Tuesday, September 29, 2009

:: Corat-coret Raya 2009 ::

  • Tahun ni berkelana dari KL-Kuala Terengganu-Kedah dengan kereta baru…ecewah.
    Pertama kali si persona jalan jauuuuuuh sangat siap merentas Banjaran Titiwangsa. Syukur alhamdulillahhhh perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Anak-anak pun lebih selesa, tak banyak kerenah.

  • Tahun ni juga, perjalanan balik kampong ke KT tidak tersangkut dengan kesesakan. Kereta memang banyak tapi masih ok, cuma nak lepas keluar dari KL aje (laluan MRR2) yang sesak sikit. Dah masuk LPT semuanya lancar.

  • Kebiasaannya di KT, kalau tiba hari raya jalan akan sesak tapi berbeza pulak tahun ni nampak macam ok je. Dengar juga ada kesesakan di beberapa laluan, tapi semuanya masih terkawal. Mungkin tahun ni polis trafik sudah bersedia lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

  • Satu kebetulan pulak, baju raya tahun ni semua bertema biru. Mak mertua, abah mertua, adik-adik ipar dan saya sekeluarga semuanya mengenakan baju raya biru, kecuali Niza. Niza kata, dah puas cari kain warna biru tapi tak jumpa yang berkenan.

  • Sejak berkahwin, saya dan en. hubby mengamalkan sistem giliran beraya di kampong siapa dulu. Tahun ni giliran beraya di KT lebih dahulu dan kebiasaannya akan balik ke kampong satu lagi pada setiap raya ketiga, berbeza pulak tahun ni kami balik SP pada hari raya keempat. Tak tahulah kenapa saya jadi sangat bermurah hati untuk tinggal lebih lama di KT….hehehe.

  • Buat pertama kalinya dalam hidup saya, hari raya pertama saya tidak menjamah sebarang jenis biskut raya walaupun banyak rumah yang telah kami kunjungi. Dari awal pagi sampailah ke malamnya, semuanya saya bedal hidangan berat semata seperti nasi minyak (air tangan mak mertua), sate beserta nasi impit dan kuah kacang dan juga nasi dagang.

  • Memandangkan si abang berjaya berpuasa (2 hari saja tinggal puasa),nikmat Syawal tu lebih dirasai. Si abang sangat teruja nak sambut raya…memang ‘excited’ habis. Bila hari raya, si abang macam kemaruk je nak makan, kalau boleh semua dia nak rasa, nak telan. Maklum le kan hampir sebulan berpuasa…edisi lepas geram agaknya.

  • Raya tahun ni jugak telah menambahkan jumlah duit raya yang harus dihulurkan memandangkan bertambahnya bilangan ahli keluarga. Saya juga yang belum tambah-tambah. Tak tahu le bila agaknya Tuhan nak kurniakan rezeki ketiga ni.

  • Hari raya ketiga, mak mertua buat rumah terbuka untuk saudara-mara dan kenalan terdekat. Saya hanya menyumbangkan pudding triffle saja. Hidangan utamanya pulut kuning. Kebiasaannya pulut kuning digandingkan dengan gulai ayam, tapi kali ini agak pelik kerana dihidangkan dengan gulai ikan aye. Rasanya macam makan nasi dagang le pulok.

  • Rumah terbuka mak mertua saya juga telah mengeratkan lagi ukhuwah antara mak mertua dengan rakan semasjidnya yang juga mak kepada rakan sepejabat saya (Yana) yang mana rumah mak si Yana ni dekat aje dengan rumah mak mertua …wahhhh berapa sikit punya panjang alkisahnya. Sebelum ni mak mertua ngan mak Yana hanya berkenalan di masjid saja, tak sangka pula bila Yana bawa maknya beraya….dah macam jejak kasih hahaha…maka makin bertambah erat dan mesra le diorang lepas ni…insyaallahhhh.

  • Tahun ni saya beraya dengan mak di R&R Jeli. Mana tidaknya, hari raya keempat tu saya dalam perjalanan balik ke SP manakala mak saya ikut rombongan meminang adik sepupu saya ke Kuala Krai. Jadi, kami pun berjanji le untuk berjumpa di pertengahan jalan memandangkan saya tidak ikut serta dalam rombongan tu. Syahdu betul bila dapat jumpa mak bersalam, berpeluk cium bagai. Maklumle tahun ni, raya pertama mak hanya bersama dengan banglong dan dikyah saja tiga beranak. Takpa mak… tahun depan insyaallahhh kemeriahan raya pertama itu akan kembali.


  • Pertama kalinya dalam sejarah raya saya, menonton wayang di musim raya. Hari raya keempat,sampai aje SP, malamnya en.hubby ajak tengok wayang filem Jin Notti hahaha… dah pesan awal-awal minta dikyah belikan tiket untuk tayangan malam…ntah apa-apa en.hubby ni. Filem ni boleh tahan je la…macam tak percaya pulak KRU yang buat filem merapu macam ni.

