Sunday, October 28, 2012

:: Aidiladha ini.. ::

Kalau nak diikutkan raya haji tahun ini kami tak balik mana-mana pun... sama ada SP ke mahupun KT sebab hari Sabtu en.hubby akan berpergian ada urusan. Hanya abang dan adik saja yang ikut ayah cik balik KT hari Khamis. Macam syahdu syahdan jugalah rasa waktu malam raya tu... en.hubby pandang muka dia... dia pandang muka en.hubby...huhuhu... Esoknya hari raya pun macam tak tahu hendak masak apa untuk dimakan berdua.
 
Yang sebenarnya... hari Khamis itu lagi mak dah telefon en.hubby bagitahu yang abah macam tak berapa sihat. En.hubby pesan sajalah dekat adik dia sampai KT nanti pujuk abah pergi hospital sebab abah mengikut cerita mak macam ada tanda-tanda nak kena strok... Malam bawa ke pagi.. dia memang risau jugalah mengenangkan abah... tapi dia ikut sajalah kata en.hubby sama ada nak balik atau tidak. Kesian juga dengan en.hubby, jadi serba salah sebab dah berjanji dengan kawannya memang nak kena pergi hari Sabtu malam tu juga...
 
Subuh hari raya... mak bagitahu abah ditahan di wad... doktor sahkan petanda awal kena strok. Sebelah kanan badan dah tak berapa kuat nak gerak... pegang barang pun terlepas. Hmmm... menambah galau di hati. Lepas solat sunat aidiladha, dia tanya juga en.hubby..."tak nak balik ke tengok abah?"... masa tu kami tengah makan... en.hubby diam saja, kemudian terus bangun dan cakap..."siap-siaplah...kita balik"... Masyaallahhhh... alhamdulillahhhh....
 
Kami sampai KT terus ke hospital... alhamdulillahhhh lega dapat jumpa abah. Keadaan abah stabil... walaupun pergerakan abah agak terbatas, percakapan pun kurang jelas tapi alhamdulillahhhh dapat tengok abah depan mata. Dia tak ada abah lain... walaupun abah adalah abah mertua tapi dia dah anggap abah ni macam abah dia sendiri...
 
Syukur alhamdulillahhhh keesokkan paginya lepas jumpa doktor pakar, doktor cakap abah dah boleh keluar wad. Abah cuma perlukan rawatan fisioterapi untuk memulihkan pergerakan anggota sebelah kanan... Syukur sebab abah tidak mempunyai sebarang penyakit lain macam kencing manis, darah tinggi dan sebagainya... cuma doktor ada cakap kebarangkalian  untuk serangan strok berulang adalah agak tinggi... harus berjaga-jaga jugalahhh...
 
Hermmmm.... hari Selasa ni abah dengan mak datang... kami minta untuk buat rawatan fisioterapi di hospital Putrajaya. Semoga abah akan kembali sihat insyaallahhh... lepas ni abah dah tak boleh buat kerja-kerja berat... tak boleh memandu kereta juga... Yaaa sakit itu adalah ujian dari Allah... buat kita semua, untuk ingatan juga buat kita yang sihat ini... ujian Allah itu akan datang bila-bila saja dan dalam bentuk apa saja... Semoga kita semua redha dan tabah menghadapi segala ujian dan nikmat dariNya ini...
 
Selit sikit menu makan tengaharinya bersama anak-anak hari ini... kan tadi cadang nak masak sambal tumis udang petai kannn....
 
 
Taraaa..... nyum nyum... sedap hikhikhik sendiri masak sendiri puji sedap...
 
 
Menu pertama daging korban.... daging sos tiram. Esok fikir menu lain pula...

:: bakar...masak-memasak... ::

Ermmm... rasa dah lama sama sangat tidak buat aktiviti membakar kek ke biskut ke... kali terakhir guna oven kalau tak silap beberapa bulan yang lalu. Itupun bakar apa ye? Pun dah tak ingat... oven ni pun rasa dah macam nak merajuk saja gayanya. Aktiviti masak memasak pun dah lama ditinggalkan juga dalam sebulan lebih sejak sibuk kerja luar ni. Bukan saja dapur nak merajuk...en.hubby pun gaya macam nak merajuk juga huhuhu... Jadi hari ini kita buat sesi memujuk sang oven dengan puding roti istimewa...ecewahhh istimewalah sangat sebab rotinya yang ada tu dah nak cecah tarikh luput...

 
alhamdulillahhh sang oven tak sempat nak merajuk dapat membakar dengan jayanya puding rotiku.

 
Hari ni cadanganya juga hendak masak sambal tumis udang petai perghhhhh sebut menu pun dah terasa-rasa ditekak nih... Semalam dah beli heronya sang petai dan juga udang... harap-harap menjadi.. 


 
Yaaaa....kembalilah wahai mood masak-memasak...kembalilah padaku...

Hujung-hujung bulan Oktober ni mungkin keadaan akan kembali seperti biasa insyaallahhh.... rutin harian pun sudah boleh tune kepada normal semula. Maka dengan itu dapurku diharap akan kembali meriah walaupun masakannya ala kadarjanjisedap di tekak seluruh ahli rumah... 

Mungkin juga masih belum terlambat untuknya mengucapkan Salam Aidil Adha buat seluruh umat Islam yang meraikannya terutama buat mereka yang sedang menunaikan ibadat haji semoga semuanya mendapat haji yang mabrur insyaallahhhh.... Semoga dirinya juga akan dipilih olehNya suatu hari nanti untuk menunaikan ibadah ini insyaallahhhh...

Aidil Adha...Haji...dan ibadah korban....ya sinonim..Yang di tanah suci Mekah menunaikan ibadah Haji... yang di sini mengerjakan ibadah korban dan semuanya masing-masing mencari keredhaan, keberkatan dan pahala dariNya. Alhamdulillahhh dengan rezeki yang diberi olehNya dan semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang sentiasa mensyukuri nikmat kurniaanNya... 

Sedang berfikir-fikir juga hendak mengatur menu daging sepanjang minggu ini.... almaklum stok daging korban sudah penuh dalam peti ais.. Wahai sang ilham datanglahhhh...

Sunday, October 07, 2012

:: Rinduuuuu.. ::

Ermmmm... sebulan tanpa entry, tanpa cerita. Dia rindu... tapi dia tidak berbuat apa-apa, hanya lihat... renung dan tenung lalu dia biarkan berlalu. Lepas musim cuti raya, kehidupan dirasakan sangat sibuk. Kadang-kadang rasa macam pencuri waktu... curi waktu untuk bersenggang-senggang... mungkin juga fokusnya sedikit sudah beralih arah... ada perkara lain yang lebih menarik hatinya... dan sebenarnya hanya dia sahaja yang tahu akan hakikat sebuah kebenaran itu.

Manusia sering begitu kan... rasa tidak cukup waktu untuk berbuat itu ini. Tapi bukankah manusia juga yang menguruskan waktu? waktu yang diberi percuma itu harus diurus untuk melakukan banyak perkara dalam menjalani sebuah kehidupan. Ternyata dia bukan manusia bijak untuk uruskan waktu yang dia ada ini. Kadang-kadang dia rasa tertinggal... dia harus mengejar... kadang-kadang dia rasa terlampau kedepan... dia harus mengundur... Adakalah dia juga menjadi manusia yang alpa... leka dalam banyak perkara.

Ketuk diri sendiri... bangun dan sedarlahh... ada masa yang telah ditinggalkan dengan sia-sia. Mereka masih ada memerlukan perhatianmu. Belum ada complain tapi bunyi-bunyiannnn sudah menari-nari di gegendang telinga. 

Semoga setelah selesai semua ini segalanya akan jadi seperti biasa. Dia meminta ruang dan masa. Dia akan tebus semula kepada mereka. Dia juga perlu ruang dan masa untuk dirinya... 

Sunday, August 26, 2012

:: Rawak.... ::

Alhamdulillahhhh..... selamat sampai rumah setelah lebih seminggu berhari raya di kampung halaman. Selepas ini rutin kehidupan bakal kembali seperti sedia kala. Anak-anak kembali ke sekolah, ibu dan abah kembali bekerja. Hmmmmm.... yang pasti ibu jugalah orang yang paling sibuk tak kira waktu bila pun kannnn...

2 minggu kebelakangan, pelbagai perkara yang dihadapi.... ada kematian, sambut kelahiran.... rencam hidup yang berbagai-bagai. Yaaaa.... semuanya adalah ujian, kesedihan, kegembiraan mahupun kemenangan. Begitu juga pengertian raya kali ini. Ada pelbagai rasa bercampur baur.... mungkin rasa itu tidak lagi seperti dulu.... ia kian berubah seiring usia yang kian menginjak. Cukup dengan hanya melihat anak-anak bergembira kerana berjaya menyempurnakan puasa. Terbayang di ruang mata kenangan mengusik jiwa tatkala diri di zaman anak-anak.... dia juga seperti itu dahulu. Raya lebih bererti bila puasa sebulan berjaya ditempuhi. Nikmatnya sukar untuk diungkapi, hanya pada wajah terserlah kegembiraan dan kenikmatan.

Anak-anak juga kian bijak menguruskan duit raya sendiri. Janganla ibu hendak memandai-mandai tolong kirakan. Masing-masing dah pandai.... sudah ada perancangan untuk dibuat apa dengan duit yang dikumpul itu. Tidak mengapalahkan.... sebagai mak ayah ni, jadi pemantau, pembimbing mahupun pendorong mereka dalam kehidupan.

Sampai rumah petang tadi, baru perasan kat rumah sendiri ni ada la kot dalam 2 jenis sahaja kuih raya   yang dibeli. Kecoh anak-anak kot la nanti ada orang datang beraya nak dijamu apa.... hmmm tersengih saja depan budak 2 orang tu tak tahu nak jawab apa :) Kalau betul ada nak datang beraya, masa tu baru fikir kot hendak dijamu apa heheh... Rumah pun tidak sempat hendak berkemas-kemas apa semua, sebab hari tu balik kampung pun kelam-kelibut mencapai mana sempat. Yelahhh.... perancangan Allah manalah hendak dapat diduga kannn... namun Dia jugalah sebaik-baik perancang.

Seronok juga hari ini sebab dalam ice box sudah penuh dengan segala ikan, ayam, udang juga sotong. Yeeehaaa.... sudah siap untuk dimasakkan hihi... Petang semalam ajak en.hubby ronda-ronda tepian pantai sambil mencari orang jual ikan segar terbaik dari laut ecewahh... memborong sakan bila mata kian rambang tengok kerisi, kembung, selayang segar-segar belaka. Dah tak fikir dah macamana hendak disumbat dalam ice box kami yang kecik comel tu kannn...

Kejap tadi baru siap menyapu rumah. Dah berabuk sakan dah ni.... esok pagi baru nak mop lantai. Segala kain baju pun dah sedia menunggu giliran.... yang nak dijemur, nak dilipat, nak dibasuh. Alahaiiiii.... kerja memang tak pernah selesai. Ini pun anak-anak belum tidur, bagi can malam terakhir dapat tidur lambat. Minggu depan kan dah mula sekolah....

Owhhhh... Ada satu perkara lagi yang dia harus fikir kan dan segera buat keputusan. Sudah dibincang dengan en.hubby dan keizinan pun sudah diperolehi. Secara kelabu asapnya sudah ada keputusan di hati namun... dia masih mahu memikirkan sedalamnya dulu. Hajat di hati yang telah sekian lama ditanam, cuma sejak beberapa bulan kebelakangan ianya kian melonjak keinginan. Begitu hebat kan perancangan Allah, bila niat mula melonjak-lonjak... Dia pun melorongkan jalan.... Lalu, nikmat yang mana ingin kau dustakan?

Moga Allah murahkan rezeki, melapangkan hati....

Sunday, August 12, 2012

:: Kuih ketayap kasih ibu.....::


Hari ini nampaknya telah berjaya membuat kuih ketayap dengan jayanya setelah cubaan pertama semalam agak kurang menjadi. Dia namakan kuih ketayap kasih ibu sebab semalam si abang asyik sibuk saja bertanya nama kuih ni. Ye, kuih yang dibuat dengan penuh rasa kasih walaupun sudahnya ibu seorang sahaja yang berhempas pulas menghabiskan. Memang rupanya agak sendu sebab tak cukup warna pandan.... yela dah ibu pun suruh si abang ambilkan duan pandan tu sehelai saja pun. Tak cukup rupanya... hmmmm... rupa tak penting kan, yang penting rasanya tu...

Sedap tak? Hmmmm.... Insyaallah sedap hahaha.... sendiri buat sendiri puji apakah? Dia kira ini adalah satu kejayaan juga kan.... meski nak buat kuih ini tersangatlah mudahnya.

Dua hari hari minggu ini tersangat lega perasaan sebab tidak keluar kemana-mana. Banyak kerja-kerja rumah yang menuntut perhatian harus diselesaikan. Bertambah seronok sebab dapat memasak untuk juadah berbuka. Biarlah lauknya yang mudah dan ringkas sahaja. Rasa puas sangat sebab makan lauk kita masak sendiri ni kan....

Dah tak lama lagi kan, Ramadhan bakal meninggalkan, lalu Syawal pula akan menyapa. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik insyaallahhhh.... ya.... Aku sentiasa mengharapkan Ramadhan setiap kali tiba menjadi penuh makna.

Monday, August 06, 2012

:: Mode : Berangan... ::

Buat kesekian kalinya kami bicara lagi tentang impian dan cita-cita kami. Impian dan harapan yang kami simpan sejak beberapa tahun dulu. Kami tidak pernah lupa tentang impian itu malah ia makin membara memberi semangat untuk kami merealisasikannya.... ya!! Insyaallahhhhh....


Semangat ini adalah hasil rasa semangat srikandi yang mengalir dalam diri anak2 abah.... Mungkin arwah abah juga pernah menyimpan harapan dan impian seperti kami.... ya siapa tahu mungkin? Kerana rasa kami, kesukaan kami, keghairahan kami sama seperti arwah abah dulu. 


Kegilaan dan ghairah yang makin menyala marak seperti api ini mungkin kerna kami terinspirasi dari kisah-kisah mereka yang punya anganan dan impian serupa. Mereka telah berjaya.... ya.... kami juga inginkan kejayaan seperti mereka. Kami benar-benar terinspirasi!!!


Perancangan rapi harus bermula sekarang. Dan kini kami dalam fasa mengumpul! Ya! mengumpul segala ilmu, juga modal dan bahan-bahan... Insyaallahhhh.... moga impian dan harapan ini bakal menjadi kenyataan. 




" Impian harus bermula dengan angan-angan. Kerana angan-angan itu akan menjadi agen penolak bagi merealisasikan sebuah Impian "

Sunday, July 01, 2012

:: being inspired... ::

Alhamdulillahhhh..... syukur pada Allah kerana sentiasa memberi kehidupan yang baik pada hambaNya, membuka seluas-luasnya pintu rezeki serta rahmat dariNya. Semalam dia betul-betul rasa seperti orang baru, yang baru terjaga dari lena yang berpanjangan. Dia rasa diberi suntikan keinsafan dan kesedaran yang sedikit luar biasa. Tidak dapat diungkap dengan zahir kata-kata apabila kita dikelilingi oleh mereka yang hebat, umat yang punya semangat luar biasa, mereka yang sentiasa mencari ilmu dan redha Allah.... Subhanallah... Alhamdulillah....Allahuakbar!!! dia benar-benar terinspirasi!

Semalam seharian di konferens Being ME - Muslimah Empowered dengan maksu, banyak yang dipelajari, diperolehi, dicerap.... kesimpulannya banyak ilmu yang ditimba dari mereka yang hebat yang sudi berkongsi segala ilmu dan pengalaman. En. hubby outstation ke JB, hari ini baru balik. Anak-anak ditinggalkan di rumah ayahcik dengan cikde. Syukur mereka ada saat-saat dia memerlukan bantuan. Awal pagi tadi dia ke Putrajaya ambil anak-anak.... 

Cuaca hari ini masih seperti hari-hari sebelumnya agak panas dan membahang. Hendak keluar jalan-jalan pun rasa macam tak sesuai kan, jadi duduk rumah saja dulu. Rancangan petang ini hendak bawa budak-budak lawat Paklong mereka di hospital, mungkin lepas Zohor nanti. Kejap lagi nak masak makan tengahari, nak masak apa ye? Sementara ibu mengadap laptop, si adik sibuk juga, sibuk memunggahhh... 

Habis dibuka semua payung yang ada, kemudian dipayungkan rumah Barbienya. Tak sudah-sudah berangan...




Anak patungnya jadi teman sepermainan... tengok tu, habis muka patung dimake-up kan juga.

Owh... hari ini sudah berada dalam bulan Julai ye! Sekejapnya masa berlalu.... moga kita tidak tertinggal terlalu jauh kebelakang. Takut nanti tidak terdaya untuk mengejar... ayuh muslimah kita bangkit!!!!

Monday, June 18, 2012

:: Lelah yang mendamaikan... ::

Alhamdulillahhhhh... syukur padaNya di atas segala nikmat yang diberikan. Sejak hari Sabtu mak berada di rumah setelah seminggu bermalam di rumah adik di Sentul. Sejak kebelakangan ini kesihatan mak tidak begitu memberangsangkan, lalu sukar rasanya untuk melepaskan mak tinggal berseorangan di rumahnya. Kalau ikutkan mak, dia dah hendak balik hujung minggu lalu. Tapi kami sayang mak, kami risau dengan mak dan sebab tu berjaya juga pujuk mak untuk duduk sini seminggu lagi. Dengan siapa lagi untuk kita mencurahkan bakti kalau bukan pada mak dan ayah yang telah membesarkan kita. Kami hanya tinggal mak seorang... yang memang tiada galang gantinya.

Hari ini... dia dan mak sama-sama berpuasa sunat. Risau juga kalau-kalau mak tak larat, tapi alhamdulillah... mak kuat semangat. Sejak mak ada sini, dia memang tak bagi mak masak. Meski dia pun tidak sehandal mahupun sehebat mana memasak tapi dia usaha juga dengan kemampuan yang dia ada. Cukuplah mak dah memasak-masak untuk dia dan adik-beradik dulu-dulu... Mungkin sesekali nanti bila mak sihat, bolehlah dia minta mak masak makanan kegemaran buat mengubat rindu air tangan mak hehehe...Moga mak dikurniakan kesihatan yang berpanjangan olehNya insyaallahhh

Juadah berbuka kami hari ini, dia yang sediakan. Semalam cakap dengan en. hubby, teringin sangat hendak makan ketam maka berusahalah dia pergi beli sendiri di pasar malam. Langsung membeli sekali lauk-pauk basah untuk stok beberapa hari ni. Minggu ini memang semangat memasak dah membara semula.




Awal pagi tadi sudah dipesan pada mak, minta tolong keluarkan siap-siap ketam dan ikan. Senang nanti dia balik terus dah boleh masak. Hmmmm... bukan masak apa pun, ketam masak lemak je pun hah!




Ikan kembungnya digoreng sahaja...




Dan.... ulam timun berserta sambal. Tanya mak hendak buat sayur tak? Mak kata ulam ni pun cukuplah... alhamdulillahhhh hihihi


Inilah rezeki untuk hari ini.... mungkin nampak sangat ringkas namun bila kita masak ikhlas dari hati, maka ia menjadi hidangan istimewa ditambah saat dinikmati bersama-sama insan-insan yang kita sayang.






" Cerita rumit penuh konflik antara Cik Puan Mastura dan Sang Arjunanya masih belum berkesudahan. Cerita mereka yang unik namun mungkin tidak wajar... penuh halangan "

:: ..... ::

Pantas sekali masa berlalu meninggalkan kita yang tertinggal jauh di belakang, tak mampu untuk mengejar. Bagaimana mampu mengejar andai kadang kita berlari, penat kita berjalan pula... paling tidak pun berehat minta nafas di perhentian. Ada waktu berehat  bagaikan tidak mahu meneruskan lagi perjalanan, tiada daya lagi untuk mengejar. Kita orang yang ketinggalan… Masa tidak sekali-kali akan menjadi penunggu. Kita… sampai bila-bila perlu mengejar menjadi pemburu pada waktu yang kian berlalu.
Minggu ini baru rasa macam boleh bernafas dengan agak lancar setelah melalui minggu yang sedikit kelam-kabut. Manakan tidak begitu, setelah 2 minggu diberi ruang untuk bersenang-lenang tanpa perlu memikirkan untuk bangun awal pagi sangat, menguruskan segala hal persekolahan anak-anak, maka minggu lepas anugerah itu sudah ditarik balik…. wal rutin dah balik asal. Cuti sekolah 2 minggu sudah tamat… berhenti berangan!  Akan tetapi hati tetap berbunga bahagia kerana kembali berjumpa dengan anak-anak buah hati pengarang jantung. Mereka dihantar ke kampung untuk mengisi ruang cuti bersama-sama tok dan tok abah. Biarlah……yang ada pun hanya cucu berdua tu sajalah … Kehidupan di rumah kembali normal setelah sepi mengulit tanpa suara anak-anak yang sekejap ketawa, sekejap menangis, menjerit tanpa sebab, bergaduh…. Tambah suara ibu yang adakala macam petir terpekik terlolong marahkan anak-anak, usik-mengusik anak-anak…. Dua minggu tanpa rutin yang begitu, buat jiwa ibu jadi kian buntu, paling tidak pun macam hendak bengong ting tong pun ada juga… Mereka anugerah yang tidak ternilai!!!
Ya… minggu lepas juga musim bola sepak ‘EURO 2012’ ligat bermula. Bisa buat kepala ibu pening dan ting tong juga. Bukan sebab dia yang berjaga menahan mata, tapi sebab en.hubby yang terkena penyakit  yang hanya menyerang bila tiba musim ini. Kalau boleh semua ‘game’ tak mahu ‘miss’….. penyudahnya liat hendak bangun pagi!!! Tak tahulah hendak kata sama ada dia boleh bertahan sehingga musim ini berlalu atau tidak. Yang pasti dia kena perlu bertahan tidak ada pilihan!
Rejab sudah di penghujung, Syaaban pula bakal menyusul. Memang masa tidak mengenal erti untuk menunggu… hakikatnya ia tetap akan berlalu. Berapa hari yang dapat dia berpuasa sunat merebut pahala pada bulan-bulan yang istimewa? Ternyata diri sibuk mengejar dunia, leka dengan nikmat yang hanya sementara. Awal bulan dapat sehari, hari ini dia cuba insyaallahhh… Sangat sukar rasanya untuk istiqamah, sentiasa tewas dengan nafsu yang adakala menggila! Takut untuk difikirkan bila saat dia semakin jauh dengan Tuhannya…. L

