituruti. Apa sahaja kehendak seboleh-bolehnya akan dipenuhi.

Sangat berbeza dengan kehidupan saya dahulu. Segala keinginan, kemahuan seboleh mungkin dipendam. Tidak ada keberanian untuk meminta apalagi mengamuk tidak tentu pasal. Mencari penyakit namanya itu. Tapi lain betul dengan anak-anak sekarang ini kan. Seboleh mungkin segala keperluan, kehendak mahupun keinginan akan ibu dan abah usahakan. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak kan. Namun, bila difikirkan semula... salahkah cara didikan, cara asuhan?

Kadang-kadang jadi serba-salah dibuatnya. Begitu besar tanggungjawab kita. Sikap anak-anak adalah cerminan sikap ibu bapa... bukan begitu? Semuanya bermula dari ibu bapa. Bagaimana anak-anak dicorakkan, dididik, semuanya datang dari ibu bapa. Jadi hendak salahkan anak-anak pun tak boleh juga ye...

Sebagai ibu bapa kita mengharapkan yang terbaik diberi, yang terbaik juga akan kita peroleh. Namun adakala ia terjadi sebaliknya. Iyelah, kita hanya merancang namun yang menentukan adalah Dia. Sebagai manusia, tidak banyak, sedikit terpalit jua rasa kecewa. Risau pun ia juga.

Ini sekadar luahan hati seorang ibu yang sedikit kecewa sebab sudah 2 kali anak sulungnya tertinggal baju sekolah di sekolah. Bermakna sudah kehilangan 2 pasang baju sekolah. Bila disuruh cari semula keesokkanya harinya, langsung tidak berjumpa. Sangat mudah fikiran mereka. Agaknya sebab kebiasaannya apa sahaja kehendak mereka dipenuhi, langsung mereka jadi tidak pandai menghargai.

Ya Tuhan... sabarkanlah hati...

Wednesday, February 23, 2011

:: Kau Milikku... ::

Semalam adalah hari yang gembira dan lega buat saya kerana setelah hampir 2 tahun lebih akhirnya mahligai itu menjadi milik saya. Menjadi hak milik biarpun hutang masih belum selesai hehehe... tapi syukur alhamdulillahhh segala urusan tukar nama telah selesai dengan usaha tuan lawyer, en. H. Terima kasih banyak-banyak.

Semalam juga adalah hari gembira kerana telah menerima hadiah dari en.hubby. Hadiah yang diberi lebih awal sebelum waktunya. Rasa-rasanya inilah hadiah paling mahal pernah diterima sepanjang hidup saya. Walaupun hadiah ini sebenarnya merangkumi untuk dua peristiwa sekaligus... terima kasih tidak terhingga untuk en.hubby. Tidak termimpi untuk memilikinya namun adalah sikit dok berangan-angan. Tapi saya dah cakap awal-awal, saya tak mampu nak beri hadiah semahal itu untuk dia pula hihihi....

Syukur tidak terhingga di atas segala nikmat kurniaannya... alhamdulillahhhh

Tuesday, February 22, 2011

:: Menghangatkan cinta... ::

Meskipun kau tidak meluahkan bukan bermakna kau tak cinta kan? Meski kau tidak berkata-kata, bukan bermakna kau tak sayang kan? Orang kata kadang-kadang cinta sejati tidak perlukan kata-kata waima madah pujangga. Cukuplah sekadar yang di sini tahu... yang di sana merasa. Yang di sini menghulur... yang di sana menerima. Lalu bersatu tanpa kata. Rasa cinta yang kau hantar melalui lagu ini... aku turut sama merasa...terima kasih

Baik Baik Sayang

Aku tak ingin kau menangis bersedih
Sudahi air mata darimu
Yang aku ingin erti hadir diriku
Kan menghapus dukamu sayang

Kerna bagiku kau kehormatanku
Dengarkan dengakan aku

Hanya satu pintaku untukmu dan hidupku
Baik baik sayang ada aku untukmu
Hanya satu pintaku disiang dan malammu
Baik baik sayang kerna aku untukmu

Semua keinginan akan aku lakukan
Sekuat semampuku sayang
Kerna bagiku kau kehormatanku
Dengarkan dengakan aku

- Wali Band -

Monday, February 21, 2011

:: Berkawan biar beribu... ::

2 malam berturu-turut, Jumaat malam dan Sabtu malam kami memenuhi jemputan majlis harijadi. Jumaat malam tu majlis di rumah Kak Marini sempena harijadi anaknya Irfan dan juga Kak Marini sendiri. Irfan genap 8 tahun manakala uminya mula melangkah ke angka 40 opssss...tapi nampak mudakan hehehe...
Inilah tuan tanah dan anaknya... selamat hari jadi. Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki insyaallahhh....

Kita biarkan anak-anak dengan kumpulannya, dan mak-mak pun bersama kumpulan gosipnya hahaha... Yang penting kita tak gosip pasal orang, kita gosip-gosip pasal diri sendiri sahaja hehehe... Punya rancak berborak, pukul 11 lebih baru masing-masing ingat nak balik rumah.

Jamuan malam tu memang best... ada laksa penang, pulut kuning, kuih-muih.... semua ada. Buah mangga dan nenas cicah colek pun ada. Perghhhh...pantang nampak pasti tidak menolak.

Majlis pada Sabtu malam pula di rumah Kak Nani sempena harijadi Farah yang ke 12. Kali ini Kak Nani jamu tetamu dengan spagetti, daging kambing panggang, juga ada kuih-muih. Seronokkan sesekali kumpul ramai-ramai macam ni. Boleh gosip-gosip lagi hahaha....

Ini birthday girl. Baru 12 tahun tapi dah tinggi melayut.

Biasalah kalau jamuan harijadi, mesti kanak-kanak yang paling ramai dan mengecohkan suasana.
Lagi-lagi kalau ada game... bertambah-tambahlah kekecohannya.

Group photo mak-mak wajib kena ada ye... Anak-anak di luar, mak-mak semua berborak di dalam. Sejuk sikit ada penghawa dingin hihihi...

p/s: gambar semua ihsan dari fb kak Marini. terima kasih...

Sunday, February 20, 2011

:: Aku, Februari dan Buku ::

Hari itu asyik cerita perihal beli buku sahaja kan, bila hendak dibaca pun tak tahulah. Tapi tidak mengapalah, saya baca satu-satu ikut kelapangan masa. Sekarang ini memang susah mencari ruang untuk mengulit dengan buku. Sibuk kononnya... dulu pun sama juga sibuknya tapi boleh dan sanggup lagi menahan mata untuk membaca. Sekarang ini.... tak tahulah kannn.

Lepas Interlok, terkini yang sedang saya ulit...

Masih ingat novel ini saya beli di R&R Gambang sewaktu dalam perjalanan pulang ke Puchong dari rumah ibu mertua di KT. Masa tu saya berdua sahaja dengan si adik. Kami balik naik bas ekspres. Alahhh masa si abang berkhatan tu lahhh...

Saya memang pantang nampak orang jual buku, mesti hendak singgah dan mesti beli walaupun hanya sebuah hehehe....


Saturday, February 19, 2011

:: Bertiga lagi di hujung minggu ::

En. hubby outstation ke Perlis. Tinggal bertiga lagi nampak gayanya ye hujung minggu ini. Menambahkan lagi kebosanan kami... en.hubby bawa kereta. Huhuhu... patah kaki le kami bertiga tak dapat hendak kemana-mana. Maka hujung minggu adalah untuk bersantai-santai sahaja di rumah. Yang penting bekalan makanan adalah cukup untuk 2 hari ini ye hihihih...

Jom jenguk sikit sarapan apa kami pagi ini.... jeng jeng jeng...

Semua ini adalah kegemaran anak-anak. Untuk hidangan tengahari ini masih belum fikir apa-apa lagi. Tetapi malam nanti ibu tak perlu masak sebab ada jemputan majlis harijadi. Yey!!! Kena berjalan kakilah ni nanti malam...

Thursday, February 17, 2011

:: Sukanya dia... ::

Sudah dua petang berturut-turut saya sediakan sup ayam dan cendawan Campbells. Suka benar abang dan abah makan. Lagi-lagi kalau cicah roti dengan sup.

Nampaknya lepas ini harus simpan stok lebih sikitlah. Agak-agak rasa tak mahu makan nasi bolehlah ibu sediakan sup ini sahaja kannn. Senang kerja ibu hik hik hik...

:: Sarawak - Destinasi akhir kami... Sibu

Sabtu, 29 Jan 2011. Pagi Sabtu tu kami bangun tidur seawal jam 4.30 pagi. Penerbangan ke Sibu dijadualkan jam 7.15 pagi maka harus bersiap awallah kan, nak check out hotel lagi, perjalanan ke airport lagi yang mengambil masa 30 minit lebih. Kononnya takutlah kalau-kalau terlambat ke apa ke. Rasanya kami bertolak dari hotel ke airport dalam jam 5.30 macam tu. Tambang teksi pun berganda lah jadinya... rm50...phewww...

Sampai airport, jam belum pun mencecah 6 pagi. Airport Bintulu pun masih bergelap. Kami antara yang awallah kiranya hihihi... adapun en. pengawal keselamatan sajalah hehehe.... Solat Subuh pun di Surau airport. Kemudian.... aktivitinya pun menunggu kaunter check-in dibuka lah jawabnya. Hampir jam 6.30 pagi baru kaunter buka... sabar jelah. Kalau tahu, tak adalah hendak susah-susah bangun awal huhuhu...


Ini adalah penerbangan kedua kami bersama MASWings. Berdebar-debar sahaja hati saat menjejak kaki dalam pesawat. Dalam hati tidak putus-putus berdoa mohon dilindungi olehNya. Syukur alhamdulillah... kami selamat sampai Sibu dengan penerbangan yang aman damai hihihi... dapatlah sekotak air milo dalam penerbangan.


Gambaran awal yang kami terima tentang Sibu agak menyedihkan sebenarnya. Ramai yang bagitahu, bahawa tidak ada apa-apa yang menarik di Sibu. Hati semakin berbolak-balik mengenangkan kami akan berada di Sibu selama 2 hari lebih. Apalah yang nak dibuat, hendak kemana nanti? Macam-macam fikir. Ada rasa menyesal juga sebab letakkan Sibu sebagai tempat terakhir kembara kerja kami. Kalau berakhir di Kuching kan lagi best hahaha... iyelah lagi best menghabiskan duit kannn.... Walau apa pun kami teruskan jua kembara kerja di destinasi terakhir ini. Kerja-kerja di 2 buah pusat ujian selesai dalam masa satu hari. Huhuhuhu.... lagi sedih rasanya sebab ada satu hari suntuk lagi untuk diharungi di Sibu.


Kerja selesai lewat petang kemudian terus cari hotel di bandar Sibu. Mujurlah ada penyelia pusat ujian yang sudi membawa kami ke hotel. Di Sibu kami menginap di hotel RH betul-betul di tengah bandar Sibu. Kira oklah hotelnya dengan kadar rm160++ termasuk sarapan pagi.



Pandangan dari bilik hotel. Pada awalnya tertanya-tanya juga sungai apalah tu agaknya ye. Sesekali kedengaran bunyi bot penumpang. Sesekali terlihat juga kapal-kapal bawa kayu balak. Rupa-rupanya sungai yang kami dok intai dari jauh tu adalah Sungai Rejang... sungai terpanjang dan terbesar di Malaysia. Itupun kami diberitahu oleh pemandu teksi yang membawa kami ke sebuah pusat membeli-belah pada hari kedua di Sibu.




Sebab teruja sangat hendak melihat Sungai Rejang dari dekat, petang Ahad tu kami pun jalan-jalanlah kesana. Cukuplah untuk menghiburkan hati kami yang berduka lara melayan kebosanan hahahaha....

Sambil-sambil tu berposing sana sikit, sini sikit...

Eh! ada jumpa muzium lahhh... Muzium Memorial Hopital Law King Howe. Tak masuk pun, yang sebenarnya tak tahu buka ke tidak hihihi...

Ini rasanya di padang awam Sibu.

Sama juga... padang awam. Nampak tak kami yang gembira itu hahaha....lalalala...

Dah... itu sajalah program jalan-jalan buang masa di Sibu. Lepas itu, balik hotel terus mandi kolam. Hati sudah tidak sabar untuk pulang.

Waktu ini kan dah hampir dengan perayaan CNY, maka di kebanyakan pusat-pusat membeli-belah ramailah kaum-kaum Cina membeli-belah untuk persiapan menyambut tahun baru. Kalau tidak silap saya, di sani kaum majoritinya kaum Iban dan Cina kan. Di Sibu ni, yang beragama Islam pun ramainya dari suku kaum Melanau.

Walau apapun perasaannya.... saya sangat menghargai kembara ini kerana inilah peluang untuk saya mengutip pengalaman dan ilmu pengetahuan di tempat orang. Kalau tidak kerana kerja, mungkin saya tidak akan sampai di sini mahupun Miri, Bintulu dan sebagainya. Pengalaman yang cukup berharga bila dapat mengenali amalan, budaya, mahupun cara hidup kaum lain kannn. Walaupun masa yang ada sangat singkat untuk menyingkap dan belajar kesemuanya namun yang singkat itu sekurang-kurangnya sudah cukup untuk memberi saya seribu pengalaman. Teringat juga makanan yang pernah saya makan di Sarawak ini antaranya mee kolok, laksa Sarawak. Ada satu lagi makanan yang belum sempat saya rasa di negeri Sarawak ini... lelapan. Hmmm... insyaallah andai ada peluang lagi kesini pasti dicuba. Peluang begini memang tidak datang selalu, syukur alhamdulillahhh....

Wednesday, February 16, 2011

:: Sarawak - Cerita kami di Bintulu ::

Hari ini 28 Jan 2011, hari pertama di Bintulu. Bangun tidur seawal pagi, kemudian bersarapan di hotel. Alhamdulillah.... sarapan di sini juga sangat menyelerakan. Sebaik selepas sarapan kami terus ke tempat kerja yang pertama. Berpandukan alamat yang di bawa, kami merujuk kepada pekerja hotel untuk ke tempat tersebut. Rasa-rasanya tempat tersebut tidak berapa jauh dari hotel yang kami inap. Saya menjangkakan yang kami akan berjalan kaki untuk jarak yang boleh tahan juga, tapi kira oklah sebab tidak jauh sangat. Alih-alih pekerja hotel cakap, alamat yang kami tunjuk ni betul-betul bersebelahan sahaja dengan hotel. Hahaha....leganya rasa tak perlu berjalan jauh. Hanya mengambil masa kurang lima minit sahaja untuk sampai ke tempat yang dituju. Syukur...

Sebelum turun bersarapan, sempat lagi merakamkan kenangan di hadapan lif. Nampak tu, kami inap di Premier Floor... kelasss you hehehe. Perasan habisss (fulus dalam dompet pun makin kurang) hik hik hik...

Di pusat ujian pertama ni, keadaan agak lengang. Tidak ramai calon. Oklah, senang nak buat kerja.

Sambil buat kerja sambil berposing ye. Tidak ada tekanan, maka hati juga jadi senang hehehe... Kerja pun lancar sahaja... syukur alhamdulillahhh. Selesai kerja di sini, kami pulang ke hotel dulu untuk selesaikan urusan pindah bilik. Haruslah pindahkan... bajet ok.... bajet... Tengahari tu, selesai urusan di hotel terus gerak ke pusat ujian kedua di Bintulu. Tempat ini agak jauh sedikit dan kami harus menaiki teksilah untuk ke sana. Di sana juga kerja berjalan dengan lancar. Syukur sekali lagi... Tamatlah sudah kerja di Bintulu dan tiba masa untuk jalan-jalan. Jalan-jalan sebenarnya tidak kemana-mana pun. Saya bawa yana berkunjung ke pasar tamu Bintulu. Seingat saya sewaktu ke Bintulu beberapa tahun yang lepas, ke pasar tamu ini juga saya dibawa berkunjung. Untuk pengetahuan, belacan Bintulu agak terkenal juga dengan kesedapannya. Di pasar inilah kalau nak beli belacan sedap tu. Macam-macam saiz ada. Kunjungan kali ini, kami tidak membeli apa-apa pun. Saja jalan-jalan cuci mata.



Antara yang menarik di pasar ini. Ular sawa tu... berapa kilo nak? hahaha... geli...

Antara yang menarik juga... ulat apa entah namanya tu. Ada lagi haiwan eksotik yang lain yang dijual di sini. Ada kura-kura, tupai... macam-macam. Tapi dah tak tahan geli dan takut, langsung tak ambil gambar.


Sudah selesai pusing-pusing dalam pasar tamu, terus ambil teksi balik hotel. Petang tu kami makan pizza hut sahaja. Malamnya lepak agung sahaja dalam bilik. Kena tidur awal ni, sebab esoknya penerbangan ke Sibu seawal jam 7.15 pagi. Hati agak risau mengenangkan kami sekali lagi akan menggunakan penerbangan MASWings ke Sibu. Dengan pengalaman mendebarkan semalam dari Miri, buat hati kami masing-masing agak resah. Mohon moga penerbangan adalah lancar...


Monday, February 14, 2011

:: Mencontohi akhlak Rasulullah ::

Salam Maulidur Rasul. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Apa aktiviti malam ini? Ok, malam ini kami anak-beranak ke surau untuk memeriahkan program sempena Maulidur Rasul.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah kemudian diteruskan dengan ceramah sempena Maulid Nabi. Selepas ceramah, solat Isyak berjemaah, berselawat dan kemudian diakhiri dengan jamuan makan malam. Syukur alhamdulillah, ramai juga yang datang.

Saya nak petik sedikit intipati ceramah malam tadi buat ingatan dalam diri. Ceramah disampaikan oleh seorang pegawai dari JAWI, tidak ingat pula saya nama pegawai tadi, mohon maaf ye ustaz. Menariknya malam ini, penceramah tidak membawa kisah sejarah Nabi s.a.w tapi membawa pendengar mengkaji impak selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.

Apakah impak paling ketara kepada umat manusia selepas kelahiran baginda? Kelahiran baginda memberi rahmat kepada seluruh umat. Rasulullah membawa nilai-nilai akhlak dan sifat terpuji dalam kehidupan manusia. Nabi S.A.W diutuskan khusus untuk memperelokkan akhlak manusia.

Sifat terpuji dan akhlak Rasulullah S.A.W itu sendiri menjadi contoh dan ikutan oleh seluruh umat manusia. Itulah impaknya. Rasulullah membawa nilai-nilai murni dan akhlak yang terpuji untuk dicontohi oleh umatnya. Dan akhirnya manusia mendapat tempat terbaik di sisiNya. Rasullullah sangat sayangkan umatnya.

Kalau kita menyayangi Rasulullah, marilah bersama mencontohi akhlaknya. Menyemai sifat-sifat terpuji sebagai orang yang beriman. Moga kita sama-sama istiqamah... insyallahhh... Ada juga terselit rasa malu bila ustaz menceritakan bagaimana Nabi sebagai Rasul yang maksum masih taat beribadat kepadaNya sedangkan kita umat yang hina ini adakalanya terlalu leka dengan nikmat dunia... masyaallahhh.

:: Salah faham... salah dengar ::

Kisah semalam memang... apa ye? Tak tahu nak cakap macamana. Saya ingatkan en.hubby balik dari berpergian tu semalam, hari Ahad. Memang saya sangat yakin yang en. hubby beritahu akan balik hari Ahad. Maka saya pun sudah canang-canangkan pada anak-anak.

Kami menunggu hingga ke lewat petang, en.hubby masih belum muncul-muncul. Anak-anak mula sibuk bertanya. Saya pun jawab, malam agaknya abah sampai. Dalam hati tidak putus-putus berdoa semoga en.hubby selamat sampai. Dari petang membawa ke malam, yang ditunggu masih juga belum tiba. Hati sedikit risau. Jam hampir 10.30 malam, saya ajak anak-anak masuk tidur. Esoknya dah nak sekolahkan dan saya pun harus kerja. Dalam hati ini, hanya Dia yang tahu.

Saya cuba menelefon en.hubby namun hampa. Nampaknya en.hubby masih di luar kawasan liputan. Saya masuk tidur bersama anak, kemudian tersedar jam 2.30 pagi. Nampaknya tidak ada tanda-tanda yang en.hubby akan balik malam(atau pagi?) itu. Telefon saya juga tidak berbunyi langsung bermakna tiada panggilan dari sesiapa. Saya tetap berdoa moga en.hubby selamat, dijauhi dari segala kejadian yang tidak diingini. Namun dalam masa yang sama juga, jiwa sarat memikirkan yang bukan-bukan.

Selepas tersedar dari tidur jam 2 pagi itu, langsung saya tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi. Jam 5 pagi terus menggosok baju sekolah anak-anak, baju kerja saya dan langsung bersiap-siap sambil kejutkan anak-anak.

Saya mula terfikir, betulkah en.hubby cakap yang dia akan balik hari Ahad ataupun saya salah dengar. Entah-entah dia balik hari Isnin ataupun memang ikut jadual balik Ahad tetapi ada hal yang berlaku memaksa dia tangguhkan. Hmmm... macam-macam yang bermain dalam kepala saya saat itu. Debak-debuk sahaja jantung ini. Saya pujuk hati, bahawa tidak ada apa-apa berlaku... insyaallah en.hubby akan sampai juga dengan selamatnya.

Sampai pejabat, saya cuba telefon Fiza, minta dia tanyakan Remy... bila en.hubby dijadualkan balik. Hmmm... mendengar penjelasan Fiza, rupanya betullah en.hubby balik hari ini. Saya agaknya yang salah faham ke salah dengar ke... Apa-apa sajalah, janji en. hubbyku sampai rumah huhuhu...

Syukur alhamdulillah, en.hubby sampai lewat petang tadi. En. hubby kata ada 25 miss call dari saya sejak semalam. Hehehe... mahunya tak, risau sungguh masa tu. Walaupun saya tahu yang memang panggilan saya bakal tidak dijawab, tapi saya saja je nak dail juga hahaha...

Friday, February 11, 2011

:: Bila lagi? ::

Semalam, seorang sahabat bertanya khabar melalui fb. Langsung juga bertanya perkembangan penulisan saya. Hmmm... saya termenung, pegun seketika.

Apa yang harus saya jawab. Ya soal khabar...alhamdulillah. Namun saat memikirkan tentang kerja-kerja penulisan, buat saya tersedar.

Sebenarnya saya sudah mengorak langkah... tapi mungkin belum sesungguh hati ianya terus tertangguh hingga kini. Pertanyaan sahabat itu terus mengetuk minda. Kenapa tidak saya teruskan... bagaimana harus saya teruskan. Saya takut kehilangan ilham, kebuntuan fikiran. Takkan hendak dibiarkan sahaja ketakutan itu mengekang minda.

Daya upaya, semangat dan ilham masih belum mahu menjana nampaknya. Saya balas mesej sahabat, lalu berterus-terang sahaja lebih baik.

Masih bersoal-jawab dengan diri... bila lagi?

:: Amukan raksaksa ::

Petang tadi singgah ke pasar malam bersama abang dan adik. En.hubby tiada, berpergian bersama Mr. green selama 3 hari. Semuanya tenang dan terkawal pada awalnya. Kisah bermula bila abang mula buat perangai saat kereta di parkir. Dia tidur dalam kereta sepanjang perjalanan, jadi bila dikejutkan, maka hati sudah bengang sebab tengah sedap tidur.

Maka bermula dari situlah segalanya serba tidak kena. Tegur sikit salah, cakap sikit tak betul... asyik nak marah saja. Ibu masih sabar... malas nak layan sangat. Apa yang mereka nak makan semua ibu beli. Nak itu, nak ini semua ibu layankan saja. Pun masih juga serba tidak kena. Ibu beli bahan-bahan basah... ikan, udang, sotong, daging segala bagai. Semua untuk bekalan hujung minggu. Dalam sibuk membeli barang tu, mulut asyiklah terkumat-kamit menegur (ke membebel yang betulnya?) si abang dan adik. Saja je nak buat perangai tau!

Waktu nak balik, sekali lagi harus berjalan ke tempat parkir kereta tadi. Agak jauh juga sebab banyak sangat kereta. Waktu itu adik buat perangai sikit, konon tak larat lagi nak berjalan, jauh sangat. Siap tarik muka lagi tau! Kemudian abang pula berjalan ikut suka kejap ke tepi, kejap ke tengah jalan. Walhal kereta bukan mainla dok lalu lalang. Sekali lagi ibu dengan tangan yang penuh pegang barang ni, harus menggerakkan mulut terpekik suruh anak-anak berhati-hati sikit.... jalan tu ke tepi sikit... kereta tengah banyak ni tau! Tidak boleh ditegur, abang pula naik angin. Kemudian, waktu nak melintas jalan, ibu dah pesan suruh tengok kiri kanan sebelum melintas... boleh dia tengok kanan saja lepas tu terus melintas. Kebetulan sebelah kiri ada kereta, abang boleh tak perasan.... saya dah terjerit-jerit ni, mujurlah kereta tu tak laju pun. Terus abang sentap, keras kejung kat situ... dah tak nak melintas. Ya Allah... sangat menduga ibu betul. Masa ibu panggil abang suruh lintas jalan tu, ada sebuah kereta lalu siap berhenti suruh abang lintas dulu. Itupun boleh dia buat lambat-lambat saja melintas... haishhh sabar je lahhh.

Maka, bermula masuk kereta itulah amukan raksaksa pun berlaku huhuhu... Semua jadi diam dengar ibu mengamuk. Huh! geram sangat... Masing-masing senyap sebab ibu bagi amaran, sampai rumah nanti tidak ada sesiapapun yang dibenarkan main kat luar, malam nanti tak boleh tengok kartun di tv, tak boleh pasang CD selagi kerja sekolah semua tak siap. Pheww!!!

Masing-masing memang diam sampailah ke rumah. Masuk rumah, masing-masing buka beg, ambil buku, terus siapkan kerja sekolah hahaha... Tau takut, nanti macam-macam ibu tak bagi buat kannn.

Tapi kan... sudah namanya budak-budak, sekejap sajalah dia boleh duduk diam baik-baik mendengar kata macam tu. Tapi takpelah, sekurang-kurangnya semua kerja sekolah dah siap.

Amukan raksaksa pun sudah reda selepas bersiram air dalam bilik mandi tadi. Hati sudah sejuk.

Thursday, February 10, 2011

:: Wonder Mama ::

Ini gambar ihsan dari facebook teacher Jane (betul ke tak ejaan), masa kelas linedance di Cyberjaya, selasa malam yang lalu. Kami semua wonder mama la sebab malam tu kan belajar tarian lagu Wonder Girls keh keh keh... gedik.

Sebelum apa-apa, mestilah ambil gambar dulu kan. Memang macam jakun je tengok keliling ada cermin hahaha....sikit sikit snap gambar... sikit sikit snap gambar lagi hihihi. Mereka semua bawa kamera, saya sahaja yang tak bawa kamera.

Tapi kan... bila menari tu semuanya malu-malu nak tengok cermin hahaha... Malu tengok diri sendiri. Hah! baru tahu bagaimana rupanya kamu menari ek!

:: Sarawak - Hari kedua di Miri ::

Hari ni saya sambung cerita kembara saya dan yana di negeri Sarawak bumi kenyalang cewahhh...

Memandangkan hari pertama di Miri telah selesai segala kerja, maka hari kedua ni agak santai sikitlah masa kami. Sementara menunggu penerbangan ke Bintulu jam 7.15 malam, masih ada beberapa jam lagi untuk kami mengisi masa-masa terluang di Miri.

Rasanya hari kedua ni aktiviti kami penuh dengan acara makan-makan sahaja sampai tengahari. Sendat perut jadinya asyik diisi makanan sahaja. Awal-awal pagi lagi kami turun sarapan di cafe hotel. Seperti biasalah kan, dengan menunya yang macam-macam tu, tak mampulah kami hendak menolak apa saja yang terhidang di depan mata. Sudah berjanji dengan seorang kawan untuk ambil kami di hotel jam 9 pagi. Tepat jam 9, kawan pun datang terus bawa kami jalan-jalan bandar Miri. Dia bawa kami ke pejabat Petronas dan juga Shell.... almaklumlah Mirikan terkenal dengan pemprosesan minyaknya juga kan. Kami ronda-ronda sahaja, sampai tepi pantai. Kemudian dia bawa pula kami makan laksa Sarawak. Perghhhh!!! dengan perut yang masih penuh ni, kami isi pula dengan semangkuk lagi laksa Sarawak.... alhamdulillahhhh.

Menurut cerita kawan, dari Miri hendak ke Brunei sudah tidak berapa jauh. Hanya mengambil masa setengah jam perjalanan sahaja. Wahhh... dengar macam best kan, tapi sayang tak bawa passport pula. Kawan bercerita lagi, setiap hujung minggu ramai orang dari Brunei datang ke Miri untuk membeli belah barang dapur, barang basah....sayur-mayur dan macam-macam lagi. Sebabnya nilai mata wang lebih rendah. Patutlah di Miri sekarang ni banyak kompleks beli-belah baru sedang didirikan.

Tengahari itu kami hanya lepak sahaja di pusat ujian memandangkan kawan seorang itu ada kerja yang nak dibuat pula. Tengahari kami makan lagi, kali ini kami cuba pula mi kolok di sebuah restoran berdekatan. Walau rasa macam masih kekenyangan, tapi habis juga mi kolok semangkuk... kan yana kan... hehehe... Kemudian, balik semula ke pusat ujian, teruskan aktiviti melepak. Sangat bosan ye menunggu dan menghitung waktu begitu sahaja sehinggalah jam 5 petang baru bertolak ke airport Miri.

Senyummmm....kenyang. Alhamdulillahhhhh...

Bergambar tepi pantai. Tapi pantai di Miri ni kurang menarik sebab air lautnya agak kotor. Mungkin sebab minyak agaknya.

Penerbangan malam dari Bintulu ke Miri adalah sangat mendebarkan. Penerbangan dengan MasWings memang mencabar kekuatan jiwa (iyelah sangat...) hehehe.... Pesawatnya adalah lebih kecil dari pesawat MAS dan hanya memuatkan penumpang dalam 50 orang lebih. Jadi masa terbang tu rasa lebih ringan dan bergoyang-goyang saja. Lagi-lagi kalau pesawat langgar awan....fuuuhhhhh.... takuttt. Lagi mendebarkan malam itu, masa pesawat hendak mendarat di landasan airport Bintulu, tiba-tiba sahaja bunyi gedegung-gedegang... pesawat bergoyang macam hendak terbabas gayanya saat tayar pesawat mencecah landasan. Mujurlah tidak ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku. Syukurrr.... mengucap panjang kami. Yang tak bestnya, tiada sepatah kata maaf pun yang diucap oleh semua petugas terutamanya juruterbang. Bengang jugalah semua penumpang. Pengalaman menakutkan betullah kali ini.

Dari airport, kami mengambil teksi ke bandar Bintulu untuk cari hotel. Kali ini kami menginap di hotel New World. Hotel ini bersambung dengan pusat membeli-belah, jadi senang sikitlah untuk kami cari tempat makan. Waktu di hotel tu kan dah malam, mujurlah masih ada bilik itupun bilik yang agak mahallah... Destiny Suite dengan harga rm500++ satu malam. Pheeewww!!! berpeluh dahi dengar harga dia. Tapi kami dapat diskaun dengan harga rm300++. Oklah kannn. Biliknya memang cantik sangat dan besar. Siap ada 2 buah LCD tv. Satu di ruang tamu dan satu di ruang tidur. Siap ada cermin besar lagi di laluan antara ruang tamu ke ruang tidur.

Kami berada di Bintulu untuk 2 malam juga. Malam kedua terus tukar ke bilik standard. Hehehe... bajet kena jaga juga. Banyak hari lagi kembara di Sarawak ni kan.



Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya di bilik yang sangat nyaman lagi selesa. Esoknya baru mula buat kerja. Bersambung...

Wednesday, February 09, 2011

:: Buku ::

Hari Jumaat, sebelum saya pergi Sarawak, novel Interlok telah saya terima dengan selamatnya. Bukan sahaja novel Interlok yang dibeli malahan ada lagi 3 buah buku turut dipesan. Alang-alang membeli tu kan, kebetulan sudah ada buku-buku baru yang memang dalam senarai saya.
Selain Interlok, inilah buku-buku yang saya beli;




Semua buku-buku ini saya beli di Ujana Ilmu . Kedai buku atas talian ini telah diasaskan oleh pengarang juga penulis Puan Nisah Haron dan suaminya. Selalu juga saya berkunjung kesini untuk meninjau dan membeli buku-buku yang adakalanya susah didapati di luar ataupun kadang-kadang malas hendak keluar ke kedai buku.

Novel Interlok karya Abdullah Husain telah selesai dibaca. Mungkin nak buat ulasan, mungkin juga tidak. Tapi kesimpulannya saya suka novel ini.

Tuesday, February 08, 2011

:: Di lantai tari ::

Malam ini kelas line dance dibuat di Kelab Komuniti Cyberjaya. Sangat mengujakan sebab dapat menari di lantai tari sebenar, kemudian dikelilingi dengan cermin...wow! Baru ada feel... ecewahhh. Padahal langkahku masih juga berterabur hahaha...

Saya kurang pasti sudah berapa buah lagu yang kami belajar. Tapi malam ini masing-masing ada homework untuk gerak tari baru... 2 buah lagu pula tu...Wonder Girls dan Made in India. Gerak tari sangat comel namun agak mencabar walau tidaklah susah sangat hehehe...iyelah tu. Tengok minggu depan, harus berterabur juga kih kih kih...

Walau apa pun saya sangat enjoy. Sekurang-kurangnya ada juga aktiviti bersenam setiap minggu kannn... Lagilah bila buat perkara yang kita minat ni kannn. Kalau boleh tak mahu tertinggal langsung setiap kelas, rugi tau.

Sebut pasal bersenam ni, teringat pula tadi en.hubby bagitahu yang dia dah daftarkan nama kami berdua untuk Kejohanan Badminton Terbuka Amanputra(Beregu Campuran). Kejohanan akan berlangsung pada 20/3/2011. Waktu dia tanya saya, nak masuk ke tidak tu, saya jawab apa tau...'belasah je lah' hahaha... Ambik kau... macamana nak main pun tak tahulah. Tak pernah pegang raket tup tup nak masuk kejohanan pula tu. Setakat main badminton depan rumah dengan anak-anak tu adalah...

:: Santai di kolam ::

Cuti hari wilayah hari tu bawa anak-anak mandi kolam di Kelab Komuniti Cyberjaya. Bayaran yang dikenakan adalah rm2 untuk seorang kanak-kanak. Disebabkan tiga beranak itu memang cuti, ibu pun ambillah cuti rehat juga. Maka bersantai-santailah kami anak-beranak di tepi kolam. Mujurlah orang tidak berapa ramai, seronok sikit mereka mandi sebab kolam tu kecil sahaja.

Dua-beradik ni pakai baju mandi baru. Sebab yang lama tu dah tak muat. Dah besar anak-anak ibu ni.


Mereka berdua memang pantang nampak air. Biarlah sampai biru mulut ke, menggigil satu badan ke...

Siap sedia untuk terjun...


Terjun!!!!


Gedebushhh!!!!


Budak kecik ini pun tidak mahu ketinggalan. Mahu terjun juga...

Taraaaa!!!
Yeeehaaa!!!!

Hah! dah berendam lama sangat sampai terbersin... haaaaacccchhh!!!!

ccchhhhiiimmmmm!!!

Gambar ibu mesti ada juga.... hehehe

Eh!!! abah pun nak...klik! Abah tu geram je tengok anak-anak mandi. Ingatkan ramai orang, abah tak rancanglah nak mandi sama. Alih-alih tak ada orang pun... tu yang bengang je sebab tak bawa seluar lain.

Monday, February 07, 2011

:: Teruja ::

Punch card saya hari ini sangat menakjubkan hehehe....6.56 pagi. Wow!!! untuk diri sendiri. Hmmm... agaknya saya teruja sangat hendak kembali ke pejabat setelah lebih 2 minggu meninggalkannya...ecewahhh. Itu yang semangatnya pun rasa lain macam.... ecewahhh lagi hahaha.

Mesti si abang pun teruja sebab tiba awal di sekolah hari ini. Saat langit malam masih belum mahu mengalihkan tabirnya.... lampu neon di jalan masih belum dipadam, kami anak-beranak sudah pun sampai ke destinasi masing-masing.

Semangat belum hilang. Biar hari-hari yang bakal dilalui sentiasa membara semangat baru. Huishhh!!! apakehalnya nih? Lain macam saja bunyinya. Moga hari ini berlangsung dengan baik...insyaallahhh. Banyak kerja yang menanti nih...

:: Sepetang di bandar KT ::

Hari Sabtu kami tidak ada apa-apa aktiviti. Agaknya sebab melihat wajah-wajah kami yang bosan, en.hubby pun ajak pergi jalan-jalan di bandar. Pukul berapa ye kami keluar.... rasa-rasanya dalam jam 4 macam tu kot. Hari pun masih panas terik ketika itu. Macam malas hendak keluar tapi ikutkan jugalah. Lagipun masing-masing ada hajat untuk mencucuk-cucuk mesin ajaib yang boleh keluar duit sendiri tu kannn...

Setelah keluarkan duit, kami berjalan ke Pasar Kedai Payang. Kami tidak naik bahagian atas, hanya ronda-ronda di bahagian bawah sahaja. Bahagian bawah ni adalah menjual bahan-bahan basah seperti ikan, udang, sotong, ayam dan yang sewaktu dengannya termasuklah segala jenis sayur-mayur. Tetapi dah petang-petang tak ada dah orang jual segala mak nenek ikan semua bagai ye... Bahagian bawah ini juga ada dijual barang-barang dapur kering. Yang kering-kering adalah jual sampai ke petang. Di bahagian atasnya pula ada dijual kain baju, kain batik sarung, batik sutera, segala aneka tudung dan macam-macam lagilah. Waktu musim-musim cuti ni memang sesak dengan pengunjunglah terutamanya di bahagian atas pasar. Tak kuasa nak turut sama bersesak sebab itulah kami di bawah sahaja.

En. hubby mengusha-usha buah. Tidak ada yang menarik di hati

Ini geng mengikut sahaja kemana-mana en.hubby tuju

Ini sahaja buah-buahannya yang ada

Hah! kak pilih kak... yang mana-mana berkenan. Sebungkus rm5 sahaja.

Akhirnya... kami beli jeruk sahaja.

Sudah puas berjalan-jalan dalam pasar, kami keluar ke belakang pasar pula. Ada jambatan cantik rupanya kat belakang sini yang dikenali dengan jambatan Pulau Warisan. Pemandangannya pun cantik juga. Jadi lensa kamera pun harus mulakan kerja.

Pemandangan dari atas jambatan. Nun sayup di tengah sana ada orang sedang bermain perahu layar. Sayang pula tak bawa lensa panjang.

Pengunjung juga boleh menaiki bot untuk meronda-ronda sekitar pulau. Bayaran yang dikenakan adalah rm10 seorang. Itu gambar jeti tempat naik dan turun bot. Kami tak naik pun... hehehe...

1...2..3....!!!

Lompat!!!! Kenapa ibu pula yang nampak terlebih suka ek! Over...

Abang dan cik ngah kesayangan

Gambar menung 1...

Gambar menung 2...

Gambar menung 3...

Apa punya gaya entah si abang ni

Gaya macam ni baru ok. Anak teruna saya...

Satu..dua..pusing... klik!

Dari pasar, kami ronda-ronda pula pantai Batu Burok. Kereta tidak diparkir pun, hanya buat lintas langsung saja. Sini pun ramai pengunjung juga. Kemudian terus balik rumah. Tapi hendak sampai ke rumah..... masyaallahhhh... punyalah berjam-jam lamanya disebabkan oleh kesesakan. Bandar KT sekarang ini sangat masyhurkannn... pantang musim cuti, mesti dipenuhi dengan pengunjung dari seluruh negara.

Sampai rumah saja, semuanya lapar. Terus selongkar dapur keh keh keh....