  • Raya tahun ni amat bermakna juga buat kami sekeluarga sebab dapat beraya dengan orang baru yang telah lama kami nantikan…Luqman Afif bin Khairul Shakir (satu-satunya anak saudara saya buat masa ini). Baru berusia 3 bulan tapi dah bermacam kerenah dan akalnya… geram betul tapi makngah saaaaayang sangat kat Luqman.


  • Setelah 4 tahun berlalu , saya berjumpa semula dengan seorang kawan sama belajar di ITM dulu di musim raya ini. Kali terakhir kami jumpa, si Fidah dah ada 2 orang permata hati dan saya pula masa tu sedang mengandungkan si adik. Dan kini selepas 4 tahun, si Fidah sudah punya 5 orang permata dan saya masih 2 huhuhu. Sangat ‘express’.


  • Di sebalik keceriaan sambut raya tahun ni, ada juga khabar yang tak berapa gembira. Tok saudara saya sebelah mak sedang terlantar sakit. Dan yang paling sedihnya, dulu toksu nilah yang paling banyak cakap, kiranya kalau dia dah mula bercakap memang tak ada tanda berhenti langsung… itulah ‘trademark’nya yang buat kami takkan lupa. Tapi kini, mulut riuh itu sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya lirikan matanya yang bening sayu merenung kami satu persatu. Saya doakan semoga dia cepat sembuh dan seandainya Tuhan lebih menyayangi dia, moga dia pergi dengan tenang dan aman insyaallahhhh…

  • Di sebalik kemeriahan raya yang mengeratkan ikatan ukhuwah, ada juga ikatan yang terlerai. Sangat terkejut saat menerima khabar seorang saudara yang terlerai sudah ikatan akad bersama si suami. Sedangkan baru sahaja tahun lepas saya menghadiri majlis walimahnya. Dan yang lebih sedihnya bila mengenangkan nasib anaknya yang baru berusia sembilan bulan. Namun, apa daya kita, jodoh pertemuan itu semuanya di tangan Tuhan.

  • Ada juga kisah saudara terdekat yang terlerai kasih dengan ibunya hanya kerana dendam lama. Sejak sebelum puasa sehingga Syawal menjelma tidak langsung berasa untuk mengunjungi si ibu. Khabar yang saya dengar, sejak raya pertama si ibu sudah beberapa kali pengsan dan dimasukkan ke hospital, mungkin kerana terlampau memikir dan merindui si anak. Kisah ini menjadi teladan khususnya pada saya dan kepada sesiapa saja yang bergelar anak dan masih mempunyai ibu dan bapa. Apalah sangat kita ini sebagai anak jika nak dibandingkan dengan ibu yang telah bersusah payah mengandung, melahirkan serta membesarkan kita sehingga berjaya sebegini.

  • Hari raya kelima, saya dan keluarga menziarahi maklong(satu-satunya kakak arwah abah) di BM. Suasana kampung masih terasa di sini…nyaman, tenang, sangat mendamaikan…anak-anak paling teruja dapat menikmati suasana seperti ini yang hanya setahun sekali saja dapat kami nikmati. Si abang dapat panjat pokok rambutan yang agak rendang sampai tak mahu turun. Teruja sangat kelihatannya…si adik pun kalau boleh teringin juga nak memanjat tetapi hajatnya tak kesampaian dek kerana baju kurung yang dipakainya. Itu belum lagi saya bawa meniti batas-batas sawah sambil menyedut angin sepoi-sepoi bahasa, menikmati panorama bendang yang luas mata memandang. Pasti lebih teruja…rindunya saya pada zaman kecil saya dulu.


  • Cerita dikyah yang berjumpa kembali dengan rakan-rakan sekolah rendahnya di musim raya kali ini menggamit kenangan saya pada zaman muda-muda saya dahulu. Saya mula menyelak semula album-album gambar lama dari zaman kecil hingga remaja saya. Rindu amat saya pada zaman-zaman itu. Lihat gambar-gambar lama arwah abah menggamit rasa rindu pada arwah abah…dan airmata saya menitis tanpa saya sedari. Sangat nostalgik raya kali ini.

  • Begitulah cerita raya saya pada Syawal 1430H ini. Ada kisah gembira, ada kisah duka. Semuanya memberi keinsafan, peringatan mahupun pengajaran buat saya. Semoga saya dan keluarga mahupun sesiapa jua lebih menghargai kehidupan ini.

  • Raya yang disambut hanya secara sederhana dengan bajet yang juga sederhana namun meriahnya tetap ada.

  • Hari Isnin sudah kembali bekerja…lalu tunggu apa lagi, sudah-sudahlah cerita raya…mari kita buat kerja hahaha…

No comments: