Monday, July 18, 2011

:: Belajar sesuatu dari Juvana ::

Baru habis tengok cerita Juvana episod akhir. Dia tidak ikut pun cerita ni daripada awal episod. Mungkin dia juga seperti sesetengah orang yang merasa bimbang bila tengok cerita kisah budak-budak di sekolah 'budak jahat' ni kan. Takut akan bagi pengaruh buruk pada anak-anak; lagilah dengan anak-anak yang tengah membesar ni kan.


Entah episod bila yang mula dia ikut tapi rasanya dah episod pertengahan juga lah. Bila tiap-tiap minggu dia ikut, dia mula rasa sesuatu yang menarik pasal drama ini. Memang kalau tengok pandangan dan penerimaan masyarakat terhadap budak-budak yang bermasalah ini sangatlah negatif. Tapi pernah tidak kita fikir kenapa mereka jadi macam itu. Sudah tentu berpunca dari banyak faktor kan. Yang penting bila ada orang macam cikgu Zakiah yang memang ikhlas hendak bantu budak-budak ini untuk berubah.


Lagipun dalam hidup ini semua orang buat silap termasuklah kita yang diluar ini. Malah berulang kesilapan dilakukan tanpa kita sedar sama ada silap kecil ke, silap besar ke. Pernah tak kita berusaha untuk berubah. Cuma yang beza, budak-budak kat dalam tu ada kesalahan juvana (bawah umur) yang ketara. Nampak jelas salah mereka, tapi bagaimana dengan salah kita? Setiap orang wajar diberi peluang kedua kannnn...


Tengok sahaja pada warden yang diberi mandat dan amanah untuk mengawal, mendidik budak-budak ini. Akhirnya apa yang jadi? Warden sendiri yang pecah amanah. Sesetengah cikgu pun tidak boleh dipercayai. Silap-silap mereka pula yang memanipulasi dan mengguna budak-budak 'jahat' itu untuk kepentingan mereka. Nah! sekarang siapa yang bersalah sebenarnya?


Kita tidak boleh menghukum orang dengan melihat pada zahirnya sahaja. Setiap insan boleh berubah jika dia ingin berubah dan jika mereka yang disekelilingnya ikut membantu demi sebuah perubahan menuju kebaikan itu. Jika dibiarkan maka yang buruk akan kekal buruk, yang bersalah dibiarkan dengan kesalahan itu, yang teraniaya akan terus dianiaya, yang dipandang tak elok akan terus dibiarkan dalam pandangan yang sebegitu.


Apa yang dia belajar dari cerita itu? Mula dia terfikir untuk menilai dalam diri, sudah cukup baikkah dia? Sebagai umat, ahli masyarakat, sebagai anak, isteri dan ibu... Perlukah dia juga melakukan perubahan itu? Fikir...dan belajar...

No comments: