Thursday, December 31, 2009

:: Yang Menarik 2009 ::

  • Pindah rumah dan yang lebih menarik rumah sendiri. Syukur alhamdulillahhh. Rumahku Syurgaku.
  • Si abang memulakan persekolahan Tahun 1. Masa ni ibu terlebih berdebar, teruja pun ada. Maklumlah anak baru nak masuk sekolah.
  • Agenda percutian juga banyak menghiasi diari 2009 kami bermula awal tahun lagi. Yang paling ’happening’ percutian keluarga ke Pulau Langkawi pada bulan Jun 2009. Tahun depan harus buat perancangan lebih rapi.
  • Menyambut kehadiran anak saudara (buat pertama kali)... si kecil Luqman Afif pada 16 Jun 2009. Kehadirannya memberi seribu keceriaan dan kebahagiaan buat seluruh keluarga.
  • Juga pada Jun 2009 menerima kehadiran si Persona dalam keluarga kami. Syukur dengan rezeki yang Allah beri.
  • Laman sosial facebook menemukan kembali dengan rakan-rakan sekolah, sahabat-sahabat yang sama berjuang di I*M dulu. Silaturrahim kembali terjalin, ikatan ukhuwah semakin erat, mengimbau kenangan-kenangan lalu.
  • Kebetulan pun iya... saya dan en. Hubby menerima APC pada tahun ini. Sekali lagi kesyukuran dipanjatkan.
  • Lebih menarik dan sangat bermakna buat saya... akhirnya dapat juga surat ’confirm’ jawatan sekarang... setelah menanti sekian lama.
  • Berpindah pejabat baru di Cyberjaya.
  • Juara pertandingan tarian Cha Cha di Kuching...tahun depan dah malas nak ’join’.
  • Cerita sedih turut mengiringi agenda 2009...kehilangan orang terdekat dalam keluarga. Moga Ayah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.
  • Sesungguhnya...2009 tahun murah rezeki sungguh pada saya dan keluarga. Sangat-sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan ini, dan semoga kami menjadi umatMu yang sentiasa bersyukur dengan segala limpahan rezeki dan nikmat dariMu..... insyaallahhhhh.
    Namun begitu, disebalik rezeki yang dikurniakan, ada juga ujian dan cabaran yang tidak saya duga harus saya tempuhi. Namun... beginilah kehidupan kan... selagi kita di dunia selagi itulah ada cabaran dan kenikmatan.

Muharam 1431H sudah 14 hari berlalu, 2009 sudah di hari terakhir. Lembaran baru bakal di selak. Kehidupan yang bagaimana pula yang bakal ditempuhi selepas ini? Semoga kita semua akan beroleh rahmat yang lebih besar dan sentiasa di pelihara olehNya. Juga Selamat Tahun Baru...

Wednesday, December 30, 2009

:: Checklist Hujung Tahun ::

  • sedang menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja yang baru. walaupun sukar sebenarnya namun alah bisa tegal biasa. macam nak buat 'entry' khas pasal ni.
  • mungkin sebab tempat baru juga agaknya kerja-kerja menjadi lebih luar biasa dengan masalah-masalah yang tidak dijangka. harap-harap yang luar biasa ini dapat dicari jalan puncanya. apa yang penting???kerjaaasamaaa...
  • membuat persediaan sebelum penggal persekolahan dibuka awal tahun. baru 2 orang anak, namun pelaburannya boleh tahan...hampir semput juga dibuatnya. hmmm... macamana agaknya mereka yang punya lebih ramai angkatannya tambah pula jika kesemuanya masih bersekolah? Syukur alhamdulillah dengan rezekiNya. Menjadi harapan semua ibu dan abah moga pelaburan ini mendapat pulangan lumayan untuk masa depan anak-anak... insyaallahhhh. Setiap hujung tahun begini jugalah perasaannya.
  • sedang merencanakan aktiviti yang akan menghiasi tahun 1431H mahupun 2010. Sejak 1 Muharam... membuat senarai semak azam tahun baru. Sudah terlaksana?masih terbengkalai? perlu perbaharui dan di bawa ke tahun berikutnya?
  • satu lagi harapan yang ditanam tinggi menggunung, tahun ni belum dikurniakan moga tercapai tahun hadapan... insyaallah. kena pasang strategi juga ni, camana ya? usaha tangga kejayaan ... doa juga satu ikhtiar.
Ini saja? Tadi rasa macam banyak yang nak dimasukkan dalam checklist ni... tiba-tiba entah kemana hilangnya.

Wednesday, December 23, 2009

:: Terguris ::

Bukan saya yang terguris tapi saya yang telah membuat hati seseorang terguris tanpa saya sedari. Saya tak pasti tapi dapat rasakan dari baris ayat-ayat smsnya...ada rasa yang satu itu. Lewat petang tadi menerima sms dari seorang sahabat berbunyi begini ....

sms 1: " Kenapa tak cakap nak ke kuching? (saya tersentap waktu ini. bagaimana saya boleh lupa sahabat nan seorang ini.)

balas : " sori lupa. mana tau ni?

sms 2 : "iye ler tu lupa...bla bla bla... Betul2 kecewa dgn k*y" (dia sudah merajuk)

dan seterusnya ada lagi sms darinya yang terus-terusan membuat saya rasa bersalah yang amat sangat. saya langsung tidak membalas lagi sms itu. saya kehilangan kata-kata. biar apa pun alasannya... memang saya bersalah. saya ke kuching hujung minggu lepas tapi saya tidak terfikir untuk menghubungi sahabat ini. sahabat yang telah sekian lama terpisah kerana tuntutan kehidupan. sahabat yang pernah berkongsi perasaan mahupun pengalaman. memang tidak sepatutnya ini yang terjadi. saya telah mengguris hati dan perasaan sahabat saya ini... apalagi yang boleh saya katakan. hanya huluran kata maaf yang mampu saya tuturkan. Maafkan saya ani... walau apapun ani memang berhak untuk merasa terguris atas kekhilafan saya kali ini.

p/s: cerita perihal saya di kuching akan ditulis kala hati ini sudah ok huhuhu.

Thursday, December 17, 2009

:: Kejutan ::

Minggu ini saya menerima 2 kejutan dari en. hubby. Pertamanya... dia belikan saya sepasang kasut sukan Nike. Memang beberapa bulan lepas saya ada merungut dengan perihal kasut sukan saya yang dah tak sedap pakai lagi dah. Maklumlah... kasut tu dibeli sewaktu saya pergi kursus induksi itupun lebih 9 tahun yang lalu. Tak sangka pula en.hubby sangat prihatin dengan rungutan saya itu huhuhu... Sebenarnya en.hubby ni bukan jenis yang romantik tetapi kadang-kadang tindakannya yang tak disangka-sangka telah menyerlahkan sisi romantiknya hahaha... puji puji... ntah apa-apa. Apapun terima kasih banyak-banyak untuk en. hubby sayang. Bolehla saya rasmikan kasut tu ke Kuching esok... yey! yey!

Kejutan kedua yang saya terima berlaku 2 hari lepas. Kejutan ini memang buat saya gerammmmm....sangat dengan en.hubby. Hari Selasa tu, petang sebelum balik rumah en. hubby telefon saya di pejabat. Di tanya saya kalau saya ada rancangan nak kemana-mana malam nanti. Bila saya cakap tak ada nak kemana-mana, dia pun ajak saya keluar. Mati-mati la saya ingat dia nak ajak pergi main bowling. Saya pun ok saja dan bila saya tanya nak main bowling kat mana, dia jawab "biarlah rahsia..." Boleh? Hmmm.... saya pun tak palah bila dia jawab macam tu. Lepas Maghrib sedang saya bersiap-siap, en. hubby cakap tak payah pakai lawa-lawa, biasa-biasa je cukup. eh?? pelik betul en. hubby... sebab selalu pun saya bukan jenis yang melawa bagai. Masa ni saya musykil saja tapi buat tak kisah lagi. Waktu keluar rumah, saya bertambah pelik sebab en.hubby bawa semua komik yang dia pinjam dari Imi. Katanya nak hantar balik semua komik tu ke rumah Imi. Saya ni ikut sajalah. Sampai rumah Imi.... jeng jeng jeng... tengok kat luar rumah banyak kasut...eh nampak pula macam kasut Izzuddin... masyaallah rupanya Tok dan Tok Abahnya datang hantar si abang. Diorang baru saja sampai petang tu. Grrrr....kali ini memang saya terkejut b*ruk. Malu sendiri pun ada gak sebab tanpa en.hubby tahu, saya dah siap-siap bawa stokin, ingatkan memang betullah nak pergi main bowling. Bagus sangat lah tu main bowling di Precint 18. Cumanya bila nampak muka si abang tu geram saya cair le juga. Lepas semua rindu dendam pada si buah hati pengarang jantung ibu huhuhu....

Begitulah alkisahnya.... tok dan tok abah akan berada di sini sehingga Krismas. Tapi esok saya pula akan berpergian untuk 3 hari. Saya akan ke Kuching dengan kawan-kawan menari. Tibalah masanya untuk 'perform' selepas penat berlatih selama 2 bulan kebelakangan ini. Harap-harap ada hadiah yang bakal kami bawa balik, tak kisah tempat ke berapa pun hahaha.

Tak lupa juga Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1431. Apa azam anda untuk tahun baru ini? Semoga kita semua akan menjadi umatNya yang terbaik insyaallahhhh...

Tuesday, December 15, 2009

:: Bosan ke? ::

Hmmmm....memang bosan bila berseorangan di sini. Hari ini giliran saya bertugas di Putrajaya. Terpaksa bergilir Putrajaya-Cyberjaya untuk beberapa hari (atau minggu) ni selagi server tidak berfungsi sepenuhnya di pejabat baru Cyberjaya. Yang tak seronoknya bila giliran saya berada di Putrajaya sebab tak ada teman bersembang-sembang. Pejabat ni sudah jadi macam padang jarak padang terkukur, ibarat baru saja dilanda garuda hahaha. Belum nampak tanda-tanda pengambil-alihan oleh bahagian lain, mungkin mereka dalam perancangan kot. Dekat sini, fungsinya lebih kurang macam 'help desk' lah... menerima aduan dari 'user'. Kalau senyap saja tu, maknanya tak ada masalah la agaknya. Harap-harap semua ok sepanjang hari ini.

p/s : Kehidupan memang begini agaknya... bila seorang, kita rasa perlukan peneman. Bila dikelilingi ramai, rasa rimas pula datang melingkar. Signifikannya...kita tidak boleh hidup bersendiri. Sebenarnya kita memerlukan mereka dan kita sebenarnya juga diperlukan oleh mereka. Benarkah begitu? Hidup memang saling memerlukan untuk melengkapi sebuah kehidupan.

Monday, December 14, 2009

:: Aktiviti ::

~ Sabtu ~
Macam biasalah kan... tiba hujung minggu, aktiviti-aktiviti wajib di rumah yang harus diselesaikan sebelum kembali bekerja minggu hadapan. Dalam sibuk dengan urusan rumahtangga masih sempat juga saya memuat turun filem Ketika Cinta Bertasbih 1(KCB1). Sudah lama penantian ini dan akhirnya... hingga ke petang baru siap. Pukul 3 petang, en. hubby hantar saya ke Putrajaya. Saya dan beberapa kawan pejabat yang lain harus berada di Bukit Jelutung atas urusan kerja. Dari Putrajaya saya tumpang Yana ke Shah Alam. Mujurlah tak lama kami di sana. Sebelum Maghrib dah sampai Putrajaya. Sementara menunggu en. hubby, sempat juga menjenguk rumah baru (kuarters) Yana. Baru saja didiami bulan ini....emmm... cantik. Sementara saya harus bekerja, en. hubby melayan si kecik. Dah berjanji dengan si adik nak bawa dia naik kuda pusing.... malangnya belum sempat nak naik, en.hubby terima sms dari saya. Mengamuk sakan dia sampai tertidur. Sampai rumah malam tu, sambung mengamuk.... puas dipujuk. Dah terlanjur terpaksa janji nak bawa dia esoknya... sabar jelahkan dengan kerenah anak-anak ni. Zaman sekarang macam dah terbalik kot, bukan anak-anak yang nak kena dengar cakap mak abah. Sebaliknya mak abah yang nak kena ikut cakap anak-anak.

~ Ahad ~

Selepas aktiviti men'download' filem.... tibalah masa untuk menontonnya. Awal-awal pagi saya dah buka 'lappy'. Masa ni adalah yang paling sesuai sebab semua masih tidur, tak perlu nak berebut dengan si adik dan en. hubby hahaha. Saya menonton dengan amannya filem KCB 1. Filem ini memang 'best'... memenuhi citarasa saya sepertimana saat saya membaca novelnya. Tak sabar nak tunggu sambungannya...KCB2. Sudah ditayangkan di Indonesia bulan September lalu.

Jam 10 pagi, si adik bangun terus menuntut janji. Haru betul dibuatnya. Kami keluar dari rumah tengahari, ke pejabat Putrajaya dulu. Masih ada beberapa barang yang perlu saya ambil. Dari pejabat, kami singgah makan tengahari kemudian terus gerak ke IOI Mall. Melunaskan janji pada si kecil itu... naik kuda pusing. Gembira sakan dia, naik satu pusingan saja dah mampu buat dia tersenyum lebar. Tertunai sudah janji kami, sebelum balik en. hubby belanja makan aiskrim. Masa nak bayar tu, masyaallahhhh... terkejut saya dengan harga aiskrim yang dibeli. Punyalah mahal, padahal kios aiskrim tu kecil saja... memang tak berbaloi. Harga macam makan aiskrim Baskin Robin pula. Saya membebel tak puas hati sampailah ke rumah. Sampai rumah, anak-beranak tidur sampai ke petang zzzzzzz...puas hati hahaha.

Esok, bakal berkerja di Cyberjaya. Macamana agaknya ye perasaannya....? Yang pasti esok akan sibuk dengan aktiviti mengemas barang dari kotak le pula.

Friday, December 11, 2009

:: Cuti ::

Yeyyyy!!! hari ni cuti. Cuti sempena Keputeraan Selangor. Wahhhh.... elok saja berpindah ke Cyber terus cuti pula. Semalam sudah selesai agaknya proses angkut-mengangkut barang dari pejabat di Putrajaya ke pejabat baru kami di Cyberjaya. Saya tidak mengikut rombongan mengangkut ke Cyber. Hanya menunggu sehingga jam 8 malam semalam, itupun masih belum selesai.... biarlah jawatankuasa angkut-angkut ni yang menguruskan semua hahaha...

Pagi ni bangun tidur terasa lenguh seluruh badan. Agaknya penangan berkemas satu hari semalam. Kemudian angkut sedikit barang-barang yang perlu bawa balik rumah. Kedua-dua belah bahu saya terasa lenguh dan sakit-sakit. Tenaga sudah tidak seperti dulu. Semakin meningkat usia, semakin menurun paras kecergasan dan daya tahan.

Sejak semalam hanya tinggal berdua, saya dan si adik. En. hubby berpergian untuk 2 hari, mungkin malam nanti baru sampai. Bila tinggal berdua-duaan begini rasa sunyi dan bosan pula. Sedang berfikir-fikir aktiviti untuk hari ni.... nak kemana ye? Petang ni ada latihan menari pula. Haruslah diangkut si adik bersama. Aduhhhh..... bosannya.... badan pula sakit-sakit, rasa malas semacam saja ni. Mungkin aktiviti tidur adalah pilihan terbaik buat masa ini????

Thursday, December 10, 2009

:: Nyanyi Rindu ::

Abang...
Adik dah tidur,
agaknya abang pun dah tidur kann...
tidur dengan siapa ye,
dengan tok dan tok abah agaknya...

ibu belum mahu tidur....
masih terdengar-dengar di telinga ibu,
suara abang petang tadi...
ohhhh.... ibu sangat rindu,
suara abang yang gembira...
"abang buat apa tu?".....
"abang tolong tok ni korek tanah...."
"hah! nak buat apa korek tanah?"...
"tolong tok tanam rumput"...

abang rindukan ibu tak?
dengar macam tak...
ibu nangis ni sayang....
ibu rindu sangat...

ibu rasa terkilan...
ibu tak dapat nak peluk,
nak cium abang...hari itu
maafkan ibu ye...

teruklah ibu ni kannnn
sikit je nak nangis...
abang ok saja, ibu pula yang lebih
mestilahkan... abang kan cinta hati ibu...

hmmm...sabar ye ibu
nanti abang balik,
gaduh-gaduh dengan ibu lagi ye...
kita main badminton...
kita berebut 'lappy' abah...
hishhhhh... nakal betul anak ibu ni

ibu tetap nyanyikan lagu rindu ini...
buat sang cinta hati
hati seakan berjerebu
jiwa ibu berkocak menanggung rindu
hanya Tuhan saja yang tahu
betapa setiap waktu rindu datang bertamu

Monday, December 07, 2009

:: Penghujung tahun yang… ::

Agak sibuk bagi semua orang di pejabat. Pertama sibuk dengan kerja yang tidak pernah habis malah bertambah-tambah pun ada. Keduanya dan yang paling utama adalah pindah pejabat. Kami akan berpindah ke pejabat baru di Cyberjaya bermula Khamis ini. Persiapan sedang giat dijalankan jadi masing-masing pun sibuklah mengemas segala barang-barang dan peralatan. Pindah atau hijrah sempena tahun baru hijrah yang akan disambut dalam 2 minggu lagi moga menjadi permulaan yang baik buat kami semua di tempat baru.

Masing-masing diberi 2 kotak untuk diisi barang-barang peribadi. Hmmmm.... saya belum siap berkemas walaupun sudah mula sejak minggu lepas. Baru masuk tahun kelima saya di sini, tapi jumlah barang boleh tahan le juga. Tak tahu macamana nak susun-susunkan masuk ke dalam kotak. Masih dok bertangguh-tangguh, mungkin juga saya ni jenis yang suka buat kerja ’last minute’.... tunggu sehingga nanti dah memang betul-betul nak diangkat haaaa masa tu baru nak kelam kelibut. Memang tak bagus tabiat macam ni tapi nak buat macamana dah memang suka macam tu, semacam ada ’thrill’ sikit hahaha.
Sebut pasal pindah ni memang satu perkara yang amat meletihkan. Hujung tahun lepas pun saya sibuk dengan pindah juga. Masa tu sibuk pindah rumah. Memang bercinta nak mengemas semua....tambah pula barang-barang memang tersangat banyak. Hujung tahun ni pun masih tajuk yang sama.... pindah. Tapi mungkin tidaklah sebanyak waktu pindah rumah dulu, jadi ia tidaklah membebankan sangat. Ada sesetengah barang tu yang harus saya angkut balik rumah juga nampaknya. Aktiviti pindah-memindah ni penatnya bukan sebab apa, mula-mula sebelum pindah perlu berkemaskan.... lepas pindah sampai tempat baru pun perlu berkemas juga kannn... itu yang penat sebenarnya.

Harap-harap perpindahan atau penghijrahan ini akan berjalan lancar sepertimana yang dirancangkan. Ditempat baru, suasana baru,semangat baru, jiwa baru.... kot-kot ada rezeki dapat anak baru hahahaha......... insyaallahhhhh.

Wednesday, December 02, 2009

:: Sederhana yang meriah ::

Walaupun ianya Hari Raya Aidiladha mungkin sambutannya tak semeriah Aidilfitri namun ia adalah kepuasan buat kami. Berkumpul semua adik-beradik di rumah mak… banglong, adik shakir dan keluarga, saya dan juga keluarga serta dikyah. Ada rasa yang tak boleh diungkap, diluah mahupun digambarkan…. lebih-lebih lagi mak lah. Mak lah yang sangat beria-ia buat persiapan…. Nak masak tu, nak masak ni, nak buat itu... nak buat ini. Semuanya untuk anak cucu. Mujur juga saya balik awal 2 hari sebelum raya, dapatle tolong-tolong mak. Dengan hasil usaha mak dan sedikit bantuan dari saya, banglong dan juga adik-adik... inilah juadah istimewa di Aidiladha.... ketupat + lemang dan rendang, nasi minyak + gulai ayam, laksa (paling istimewa), puding laici..... dan ada le lagi yang lain-lain tu yang dah malas nak sebut. Pendek cerita.... sambutannya hanya sederhana namun masih meriah. Sehari suntuk tidak kemana-mana hanya melayan saudara-mara dan rakan-taulan yang datang. Nak bergambar-gambar pun dah tak sempat.

Dua hari sebelum raya pun seronok dan puas juga sebab dapat makan buah durian Perak, ’fresh’ dari dusun bapa mertua adik. Isinya memang cantik, memang buat orang terliur le. En. Hubby makan sampai pening-pening kepala. Sempat juga mak buat kuah durian untuk dimakan dengan roti benggali. Pergggghhhhh..... sedap.. sedap.


"Oh kome, doroyan udah luroh... oi!!!"


Kami balik ke KT hari Sabtu........ itupun bertolak dah hampir ke tengahari. Alhamdulillah sepanjang perjalanan lancar saja, tak banyak kereta sangat. Kami singgah Bukit Bunga dekat daerah Jeli, Kelantan. Bukit Bunga ni macam Padang Besar, Rantau Panjang, tempat orang kita dok membelah-membelah tu. Cuma kawasan dia taklah besar sangat, di tepi jalan saja. Tapi, masa kami sampai tu dalam pukul 4 petang, orang punyalah ramai. Apalagi...... kita ’shopping’!!!!....hmmmm bukanlah beli apa sangat pun ada la sikit-sikit hahaha. Tengok gambar di bawah cukuple.


Pilih jange tok pilih....abe ooiii....



Yang mana satu.... idaman kalbu...



Lepas pening-pening nak pilih mana satu yang berkenan, dompet abah pun penat le lepas ni

Sampai dekat daerah Besut, en. Hubby sibuk nak beli ubi keling. Memang kat tepi-tepi jalan ada banyak gerai-gerai yang jual ubi keling dan macam-macam jenis ubi lagi. Cuma masa kami sampai di situ dah jam 6 lebih, dah banyak gerai yang tutup. Nak jadi rezeki en. hubby akhirnya dapat juga dia beli ubi keling yang diidam-idamkan. Rebus, makan panas-panas sedap ni, ditemani pula dengan kopi panas di musim hujan begini memannnnggg sedap.


Makcik jual ubi keling ni terkejut ingatkan kilat, rupanya 'flash' kamera

Hari Ahad, kami pergi main bowling di Kuala Ibai. Tempatnya tidaklah besar sangat, ’lane’ dia pun ok-ok saja, pin bowling pun agak ringan, bolehlah nak main seronok-seronok. Oleh kerana hari Ahad adalah hari bekerja di negeri T maka kami tidaklah berebut ’lane’ menunggu giliran. Sangat tenang dan aman-damai dengan en. Hubby, anak-anak dan adik-adik ipar. Sedang seronok kami membaling bola bowling.... tup-tup kami nampak ada seseorang yang sangat dikenali malah beliau juga sangat dikagumi.... emmmmm siapa agaknya.....jeng jeng jeng...beliau adalah Ustaz Zawawi Yusof dan keluarga..... tentulah nak main bowling kannnn....... sangat ’sporting’ lah ustaz nih.

Dah habis 2 ’game’ kami main….. dari situ kami gerak pula ke Noor Arfa Batik. Hmmmm.... tempat yang membahayakan dompet ni. Yang bahaya lagi tu sebab ada jualan murah akhir tahun, diskaun sehingga 70%. Selepas sejam lebih di situ, dompet saya memang sudah berada di paras bahaya lagi membimbangkan huhuhu....en. hubby apalagi menjeling-jeling manja le...... sendiri mau ingat la hahaha.

Kami bertolak balik Puchong petang Ahad tu juga. Perjalanan balik yang sangat memenatkan mental dan fizikal. Mana tidaknya..... kami terperangkap dalam kesesakan bermula selepas daerah Dungun hingga la melepasi jambatan di Kemaman. Lebih kurang 2 jam lebih kami dalam kesesakan. Bayangkanlahhhhhh........ mujur dah berhenti makan di Kerteh. Satu perjalanan yang sangat jauhhhh..... dari jam 4 petang sampai rumah dalam pukul 3.15 pagi. Haruslah pengsannnnnnn esoknya. Mujur hari Isnin masih bercuti. Itupun tidaklah dapat berehat sepenuhnya, maklumla..... saya seorang ibu. Tapi letih dan penat saya sikit terubat bila melihat bunga ros di laman rumah sudah berkembang. Hidung saya pun dah kembang semacam sebab tak sangka akhirnya tangan saya ni menjadi juga hehehe..... bangga tak ingat dah nih. Sebelum ni pokok orkid saya pun dah mengluarkan bunga dengan jayanya.... ni yang buat semangat saya berkobar-kobar nak menambah koleksi pokok bunga. Nak beli pokok bunga apa lagi ye agaknya???? Lupa pula nak 'upload' gambar bunga ros kembang tu, sebab 'snap' guna kamera 'handphone' saja.

Tuesday, November 24, 2009

:: Sudah Tidak Sama ::

Beberapa tahun dulu….saya jarang masuk tidur awal, paling awal pun pukul 12 tengahmalam. Itu termasuk hari-hari bekerja. Dulu, kebiasaannya kalau saya tidur lewat, saya akan jadi segar-bugar dan cergas esoknya. Sebaliknya kalau saya tidur awal, nescayalah esoknya saya akan mengantuk dan lesu saja. Pelik tapi benar. Tapi itu cerita dulu. Sekarang sudah tidak sama lagi. Dulu, saya sanggup berjaga hingga lewat pagi untuk menghabiskan satu-satu novel... terutamanya novel yang saya suka. Dan bila esoknya, saya masih bertenaga untuk melaksanakan tugas dan rutin harian. Itulah cerita dulu. Sekarang lain pula ceritanya.

Saya tidak boleh berjaga malam lagi.... elok saja pukul 10 malam saya dah mula mengantuk. Kadang-kadang kalau letih sangat, lepas Isya’ lagi saya boleh terlelap. Adakalanya, tenaga dari mana entah datangnya membolehkan saya berjaga hingga lewat malam tapi esoknya..... badan saya jadi sakit-sakit dan tidak bermaya. Mungkin kerana peningkatan usia, ditambah saya tidak mengambil apa-apa ’suppliment’ untuk menyokong stamina diri. Saya juga tidak mengamalkan sebarang senaman untuk mengekalkan kecergasan badan. Mungkin inilah antara punca-puncanya. Beberapa bulan yang lalu ada juga saya ambil ’suppliment’.... tapi itulah saya, hangat-hangat taik ayam. Mak dan en. Hubby selalu pesan suruh minum susu. Saya pun beli susu, tapi tak tahulah kenapa tekak saya ni memang tak boleh nak terima kecuali masa mengandung dulu saja.

Apa yang harus saya lakukan? Saya memang jadi tak senang dengan keadaan yang saya alami ni. Memang ada rasa tak puas hati. Perlu perubahan.... perlu perubahan... apa yang nak diubah? Cara hidup sihat? Pengambilan diet yang seimbang? Teruskan dengan ’suppliment’? Kuatkan semangat untuk minum susu tiap-tiap malam sebelum tidur? Berjogging tiap-tiap hari minggu? Persoalannya......... bolehkah saya? Arrrrggggghhhhhhhh!!!!!

p/s: Malam ni dah nak balik SP, rumah masih bersepah, baju belum berkemas lagi, ada sebakul lagi kain baju belum jemur (nak salahkan hari hujan gak ni). Harus balik kejap lagi akan keluar segala jenis bunga silat. En. Hubby tolong!!!

Monday, November 23, 2009

:: Cerita Ahad ::

Hari Sabtu kami berehat sepenuhnya…hari Ahad baru beraktiviti…hmmm pelik tapi itulah yang terjadi. Selalunya Sabtu adalah hari yang sibuk dengan segala macam aktiviti dan Ahad adalah hari untuk berehat sebelum bekerja esoknya. Tidak perlu nak ambil kisah yang penting kami semua gembira terutamanya abang dan adik.

Semalam abang dan adik melepas gian mandi kolam di Pusat Komuniti Cyberjaya sempena Hari Sukan Amanputra. Rasanya kali terakhir mereka mandi-manda masa bercuti-cuti ke Langkawi, Jun lalu. Itupun semenjak wabak yang satu itu merebak memang kami tak berani nak mandi-manda di tempat awam macam WetWorld, Sunway Lagoon ke...malah kolam di hotel pun. Langkah berjaga-jaga kan. ”Prevention is better than cure”....lebih baik kita mencegah dulu sebelum terkena.

Gembira...

Sangat gembira...

Memang puas anak-anak mandi hingga jelas di wajah mereka rasa kepuasan dan kegembiraan, kalau boleh tak nak balik, biarpun sampai mulut jadi biru, badan terketar-ketar menahan kesejukan. Bayangkan seawal jam 9 pagi hingga menjelang 12 tengahari mereka berendam dalam kolam. Keluar sekejap-sekejap untuk melayan perut yang lapar kemudian terjun semula. Bahagianya hidup anak-anak ini. Tidak ada resah menjalar hati, tiada rasa gundah melintas jiwa... yang penting hasrat mereka dipenuhi. Sebelum pulang, kami makan tengahari di Bukit Puchong.... tak dapat menunggu kawan-kawan setaman yang lain sebab saya dan en. Hubby dah penat sangat. Kalau boleh nak terus balik dan tidur saja. Pun sebaik sampai rumah, saya masih tak dapat merehatkan badan, ada saja kerja-kerja yang menunggu untuk dilangsaikan.... rutin biasa seorang ibu. Si abang dan en.hubby memang betul-betul tidur... lain pula si adik yang masih gagah bermain.

Lewat petang kami ke rumah adik di Sentul hantar si abang. Sebabnya sekarang dah mula cuti sekolahkan... jadi si abang akan menghabiskan cutinya di kampung dengan toknya (mak saya), kemudian selepas raya haji akan kami hantar pula dia ke kampung mertua di Terengganu. Kesian juga dengan si abang ni.... tapi kami tak ada pilihan lain. Yang paling seronok tok dan tok abah le.... cuti panjangkannn...jadi puaslah dapat bersama cucu sulung mereka.

Saya pun minggu ini hanya bekerja selama 2 hari sahaja, kemudian akan bercuti balik kampung di SP untuk sambut Hari Raya Haji. Raya kedua kami akan balik ke Terengganu. Saya akan bercuti hingga Isnin depan. Seronoknya.... tak sabar dah ni nak becuti-cuti.

Wednesday, November 18, 2009

:: Syukur ::

Melihat keputusan peperiksaan anak-anak semalam, saya panjatkan kesyukuran yang tak terhingga pada Yang Maha Esa. Dia mengurniakan saya anak-anak yang bijak, yang keletah. Walaupun abang dan adik tidak mendapat tempat pertama, namun keputusan yang mereka peroleh sangat memberangsangkan dan memuaskan. Saya dan en. Hubby menerima keputusan ini dengan minda yang terbuka dan positif. Saya harus akui yang saya dan en. Hubby tidak begitu banyak masa untuk diluangkan bersama anak-anak untuk membimbing mereka dalam pelajaran. Hasil yang diperoleh memadailah dengan usaha yang dilakukan. Terpaksa mengakui juga kekhilafan diri dalam mendidik anak-anak… kadang-kadang diri sendiri lalai dengan urusan lain, kadang-kadang melepaskan kemarahan, ketidakpuasan pada anak-anak. Bila difikirkan balik… apalah yang anak-anak ini tahu kan… yang seorang baru 7 tahun dan yang seorang lagi baru menginjak usia 4 tahun. Pun saya juga tidak mahu terlalu memandang kepada kejayaan akademik semata. Di zaman yang serba mencabar ini, pengisian rohani dan jasmani harus diseimbangkan. Didikan awal penting dalam menentukan kejayaan dunia dan akhirat di masa depan. Saya dan en. Hubby harus bermuhasabah dan menilai semula cara didikan pada anak-anak. Memang banyak yang harus diperbaiki, diberi nilai tambah…. dan mungkin juga perlukan satu anjakan paradigm. Rasanya belum terlambat lagi kot… insyaallahhhh. Moga Allah lorongkan kami jalan yang lurus, luas lagi menenangkan.

Sunday, November 15, 2009

:: SkafMerahJambu ::

Petang-petang Ahad begini tidak kemana-mana. Tengahari tadi, mak mertua dah balik KT naik bas jam 12 tengahari. Masa terluang yang ada ni sempat juga saya ’blog hopping’.... jalan-jalan baca blog-blog yang menarik. Masa ni, tiba-tiba teringat pasal ’blogger’ yang dikenalkan dalam rancangan bual bicara ’Apa Kata Wanita’ (AKW) di RTM 1. Yang sebenarnya jarang sangat saya menonton rancangan ni, kebetulan pagi tadi tertengok dan kebetulan juga masa tu segmen khas kisah seorang ’blogger’ ni. Tajuk blog... SkafMerahJambu... macam menarik, cuma saya tak pasti pula pengisian dan rasionalnya segmen ini dimasukkan dalam AKW. Saya dah berkunjung ke blog yang empunya diri tersebut.... memang menarik tetapi pengisian segmen dalam AKW adalah sama sepertimana yang diceritakan di dalam blognya. Pada saya kalau setiap minggu kisah dalam blog ini dimasukkan dalam AKW, tentulah tak ada maknanya kan, sebab pengikut blog ni boleh melawat blognya saja untuk baca ’entry’ terkini. Apapun tak kisah le sebab saya dah jatuh minat nak ikut si SkafMerahJambu. Kalau tak silap saya rasanya dia ni bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah... persembahan blog pun ringkas namun menarik, gaya bahasa yang digunakan pun ok juga. Mungkin ada sesuatu yang saya akan peroleh melaluinya kannnn....siapa tahu.

Friday, November 13, 2009

:: So U Think U Can Dance ::

Hmmmm… sebenarnya tajuk entry tidak ada kena-mengena dengan rancangan realiti tv di America yang mencari penari terbaik tu. Tapi masih ada kena-mengena dengan diri saya… ecewahhh. Memang saya rasa saya pandai menari hahaha…ntah apa-apa kannn… tapi saya memang minat menari sejak dari kecil dan saya rasa memang saya ada bakatlah.. aduhhh…ayat tak ingat ni. Tak tahulah kannn… sejak kecil saya memang cenderung dengan acara-acara kesenian dari tadika sampailah ke sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah saya belajar di ITM dulu. Saya tak mencari atau mengejar peluang kea rah itu tapi kadang-kadang peluang itu yang datang di depan mata. Bila sudah di depan mata maka sukarlah saya menolaknya. Mungkin bagi sesetengah orang aktiviti seni macam ni terutamanya menari macam tak berapa elokkannn… dan kadang-kadang saya pun ada rasa macam tu juga. Mungkin juga sesetengah orang berpendapat ia sesuai untuk orang yang jenis gedik-gedik sikit kannn. Tapi saya malas untuk fikirkan segala kemungkinan itu sebab saya memang minat.

Bagi saya menari dapat redakan tekanan. Menari yang betul, ikut kareografi yang tepat hingga habis lagu...ada satu rasa kepuasan dalam diri. Menari ni satu senaman juga??? Mungkin, sebab yang pasti lepas menari kita akan berpeluh dan lepas tu kita akan jadi lebih cergas dan segar. Itu pandangan peribadi saya sajalah.

Cerita pasal menari ni, sekarang saya sedang giat berlatih dengan kawan-kawan sekumpulan untuk pertandingan tarian Ca Ca. Pertandingan dijadualkan pada hujung bulan depan. Pening juga memikirkan tentang latihan yang diadakan tiga kali seminggu ini. Pening bila nak seiringkan minat dengan tanggungjawab. Komitmen yang sedia ada ditambah dengan komitmen terhadap latihan tarian ini sikit sebanyak mengharu-birukan kehidupan saya dan en. Hubby. Bila memikirkan yang kadang kala saya harus juga memberi peluang untuk saya meneruskan minat yang satu ini, saya sanggup cari jalan untuk melancarkan segala. Biarpun hidup agak kelam-kelibut namun sebab minat punya pasal semua rintangan harus diharungi huh! Lagipun bukannya selalukan.

Terima kasih jugalah pada en. Hubby tersayang sebab cuba memahami minat saya ini dan memberi peluang mahupun ruang pada saya. Pernah juga saya dan Dikyah berbincang dan berangan untuk mengikuti kelas tarian (berbayar).... tapi hasrat ini harus ditangguhkan dulu memandangkan bajet yang agak semput kebelakangan ini. Tunggulah kehidupan dan kewangan menjadi lebih stabil, mungkin lepas itu saya akan teruskan minat ini dan menjadikan ia salah satu hobi saya secara serius.

Thursday, November 12, 2009

:: Berkursus @ bercuti ::

Hari ni baru masuk pejabat setelah berkursus 3 hari di Kemaman. Sebelum dapat surat panggilan untuk kursus ni, saya selalu dok bebel dengan en. hubby sebab dia selalu saja dapat keluar sehari dua dengan kawan-kawan untuk ‘release tension’. Asyik tinggalkan saya dan anak-anak kat rumah. Memang ada sikit rasa tak puas hatilah kan. Hello.... kita sama-sama bekerja kan...jadi mesti ada tekanan sikit sebanyak kan. Seorang isteri dan ibu perlu juga me’release’kan ’tension’nya kannnn. Zaman sekarang zaman dua-dua orang keluar bekerja cari makan, jadi dua-dua orang pasti rasa ’stress’ dengan tanggungjawab terhadap kerja dan juga rumahtangga. Dalam hati tu ada juga teringin nak pergi bercuti di mana-mana nak tenangkan fikiran.... kononnyalah, tapi kalau dapat pun hissshhhh dah tentu-tentulah tak sampai hati. Akhirnya.......bila khabarkan pada en.hubby pasal surat panggilan kursus ni, boleh dia cakap....haaaaa...”ni kira pergi bercuti tenangkan fikiranlah". Kononya dia bagi can le pada saya untuk tinggalkan segala urusan dari hal-hal rumahtangga, anak-anak, kerja segala bagai. Kata en. Hubby lagi...” ala..kursus ni pun bukannya serius sangat pun, banyak masa free, ibu kira macam bercuti juga le, boleh rehat puas-puas”. Boleh??? Hmmm....saya masih tak puas hati tapi isu itu saya biarkan saja. Lagipun kursus itu wajib untuk saya hadiri selagi tidak ada sebab-sebab yang munasabah untuk menolaknya.

Hari Ahad, en.hubby menghantar saya ke Kemaman. Anak-anak dan mak mertua (terpaksa import mak mertua untuk jaga anak-anak) pun ikut sama. Dia dah hantar, nak balik nanti...dia cakap ”pandai-pandai sayang lah ye”....sekali lagi...boleh? Harus banyak-banyak bersabar. Tidak mengapa...saya ambil kesemuanya secara positif dan saya harus bergembira dengan kursus@cuti ini, walaupun agak berat untuk meninggalkan anak-anak terutamanya si adik. Sudah agak lama saya tidak ada kerja luar yang memerlukan saya meninggalkan mereka untuk beberapa hari, jadi kali ini memang rasa payah sikit lah. Si adik memang nangis sakan. Saya pun sebenarnya tak tahan tapi apa nak buat kan.

Saya melalui kursus ini selama 3 hari dengan jayanya. Memang gembira dapat ikuti kursus ini. Pertamanya, kandungan kursus yang sangat berguna dan penuh informasi. Perkara yang menjadi kemusykilan dapat dirungkaikan. Keduanya, dapat berkenalan dengan semua peserta kursus dari pelbagai bidang tugas. Saling berkongsi pengalaman menambah pengetahuan. Ketiganya, saya memang dapat berehat tanpa tekanan. Lagipun tempat kursus betul-betul menghadap pantai yang sangat mendamaikan. Betullah tu kata-kata en. Hubby. Sekurang-kurangnya tiga hari lepas yang saya lalui sikit sebanyak dapat meredakan tekanan dalam menjalani kehidupan. Saya kembali ke rumah dan juga pejabat dengan perasaan baru yang lebih segar.... syukur...alhamdulillahhhh.

Wednesday, November 04, 2009

:: Air Tangan + Kasih dan Sayang ::

Semalam waktu perjalanan balik dari kerja, sedang fikir-fikir apa yang nak di masak malam nanti. Stok lauk-pauk basah memang tak ada langsung. Nak beli makanan di kedai pun dah macam tak ada selera pula. Anak-anak pun macam tak berapa nak laju makan kalau beli lauk kedai ni. Sampai rumah, tengok telur ayam saja yang ada dalam peti sejuk. Jeng…jeng…jeng… maka menu malam tadi hanyalah telur goreng masak kicap. Tapi oleh kerana ia adalah dari air tangan ibu yang memasak ditambah dengan rencah kasih sayang, serbuk perasa cinta yang mendalam maka ia telah menjadi hidangan yang sangat istimewa. Anak-anak makan siap bertambah, habislah satu ‘port’ setengah nasi. Bahagia seorang ibu memang tak terungkaplah. Hilang semua lelah, penat, letih, malas bila tengok si abang dan adik senyum puas kekenyangan. Anak-anak yang sedang membesar ni memang tengah selera nak makan. Kalau boleh memang diorang akan minta nasi. Sebab itu lah kalau saya tak masak rasa macam kekurangan saja campur rasa bersalah. Saya sedang berusaha untuk merajin dan menguatkan diri untuk memasak tiap-tiap hari walaupun sejak kebelakangan ini saya rasa macam letih sangat campur ada rasa malas-malas sikit. Kita boleh perasan lah...anak-anak ni kalau dia kenyang kemudian kita pun layan saja kehendak dia memang ’mood’ dia pun akan baiklah sepanjang masa. Tapi sebaliknya kalau kita asyik marah-marah, jamu dia setakat apa-apa je yang ada kemudian macam nak tak nak je melayan dia haaaaa.......siaplah, memang syeh buat perangai ngan angin kus-kus dia pun datang jugaklah. Akhirnya kita juga yang sakit hati. Minggu ni kalau boleh saya tak naklah merosakkan ’mood’ anak-anak sebab minggu peperiksaan kan. Cuba juga lah mengawal diri supaya tak marah-marah sangat. Selagi boleh kawal saya kawallah tapi kalau nampak dia macam buat perangai terlebih tu haaaa kena jentik juga lah telinga tu. Lepas ni saya harus lebih bersemangat. Cinta...kasih dan sayang ditambah dengan air tangan....adalah tonik kebahagiaan.

Wahai hati dan jiwa....bersabarlah. Ini semua dugaan semata. Mengukur dan menguji tahap keimanan kita. Anak-anak adalah amanah dari Yang Esa. Di akhirat sana...doa mereka jugalah yang kita pinta. Moga syurga tempat kita.”

