Tuesday, November 24, 2009

:: Sudah Tidak Sama ::

Beberapa tahun dulu….saya jarang masuk tidur awal, paling awal pun pukul 12 tengahmalam. Itu termasuk hari-hari bekerja. Dulu, kebiasaannya kalau saya tidur lewat, saya akan jadi segar-bugar dan cergas esoknya. Sebaliknya kalau saya tidur awal, nescayalah esoknya saya akan mengantuk dan lesu saja. Pelik tapi benar. Tapi itu cerita dulu. Sekarang sudah tidak sama lagi. Dulu, saya sanggup berjaga hingga lewat pagi untuk menghabiskan satu-satu novel... terutamanya novel yang saya suka. Dan bila esoknya, saya masih bertenaga untuk melaksanakan tugas dan rutin harian. Itulah cerita dulu. Sekarang lain pula ceritanya.

Saya tidak boleh berjaga malam lagi.... elok saja pukul 10 malam saya dah mula mengantuk. Kadang-kadang kalau letih sangat, lepas Isya’ lagi saya boleh terlelap. Adakalanya, tenaga dari mana entah datangnya membolehkan saya berjaga hingga lewat malam tapi esoknya..... badan saya jadi sakit-sakit dan tidak bermaya. Mungkin kerana peningkatan usia, ditambah saya tidak mengambil apa-apa ’suppliment’ untuk menyokong stamina diri. Saya juga tidak mengamalkan sebarang senaman untuk mengekalkan kecergasan badan. Mungkin inilah antara punca-puncanya. Beberapa bulan yang lalu ada juga saya ambil ’suppliment’.... tapi itulah saya, hangat-hangat taik ayam. Mak dan en. Hubby selalu pesan suruh minum susu. Saya pun beli susu, tapi tak tahulah kenapa tekak saya ni memang tak boleh nak terima kecuali masa mengandung dulu saja.

Apa yang harus saya lakukan? Saya memang jadi tak senang dengan keadaan yang saya alami ni. Memang ada rasa tak puas hati. Perlu perubahan.... perlu perubahan... apa yang nak diubah? Cara hidup sihat? Pengambilan diet yang seimbang? Teruskan dengan ’suppliment’? Kuatkan semangat untuk minum susu tiap-tiap malam sebelum tidur? Berjogging tiap-tiap hari minggu? Persoalannya......... bolehkah saya? Arrrrggggghhhhhhhh!!!!!

p/s: Malam ni dah nak balik SP, rumah masih bersepah, baju belum berkemas lagi, ada sebakul lagi kain baju belum jemur (nak salahkan hari hujan gak ni). Harus balik kejap lagi akan keluar segala jenis bunga silat. En. Hubby tolong!!!

Monday, November 23, 2009

:: Cerita Ahad ::

Hari Sabtu kami berehat sepenuhnya…hari Ahad baru beraktiviti…hmmm pelik tapi itulah yang terjadi. Selalunya Sabtu adalah hari yang sibuk dengan segala macam aktiviti dan Ahad adalah hari untuk berehat sebelum bekerja esoknya. Tidak perlu nak ambil kisah yang penting kami semua gembira terutamanya abang dan adik.

Semalam abang dan adik melepas gian mandi kolam di Pusat Komuniti Cyberjaya sempena Hari Sukan Amanputra. Rasanya kali terakhir mereka mandi-manda masa bercuti-cuti ke Langkawi, Jun lalu. Itupun semenjak wabak yang satu itu merebak memang kami tak berani nak mandi-manda di tempat awam macam WetWorld, Sunway Lagoon ke...malah kolam di hotel pun. Langkah berjaga-jaga kan. ”Prevention is better than cure”....lebih baik kita mencegah dulu sebelum terkena.

Gembira...

Sangat gembira...

Memang puas anak-anak mandi hingga jelas di wajah mereka rasa kepuasan dan kegembiraan, kalau boleh tak nak balik, biarpun sampai mulut jadi biru, badan terketar-ketar menahan kesejukan. Bayangkan seawal jam 9 pagi hingga menjelang 12 tengahari mereka berendam dalam kolam. Keluar sekejap-sekejap untuk melayan perut yang lapar kemudian terjun semula. Bahagianya hidup anak-anak ini. Tidak ada resah menjalar hati, tiada rasa gundah melintas jiwa... yang penting hasrat mereka dipenuhi. Sebelum pulang, kami makan tengahari di Bukit Puchong.... tak dapat menunggu kawan-kawan setaman yang lain sebab saya dan en. Hubby dah penat sangat. Kalau boleh nak terus balik dan tidur saja. Pun sebaik sampai rumah, saya masih tak dapat merehatkan badan, ada saja kerja-kerja yang menunggu untuk dilangsaikan.... rutin biasa seorang ibu. Si abang dan en.hubby memang betul-betul tidur... lain pula si adik yang masih gagah bermain.

