Sunday, July 31, 2011

:: Sebelum Ramadhan ::

Hari ini 31 Julai 2011 bersamaan dengan 29 Sya'ban 1432H, si abang genap usianya 9 tahun. Ibu sangat bersyukur kepadaNya kerana anugerah pertamaNya ini buat ibu dan abah. Memberi keceriaan dan kebahagiaan tidak terhingga buat ibu, abah dan seluruh keluarga.


Begitu cepat masa berlalu dan abang kini semakin dewasa. Ibu dan abah mendoakan semoga abang membesar dengan penuh kebahagiaan dan kesejahteraan.... insyaallahhh. Ibu dan abah sentiasa berusaha yang terbaik untuk abang mahupun adik.

Tahun ini abang minta hadiah kasut roda dan alhamdulillahhhh...dapat ibu dan abah sediakan. Semalam lagi abang sudah pun mendapat hadiahnya ini. Orang lain sibuk membeli-belah untuk persiapan Ramadhan dan Syawal, kami pula sibuk mencari kasut roda...hehehe... Semuanya demi anakanda tercinta.


:: Ahlan Wa Sahlan Yaaa Ramadan... ::

Alhamdulillahhhh... bertemu lagi dengan Ramadan yang mulia. Bulan mulia, penuh barakah.... insyaallahhhh moga hidup kita juga begitu.


Bulan untuk merebut segala peluang.... kerahmatan, kenikmatan, keberkatan. Peluang yang tidak harus kita lepaskan bagi sesiapa sahaja yang menginginkan. Subhanallahhh... moga Ramadan kali ini lebih mendekatkan diriku kepadaNya.


Semoga ini adalah Ramadan terbaik untuk diriku dan keluargaku jua insyaallahhhh...

Friday, July 29, 2011

::Dingin ::

Pagi yang dingin. Hujan lebat yang turun dengan tiba-tiba... Subhanallahhhh...Allahuakbar... semuanya rahmat dari Allah.


Hujan yang selebat-lebat hujan menghadirkan dingin yang mencengkam. Terasa masih mahu lena diulit intan. Masih mahu berlingkar atas tilam empuk, berselubung selimut baldu. Namun hakikat tersedar... tuntutan kehidupan tidak membenarkan diri untuk bermalas-malasan. Manusia tidak boleh jadi lemah untuk memanjakan tubuh badan. Hakikat manusia itu adalah khalifah. Masih ada tanggungjawab perlu dilaksana, masih ada amanah untuk dibawa, masih ada beban yang harus digalas.


Hujan ini benar-benar hujan rahmat yang turun di penghujung Sya'ban. Kiranya hujan yang meraikan kedatangan Ramadhan. Alhamdulillahhhhh... moga dingin yang damai ini akan berterusan.

Tuesday, July 26, 2011

:: Super Wife Super Mom Super Women SuperMak ::

Eh! Super Mom tu sama la dengan SuperMak kan... Bukan senang kan hendak menjadi seorang wanita super yang mampu buat segala benda. Tetapi segalanya adalah tidak mustahil sebab walau kita hanya seorang wanita tapi semangat kita sangat kuat dan kental. Kalau tidak macamana hendak laksanakan multi tasking dalam satu satu masa.


Kenapa pula dia tiba-tiba sahaja bercerita pasal wanita super ni? Mungkin dia mendapat suntikan inspirasi dari drama Supermak semalam. Walau dia tidak ada kuasa super power macam supermak tu tapi sebagai seorang wanita, isteri, ibu mahupun sebagai seorang anak dia rasa macam sudah ada kuasa super power. Macamana pula tu kan? Cuba bayangkan kita sebagai wanita ini yang diari kehidupan sentiasa terisi dengan segala macam aktiviti dan tanggungjawab. Tiap-tiap hari beberapa tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakan sebaik mungkin.... sama ada untuk majikan (bagi yang berkerja), untuk keluarga (suami dan anak-anak), untuk ibu bapa, untuk masyarakat dan sebagainya. Tiap-tiap hari adalah merupakan satu hari yang penuh.... penuh dengan segala aktiviti, tanggungjawab. Namun alhamdulillah kita sebagai wanita biasa ini masih mampu melaksanakannya... dan adakala wanita biasa ini juga bisa menjadi wanita yang luar biasa kerana berjaya menjalankan peranannya dengan sangat cemerlang kannnn.


Sekali lagi dia rasa memang tidak mudah untuk menjadi wanita yang super segala. Jiwa raga harus kental, semangat waja harus ditekad dan disemat, tenaga harus dijana setiap hari, kesihatan tubuh badan harus dipelihara, ilmu dan pengetahuan perlu digali dan dicambah sepanjang masa.


Seronok semalam dia layan drama Supermak, dan itulah yang tiba-tiba hari ini dia pun mendapat semangat terlebih semacam. Memanglah dia tidak ada kuasa super power, tapi dia boleh sahaja layan cerita tidak logik langsung itu untuk merehatkan minda, kurangkan stress... ok apa... Yelah kan asyik buat cerita lelaki sahaja yang ada kuasa super power, sesekali keluar cerita suri rumah ada kuasa macam itu....uihhhh....layannnnnzzzzz... Kalaulah kita ni ada kuasa macam tu kannnn....hik hik hik....mula hendak merepek!

Wednesday, July 20, 2011

:: Jom sihat ::

Seingat dia kali terakhir buat pemeriksaan kesihatan adalah semasa mengandung dan selepas bersalin adik dulu. Hmmmm...rupa-rupanya sudah 6 tahun berlalu dan sejak itu memang tak ada dengan rela hati mahupun suka hati untuk pergi check. Punyalah lama kannn...


Hari ini rekod itu telah berjaya dipecahkan. Dia dengan rela hati telah berjaya menjalani pemeriksaan kesihatan yang diberikan secara percuma di pejabatnya. Meski pada awal sejak program ini telah diwar-warkan dari minggu lepas, dia memang telah bercadang untuk turut tidak ikut serta. Dia memang takut kalau masuk bab-bab check tekanan darah, ambil darah dekat jari tu dan yang sewaktu dengannyalah. Malah dengar sahaja pun sudah boleh buat debaran jantungnya mencapai tahap kuasa 7.... degup jantung memang akan berlari laju macam sedang berjuang dalam larian pecut 2 x100m atas balapan....phewww!!!


Tapi hari ini bila tiba pada hari kejadian, dia akhirnya kalah dengan ajakan kawan-kawan. Dia pun fikir juga....apa salahnya kan. Sekurang-kurangnya boleh tahu tahap kesihatan kita macamana.... tekanan darah macamana, paras gula macamana, paras kolestrol macamana, berat badan sekarang ni ideal ke tidak.....kennnn... Lagipun percuma pula tu, maka rebutlah peluang yang ada depan mata...


Tidaklah lama manapun pemeriksaan yang dilalui. Mula-mula isi borang, lepas itu diambil pula tekanan darah (kali pertama ini memang tinggi) kemudian timbang berat badan, ketinggian dan ukur lilit pinggang. Tunggu pula giliran.... kena ambil air kencing, lepas tu pula ambil darah untuk ujian gula dan kolestrol dan akhir sekali sesi bersama konsultan lah.... Masa ini tekanan darah diambil sekali lagi dan keputusannya.... turun sikit namun masih tinggi dan dikira ada tekanan darah tinggi peringkat pertama (ishhhh...tiba-tiba rasa sangat mengerikannn). Keputusan yang lainnya semua normal kecuali paras kolestrol agak terlebih sedikit. Jadi konsultan pun bentanglah beberapa cadangan untuk dia ikuti supaya dapat mengawal yang terlebih-lebih, yang tinggi-tinggi tu... daripada senamannya yang kena buat 3 kali seminggu, pola pemakanan yang baik, apa yang boleh dimakan, tak boleh dimakan, apa yang patut dikurangkan, yang patut dilebihkan....dan bla...bla..bla...


Dia terima dengan redha keputusan pemeriksaan tadi sebab dirinya sendiri yang tahu selama ini bagaimana cara pemakanannya, cara hidupnya. Cuma sekarang bila dia tahu semua ini, patutlah dia pun mula amalkan cara hidup sihat. Apa yang patut dikurangkan insyaallahhhh akan dia kurangkan....itupun perlahan-lahanlah kan. Apa yang patut ditingkatkan...pun insyaallah akan dia usahakan... itupun ikut kemampuan jugalah. Sakit ini, bila-bila pun Allah hendak beri dia akan beri, betul tak? Sebab itu semua sebahagian dari nikmat dan ujian dariNya. Cuma kita yang hamba ini perlu juga berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kehidupan yang lebih baik...wallahua'lammm... Semoga Allah yang maha pemelihara lagi maha mengasihani akan memelihara dan melindungi kita semua insyaallahhhhh...

Monday, July 18, 2011

:: Belajar sesuatu dari Juvana ::

Baru habis tengok cerita Juvana episod akhir. Dia tidak ikut pun cerita ni daripada awal episod. Mungkin dia juga seperti sesetengah orang yang merasa bimbang bila tengok cerita kisah budak-budak di sekolah 'budak jahat' ni kan. Takut akan bagi pengaruh buruk pada anak-anak; lagilah dengan anak-anak yang tengah membesar ni kan.


Entah episod bila yang mula dia ikut tapi rasanya dah episod pertengahan juga lah. Bila tiap-tiap minggu dia ikut, dia mula rasa sesuatu yang menarik pasal drama ini. Memang kalau tengok pandangan dan penerimaan masyarakat terhadap budak-budak yang bermasalah ini sangatlah negatif. Tapi pernah tidak kita fikir kenapa mereka jadi macam itu. Sudah tentu berpunca dari banyak faktor kan. Yang penting bila ada orang macam cikgu Zakiah yang memang ikhlas hendak bantu budak-budak ini untuk berubah.


Lagipun dalam hidup ini semua orang buat silap termasuklah kita yang diluar ini. Malah berulang kesilapan dilakukan tanpa kita sedar sama ada silap kecil ke, silap besar ke. Pernah tak kita berusaha untuk berubah. Cuma yang beza, budak-budak kat dalam tu ada kesalahan juvana (bawah umur) yang ketara. Nampak jelas salah mereka, tapi bagaimana dengan salah kita? Setiap orang wajar diberi peluang kedua kannnn...


Tengok sahaja pada warden yang diberi mandat dan amanah untuk mengawal, mendidik budak-budak ini. Akhirnya apa yang jadi? Warden sendiri yang pecah amanah. Sesetengah cikgu pun tidak boleh dipercayai. Silap-silap mereka pula yang memanipulasi dan mengguna budak-budak 'jahat' itu untuk kepentingan mereka. Nah! sekarang siapa yang bersalah sebenarnya?


Kita tidak boleh menghukum orang dengan melihat pada zahirnya sahaja. Setiap insan boleh berubah jika dia ingin berubah dan jika mereka yang disekelilingnya ikut membantu demi sebuah perubahan menuju kebaikan itu. Jika dibiarkan maka yang buruk akan kekal buruk, yang bersalah dibiarkan dengan kesalahan itu, yang teraniaya akan terus dianiaya, yang dipandang tak elok akan terus dibiarkan dalam pandangan yang sebegitu.


Apa yang dia belajar dari cerita itu? Mula dia terfikir untuk menilai dalam diri, sudah cukup baikkah dia? Sebagai umat, ahli masyarakat, sebagai anak, isteri dan ibu... Perlukah dia juga melakukan perubahan itu? Fikir...dan belajar...

:: Nikmat yang ditarik seketika ::

Hari Jumaat lepas dia bawa kereta sebab en.hubby di luar kawasan. Bila bawa kereta, maka semua urusan dialah yang kena buat; hantar/ambil abang sekolah, hantar/ambil abang sekolah KAFA, hantar/ambil adik di tadika. Memang dia agak kelam-kabut sebab hari Jumaat tu hari terakhir dia berkursus. Hari Jumaat tu juga kursus berakhir agak lewat dari biasa, dalam jam 5 lebih. Elok sahaja tamat kursus, isi borang penilaian, ucap terima kasih pada pengajar, dia terus naik atas... bersiap-siap berkemas ambil beg tangan dan terus punch kad.... zaaappp terus bawa kereta menghala ke Putrajaya.


Kalau kebiasaannya sebelum pulang dia akan periksa semua barang yang harus dibawa pulang, periksa atas meja, bawah meja, laci meja, celah buku, celah PC semua, tapi hari Jumaat hari tu memang dia tak sempat hendak buat semua tu. Entah apa yang dia kejarkan sangat pun tak tahulah walhal bukannya dia tak biasa lalui semua itu. Kalau dah itu takdirnya kannn...


Waktu dalam perjalanan ke Putrajaya untuk ambil anak-anak, dia hanya ingat pasal kabel pengecas telefon sahaja, sama ada dia bawa balik atau tidak. Itupun tak sempat juga hendak buka beg untuk periksa, yelahkannn sedang memandu kan.... Ambil anak-anak semua terus pecut balik rumah. Waktu sampai tu, dah hampir jam 6.30 petang. Masuk rumah, letak beg-beg semua dia terus buka beg tangan hendak cari kabel pengecas. Kabel pengecas telefon ada tapi telefon bimbitnya tiada. Argghhhh!!! sudah.... habis dia selongkar beg tangan sampai terburai segala isi di dalam, yang dicari tetap tidak dijumpai. Dia panik!!!


Dia hidupkan enjin kereta, kembali semula ke pejabat. Mujurlah jarak rumah ke pejabatnya tidak begitu jauh, hanya ambil masa 5 ke 10 minit sahaja. Sampai pejabat, terus cari dekat meja kerja, segala celah-celah buku, laci semua....memang tak ada. Dia dah yakin dan memang sah dia tertinggal dalam bilik latihan ( bilik dia berkursus). Turun ke bawah menuju ke bilik latihan, argghhhhh!!! sudah dikunci pula. Nampaknya terpaksalah dia menunggu sehingga hari Isnin, pejabat dibuka semula.


Bagaimana dia melalui 2 hari lepas yang penuh dengan debaran itu? Hmmm... hanya Allah sahaja yang tahu apa dalam hatinya. Jumaat malam dia telefon maksu, sebab dia memang tak senang duduk mesti hendak luahkan segala gundah dalam hati. Maksu yang baik hati datang rumah malam tu juga sebab hendak bagi sokongan langsung menenangkan hati ini....terima kasih tidak terhingga buat maksu.


Hari Sabtu, dia bangun dengan segar dan tenang. Sejak semalamnya lidahnya sentiasa menyebut Ya Muhaimin....Ya Muhaimin(Tuhan yang maha memelihara). Terima kasih lagi pada maksu yang mengingatkannya tentang itu. Ya, sesungguhnya hanya Dia tempat kita bermohon dan Dialah yang maha memelihara dan melindungi segala sesuatu. Dia rasa dia sudah cukup cool untuk menerima ujian kecil ini, namun dalam hatinya tetap berdetik kerisauan. Memang dia berharap telefon bimbit itu akan selamat di dalam bilik latihan sehingga hari Isnin nanti. Macam-macam yang dia fikir; macamana kalau en.hubby telefon, macamana kalau ada hal kecemasan dari kampung ke, banyak lagilah macamana yang terlintas dalam kepala dia saat itu. Dia macam dah terputus hubungan dengan semua orang tapi mujur juga ada telefon rumah( telefon talian tetap yang tak pernah guna sebab guna internet sahaja). Saat-saat kecemasan macam ini, bolehlah dia pasang telefon rumah. Paling dia ralat sebab telefon bimbit itu adalah hadiah dari en.hubby. Jenuh hendak menjawab dengan en.hubby nanti.