“Berjihad melawan nafsu dalam diri sangat sukar sebenarnya. Ternyata ia satu kebenaran yang pahit!”

Friday, May 25, 2012

:: Dari kekasih untuk kekasih... ::

Duhai kekasihku...

Izinkan daku berbicara di sini untuk menyatakan rasa hati dan luahan jiwaku kepadamu. Ku kira ini adalah warkah cinta pertama dariku buatmu sejak kita berkenalan 12 tahun yang lalu. Zaman kita zaman teknologi... mana mungkin juga untukku melayangkan waima sepucuk surat sedangkan hampir setiap hari juga kita pasti bertemu. Kukira juga ini adalah tinta istimewa dariku untukmu sempena hari yang paling istimewa untuk kita berdua.

Kekasihku...

Tidak lama untuk kita mengambil keputusan yang amat penting dalam hidup kita berdua ini ya... Kita hanya berkenalan tidak sampai setahun lalu mengambil keputusan untuk bersatu menghadapi hidup bersama. Ya... demikianlah jodoh kita yang telah ditentukan olehNya. Masih terngiang-ngiang di kepala saat-saat dikau melafazkan kalimah keramat itu. Aku terima nikahnya... Saat itu, semakin kuat rasa dalam hati bahawa aku telah benar-benar bersedia untuk melangkah bersamamu. Membina masa hadapan kita bersama... Mengharungi hitam putih kehidupan bersama...

Kini... setelah 11 tahun berlalu dan kita masih bersama dengan kuasaNya. Syukur aku kepadaNya kerana ikatan suci ini masih terpelihara sehingga kini dan semoga ianya kekal hingga ke akhir hayat kita berdua.

Kita berdua telah melalui dan mengharungi segala fasa rencah kehidupan sebagai suami dan juga isteri. Aku isterimu dan engkau adalah suami. Kita tempuh segala onak dan duri walau adakala ianya merobek jiwa,mengocak ketenangan hati. Ternyata melalui fasa-fasa awal hidup bersama terasa begitu sukar namun kita redah segala rintangan, kita cantas segala halangan. Ada waktu juga benteng keegoan harus diketepikan. Ada ketika airmata juga pernah menjadi peneman memujuk jiwa yang dalam kesedihan. Daku percaya bukan kerana kita tidak sesuai bersama... namun itu semua adalah hakikat... hakikat di mana dua jiwa yang berbeza ingin menjadi satu. Kita adalah dua insan yang berbeza... manusia biasa yang punya cara, punya gaya, punya fikiran, punya kehidupan yang nyata berbeza. Namun perbezaan itulah yang  sebenarnya melengkapkan hidup kita.

Aku bahagia hidup denganmu wahai sang kekasih. Terima kasih Tuhan kerana mempertemukan diriku dengan dirimu. Kita dipertemukan untuk saling melengkapi. Kau ada lebih dan kurang, aku juga ada lebih dan ada yang kurang. Sepanjang perjalanan kehidupan kau dan aku ini, kita berusaha untuk menampung mana yang kurang dan mengawal mana yang terlebih. Paling penting kita berusaha... ya sayang...

Kita harus percaya bahawa Tuhan sering menguji. Dia datangkan ujian buat kita untuk menyedarkan kita yang pastinya selalu terleka. Fasa demi fasa kita tempuh dengan tidak sedikit ujian dariNya. Namun aku tetap bersyukur kerana kita mampu untuk bertahan dan perjuangan kita dalam kehidupan ini harus tetap dipertahankan.

Sayangku...

Hidup kita bertambah serinya dengan kehadiran dua cahayamata kilauan ayahbonda. Dikurniakan dua permata jiwa lelaki dan perempuan amanah dari Yang Esa. Nikmat yang mana lagi harus kita dustakan? Syukur lagi buat kesekian kalinya kepada Dia. Mereka berdua menjadikan hidup kita berdua lebih ceria dan meriah. Begitupun... disebalik nikmat terindah ini masih banyak ujian dan dugaan yang diberiNya buat kita. Ya.... ujian itu pasti buat kita menilai diri disisiNya bukan?

11 tahun yang penuh warna-warni. 11 tahun yang ada putih dan hitam. Ada cerah ada kelam. Cinta dan kasih semakin hangat dan mendalam. Aku dan dirimu masih tetap satu.