Lewat petang kami ke rumah adik di Sentul hantar si abang. Sebabnya sekarang dah mula cuti sekolahkan... jadi si abang akan menghabiskan cutinya di kampung dengan toknya (mak saya), kemudian selepas raya haji akan kami hantar pula dia ke kampung mertua di Terengganu. Kesian juga dengan si abang ni.... tapi kami tak ada pilihan lain. Yang paling seronok tok dan tok abah le.... cuti panjangkannn...jadi puaslah dapat bersama cucu sulung mereka.

Saya pun minggu ini hanya bekerja selama 2 hari sahaja, kemudian akan bercuti balik kampung di SP untuk sambut Hari Raya Haji. Raya kedua kami akan balik ke Terengganu. Saya akan bercuti hingga Isnin depan. Seronoknya.... tak sabar dah ni nak becuti-cuti.

Wednesday, November 18, 2009

:: Syukur ::

Melihat keputusan peperiksaan anak-anak semalam, saya panjatkan kesyukuran yang tak terhingga pada Yang Maha Esa. Dia mengurniakan saya anak-anak yang bijak, yang keletah. Walaupun abang dan adik tidak mendapat tempat pertama, namun keputusan yang mereka peroleh sangat memberangsangkan dan memuaskan. Saya dan en. Hubby menerima keputusan ini dengan minda yang terbuka dan positif. Saya harus akui yang saya dan en. Hubby tidak begitu banyak masa untuk diluangkan bersama anak-anak untuk membimbing mereka dalam pelajaran. Hasil yang diperoleh memadailah dengan usaha yang dilakukan. Terpaksa mengakui juga kekhilafan diri dalam mendidik anak-anak… kadang-kadang diri sendiri lalai dengan urusan lain, kadang-kadang melepaskan kemarahan, ketidakpuasan pada anak-anak. Bila difikirkan balik… apalah yang anak-anak ini tahu kan… yang seorang baru 7 tahun dan yang seorang lagi baru menginjak usia 4 tahun. Pun saya juga tidak mahu terlalu memandang kepada kejayaan akademik semata. Di zaman yang serba mencabar ini, pengisian rohani dan jasmani harus diseimbangkan. Didikan awal penting dalam menentukan kejayaan dunia dan akhirat di masa depan. Saya dan en. Hubby harus bermuhasabah dan menilai semula cara didikan pada anak-anak. Memang banyak yang harus diperbaiki, diberi nilai tambah…. dan mungkin juga perlukan satu anjakan paradigm. Rasanya belum terlambat lagi kot… insyaallahhhh. Moga Allah lorongkan kami jalan yang lurus, luas lagi menenangkan.

Sunday, November 15, 2009

:: SkafMerahJambu ::

Petang-petang Ahad begini tidak kemana-mana. Tengahari tadi, mak mertua dah balik KT naik bas jam 12 tengahari. Masa terluang yang ada ni sempat juga saya ’blog hopping’.... jalan-jalan baca blog-blog yang menarik. Masa ni, tiba-tiba teringat pasal ’blogger’ yang dikenalkan dalam rancangan bual bicara ’Apa Kata Wanita’ (AKW) di RTM 1. Yang sebenarnya jarang sangat saya menonton rancangan ni, kebetulan pagi tadi tertengok dan kebetulan juga masa tu segmen khas kisah seorang ’blogger’ ni. Tajuk blog... SkafMerahJambu... macam menarik, cuma saya tak pasti pula pengisian dan rasionalnya segmen ini dimasukkan dalam AKW. Saya dah berkunjung ke blog yang empunya diri tersebut.... memang menarik tetapi pengisian segmen dalam AKW adalah sama sepertimana yang diceritakan di dalam blognya. Pada saya kalau setiap minggu kisah dalam blog ini dimasukkan dalam AKW, tentulah tak ada maknanya kan, sebab pengikut blog ni boleh melawat blognya saja untuk baca ’entry’ terkini. Apapun tak kisah le sebab saya dah jatuh minat nak ikut si SkafMerahJambu. Kalau tak silap saya rasanya dia ni bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah... persembahan blog pun ringkas namun menarik, gaya bahasa yang digunakan pun ok juga. Mungkin ada sesuatu yang saya akan peroleh melaluinya kannnn....siapa tahu.

Friday, November 13, 2009

:: So U Think U Can Dance ::

Hmmmm… sebenarnya tajuk entry tidak ada kena-mengena dengan rancangan realiti tv di America yang mencari penari terbaik tu. Tapi masih ada kena-mengena dengan diri saya… ecewahhh. Memang saya rasa saya pandai menari hahaha…ntah apa-apa kannn… tapi saya memang minat menari sejak dari kecil dan saya rasa memang saya ada bakatlah.. aduhhh…ayat tak ingat ni. Tak tahulah kannn… sejak kecil saya memang cenderung dengan acara-acara kesenian dari tadika sampailah ke sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah saya belajar di ITM dulu. Saya tak mencari atau mengejar peluang kea rah itu tapi kadang-kadang peluang itu yang datang di depan mata. Bila sudah di depan mata maka sukarlah saya menolaknya. Mungkin bagi sesetengah orang aktiviti seni macam ni terutamanya menari macam tak berapa elokkannn… dan kadang-kadang saya pun ada rasa macam tu juga. Mungkin juga sesetengah orang berpendapat ia sesuai untuk orang yang jenis gedik-gedik sikit kannn. Tapi saya malas untuk fikirkan segala kemungkinan itu sebab saya memang minat.

Bagi saya menari dapat redakan tekanan. Menari yang betul, ikut kareografi yang tepat hingga habis lagu...ada satu rasa kepuasan dalam diri. Menari ni satu senaman juga??? Mungkin, sebab yang pasti lepas menari kita akan berpeluh dan lepas tu kita akan jadi lebih cergas dan segar. Itu pandangan peribadi saya sajalah.

Cerita pasal menari ni, sekarang saya sedang giat berlatih dengan kawan-kawan sekumpulan untuk pertandingan tarian Ca Ca. Pertandingan dijadualkan pada hujung bulan depan. Pening juga memikirkan tentang latihan yang diadakan tiga kali seminggu ini. Pening bila nak seiringkan minat dengan tanggungjawab. Komitmen yang sedia ada ditambah dengan komitmen terhadap latihan tarian ini sikit sebanyak mengharu-birukan kehidupan saya dan en. Hubby. Bila memikirkan yang kadang kala saya harus juga memberi peluang untuk saya meneruskan minat yang satu ini, saya sanggup cari jalan untuk melancarkan segala. Biarpun hidup agak kelam-kelibut namun sebab minat punya pasal semua rintangan harus diharungi huh! Lagipun bukannya selalukan.

Terima kasih jugalah pada en. Hubby tersayang sebab cuba memahami minat saya ini dan memberi peluang mahupun ruang pada saya. Pernah juga saya dan Dikyah berbincang dan berangan untuk mengikuti kelas tarian (berbayar).... tapi hasrat ini harus ditangguhkan dulu memandangkan bajet yang agak semput kebelakangan ini. Tunggulah kehidupan dan kewangan menjadi lebih stabil, mungkin lepas itu saya akan teruskan minat ini dan menjadikan ia salah satu hobi saya secara serius.

Thursday, November 12, 2009

:: Berkursus @ bercuti ::

Hari ni baru masuk pejabat setelah berkursus 3 hari di Kemaman. Sebelum dapat surat panggilan untuk kursus ni, saya selalu dok bebel dengan en. hubby sebab dia selalu saja dapat keluar sehari dua dengan kawan-kawan untuk ‘release tension’. Asyik tinggalkan saya dan anak-anak kat rumah. Memang ada sikit rasa tak puas hatilah kan. Hello.... kita sama-sama bekerja kan...jadi mesti ada tekanan sikit sebanyak kan. Seorang isteri dan ibu perlu juga me’release’kan ’tension’nya kannnn. Zaman sekarang zaman dua-dua orang keluar bekerja cari makan, jadi dua-dua orang pasti rasa ’stress’ dengan tanggungjawab terhadap kerja dan juga rumahtangga. Dalam hati tu ada juga teringin nak pergi bercuti di mana-mana nak tenangkan fikiran.... kononnyalah, tapi kalau dapat pun hissshhhh dah tentu-tentulah tak sampai hati. Akhirnya.......bila khabarkan pada en.hubby pasal surat panggilan kursus ni, boleh dia cakap....haaaaa...”ni kira pergi bercuti tenangkan fikiranlah". Kononya dia bagi can le pada saya untuk tinggalkan segala urusan dari hal-hal rumahtangga, anak-anak, kerja segala bagai. Kata en. Hubby lagi...” ala..kursus ni pun bukannya serius sangat pun, banyak masa free, ibu kira macam bercuti juga le, boleh rehat puas-puas”. Boleh??? Hmmm....saya masih tak puas hati tapi isu itu saya biarkan saja. Lagipun kursus itu wajib untuk saya hadiri selagi tidak ada sebab-sebab yang munasabah untuk menolaknya.

Hari Ahad, en.hubby menghantar saya ke Kemaman. Anak-anak dan mak mertua (terpaksa import mak mertua untuk jaga anak-anak) pun ikut sama. Dia dah hantar, nak balik nanti...dia cakap ”pandai-pandai sayang lah ye”....sekali lagi...boleh? Harus banyak-banyak bersabar. Tidak mengapa...saya ambil kesemuanya secara positif dan saya harus bergembira dengan kursus@cuti ini, walaupun agak berat untuk meninggalkan anak-anak terutamanya si adik. Sudah agak lama saya tidak ada kerja luar yang memerlukan saya meninggalkan mereka untuk beberapa hari, jadi kali ini memang rasa payah sikit lah. Si adik memang nangis sakan. Saya pun sebenarnya tak tahan tapi apa nak buat kan.

Saya melalui kursus ini selama 3 hari dengan jayanya. Memang gembira dapat ikuti kursus ini. Pertamanya, kandungan kursus yang sangat berguna dan penuh informasi. Perkara yang menjadi kemusykilan dapat dirungkaikan. Keduanya, dapat berkenalan dengan semua peserta kursus dari pelbagai bidang tugas. Saling berkongsi pengalaman menambah pengetahuan. Ketiganya, saya memang dapat berehat tanpa tekanan. Lagipun tempat kursus betul-betul menghadap pantai yang sangat mendamaikan. Betullah tu kata-kata en. Hubby. Sekurang-kurangnya tiga hari lepas yang saya lalui sikit sebanyak dapat meredakan tekanan dalam menjalani kehidupan. Saya kembali ke rumah dan juga pejabat dengan perasaan baru yang lebih segar.... syukur...alhamdulillahhhh.

Wednesday, November 04, 2009

:: Air Tangan + Kasih dan Sayang ::

Semalam waktu perjalanan balik dari kerja, sedang fikir-fikir apa yang nak di masak malam nanti. Stok lauk-pauk basah memang tak ada langsung. Nak beli makanan di kedai pun dah macam tak ada selera pula. Anak-anak pun macam tak berapa nak laju makan kalau beli lauk kedai ni. Sampai rumah, tengok telur ayam saja yang ada dalam peti sejuk. Jeng…jeng…jeng… maka menu malam tadi hanyalah telur goreng masak kicap. Tapi oleh kerana ia adalah dari air tangan ibu yang memasak ditambah dengan rencah kasih sayang, serbuk perasa cinta yang mendalam maka ia telah menjadi hidangan yang sangat istimewa. Anak-anak makan siap bertambah, habislah satu ‘port’ setengah nasi. Bahagia seorang ibu memang tak terungkaplah. Hilang semua lelah, penat, letih, malas bila tengok si abang dan adik senyum puas kekenyangan. Anak-anak yang sedang membesar ni memang tengah selera nak makan. Kalau boleh memang diorang akan minta nasi. Sebab itu lah kalau saya tak masak rasa macam kekurangan saja campur rasa bersalah. Saya sedang berusaha untuk merajin dan menguatkan diri untuk memasak tiap-tiap hari walaupun sejak kebelakangan ini saya rasa macam letih sangat campur ada rasa malas-malas sikit. Kita boleh perasan lah...anak-anak ni kalau dia kenyang kemudian kita pun layan saja kehendak dia memang ’mood’ dia pun akan baiklah sepanjang masa. Tapi sebaliknya kalau kita asyik marah-marah, jamu dia setakat apa-apa je yang ada kemudian macam nak tak nak je melayan dia haaaaa.......siaplah, memang syeh buat perangai ngan angin kus-kus dia pun datang jugaklah. Akhirnya kita juga yang sakit hati. Minggu ni kalau boleh saya tak naklah merosakkan ’mood’ anak-anak sebab minggu peperiksaan kan. Cuba juga lah mengawal diri supaya tak marah-marah sangat. Selagi boleh kawal saya kawallah tapi kalau nampak dia macam buat perangai terlebih tu haaaa kena jentik juga lah telinga tu. Lepas ni saya harus lebih bersemangat. Cinta...kasih dan sayang ditambah dengan air tangan....adalah tonik kebahagiaan.