Walau dia macam cool tapi entah macamana dia boleh jadi rajin mengemas satu rumah sepanjang 2 hari Sabtu dan Ahad. Dia memang kemas rumah habis-habisan, dari buang habuk, buang sawang, sapu sampah dalam semua bilik tidur, basuh semua bilik air, siap mop lantai satu rumah segala bagai. Sampai urusan kain baju pun dari membasuh, menyidai, melipat boleh siap dengan jayanya. Memang tidak ada kerja tertangguh pun yang macam selalu-selalu dia buat tu. Dan dia pun jadi 'kagum' juga sebab lepas selesai segala kerja baru dia sedar bahawa dia rupa-rupanya dah jadi penghimpun habuk dan debu yang sangat berjaya selama ini hihihih... Nampaknya hari Sabtu dan Ahad lepas dia juga telah berjaya menjalankan kempen "Katakan Tidak Pada Habuk dan Sawang!!!" Dia juga jadi rajin masakkan seperiuk kuah durian untuk cicah dengan roti. Sedapppp... Semalam pun dia lagi rajin masakkan kari ayam dan daging goreng untuk hidangan tengahari. Dia perasan juga bila dia susah hati sepanjang dua hari ini, dia asyiklah hendak menguyah makan apa sahaja yang ada di dapur itu.


Selepas segala sesi kerajinan terlampaunya itu yang sedikit sebanyak berjaya meredakan perasaan gundah dalam hati, awal pagi ini dia kembali menjadi manusia yang paling risau. Dia risau andai kata andaiannya yang telefon itu berada dalam bilik latihan adalah tidak benar. Walau dia sudah tetapkan hati agar menerima apa sahaja kemungkinan ternyata dia masih manusia yang sangat lemah. Dia benar-benar risau. Dia takut. Awal pagi saat sampai di pejabat, dia terus ke bilik latihan walau dia tahu waktu pagi sangat dan mesti bilik latihan masih belum dibuka. Dia sabar menunggu meski dia tak boleh hendak duduk diam-diam lagi asyik kesana, kesini. Sehinggalah dia bertemu dengan seseorang yang telah menemukan telefon bimbitnya itu. Syukur alhamdulillahhhhh..... masih ada rezeki dia untuk bersama lagi dengan telefon bimbit itu. Telefon bimbit itu memang tertinggal dalam bilik latihan dan kebetulan semalam insan yang baik hati itu telah masuk ke bilik latihan untuk buat kerja dan bertemulah dia dengan si telefon langsung dia menyimpannya. Syukur....ya Allah....syukur....


Monday, July 11, 2011

:: Berkursus::

Minggu ini dia berkursus lagi untuk 5 hari. Kiranya sudah cukuplah (sudah terlebih pun) kuota 7 hari kursus dalam setahun. Tapi kursus kali ini agak memeningkan kepala walau baru masuk hari pertama.


Sejak minggu lepas dia tenung-tenung sahaja tajuk kursus yang dia akan hadir ni dan dia memang 'blur' langsung. Memang tak faham apa yang akan dia pelajari sepanjang kursus, malah tak nampak bayang langsung. Dia ingat hari pertama ini dia akan dapat bayanglah apa yang dia akan pelajari sepanjang 5 hari ni, tapi sampai sekarang dia tetap 'blur'. Macamana ni?


Baru setengah hari rasa dah berat kepala memikir, macamana lah hendak harung lagi 4 hari setengah. Ya Allah.... terangkanlah hati-hati kami ini.... insyaallahhhh

Saturday, July 09, 2011

...

Bangun awal pagi hari ini. Kena hantar abang ke Shah Alam untuk program Klinik EZ Math di UITM. Hari ini buat mee goreng untuk sarapan. Tak tahulah kan sekarang tengah mood rajin ke, mood berjimat-cermat ke....asyik rasa hendak memasak sahaja....ecewahhh...


Semalam pun sempat lagi dia menggulai ikan untuk makan malam. Fuuhhhh...lama betul tak makan kari ikan. Rasa sedappppp sangat hahaha... siapa lagi hendak puji kan kalau bukan diri sendiri. Itu kalau tumbuk sambal belacan...cecah ulam...perghhh lagi terangkat!!!


Program abang akan berlangsung satu hari. Lepas hantar abang, kami balik rumah dulu. Nanti petang, lepas sesi abang habis jam 5 bersambung pula bengkel untuk ibu bapa selama sejam. Sementara menunggu petang, aktiviti melepak sahaja di rumah...lalala....