Kekasihku... pujangga jiwa...

Ditinta ini juga kumohon kemaafan darimu seandainya sepanjang ikatan ini ada salah dan khilafku terhadap dirimu. Aku percaya itu... kerana aku ini insan biasa yang bisa berbuat salah dan dosa. Maafkanlah diriku andai ada perilakuku, tutur kataku yang telah mengoyak, merobek hati kecilmu. Aku pinta juga darimu semoga kita bersama-sama memperbaiki diri juga keluarga yang sedang kita bina ini kearah redha dan rahmatNya.

Ingatlah duhai sang kekasih... Aku pelengkapmu dan kamu melengkapi aku...

"Selamat ulangtahun perkahwinan KITA yang  ke-11 en.hubby"

Saturday, May 05, 2012

:: Bertiga... ::


Alhamdulillahhhh hujan sudi datang di awal pagi minggu ini. Rasa sejuk dan nyaman lagi mendamaikan. Suka pula dia semenjak dua menjak ni buat entry tentang makanan saja kannn... Seronok rasanya bercerita tentang makan, tentang masakan lagi-lagi yang dibuatnya sendiri.... bertambah suka kalau apa yang dia hidangkan tu berjaya menambat selera en.hubby dan anak-anak. Lagipun bukankah melalui makanan dan masakan dapat mengeratkan lagi kasih sayang dan menguatkan rasa cinta.

Hujung minggu ini kami hanya bertiga. En.hubby outstation sebelah utara dan dibawanya kereta bersama. Apalagi yang boleh dibuat melainkan memerap sahaja di rumah. Pagi ini kami bersarapan ala barat sikit... pankek bersama sosej goreng dan juga telur separuh masak. Resepi pankek yang mudah dan sedap ini baru saja diperoleh semalam dari Pn.Wawa. Terima kasih yaaaa....

Kalau tidak ada apa-apa kekangan dan juga moga diizinkanNya, petang ini akan berkunjung ke Sentul untuk menemui bonda tercinta yang baru datang semalam bersama pakcik dan makcik Ju. Itupun kalau maksu sudi membawa kami bertiga heheh... insyaallahhhh. Dan mungkin esok juga akan ke majlis kenduri saudara sebelah bonda.... di mana ye? Lupa pula...

Jika pagi ini bersarapan ala barat, semalam juga makan malam kami ala barat. Tidak pernah buat pun sebelum ini dan kali ini saja hendak cuba ubah selera. Alhamdulillahhhh.... gendang gendut tali kecapi, perut kenyang suka hati lalalala...

Hmmm.... minggu hadapan minggu peperiksaan pertengahan tahun buat si abang. Elok jugalah tidak kemana-mana, dapat abang buat latihan dan ulangkaji. Dah mula sejak tadi dan segala macam babak-babak drama sudah keluar.... lagi-lagi bila kena buat latihan matematik... sabar saja wahai ibu..." Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan kami, terangkanlah hati anak-anakku untuk menerima pelajaran. Kau bukakanlah pintu hati mereka seluas-luasnya. Lembutkanlah jiwa mereka. Aminnnn Ya Rabbbb... Hanya Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi"





" Hujan lebat mencurah sejak pagi. Sejuk sepanjang hari, buat dia rasa malas untuk berlama-lama di pejabat. Cik Puan Mastura sudah berada di ruang lobi. Nampak gaya sang hujan tidak berhajat untuk pergi mungkin hingga lewat malam nanti. Keretanya yang diparkir di hujung bangunan direnung dari kejauhan. Ada seseorang yang cukup dia kenali sedang merenungnya kembali. Di tangannya memegang sekaki payung. Sang Arjunakah? Tiba-tiba kakinya terasa kejang... "

Wednesday, May 02, 2012

:: Bahagia itu saat bersama... ::

Salah satu perkara yang boleh mengerat dan memesrakan hubungan kekeluargan adalah bila makan bersama-sama. Saat menikmati rezeki kurniaanNya bersama-sama dengan mereka yang kita sayangi adalah saat terpaling indah bukannnn... Kita berkongsi rasa, berkongsi nikmat, berkongsi cerita dan gelak ketawa...


 Melihat anak-anak gembira, hati ibu dan abah pun akan jadi gembira. Gurau, gaduh, gelak.... gurau balik, gaduh balik kemudian gelak pula... kerenah anak-anak adakala menghiburkan, adakala juga mengharu-birukan...

Saat-saat begini boleh buat ibu dan abah tersenyum.... namun mungkin sekadar untuk beberapa minit sahaja malah tidak mustahil hanya sekadar beberapa saat. Tiba-tiba sahaja mereka boleh bertekak dan bisa buat abah dan ibu pun bertukarrrrr jadi hulk? jadi singa? grrrrrr!!!! dan sebenarnya.... begitulah hakikat kehidupan. 


Mari peluk ibu wahai sang puteri penenang hati... bisa juga buat ibu bergundah di hati  kala kamu buat perangai ikut suka-suki huhuhu...

 Duduk dekat dengan ibu wahai putera pejuang agama... Doa ibu buat kamu moga menjadi umat yang kental jiwa dan mempertahankan agamamu insyaallahhhh... 

 Sentiasa dekat dan rapat-rapat.... sayang awak sampai bila-bila. Kamu pelengkapku dan aku melengkapi kamu...

Akhirnya yang dipesan pun tiba. Tiba saat kita makan bersama. Rezeki yang Allah tentukan buat kita. Moga kita mensyukuri segala nikmatNya. 

 Moga Allah sentiasa melimpahkan rezekiNya buat kita. Syukur... syukur...


 Hidangan yang enak, lebih enak saat dinikmati dan dikongsi bersama-sama. Moga bahagia ini milik kita selamanya.





Kita sudahi dengan ais krim penyejuk tekak. Senyuman yang melenturkan jiwa... moga senyuman ini kekal selamanya insyaallahhhh. Dan alhamdulillahhhh untuk hari ini yang sangat indah...




" Dia rasa Sang Arjuna mungkin bukan untuk dirinya? "

Sunday, April 29, 2012

:: Minum petang Ahad ::

Hari ini adalah hari yang betul-betul bersantai di rumah. Hormon rajin pun bercambah dengan begitu bersemangat. Sejak pagi tadi bergotong-royong mengemas rumah bersama en.hubby dan anak-anak, seronok benar rasanya. Lega bila tengok rumah bersih dan kemas... rasa benar-benar lapang. Tak tahulah berapa lama boleh bertahan huhuhu...


Bila rajin dah datang tu, sampai ke petanglah jadi rajin. Maka terhidanglah minum petang yang enak... pengat(orang utara sebut serawa) ubi resepi bonda. Alhamdulillahhhh... lebih enak saat makan bersama-sama mereka yang disayangi.




" Sesekali bila malam, dia terkenang Sang Arjuna. Pernah juga Cik Puan Mastura terfikir, bila ianya bermula, bila tercetus sang perasa? Kalut sekali jiwanya... Hendak membenarkankah apa yang dirasa? "

:: Langsung dari iphone ::

Cubaan buat entry dari iphone. Dah hampir setahun iphone ni tapi baru kali ini saja nak cuba-cuba. Hari ini tidak merancang untuk kemana-mana. En.hubby kata hari ini adalah hari untuk mengemas rumah. Hmmm... Yelah sangat!!! Sedang fikir-fikir hendak masak apa tengahari ni.

Saturday, April 28, 2012

:: Sarapan pagi Sabtu ::

Sabtu ini adalah Sabtu yang rajin mungkin? Awal-awal pagi sudah berjaya menyiapkan sarapan untuk wajah-wajah kesayangan hamba. Hari ini masih ada aktiviti yang akan terlaksana insyaallahhh... meski pun terpaksa mengubah perancangan asal.

 Memandangkan kesayangan-kesayangan masih belum bersedia untuk bangun bersarapan bersama, maka perutnya yang sedang rancak menyanyi berdondang sayang harus diutamakan terlebih dahulu. Sepiring bihun goreng dan secawan nescafe untuk dirinya...

Ditemani juga dengan potongan buah mangga yang manis... enaknya. Syukur alhamdulillahhhh...




" Bulan ini bulan yang sibuk bagi Cik Puan Mastura. Langsung membuatkannya lupa seketika pada Sang Arjuna. Ya, hatinya sedikit lega. Agak jarang dia bertemu Sang Arjuna kerna si dia juga kelihatan sibuk. Mereka lupa seketika 'hal' mereka. Sampai bila??? "

Wednesday, April 25, 2012

:: Aku...April dan Buku... ::

Sudah lama benar ku kira tidak berbicara tentang kekasih-kekasihku ini. Ternyata mereka telah kuabaikan walaupun tidak berniat untuk terus melupakan. Ya... tidak pernah lupa kerana setiap bulan ada sahaja yang ku bawa pulang ke rumah namun tidak juga aku berlaku adil kepada mereka kerana membiarkan mereka tertunggu-tunggu... Bilakah waktunya aku kelek... aku ulit...



Andai kalian mampu berbicara... sudah ku pasti akan berkumandang irama dan lagu ini...." ini tidak adil... tidak adil bagiku..." (alunkan bak lagu Yuna sang penyanyi) Aku cuba untuk adil namun cabang hidup kian bercambah menuntut waktu dan tumpuan. Ruang waktu kian sempit dan terhimpit... masa juga kusalahkan untuk kujadikan alasan. Walhal diri sendiri tiada usaha untuk menjadi bijak mengatur ruang waktu.


Andailah kalian tahu... adakala ruang waktu yang ada itu kubiarkan sahaja berlalu tanpa apa-apa. Pembazir terhebat sudahnya jadi diriku ini. Malu pada kamu? Ya... sudah tentu. Bersalah juga ada... bilakah akan mula menelaah? Mencari diriku yang dulu? Aku cuba...

Yang pasti, hujung purnama nanti... kamu, kamu dan kamu pastikan ketemu teman-teman baru lagi. Aku yakin itu sebab aku dan si dia sudah mula berkira-kira. Bakal bertambah lagi bilangan kekasihku... haru...

:: Nota adik ::

Sejak ada papan putih ni, adik memang suka menulis, menconteng, melukis dan segala bagai. Maklumlah dia kan suka berangan. Ini adalah nota adik untuk ibu yang ditulisnya petang tadi. Susah juga sebenarnya hendak faham apa yang cuba disampaikan oleh adik, tapi bila diulang banyak kali hmmmm... tahulah kisahnya heheh...



Apa sebenarnya ye, yang cuba diceritakan oleh si adik ni? Cer teka!!!



"Sejak beberapa hari ni, asal terserempak sahaja dengan Sang Arjuna hatinya menjadi tak keruan. Duduk tak kena, berdiri pun tak kena... hendak bernafas pun terasa payah. Cik Puan Mastura susah untuk mengelak lagi sebab kadang-kadang dia pun terasa lain macam kalau sehari tidak bertemu dengan Sang Arjuna. Mahu dibuat apa dengan hatinya kini? "

Saturday, April 21, 2012

:: Sneak Peek 2 : Menawan Puncak; Melawan Ketakutan ::

Hari ini mencipta sejarah... untuk pertama kali...






:: Sneak Peek 1 : Simpan Kenangan Lama; Cipta Kenangan Baru ::

Belum ada waktu untuk bercerita panjang... bagi intro sikit saja. Antara aktiviti yang berlaku dalam April Yang Indah...

Friday, April 20, 2012

:: April yang... ::

Hmmm... sendu rasa hati bila tengok hanya satu entry sahaja yang melekat di sini untuk bulan ini. Tidaklah tahu apa sebenarnya yang melanda diri pada waktu dan ketika ini.

April padanya adalah yang paling istimewa, namun April tahun ini juga adalah yang paling sibuk dengan bermacam-macam perkara dan aktiviti. Macam-macam hal termasuk hal kerja, hal peribadi dan lagi... dan lagi...atau dia juga sudah pandai mencipta alasan?



" Sejak kebelakangan ini Cik Puan Mastura asyik hilang fokus.... fokus pada kerja, fokus pada kehidupan... Kenapa dia jadi begitu? Kerana Sang Arjunakah? Mungkin jawapan sebenarnya sudah ada? "

Sunday, April 01, 2012

:: Beri ruang... ::

Dia sangat perlukannya...
Dia perlu ruang
Dia perlu sunyi
Untuk cerita dengan diri

Beri dia ruang itu
Beri dia masa itu
Untuk dia buktikan sesuatu

Beri dia ruang
Untuk ilham yang datang
Muntahkan segala
Dalam ruang
Yang ada

Cerita itu untuk aku
Cerita itu untuk dia
Cerita itu untuk mereka
Cerita itu untuk kita

Usah ditanya
Usah menerka
Usahlah terjah

Kerana dia perlu
ruang itu...

" rupanya Cik puan Mastura silap. Awan tiada kala malam untuk dia berbicara. Dia renung ke langit kelam di atas ruang sana. Dia tidak boleh berbicara, lidahnya kelu tanpa kata. Hanya Sang Arjuna yang dia nampak. Bagaimana? Dia masih tiada jawapan namun hatinya macam ingin berkata-kata. Apa ye? Biarkan dulu untuk Cik puan Mastura tidur dengan lena.  "

Wednesday, March 28, 2012

:: Rahsia rasa... ::

Datang tanpa diundang
Hadir kala tidak disangka
Wujud dengan tidak semena-mena...

Mengapa tiba-tiba?
Getar makin kuat
Debar makin laju
Iya... rasa itu
Sangat meresahkan...

Kenang saat jauh
Terbayang saat terpisah
Tolak ia datang
Tarik ia tak kena

Usaha untuk tepis
Biar ia pergi
Jangan datang lagi
Tetap tidak peduli
Rasa kian menghampiri

Ingin ku khabarkan pada awan
Ingin ku jerit pada bulan
Ingin ku bisik pada bintang

Rahsiakan rasa itu
Rasa yang penuh rahsia
Menjadi milik kita berdua

" Tiba-tiba Cik puan Mastura terpegun kaku. Masih terkejut dengan pengakuan Sang Arjuna. Rasa seperti tidak percaya  kenapa tiba-tiba sahaja. Banyak sedikit hatinya tetap tercuit. Skrin-skrin layar berkisar insiden-insiden antara dia dan Sang Arjuna mula bermain dalam jiwa. Sudah lama agaknya Sang Arjuna mula memberi tanda? Atau dia sendiri sengaja tidak mahu jadi sang perasa? Malam nanti ingin sekali dia berbicara pada awan... Cik puan Mastura harus menafsir dan merungkai semua ini... Biar Sang Arjuna menanti kerna dia sendiri masih kelu untuk memberi jawapan... "

Sunday, March 25, 2012

::Kecil-kecilan saja... ::

Sambutan yang serba sederhana bersama keluarga kecil kami. Walaupun si adik ada juga bunyi-bunyi hendak panggil kawan-kawan.... tapi ibu buat-buat tak dengar saja hihihi.... insyaallahhhh ada rezeki kita buat besar sikit di tahun-tahun akan datang.



 Punya sabar si kecil ini menunggu abah balik. Tadi en.hubby sampai agak lewat petang maka lepas Maghrib barulah bermula acara.

 Semua kena paksa si adik... kena pakai topi.

Adik malu-malu kucing... sebab ibu, abah dan abang nyanyi lagu selamat hari jadi. 





 Sayang ibu...

Muahhh...muahhh...muahhhh 

Sayang abah juga... 

Hadiah dari abah... mana hadiah dari ibu??? Tahun ini adik tidak ada permintaan apa-apa hadiah. Jadi selamat, boleh bagi saja apa-apa :)

Abang.... bertabahlah ye. Hari ulangtahun kamu lambat lagi heheh

:: Selamat hari lahir sayang ibu... ::

Hari ini adik menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 7. Terasa sekejap sangat masa berlalu... melihat adik membesar dari setahun ke setahun. Ibu dan abah orang yang paling bahagia melihat adik membesar dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan. Hanya iringan doa dari ibu untuk adik semoga menjadi orang yang berjaya dan bijaksana untuk agama dan juga bangsa. Semoga adik menjadi wanita solehah bidadari dunia insyaallahhhh...

Sengaja letak gambar adik banyak-banyak.... ibu rindulahhhh... masa adik kecil























7 tahun sudah...