Tuesday, November 03, 2009

:: Perkara Biasa Namun Signifikan ::

Setiap yang hidup pasti akan matikan. Ya…ia adalah perkara biasa namun ia menjadi signifikan apabila yang mati adalah mereka yang dekat dengan kita, yang kita sayang, yang kita masih belum puas bersama dengannya. Berita kematian juga menjadi signifikan buat kita yang masih hidup ini supaya sentiasa mengingati mati, dan ajal akan datang menjemput bila-bila masa andai Dia menghendakinya. Awal pagi Sabtu lepas, ayah (tok lelaki kepada en.hubby) telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas berjuang menahan kesakitan sejak Jumaat pagi. Hari Jumaat, mak mertua telefon memaklumkan bahawa ayah dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian dada awal pagi itu. Selepas dimasukkan ke hospital keadaan ayah semakin kritikal dan dijangka ayah akan dibedah pada bila-bila masa. Kebetulan pula hari yang sama en. hubby mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Nuang. Sejak menerima panggilan dari mak mertua, saya telah berkali-kali cuba menghubungi en. hubby namun tidak berjaya. Sehinggalah ke tengah malam baru terima panggilan balas dari en. hubby namun en. hubby hanya dapat turun pada keesokan hari memandangkan hujan lebat sepanjang hari akan menyukarkan perjalanan. Pada tengah malam itu juga, mak mertua telefon memaklumkan yang ayah sudah selamat menjalani pembedahan. Walaubagaimanapun, keadaan ayah masih sangat kritikal dan doktor hanya memberi harapan 50-50 sahaja. Waktu itu ayah sudah berada dalam keadaan koma dan masih tidak sedarkan diri. Saat itu jiwa saya jadi libang-libu, perasaan sudah tidak terucap lagi hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja, sambil menanti kepulangan en.hubby. Awal pagi Sabtu sementara saya bersiap-siap sambil menunggu en.hubby, sekali lagi menerima panggilan dari mak mertua dan kali ini berita sedih yang kami terima. Allah lebih menyayangi ayah. Mengikut perancangan jenazah ayah dijangka akan dikebumikan selepas solat Asar hari yang sama. Kami pula hanya bertolak dari rumah sudah tengahari dan mungkin akan sampai juga selepas waktu Asar. Sewaktu kami sampai, Imam sudah mula bacaan talqin. Takdir menentukan en.hubby tak sempat menatap wajah ayah buat kali terakhir. Kali terakhir kami jumpa hanya pada Aidilfitri lalu. Walau apapun, semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....insyaallahhhh....aminnnnn. Saya tahu en.hubby sangat terkilan, namun apakan daya...kita hanya merancang Allah jua yang menentukan.

Kami balik sini hari Ahad sebab minggu ini si abang ada peperiksaan akhir tahun. Si adik pun sedang periksa juga. En. hubby pun ada periksa juga. Pendek kata... sekarang ni dah masuk musim peperiksaan... tapi ibu juga lah yang menjadi orang yang paling sibuk dan susah hati. Semoga mereka yang ibu sayang ni dapat menghadapi peperiksaan dengan baik dan semoga mendapat keputusan yang baik juga.... insyaallahhhh. Hari Isnin saya ambil ’EL’ sebab dah tak tahan tengok rumah yang tunggang-langgang yang kami tinggalkan sejak hari Sabtu. Lagipun banyak perkara yang harus diselesaikan juga. Alhamdulillahhh....semua dah selesai cuma si Persona saja yang belum ’servis’. Semalam pergi bengkel, tutup pula sebab buat ’renovation’, hari Rabu baru buka semula. Mujur juga di pejabat tak ada kerja yang ’urgent’. Terasa betapa kehidupan biasa-biasa saya ini menjadi sangat signifikan ketika ini. Apa yang dilalui oleh mereka yang melingkari perjalanan hidup saya menjadi sangat bermakna kepada saya saat ini. Apa yang sedang saya bebelkan ni ya??? Entahlah...saya sendiri pun tak tahu.

Thursday, October 29, 2009

:: Minggu yang… ::

Sibuk, yang ‘stress’, yang memenatkan, yang memeningkan, yang juga gembira dan bermacam yang lagi sejak minggu lepas. Sibuk dengan kerja yang tak habis-habis(dah namapun bekerja kannn), juga sibuk dengan aktiviti tambahan lain, dicampur dengan sibuk yang sedia ada ni. Bila semua dah bercampur segala bagai, maka ‘stress’ la pulak jadinya. Agaknya wanita memang mudah kena ’stress’ kan. Mungkin juga sebab wanita khususnya para ibu lagi-lagi yang berkerjaya...kena ’settle’ macam-macam...kira buat ’multi-tasking’ la kannn. Mau tak ’stress’ jadinya kannnn. Saya ni pun dah ’stress’ juga ni...tambah teruk bila semua perkara datang bertimpa-timpa dalam selang tempoh yang sangat rapat. Macamana harus saya hadapi semua perkara dengan serentak??? Haruslah tak boleh kan. Bila macam ni, ia dah jadi satu perkara yang sangat memeningkan. Kita rasa kita boleh jadi ’super women’... ’supermom’... tapi hakikatnya...penat..penat... Namun dalam ’stress’ yang sedang mengganggu ini ada juga bahagia dan gembira yang menjengah hati. Mujur ada.... kalau tak ada langsung cerita bahagia harus ’stress’ ini akan menghancurkan segala. Lalu bagaimana nak menangani gangguan ini.... haruslah lebih mendekatkan diri denganNya kannn....ada dok terasa-rasa dalam hati ni, diri semakin leka dengan tuntutan duniawi...sebab tu le agaknya Dia memberi uji. Bawa bertenang.... bawa bertenang...

Sekadar mengurangkan ’stress’ walau hakikatnya memang tambah ’stress’ bila dok memikirkannya...


Alkisah : Perbualan antara abah dan anak lelaki + perbualan telefon abah dan ibu +
perbualan ibu dan anak lelaki

Lokasi 1 : Dalam kereta, balik dari sekolah

Anak lelaki : ”abah, tadi kan cikgu cakap, abang kena buang sekolah”

Abah : ” hah! Kena buang sekolah? Kenapa pulak? Abang buat apa?”

Anak lelaki : ”tak...tadi tu cikgu cakap kalau tak tukar pakai baju sekolah, abang nak
kena buang sekolah”

Abah : ”kenapa awak tak salin baju? Oh tadi ada PJ kan...haaa kenapa tak salin?”

Anak lelaki : diam saja (tamat)

Lokasi 2 : Perbualan telefon (abah dalam kereta + ibu di pejabat)

Abah : ”hah ibu....ni anak ibu ni dah nak kena buang sekolah”

Ibu : ”hah! Kena buang sekolah? Kenapa? Dah dapat surat ke?”

Abah : ”tak tau lah.... ibu cakap sendiri dengan dia”

Ibu : ” awak nak kena buang sekolah ke? Kenapa? Awak buat apa?”

Anak lelaki : ”abang tak tukar baju lepas PJ tadi. Lepas tu cikgu suruh tukar masa lepas
rehat tu, tapi abang lupa sebab dok sibuk baca buku. Pastu cikgu cakap le
kalau tak tukar juga lepas ni, kena buang sekolah.”

Ibu : Dah rasa lega sikit sebab tadi ingatkan memang betul-betul kena buang
sekolah. Sabar je la.

”haaaaa.... kan ibu dah cakap banyak kali. Baju sekolah tu ibu dah siap letak
dalam beg sekolah lagi. Awak je yang tak mau tukar. Bila ibu tanya, cikgu
tak marah ke, awak cakap tak...cikgu marah sikit je....” (sesi membebel)

anak lelaki : ”ala...ibu ni...” (tamat)


Lokasi 2 : Rumah

Ibu : ” abang, cuba cerita apa yang cikgu cakap dengan awak tadi?”

Anak lelaki : ” cikgu cakap baik-baik je...macam ni, anak-anak muridku yang kusayangi
sekelian...lain kali kalau tak tukar juga baju sekolah jawabnya kena buang
sekolah.”

Ibu : ” hmmmm.... sapa lagi yang tak tukar baju tadi?”

Anak lelaki : ”abang sorang je” (sambil gelak)

Boleh??? Memang sangat menguji kesabaran.

Monday, October 19, 2009

:: Ubah rancangan ::

Hari Sabtu kami tak jadi pergi zoo. Jiran depan rumah jemput majlis tahlil pukul 12 tengahari. Jadi setelah musyawarah dengan en. hubby, lebih baiklah memenuhi jemputan jiran kan. Esok-esok ni tiba giliran kita pula haaa macamana pulak. Pergi zoo...bila-bila pun boleh pergi. Mujur anak-anak belum diberitahu. Rancangan kami hari Sabtu terus bertukar 100% dari jalan-jalan ke zoo...kami jalan-jalan ke 'open house'. Selepas majlis tahlil kami gerak ke Putrajaya rumah Fathil. Ini yang 'best' ni, menu wajib dari Fathil, laksa Johor. Saya memang suka laksa Johor dan disebabkan bertemu kesukaan saya ni, maka bertambah 2 kali dipinggan saya.

Dari rumah Fathil, kami singgah sekejap Carrefour Alamanda. Saya nak beli barang sikit untuk persiapan nak masak esoknya. Kemudian kami terus balik ke Amanputra memenuhi undangan 'open house' di Jalan Amanputra 2/5. Memang meriah jamuannya...macam-macam ada. Saya hanya makan yang termampu saja lah sebab perut ni masih kenyang.

Hari Ahad, Nita dan keluarga datang rumah. Rindu sangat dengan Nita...memang dah lama tak jumpa walaupun hakikatnya pejabat kami sebelah-menyebelah saja. Sebaik saja Nita balik saya bergegas ke rumah Erni, 'open house' juga bersekali dengan sambutan harijadi anak dia (Amirah). Undangan ni harus saya penuhi sebab Amirah dah pesan bawa Insyirah (si adik), kalau tidak jenuh saya nak menjawabnya nanti. Amirah dan Insyirah ni kira kawan baiklah... masa sama-sama duduk taska K*N dulu. Kira 'reunion' diorang la ni walaupun hari Sabtu dah berjumpa kat rumah Fathil hahaha...tapi mana nak sama 'feel' dia kannnn...

Seronok sikit hujung minggu ni sebab en. hubby tak sibuk. Minggu depan pun sedikit lega sebab en. hubby tak perlu bergegas ke kelas selepas kerja. Cuti 'mid term' dah mula...itupun cuma seminggu je lah. Ini dah kira cukup baik buat saya dan anak-anak.

Sunday, October 18, 2009

:: Sedaplah papadom ni...rangup je::

Saya sudah menonton filem Papadom Jumaat lalu. Ia sebuah filem keluarga dan ditujukan khas untuk semua bapa...tak kiralah anda panggil papa ke, ayah ke atau abah atau apa saja panggilan untuk seorang bapa. Tetapi pada saya ia sebuah filem untuk semua...untuk bapa, mak, anak mahupun kawan-kawan, rakan taulan, jiran-jiran juga pada mereka yang tidak dikenali. Sebagai buah tangan terbaru Tayangan Unggul dan diarahkan oleh Afdlin Shauki ia adalah sebuah filem lain daripada biasa yang diarahkan olehnya sebelum ini.


Filem ini dibawa kepada kita secara santai namun membawa maksud yang tersirat. Mungkin juga ia paparan realiti hidup kita. Bukan mudah bagi seorang bapa mengasuh, menjaga dan membesarkan seorang anak apatah lagi jika anak itu perempuan dan tanpa seorang ibu. Inilah realiti kehidupan dan inilah yang harus ditempuhi oleh Saadom. Saadom mungkin mewakili segelintir golongan bapa di dunia ini yang terpaksa membesarkan anak perempuannya Miasara seorang diri tanpa bantuan seorang ibu dan isteri. Saadom menjadi seorang bapa yang terlampau 'protective'. Segala pergerakan Miasara dikawal dan aturan hidup Miasara ditentukan oleh Saadom. Setelah membesar menjadi remaja tentulah Miasara menjadi rimas dengan tindakan Papanya itu. Kita juga pernah merasa begitukan sewaktu remaja dulu. Terasa dikawal, dikongkong untuk melakukan apa saja. Waktu inilah saya mula merasa sebak terkenangkan arwah abah. Walaupun seorang bapa tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya namun adakala tindakannya itu kadang-kadang tidak kita sedari telah menunjukkan bahawa dia sememangnya menyayangi kita.

Filem ini telah menyentuh jiwa seorang anak, seorang bapa. Filem ini juga punya pelbagai rasa...ada gembira, ada jenaka, juga ada sedih dan duka. Walaupun ada sesetengah 'scene' itu yang tak berapa saya faham namun kecacatan itu boleh diabaikan dengan sentuhan cerita dan maksud dalam cerita yang ingin disampaikan. Kita jarang mengangkat kisah pengorbanan seorang bapa namun filem ini telah menyerlahkan seorang bapa sebagai hero dalam kehidupan. Saya suka ini cerita...

Tuesday, October 13, 2009

:: Cik Arr ::

Cik Arr datang dalam hidup kami seminggu selepas hari lahir adik yang ke-3 tahun. En. hubby hadiahkan Cik Arr kepada adik sempena harijadi adik. Masa tu adik gembira sangat, cuma ibu saja yang tak berapa suka. Tapi untuk adik, ibu rela terima Cik Arr sebagai sebahagian dari hidup kami. En. hubby dan adik punya kegemaran yang sama, dan dua-dua sama penyayang. Sebab tu dua orang cinta hati ibu ni suka sangat dengan Cik Arr. Sejak itu juga ibu cuba membiasakan diri dengan Cik Arr, walaupun dalam takut-takut tapi ibu pun sebenarnya dah jatuh sayang dengan Cik Arr. Di awal-awal kehadiran Cik Arr, semua orang ambil berat pasal Cik Arr. Semua nak jaga Cik Arr, bagi makan Cik Arr, mandikan Cik Arr, kemaskan tempat tinggal Cik Arr, main-main dengan Cik Arr. Kalau nak bercuti lama-lama pun fikir 2 ke 3 kali dulu sebab sayang nak tinggalkan Cik Arr. Akhirnya kalau kami bercuti panjang, dengan Cik Arr sekali kami angkut bawa.

Setahun kemudian...perhatian kepada Cik Arr dah semakin kurang. Abang dan adik sibuk dengan hal masing-masing. Hanya en. hubby saja yang selalu melayan Cik Arr. Cik Arr semakin sunyi...lagipun Cik Arr tak ada teman untuk bermain. Kalau kami balik kampung pun, Cik Arr kami tinggalkan saja di rumah. Minta tolong jiran bagi makan dan minum pada Cik Arr. Tanpa en. hubby perasan, ibu tahu yang en. hubby sangat sedih bila terpaksa tinggalkan Cik Arr sendirian. Lebih-lebih lagi kalau en. hubby kena 'outstation'. Ibu dah cakap awal-awal dengan en. hubby yang ibu memang tak sanggup nak jaga Cik Arr sebab ibu ni penakut. Adik dan abang bukannya boleh harap sangat.

Dah masuk tahun kedua Cik Arr bersama kami, ibu suarakan cadangan kepada en. hubby supaya lepaskan Cik Arr. Sama ada jual balik dia atau bagi saja kepada sesiapa yang nak. Ibu kesian tengok Cik Arr, semakin terbiar dan dibiarkan. Sejak en. hubby belajar semula ni, lagi terbiarlah Cik Arr. Ibu sangat tak sampai hati melihat keadaan Cik Arr tapi ibu tak berdaya nak tolong Cik Arr. Adik pun dah lama tak main dengan Cik Arr, bercakap-cakap dengan dia sambil bagi dia makan macam dulu-dulu.

Akhirnya pagi semalam, en. hubby cakap dah ada orang nak ambil Cik Arr. Tersentap sekejap hati ibu mendengarnya...rasa sayu pun ada. Tapi ibu rasa dah sampai masanya Cik Arr pergi dari hidup kami. Kami dah tak mampu lagi nak jaga Cik Arr. Semalam dalam pukul 11 lebih en.hubby baru balik dari kelas...dia cakap dah nak hantar Cik Arr kepada tuan baru dia. Adik dan abang dah tidur waktu tu, jadi mereka tak tahu apa yang berlaku. Bangun pagi tadi, seperti biasa ibu siapkan abang dan adik untuk ke sekolah. Sedang kami bersiap-siap nak keluar rumah, tiba-tiba tanpa ibu sangka adik pergi menjenguk Cik Arr. Adik terus menjerit...."Ibu!!!! rabbit adik dah tak ada!!!"....Riaksi adik masa tu sangat terkejut, macam nak nangis pun ada. Ibu diam tidak terkata. Terus adik cari en. hubby mengadu hal. En. hubby buat-buat terkejut dengan kehilangan Cik Arr. Adik sangat sedih...akhirnya en. hubby cakap pada adik..."Rabbit dah lari sebab adik tak jaga dia ". Adik jawab balik..."Lepas ni adik jagalah dia, adik bagi dia makan". Ohhh....kata-kata adik itu menyentap tangkai hati saya. Sampai dalam kereta sepanjang perjalanan kami pagi tadi adik masih tertanya-tanya pasal kehilangan Cik Arr dan akhirnya en. hubby janji ngan adik hujung minggu ni nak bawa semua pergi Zoo....huhuhu...ibu tahu en. hubby semalam pun mengalir airmata saat perpisahan dengan Cik Arr. Kami semua harus lupakan Cik Arr demi kebaikan Cik Arr. Moga Cik Arr lebih bahagia dengan tuan baru Cik Arr.

Monday, October 12, 2009

:: Mentang-mentanglah bangunan ni dia yang punya ::

Boleh saja dia buat sesuka hati tanpa memikirkan masalah orang lain. Pagi-pagi Isnin ni sudah buat saya marah dan naik angin, malah bukan saya saja, orang lain yang bekerja di sini pun mesti bengang. Buat orang sakit hati betullah K*N ni. Kalau dah tahu nak buat jamuan raya kat tengah-tengah jalan tu, uruslah betul-betul trafik tu supaya kenderaan-kenderaan lain yang nak masuk tidak jadi kelam kelibut dan tersangkut. Buat rancangan awal-awal supaya laluan biasa orang guna tu dilencongkan ke laluan alternatif lain. Ini tidak...pak guard yang jaga pun macam 'blur' je, tak tau nak buat macam mana. Apa daaaa.......!!!!

Saturday, October 10, 2009

:: Bubur Nasi + Sup Ayam ::

Hanya ini saja yang dapat membuka selera anak-anak minggu ni. Bangun awal pagi tadi tanak bubur seperiuk sambil mengemas rumah, membasuh segala bagai, lepas tu baru buat supnya. En. hubby pun awal-awal pagi lagi dah keluar, ada kejohanan badminton di Putrajaya. Dia tidak akan ada di rumah untuk seharian, dan kami anak-beranak pula harus seharian terperuk di rumah. Lagipun saya memang tidak dapat kemana-mana hari ni sebab harus bekerja (saya yang sedia berkhidmat untuk negara...ecewahhh). Syukur alhamdulillah, si abang sudah baik dari demam cuma masih tak lalu nak makan sebab mulutnya dah pecah-pecah ('ulser'), satu hal lagi si abang ni memang liat sungguh nak makan ubat, tu yang nak kebah demam tu ambil masa sikit. Kalau diikutkan hari ni Nita nak datang rumah, ntah apa halnya baru kejap tadi hantar mesej tak jadi pula. Katanya nak datang hujung minggu depan. Apa-apa ajelah cik Nita oi!!

Esok mak dah nak balik SP, naik bas jam 11.00 pagi. Mujur esok tak kena kerja, jadi boleh hantar mak dan lepas tu boleh le pergi jalan-jalan hehehe. Cuma yang tak 'best' sebab esok pun en.hubby tak ada, masih dengan kejohanan badminton. Asyik sibuk je memanjang....sabarlah wahai hati...

Tengah fikir apa nak masak untuk makan tengahari ni. Untuk anak-anak dah 'settle' dengan menu seperti tajuk 'entry di atas. Ni dok pikir menu untuk memenuhi selera tekak ibu pula...nak jalan-jalan cari resepi kejap ek!

Wednesday, October 07, 2009

:: Emosi ::

Termasuk hari ni dah 2 hari si abang demam panas...bermakna saya pun terpaksa le cuti 2 hari juga sebab nak jaga dia. Si abang mula demam Isnin malam, lepas makan ubat nampak macam ok, tapi bila saya rasa badan dia tengah malam tu, mak aih...panas pulak dah badan dia. Bila tengok keadaan dia macam tu, hari selasa tak pergi sekolah le, saya pun ambil cuti kecemasan. Saya harap satu hari rehat dia pun akan ok, sampai ke malam panas badan dia masih tak surut-surut. Lepas makan ubat, badan dia ok, dah sejuk tapi tak lama kemudian panas balik. Macam tu le dia sepanjang hari. Risau betul saya. hari ni dah bawa dia pergi klinik lain, harap-harap dia akan ok le lepas nih.

Bila tengok dia, saya pulak jadi terlebih emosi. Kesian kan...biasanya anak-anak ni takkan duduk diam, ada je aktiviti dia. tapi bila demam macam nih, lemah aje gayanya. Nak buat apa pun tak nak, asyik baring tidur aje. Emosi ibu macam saya ni mudah sangat tersentuh. Yang buat lagi beremosi tu sebab kalau dia demam, dia dok diam je, tak banyak kerenah. Waktu-waktu macam ni le saya pun mula teringat mak saya. Macam tu juga le kan mak kita dulu, kalau anak-anak sakit, demam...dia le yang sangat prihatin, waktu bila kena makan ubat, jelum kepala dengan air asam jawa (nak bagi sejuk badan), masak macam-macam ikut selera anak-anak yang sedang demam, tidur malam tak lena (kejap-kejap bangun 'check' suhu badan, panas lagi ke tak), kalau yang kerja tu memang ambil cuti le sebab nak jaga anak. Bila kita sendiri dah jadi ibu, baru kita tau pengorbanan sebenar seorang ibu kannn....padahal dulu-dulu kalau ada yang tak puas hati ngan mak, mesti merajuk le, tak nak makan le...tanda protes. sekarang baru tau langit tinggi rendah, kadang-kadang kalau masa anak demam tu, ibu pun demam tapi sebab kasih kepada anak, ibu boleh lupa yang dia pun tengah sakit. Hilang semua rasa tak sedap badan sebab masa tu kesihatan anak-anak yang lebih penting.

Saya pun tak tahu lah kenapa rasa sangat beremosi hari ni. Takkan sebab dah tua kot...dah mula jadi sensitif.

Tuesday, September 29, 2009

:: Corat-coret Raya 2009 ::

  • Tahun ni berkelana dari KL-Kuala Terengganu-Kedah dengan kereta baru…ecewah.
    Pertama kali si persona jalan jauuuuuuh sangat siap merentas Banjaran Titiwangsa. Syukur alhamdulillahhhh perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Anak-anak pun lebih selesa, tak banyak kerenah.

  • Tahun ni juga, perjalanan balik kampong ke KT tidak tersangkut dengan kesesakan. Kereta memang banyak tapi masih ok, cuma nak lepas keluar dari KL aje (laluan MRR2) yang sesak sikit. Dah masuk LPT semuanya lancar.

  • Kebiasaannya di KT, kalau tiba hari raya jalan akan sesak tapi berbeza pulak tahun ni nampak macam ok je. Dengar juga ada kesesakan di beberapa laluan, tapi semuanya masih terkawal. Mungkin tahun ni polis trafik sudah bersedia lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

  • Satu kebetulan pulak, baju raya tahun ni semua bertema biru. Mak mertua, abah mertua, adik-adik ipar dan saya sekeluarga semuanya mengenakan baju raya biru, kecuali Niza. Niza kata, dah puas cari kain warna biru tapi tak jumpa yang berkenan.

  • Sejak berkahwin, saya dan en. hubby mengamalkan sistem giliran beraya di kampong siapa dulu. Tahun ni giliran beraya di KT lebih dahulu dan kebiasaannya akan balik ke kampong satu lagi pada setiap raya ketiga, berbeza pulak tahun ni kami balik SP pada hari raya keempat. Tak tahulah kenapa saya jadi sangat bermurah hati untuk tinggal lebih lama di KT….hehehe.

  • Buat pertama kalinya dalam hidup saya, hari raya pertama saya tidak menjamah sebarang jenis biskut raya walaupun banyak rumah yang telah kami kunjungi. Dari awal pagi sampailah ke malamnya, semuanya saya bedal hidangan berat semata seperti nasi minyak (air tangan mak mertua), sate beserta nasi impit dan kuah kacang dan juga nasi dagang.

  • Memandangkan si abang berjaya berpuasa (2 hari saja tinggal puasa),nikmat Syawal tu lebih dirasai. Si abang sangat teruja nak sambut raya…memang ‘excited’ habis. Bila hari raya, si abang macam kemaruk je nak makan, kalau boleh semua dia nak rasa, nak telan. Maklum le kan hampir sebulan berpuasa…edisi lepas geram agaknya.

  • Raya tahun ni jugak telah menambahkan jumlah duit raya yang harus dihulurkan memandangkan bertambahnya bilangan ahli keluarga. Saya juga yang belum tambah-tambah. Tak tahu le bila agaknya Tuhan nak kurniakan rezeki ketiga ni.

  • Hari raya ketiga, mak mertua buat rumah terbuka untuk saudara-mara dan kenalan terdekat. Saya hanya menyumbangkan pudding triffle saja. Hidangan utamanya pulut kuning. Kebiasaannya pulut kuning digandingkan dengan gulai ayam, tapi kali ini agak pelik kerana dihidangkan dengan gulai ikan aye. Rasanya macam makan nasi dagang le pulok.

  • Rumah terbuka mak mertua saya juga telah mengeratkan lagi ukhuwah antara mak mertua dengan rakan semasjidnya yang juga mak kepada rakan sepejabat saya (Yana) yang mana rumah mak si Yana ni dekat aje dengan rumah mak mertua …wahhhh berapa sikit punya panjang alkisahnya. Sebelum ni mak mertua ngan mak Yana hanya berkenalan di masjid saja, tak sangka pula bila Yana bawa maknya beraya….dah macam jejak kasih hahaha…maka makin bertambah erat dan mesra le diorang lepas ni…insyaallahhhh.

  • Tahun ni saya beraya dengan mak di R&R Jeli. Mana tidaknya, hari raya keempat tu saya dalam perjalanan balik ke SP manakala mak saya ikut rombongan meminang adik sepupu saya ke Kuala Krai. Jadi, kami pun berjanji le untuk berjumpa di pertengahan jalan memandangkan saya tidak ikut serta dalam rombongan tu. Syahdu betul bila dapat jumpa mak bersalam, berpeluk cium bagai. Maklumle tahun ni, raya pertama mak hanya bersama dengan banglong dan dikyah saja tiga beranak. Takpa mak… tahun depan insyaallahhh kemeriahan raya pertama itu akan kembali.


  • Pertama kalinya dalam sejarah raya saya, menonton wayang di musim raya. Hari raya keempat,sampai aje SP, malamnya en.hubby ajak tengok wayang filem Jin Notti hahaha… dah pesan awal-awal minta dikyah belikan tiket untuk tayangan malam…ntah apa-apa en.hubby ni. Filem ni boleh tahan je la…macam tak percaya pulak KRU yang buat filem merapu macam ni.

  • Raya tahun ni amat bermakna juga buat kami sekeluarga sebab dapat beraya dengan orang baru yang telah lama kami nantikan…Luqman Afif bin Khairul Shakir (satu-satunya anak saudara saya buat masa ini). Baru berusia 3 bulan tapi dah bermacam kerenah dan akalnya… geram betul tapi makngah saaaaayang sangat kat Luqman.


  • Setelah 4 tahun berlalu , saya berjumpa semula dengan seorang kawan sama belajar di ITM dulu di musim raya ini. Kali terakhir kami jumpa, si Fidah dah ada 2 orang permata hati dan saya pula masa tu sedang mengandungkan si adik. Dan kini selepas 4 tahun, si Fidah sudah punya 5 orang permata dan saya masih 2 huhuhu. Sangat ‘express’.


  • Di sebalik keceriaan sambut raya tahun ni, ada juga khabar yang tak berapa gembira. Tok saudara saya sebelah mak sedang terlantar sakit. Dan yang paling sedihnya, dulu toksu nilah yang paling banyak cakap, kiranya kalau dia dah mula bercakap memang tak ada tanda berhenti langsung… itulah ‘trademark’nya yang buat kami takkan lupa. Tapi kini, mulut riuh itu sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya lirikan matanya yang bening sayu merenung kami satu persatu. Saya doakan semoga dia cepat sembuh dan seandainya Tuhan lebih menyayangi dia, moga dia pergi dengan tenang dan aman insyaallahhhh…

  • Di sebalik kemeriahan raya yang mengeratkan ikatan ukhuwah, ada juga ikatan yang terlerai. Sangat terkejut saat menerima khabar seorang saudara yang terlerai sudah ikatan akad bersama si suami. Sedangkan baru sahaja tahun lepas saya menghadiri majlis walimahnya. Dan yang lebih sedihnya bila mengenangkan nasib anaknya yang baru berusia sembilan bulan. Namun, apa daya kita, jodoh pertemuan itu semuanya di tangan Tuhan.

  • Ada juga kisah saudara terdekat yang terlerai kasih dengan ibunya hanya kerana dendam lama. Sejak sebelum puasa sehingga Syawal menjelma tidak langsung berasa untuk mengunjungi si ibu. Khabar yang saya dengar, sejak raya pertama si ibu sudah beberapa kali pengsan dan dimasukkan ke hospital, mungkin kerana terlampau memikir dan merindui si anak. Kisah ini menjadi teladan khususnya pada saya dan kepada sesiapa saja yang bergelar anak dan masih mempunyai ibu dan bapa. Apalah sangat kita ini sebagai anak jika nak dibandingkan dengan ibu yang telah bersusah payah mengandung, melahirkan serta membesarkan kita sehingga berjaya sebegini.

  • Hari raya kelima, saya dan keluarga menziarahi maklong(satu-satunya kakak arwah abah) di BM. Suasana kampung masih terasa di sini…nyaman, tenang, sangat mendamaikan…anak-anak paling teruja dapat menikmati suasana seperti ini yang hanya setahun sekali saja dapat kami nikmati. Si abang dapat panjat pokok rambutan yang agak rendang sampai tak mahu turun. Teruja sangat kelihatannya…si adik pun kalau boleh teringin juga nak memanjat tetapi hajatnya tak kesampaian dek kerana baju kurung yang dipakainya. Itu belum lagi saya bawa meniti batas-batas sawah sambil menyedut angin sepoi-sepoi bahasa, menikmati panorama bendang yang luas mata memandang. Pasti lebih teruja…rindunya saya pada zaman kecil saya dulu.


  • Cerita dikyah yang berjumpa kembali dengan rakan-rakan sekolah rendahnya di musim raya kali ini menggamit kenangan saya pada zaman muda-muda saya dahulu. Saya mula menyelak semula album-album gambar lama dari zaman kecil hingga remaja saya. Rindu amat saya pada zaman-zaman itu. Lihat gambar-gambar lama arwah abah menggamit rasa rindu pada arwah abah…dan airmata saya menitis tanpa saya sedari. Sangat nostalgik raya kali ini.

  • Begitulah cerita raya saya pada Syawal 1430H ini. Ada kisah gembira, ada kisah duka. Semuanya memberi keinsafan, peringatan mahupun pengajaran buat saya. Semoga saya dan keluarga mahupun sesiapa jua lebih menghargai kehidupan ini.

  • Raya yang disambut hanya secara sederhana dengan bajet yang juga sederhana namun meriahnya tetap ada.

  • Hari Isnin sudah kembali bekerja…lalu tunggu apa lagi, sudah-sudahlah cerita raya…mari kita buat kerja hahaha…

Friday, September 18, 2009

:: Tak sabar nak balik kampung ::

Sudah saya katakan, kita manusia hanya mampu merancang Tuhan jua yang menentukan. Akhirnya...dapat juga saya sekeluarga balik SP raya tahun ni. Disebabkan beberapa rancangan yang sudah bertukar maka dapatle saya beraya di kampung sendiri juga. Awal pagi tadi, bila cakap dengan en. hubby, dia jeling aje....hahaha minta maaf ye en.hubby, tak dapat le awak nak berlama-lama kat Ganu sana. Keadilan harus ditegakkan huhuhu. Saya ni pun bukannya jenis yang berkira sangat, apa yang penting saling timbang rasa kannn...mesti semuanya akan jadi baik.

Oklah...kes balik kampung dah selesai. Hari ni saya dan en.hubby masih bekerja, tapi setengah hari saja. Kami akan bertolak balik Ganu lepas berbuka. Barang-barang semua belum kemas lagi, rumah yang nak tinggal pun belum 'settle' lagi. Tunggulah kejap lagi balik akan bekerja keras le siapkan semua. Saya dan keluarga akan bercuti hingga 27 September. Sehingga itu, blog pun turut bercuti, jadi inilah 'entry' terakhir bulan Ramadhan.

Harapan saya sempena Aidilftiri ini, moga kita semua mendapat rahmat dan redha dariNya. Moga dipelihara dari segala bencana, penyakit merbahaya dan segala macam ancaman lagi... insyaallahhhh.

Wednesday, September 16, 2009

:: الالليقوء يا رمضان ::


Malam ini tiba-tiba jiwa terasa syahdu, sendu, rindu segala bagai. Terasa betapa cepat masa berlalu, sedar-sedar Ramadhan ini bakal pergi. Mungkinkah kita akan bertemu lagi atau mungkin ini Ramadhan terakhir. Hikmah bulan ini sangat besar, berada dalam Ramadhan…hati rasa tenang walau pelbagai dugaan mendatang, masa terasa lapang walaupun kesibukannya sama seperti di bulan-bulan lain, hidup seperti lebih terurus walau dikekang dengan bermacam halangan, terasa lebih komited dengan Yang Maha Esa walau sebelum ini banyak perkara-perkara ibadah dilengahkan. Terasa sayang pula untuk meninggalkan bulan istimewa ini namun apa kan daya kita. Saya berharap apa yang dirasa, dilalui atau dipraktik dalam Ramadhan ini dapat diteruskan di bulan-bulan yang seterusnya. Harus lebih istiqomah. Kenapa agaknya ye, perasaan kita akan jadi lain macam sajakan bila dalam bulan Ramadhan. Mungkin itulah istimewanya madrasah Ramadhan. Itulah yang saya rasa, tidaklah saya tahu andai ada yang berkongsi rasa seperti saya.



Ramadhan ini kulalui
Penuh keinsafan diri
Menampung kekhilafanku ini

Ramadhan ini kulalui
Mendekatkanku dengan Rabbul Izzati
Betapa aku semakin jauh selama ini

Ramadhan ini kulalui
Membuka pintu hati
Menambah kesabaran diri
Menghadapi ujian duniawi

Ramadhan…yaaaa…ramadhan
Sebulan lalu ahlan wasahlan
Hampir sebulan kini bakal meninggalkan
Ilalliqooo’ Ya Ramadhan
Selamat tinggal duhai Ramadhan

Ramadhan…yaaaa…ramadhan
Akan ada lagikah pertemuan dengan mu


- Nurilhami (12.20 am) -

Monday, September 14, 2009

:: Terakhir Ramadhan ::

Mood beraya sudah tiba, mood bekerja pula yang dah menurun. Tapi masih ada kerja yang perlu siap sebelum raya, sabar je la dengan bos ni. Minggu ni kiranya nak selesai persiapan sebelum balik kampung, tukar duit raya, ambil kuih raya, 'shopping' untuk raya. Pendek kata tajuk besarnya minggu ini RAYA hahaha. Alhamdulillah, semalam dah 'shopping' terakhir untuk raya, dah beli kasut anak-anak, baju cik hubby, perhiasan rumah serba sikit segala bagai. Cukup lah sekadar bersederhana saja. Tahun ini saya akan beraya di rumah mertua, kemungkinan tak balik SP langsung...sedih juga tapi takpe la nak buat macam mana. Kadang-kadang apa yang dirancang tu belum tentu dapat berjalan dengan lancar kan.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran buat cik hubby tercinta hari ini 14 September 2009 bersamaan 24 Ramadhan 1430H. Moga tahun ini bakal memberi seribu rahmat, limpahan rezeki dan kejayaan buat cik hubby dariNya...insyaallah.


p/s: akhirnya dia menerima saya sebagai kawan...saya hanya mampu tersenyum dalam bahagia

Wednesday, September 09, 2009

:: 090909 ::

Tarikh yang agak istimewa....dan hanya berlaku sekali dalam seumur hidup. Hari ini juga saya sampai lewat ke pejabat sebab jalan tutup, ada paip pecah.

Monday, September 07, 2009

:: Alkisah di bulan puasa ::

Selepas berbuka, si ibu langsung menunaikan solat Maghrib, kemudian mengaji sekejap sementara menunggu waktu Isya’. Selesai solat Isya’, si ibu melayan anak yang bongsu makan, masa ni si ibu pun turut makan. Waktu ini, abah dan abang sudah ke surau untuk solat sunat Tarawikh. Lepas makan, si ibu hanya sempat berehat sekejap sebelum menyambung semula kerja-kerja di dapur untuk persiapan sahur esoknya. Si ibu memang suka sediakan segalanya lebih awal supaya tak kelam kelibut. Nasi dah dimasak, lauk-pauk dah disediakan untuk bersahur. Dapatlah si ibu berehat sebentar sementara menunggu abah dan abang balik dari surau. Kebiasaannya, 2 orang lelaki kesayangan si ibu ini akan makan nasi juga selepas balik dari surau. Dengan penuh rasa tanggungjawab dan kecintaan, si ibu menyedia dan melayan mereka di meja makan. Setelah selesai semuanya, si ibu pun berkemas-kemas dan bersiap sedia untuk masuk tidur bersama anak-anak. Sebelum tidur, si ibu akan mengingatkan anak-anak baca doa tidur dan untuk si abang akan niat berpuasa esok hari terlebih dulu. Si ibu akan bangun pada jam 4.30 pagi untuk persediaan bersahur. Lebih kurang pukul 5 pagi, barulah si ibu akan kejutkan abah dan abang untuk bersahur. Begitulah rutin seorang ibu setiap hari termasuklah hari-hari yang si ibu bekerja.

Tidak tahu kenapa dan di mana silapnya, dalam tempoh tiga hari, 2 kali berselang sehari, si ibu sudah terlewat untuk bangun bersahur. Rutin yang biasa dilakukan si ibu, jam gerak sudah dikunci tapi sedar-sedar jam sudah menunjukkan 5.40 pagi. Si ibu merasa sangat kesal kerana kasihan dengan si abang yang baru belajar berpuasa. Bukan tak biasa terlajak waktu bersahur di tahun-tahun sebelum ini, cuma rasa ralat sebab anak sulung si ibu baru tahun ini nak belajar puasa. Bagi ibu dah abah yang dah dewasa ini tidaklah menjadi hal sangat seandainya tak bersahur. Tetapi bagi si anak ni, tentulah cabaran yang sangat besar buatnya untuk mengharungi puasa sehari tanpa bersahur terlebih dahulu. Ditambah pula si abang ni jenis yang kuat makan, kemudian pula siangnya digoda dengan si adik yang makan nasi walaupun hanya lauk daging goreng kicap. Akhirnya si abang dah tak tahan dengan godaan merayu-rayu dengan si ibu untuk pecahkan puasanya. Si ibu sudah pening kepala, rasa kasihan pun ada. Dan akhirnya juga si ibu dengan penuh sayang dan cinta kepada anak, membenarkan si abang untuk berbuka itupun setelah memujuk si abang supaya bertahan sampai ke tengahari. Hari kedua terlajak sahur, hari bersekolah. Si abang merajuk dan menangis kerana sekali lagi tak dapat bersahur. Tapi kali ini si ibu memujuk si abang dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat bertahan sehingga waktu berbuka. Harapan si ibu, di sekolah nanti si abang akan lupa dengan perutnya yang sedang berlapar itu dengan segala macam aktiviti di sekolahnya. Si ibu akan sentiasa berdoa agar anaknya ini akan terus kuat dan mampu bertahan…insyaallahhhh.

Begitulah alkisahnya…..si ibu kini sedang mencari jalan bagaimana tidak akan terlajak sahur lagi. Macamana ye???

Tuesday, September 01, 2009

:: Ronda-ronda Kuala Lumpur ::

Sabtu dan Ahad baru ni, kami lepaskan gian nak jalan-jalan di KL. Memang dah lama betul tak masuk bandar KL macam dulu-dulu sewaktu masih kerja di KL. Hari Sabtu tu, mula-mula pergi Kajang dulu, ambil baju yang saya tempah kemudian terus pergi Kg. Baru sebab en.hubby nak cari bubur lambuk. Kami sempat le jalan-jalan kat PaRam Kg. Baru tu, beli kuih-muih sejenis dua. Kemudian beli bubur lambuk Kg. Baru yang sangat sedap dan popular itu. En. hubby ni dah dapat apa yang dia idamkan, terus je ajak balik. Tapi saya pun tak kisah, kiranya masih sempat balik tu masa nasi minyak dan kari ayam untuk iftar.

Hari Ahad, sekali lagi kami ronda-ronda nun jauh ke KL sampai ke Selayang terus pula sampai Tmn. Melawati. Mula-mula tu biasa le masuk Kg. Baru dulu sebab nak beli bubur lambuk. Parah betul en.hubby ni, asal bulan puasa aje dah macam kemaruk bubur lambuk. Dah dapat yang dihajati, pusing-pusing bandar sekejap kemudian terus pergi Selayang Mall. Selayang Mall ni le tempat lepak kami masa duduk Kepong dulu-dulu. Sudah alang-alang sampai di sini, en.hubby cakap cari baju raya terus le. Ini kiranya jalan-jalan sambil ber’shopping’ raya. Selepas aktiviti di Selayang Mall, saya pula buang tabiat ajak en.hubby pergi menjengah ke PaRam Tmn. Melawati. Teringat juga dulu-dulu masa duduk Keramat, rajin juga pergi PaRam kat sini. PaRam di sini memang tersangat le meriahnya. Makanan-makanan yang dijual di sini juga tersangatlah menggoda kalbu. Inilah kunjungan pertama kami ke PaRam tahun ini dalam erti kata kunjungan yang sebenar-benarnya…cewahhh. Boleh dikatakan setiap gerai yang kami singgah bermula gerai pertama lagi buat kami rasa nak beli semua…nafsu…nafsu. Semuanya nampak sangat sedap…si abang tu pun macam-macam dia teringin. Haaa…baru rasa penangan orang berpuasa ni. Istighfar banyak-banyak dalam diri, bahawa ini semua hanya kerana nafsu orang yang berpuasa. Memandangkan jangkaan sampai rumah nanti dah tak sempat nak memasak apa-apa untuk iftar, kami beli le siap-siap di sini. Alhamdulillah…nafsu masih boleh dikawal, kami beli yang patut-patut saja. Sangat murah rezeki kami hari ini sebab jiran kiri kanan turut memberi juadah …pendek kata macam-macam ada. Jenuh juga nak menghabiskan kesemuanya. Syukur…syukur alhamdulillah atas rezeki yang diperolehi.

Hari Isnin, masih cuti sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 52. (Betulkah kita sudah merdeka?) Tidak ke mana-mana hari ini dan juadah untuk iftar pun yang sempoi-sempoi saja. Kerahan tenaga untuk si abang supaya siapkan kerja sekolahnya yang menimbun itu. Hari terakhir cuti sebelum sekolah dibuka baru dia nak kelam kelibut buat kerja sekolah. Dari awal minggu bercuti lagi, hari-hari saya membebel suruh buat, tapi macam-macam helah dia. Macam dah nak naik angin jugak le dengan kerenah si abang ni. Mujur le dalam bulan Ramadhan kannn…angin kus-kus ala-ala nak ke tahap meroyan ni terpaksa saya kawal. Malamnya tidur lambat sikit dari kebiasaan, gara-gara en.kerja sekolah yang ‘last minute’ baru nak dibuat tu. Siap juga akhirnya dengan segala macam drama swasta, cerekarama mahupun telefilem oleh si abang…siap dengan babak nangis, mengamuk, menjerit bagai… sabar ajelah.