Wahai hati dan jiwa....bersabarlah. Ini semua dugaan semata. Mengukur dan menguji tahap keimanan kita. Anak-anak adalah amanah dari Yang Esa. Di akhirat sana...doa mereka jugalah yang kita pinta. Moga syurga tempat kita.”

Tuesday, November 03, 2009

:: Perkara Biasa Namun Signifikan ::

Setiap yang hidup pasti akan matikan. Ya…ia adalah perkara biasa namun ia menjadi signifikan apabila yang mati adalah mereka yang dekat dengan kita, yang kita sayang, yang kita masih belum puas bersama dengannya. Berita kematian juga menjadi signifikan buat kita yang masih hidup ini supaya sentiasa mengingati mati, dan ajal akan datang menjemput bila-bila masa andai Dia menghendakinya. Awal pagi Sabtu lepas, ayah (tok lelaki kepada en.hubby) telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas berjuang menahan kesakitan sejak Jumaat pagi. Hari Jumaat, mak mertua telefon memaklumkan bahawa ayah dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian dada awal pagi itu. Selepas dimasukkan ke hospital keadaan ayah semakin kritikal dan dijangka ayah akan dibedah pada bila-bila masa. Kebetulan pula hari yang sama en. hubby mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Nuang. Sejak menerima panggilan dari mak mertua, saya telah berkali-kali cuba menghubungi en. hubby namun tidak berjaya. Sehinggalah ke tengah malam baru terima panggilan balas dari en. hubby namun en. hubby hanya dapat turun pada keesokan hari memandangkan hujan lebat sepanjang hari akan menyukarkan perjalanan. Pada tengah malam itu juga, mak mertua telefon memaklumkan yang ayah sudah selamat menjalani pembedahan. Walaubagaimanapun, keadaan ayah masih sangat kritikal dan doktor hanya memberi harapan 50-50 sahaja. Waktu itu ayah sudah berada dalam keadaan koma dan masih tidak sedarkan diri. Saat itu jiwa saya jadi libang-libu, perasaan sudah tidak terucap lagi hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja, sambil menanti kepulangan en.hubby. Awal pagi Sabtu sementara saya bersiap-siap sambil menunggu en.hubby, sekali lagi menerima panggilan dari mak mertua dan kali ini berita sedih yang kami terima. Allah lebih menyayangi ayah. Mengikut perancangan jenazah ayah dijangka akan dikebumikan selepas solat Asar hari yang sama. Kami pula hanya bertolak dari rumah sudah tengahari dan mungkin akan sampai juga selepas waktu Asar. Sewaktu kami sampai, Imam sudah mula bacaan talqin. Takdir menentukan en.hubby tak sempat menatap wajah ayah buat kali terakhir. Kali terakhir kami jumpa hanya pada Aidilfitri lalu. Walau apapun, semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....insyaallahhhh....aminnnnn. Saya tahu en.hubby sangat terkilan, namun apakan daya...kita hanya merancang Allah jua yang menentukan.

Kami balik sini hari Ahad sebab minggu ini si abang ada peperiksaan akhir tahun. Si adik pun sedang periksa juga. En. hubby pun ada periksa juga. Pendek kata... sekarang ni dah masuk musim peperiksaan... tapi ibu juga lah yang menjadi orang yang paling sibuk dan susah hati. Semoga mereka yang ibu sayang ni dapat menghadapi peperiksaan dengan baik dan semoga mendapat keputusan yang baik juga.... insyaallahhhh. Hari Isnin saya ambil ’EL’ sebab dah tak tahan tengok rumah yang tunggang-langgang yang kami tinggalkan sejak hari Sabtu. Lagipun banyak perkara yang harus diselesaikan juga. Alhamdulillahhh....semua dah selesai cuma si Persona saja yang belum ’servis’. Semalam pergi bengkel, tutup pula sebab buat ’renovation’, hari Rabu baru buka semula. Mujur juga di pejabat tak ada kerja yang ’urgent’. Terasa betapa kehidupan biasa-biasa saya ini menjadi sangat signifikan ketika ini. Apa yang dilalui oleh mereka yang melingkari perjalanan hidup saya menjadi sangat bermakna kepada saya saat ini. Apa yang sedang saya bebelkan ni ya??? Entahlah...saya sendiri pun tak tahu.