Friday, July 08, 2011

:: Salam pagi Jumaat ::

Syukur alhamdulillahhh.... dapat bertemu lagi dengan Jumaat yang indah penuh barakah.... insyaallahhh. Bertambah indah dan ceria kerana anak-anak juga berperasaan begitu.


Mood adik hendak mengenakan tudung dan berjubah hari ini. Sebab mood baik, bolehlah kita bergambar....hihihi...

Mood abang pun sangat baik pagi ini. Boleh juga bergambar dengan ibu....hehehe... Tapi abang tidak mahu bawa bekal nasi goreng ibu hari ini. Katanya hendak makan nasi ayam yang dijual di kantin sekolah. Owh!!! eksyen ye...



Thursday, July 07, 2011

...

Baru lepas siap goreng ikan, nasi pun sedang masak dalam periuk. Esok pagi sudah boleh buat nasi goreng....yeeehaaa.


Esok dia bercadang hendak buat nasi goreng ikan goreng. Apa punya resepi daaaa... hehehe. Hendak buat macamana kan kalau itu yang menjadi kegemaran keluarga. Asalnya nasi goreng yang diletak ikan goreng ini adalah baki nasi semalamnya dan ikan goreng yang tidak habis dimakan semalamnya juga yang digoreng sebagai sarapan pagi sebab tak mahu membazir. Dulu-dulu masa kecil tengah sekolah lagi, mak memang selalu goreng nasi macam tu... ikan goreng tu diracik-racik dicampur dengan nasi dengan rencah-rencah tambahan sikit...perghhh sedap. Alih-alih sekarang ini anak-anak dan en.hubby suka pula nasi goreng yang begitu.


Hari ini pula dia berpuasa dan tidak masak apa-apa pun. Berbuka tadi beli roti canai, maka itulah juga hidangan makan malam sekeluarga malam ini. Itulah yang sibuk dah lewat malam ini baru hendak siap-siap bahan untuk buat sarapan esok pagi. Kena pula dia yang 'rajin' ni, malam inilah baru sibuk hendak menyiang ikan, basuh ayam, udang, sotong yang dibeli di pasar malam semalam. Suka sangat tangguh-tangguh kerja...alkisahnya...malam ini gigih berpeluh-peluh di dapur.


Sekarang sudah siap segala... tiba masa untuk masuk tidur. Lewat sikit tidur malam ini.

...

Minggu ini tidak berapa bersemangat hendak bercerita apa-apa. Mood dan semangat tu tidak datang langsung waima hendak menjengah pun. Kepala dia pun sekarang ini agak berserabut juga dengan macam-macam perkara yang difikir.


Biasalahkan, masalah kadang-kadang datang menjenguk, macam hendak pecah kepala fikir cara penyelesaian. Adakala sampai dia rasa hampir-hampir hendak putus asa. Namun syukur, sebab dia masih sedar bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Hanya padaNya tempat dia mengadu.


Dia pun bukannya hendak merungut, berkeluh-kesah. Dia percaya semua yang datang ini adalah ujian semata dariNya. Menguji ketaqwaan dan ketaatan hambaNya. Dia sedar dia hamba yang selalu leka dengan nikmat dunia. Sesekali diuji begini, terdetik dalam jiwa.... Ya Allah....hambaMu ini sebenarnya sangat lalai, sangat leka, sangat lemah jiwa....

Sunday, July 03, 2011

...

Hari ini hari sibuk tidak lekat di rumah. Baru sahaja sampai rumah jam 10.30 malam tadi selepas sehari menghabiskan masa di luar kawasan. Dia pinjam kereta maksu sejak hari Jumaat sebab en. hubby bawa kereta untuk kerja luar. Jadi hari ini dia terpaksalah bawa abang ke Shah Alam untuk kelas matematik dengan maksu.


Kami keluar rumah seawal jam 9.30 pagi kemudian bersarapan di Shah Alam, dalam kereta sahaja. Dia masak nasi goreng, kira jimat habislah ni hehehe... Sementara sesi latihan matematik berlangsung di perpustakaan masjid Shah Alam, dia dan adik menghabiskan masa mengunjungi Pesta Buku Selangor di SACC. Dia tidaklah berapa teruja sangat hendak membeli sebab kebanyakan buku-buku yang dalam senarai dia sudahpun dimiliki sebelum ini. Cukuplah sekadar jalan-jalan.... meronda dari satu booth ke satu booth yang lain. Sempat juga dia bawa adik ronda-ronda pula ke SACC Mall. Memang tidak berhajat hendak membeli-belah pun, alih-alih ke MPH Bookstore juga kami. Tempat itu sahaja rasanya yang paling best untuk dikunjungi. Adik pun suka.


Dalam jam 12.30, maksu ambil kami kemudian terus ke Sentul rumah Luqman. Dah lama tidak berjumpa Luqman dan lagipun hendak bagi hadiah harijadi tertangguh untuk si kecil tu. Maksu harus gerak balik ke Shah Alam lebih awal, jadinya terpaksalah dia dan anak-anak menunggu en.hubby. Sempatlah menonton perlawanan bolasepak pusingan kedua Malaysia bertemu Taiwan. Malaslah hendak mengomel pasal perlawanan tu meskipun Malaysia layak untuk pusingan seterusnya. Apa pun tahniah untuk pasukan Malaysia.

Saturday, July 02, 2011

:: Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan ::

Hari ini adalah hari Sabtu, namun hari ini dia harus bangun awal sepertimana hari-hari berkerja biasa. Dia kena bawa abang ke sekolah untuk program Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan. Kalau tidak silap dia, program ini diadakan serentak di seluruh negara pagi ini. Program yang bermatlamat untuk membangunkan modal insan di kalangan murid sekolah serta menanam amalan gaya hidup sihat ini dia rasa sangat bagus. Kerana ianya melibatkan penyertaan bukan sahaja pihak sekolah (kakitangan dan guru-guru) dan murid-murid malahan ibubapa juga di mana ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara ibubapa dan pihak sekolah.



Anda tahu, zaman kanak-kanak dan persekolahan adalah zaman paling indah bagi setiap orang kan termasuklah dia. Biarlah zaman itu pernah dilalui dengan suka mahupun duka, perit, pedih dan juga bahagia....zaman itulah yang suatu ketika menjadi suatu saat yang amat indah untuk dikenang-kenang. Tanda sokongan dari mak ayah pun sangat berbeza waktu zaman dia dahulu. Saat ini, saat dia menjadi ibu.... beginilah cara dia memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak. Seboleh mungkin dia berusaha untuk mengikuti setiap program anjuran sekolah yang memerlukan keterlibatan ibubapa dan keluarga. Kalau dahulu mak abah jarang ambil tahu urusan persekolahannya waima hendak berkunjung ke sekolah bertemu guru, tapi dia tahu mak dan abah sentiasa menyokong dia adik-beradik.


Sebenarnya dia tidak merancang pun untuk berlari bersama-sama setakat menunggu di sekolah sahaja. Tapi bila lihat ibubapa lain yang agak bersemangat, dia pun tiba-tiba jadi bersemangat juga untuk ikut serta. Dia dan adik tak berlari pun, berjalan-jalan(walkaton) sahaja ikut trek yang ditetapkan. Boleh tahan juga jaraknya...1.5km... Dia dan adik mengelat juga cari jalan shortcut sebab si adik sudah mereng-rengek...penat, letih katanya. Abang memang sudah tidak kelihatan....sengaja dia biarkan abang bersama kawan-kawannya.

Sebelum mula larian, mestilah buat senaman ringan dulu kan...warming up kata orang. Tidaklah nanti urat-murat terkejut. Seronok tengok kerenah anak-anak ini....mulalah dia pun terbayang-bayang masa dia di sekolah zaman dulu-dulu tu.

Larian bermula seawal jam 7.30 pagi. Alhamdulillahhhh cuaca pun sangat baik hari ini. Semua orang pun sangat bersemangat dan komited.

Sedikit taklimat oleh guru bertugas sebelum larian dimulakan.

Bersiap sedia... Dan....lari... dengan penuh semangat kesukanan. Tiada siapa menang... tiada siapa akan kalah.






Dia dan adik baru sampai... tengok masa ini dah ramai yang sampai dulu. Yelah... mereka berlari-lari anak sedangkan kami berjalan-jalan makan angin hehehe....


Saat dia dan adik sampai, abang dah lama sampai dah. Amboi, berpeluh sakan dia tengok abang. Dah macam berlumba lari pula... Tu abang sedang minum air dan makan roti telur yang sempat dia buat awal pagi. Semangat betul juga dia bawal bekal ke sekolah macam hendak pergi berkelah hik hik hik... Dia fikir nanti kalau di sekolah takut tak ada jual makanan ke apa, sebab itulah dia usaha juga buat sarapan.


Masing-masing melepaskan lelah di tapak perhimpunan sementara menunggu yang lain-lainnya tiba.

Tamat larian, semua kembali berkumpul untuk senaman cool down pula. Kanak-kanak memang tidak kenal erti letih kannn... tetap bersemangat.


Hari ini dikira hari persekolahan, maka sebab itu kehadiran adalah wajib. Selesai larian, murid-murid masih ada beberapa aktiviti sehingga jam 12.30 tengahari. Dia dan adik terus balik rumah selepas itu.... tengahari pula baru ambil abang. Sempatlah dia bereskan segala hal di rumah... basuh kain baju, kemas rumah, masak.... alhamdulillahhhhh

Friday, July 01, 2011

...

Walaupun bercuti tetapi dia tak masak apa-apa pun. Tengahari tadi lepas ambil abang di sekolah terus bawa budak-budak pergi Alamanda, bayar bil telefon, bil broadband dan ke pejabat pos. Jadi makan tengahari kami yang mudah adalah McD. Dah lama tu tak makan... Punya lama tunggu giliran di pejabat pos, nasib baik budak-budak tak buat perangai(perut sudah kenyang).... perangai tak duduk diam tu memang tidak usah disebutlah kannn. Hampir jam 4 juga baru tiba di rumah. Memang dia rasa letih sangat.... sampai tertidur, lewat petang baru terjaga.


Malam, lepas Maghrib bawa anak-anak pergi pasar malam pula. Kira senang sahaja hari ini, makan semuanya beli belaka. Dia beli laksa untuk diri sendiri, sate ayam pula untuk anak-anak. Tapi yang buat dia agak teruja sikit sebab adik teringin hendak rasa laksa yang dia makan. Sekali rasa...dua kali rasa... lepas tu bukan rasa lagi dah... tak sangka betul dia adik makan laksa dan hirup kuah sekali sampai habis. Walhal dulu adik memang tak teringin langsung. Lepas ni kalau balik SP, kita minta tok buat laksa ye adik.... mesti sedap, hirup sampai licin....

...

Salam 1 Julai bersamaan 29 Rejab 1432H. Owhhh!!!sekejapan sahaja masa berlalu...kita sudah melepasi separuh masa pertama 2011. Hari ini cuti...Jika punch card bulan Jun sangat cantik tanpa contengan jalanan, tapi tidak di bulan Julai...hari pertama lagi bakal terconteng nanti. Adalah sebab-sebabnya yang telah menggerakkan akal dan hatinya untuk bercuti hari ini hmmm... Nama sahaja cuti rehat bukan bermakna dapat berehat pun kannnn


Jika dinilai pencapaian separuh masa pertama 2011... dia rasa tidaklah begitu memberangsangkan. Banyak perkara yang dirancang masih belum terlaksana. Azam yang dia tanam di awal tahun lalu masih kekal dengan azam, belum nampak bayang untuk menjadi kenyataan. Kehidupannya juga adalah biasa-biasa sahaja.


Kadang-kadang dia rasa lelah, mahu mengalah mengejar kehidupan yang serba pantas ini. Ada rasa lemah seperti semangat yang kian luntur. Dia seharusnya bangkit dari kelelahan ini. Dia masih perlu berjuang demi sebuah kehidupan.