Thursday, October 29, 2009

:: Minggu yang… ::

Sibuk, yang ‘stress’, yang memenatkan, yang memeningkan, yang juga gembira dan bermacam yang lagi sejak minggu lepas. Sibuk dengan kerja yang tak habis-habis(dah namapun bekerja kannn), juga sibuk dengan aktiviti tambahan lain, dicampur dengan sibuk yang sedia ada ni. Bila semua dah bercampur segala bagai, maka ‘stress’ la pulak jadinya. Agaknya wanita memang mudah kena ’stress’ kan. Mungkin juga sebab wanita khususnya para ibu lagi-lagi yang berkerjaya...kena ’settle’ macam-macam...kira buat ’multi-tasking’ la kannn. Mau tak ’stress’ jadinya kannnn. Saya ni pun dah ’stress’ juga ni...tambah teruk bila semua perkara datang bertimpa-timpa dalam selang tempoh yang sangat rapat. Macamana harus saya hadapi semua perkara dengan serentak??? Haruslah tak boleh kan. Bila macam ni, ia dah jadi satu perkara yang sangat memeningkan. Kita rasa kita boleh jadi ’super women’... ’supermom’... tapi hakikatnya...penat..penat... Namun dalam ’stress’ yang sedang mengganggu ini ada juga bahagia dan gembira yang menjengah hati. Mujur ada.... kalau tak ada langsung cerita bahagia harus ’stress’ ini akan menghancurkan segala. Lalu bagaimana nak menangani gangguan ini.... haruslah lebih mendekatkan diri denganNya kannn....ada dok terasa-rasa dalam hati ni, diri semakin leka dengan tuntutan duniawi...sebab tu le agaknya Dia memberi uji. Bawa bertenang.... bawa bertenang...

Sekadar mengurangkan ’stress’ walau hakikatnya memang tambah ’stress’ bila dok memikirkannya...


Alkisah : Perbualan antara abah dan anak lelaki + perbualan telefon abah dan ibu +
perbualan ibu dan anak lelaki

Lokasi 1 : Dalam kereta, balik dari sekolah

Anak lelaki : ”abah, tadi kan cikgu cakap, abang kena buang sekolah”

Abah : ” hah! Kena buang sekolah? Kenapa pulak? Abang buat apa?”

Anak lelaki : ”tak...tadi tu cikgu cakap kalau tak tukar pakai baju sekolah, abang nak
kena buang sekolah”

Abah : ”kenapa awak tak salin baju? Oh tadi ada PJ kan...haaa kenapa tak salin?”

Anak lelaki : diam saja (tamat)

Lokasi 2 : Perbualan telefon (abah dalam kereta + ibu di pejabat)

Abah : ”hah ibu....ni anak ibu ni dah nak kena buang sekolah”

Ibu : ”hah! Kena buang sekolah? Kenapa? Dah dapat surat ke?”

Abah : ”tak tau lah.... ibu cakap sendiri dengan dia”

Ibu : ” awak nak kena buang sekolah ke? Kenapa? Awak buat apa?”

Anak lelaki : ”abang tak tukar baju lepas PJ tadi. Lepas tu cikgu suruh tukar masa lepas
rehat tu, tapi abang lupa sebab dok sibuk baca buku. Pastu cikgu cakap le
kalau tak tukar juga lepas ni, kena buang sekolah.”

Ibu : Dah rasa lega sikit sebab tadi ingatkan memang betul-betul kena buang
sekolah. Sabar je la.

”haaaaa.... kan ibu dah cakap banyak kali. Baju sekolah tu ibu dah siap letak
dalam beg sekolah lagi. Awak je yang tak mau tukar. Bila ibu tanya, cikgu
tak marah ke, awak cakap tak...cikgu marah sikit je....” (sesi membebel)

anak lelaki : ”ala...ibu ni...” (tamat)


Lokasi 2 : Rumah

Ibu : ” abang, cuba cerita apa yang cikgu cakap dengan awak tadi?”

Anak lelaki : ” cikgu cakap baik-baik je...macam ni, anak-anak muridku yang kusayangi
sekelian...lain kali kalau tak tukar juga baju sekolah jawabnya kena buang
sekolah.”

Ibu : ” hmmmm.... sapa lagi yang tak tukar baju tadi?”

Anak lelaki : ”abang sorang je” (sambil gelak)

Boleh??? Memang sangat menguji kesabaran.

Monday, October 19, 2009

:: Ubah rancangan ::

Hari Sabtu kami tak jadi pergi zoo. Jiran depan rumah jemput majlis tahlil pukul 12 tengahari. Jadi setelah musyawarah dengan en. hubby, lebih baiklah memenuhi jemputan jiran kan. Esok-esok ni tiba giliran kita pula haaa macamana pulak. Pergi zoo...bila-bila pun boleh pergi. Mujur anak-anak belum diberitahu. Rancangan kami hari Sabtu terus bertukar 100% dari jalan-jalan ke zoo...kami jalan-jalan ke 'open house'. Selepas majlis tahlil kami gerak ke Putrajaya rumah Fathil. Ini yang 'best' ni, menu wajib dari Fathil, laksa Johor. Saya memang suka laksa Johor dan disebabkan bertemu kesukaan saya ni, maka bertambah 2 kali dipinggan saya.

Dari rumah Fathil, kami singgah sekejap Carrefour Alamanda. Saya nak beli barang sikit untuk persiapan nak masak esoknya. Kemudian kami terus balik ke Amanputra memenuhi undangan 'open house' di Jalan Amanputra 2/5. Memang meriah jamuannya...macam-macam ada. Saya hanya makan yang termampu saja lah sebab perut ni masih kenyang.

Hari Ahad, Nita dan keluarga datang rumah. Rindu sangat dengan Nita...memang dah lama tak jumpa walaupun hakikatnya pejabat kami sebelah-menyebelah saja. Sebaik saja Nita balik saya bergegas ke rumah Erni, 'open house' juga bersekali dengan sambutan harijadi anak dia (Amirah). Undangan ni harus saya penuhi sebab Amirah dah pesan bawa Insyirah (si adik), kalau tidak jenuh saya nak menjawabnya nanti. Amirah dan Insyirah ni kira kawan baiklah... masa sama-sama duduk taska K*N dulu. Kira 'reunion' diorang la ni walaupun hari Sabtu dah berjumpa kat rumah Fathil hahaha...tapi mana nak sama 'feel' dia kannnn...

Seronok sikit hujung minggu ni sebab en. hubby tak sibuk. Minggu depan pun sedikit lega sebab en. hubby tak perlu bergegas ke kelas selepas kerja. Cuti 'mid term' dah mula...itupun cuma seminggu je lah. Ini dah kira cukup baik buat saya dan anak-anak.

Sunday, October 18, 2009

:: Sedaplah papadom ni...rangup je::

Saya sudah menonton filem Papadom Jumaat lalu. Ia sebuah filem keluarga dan ditujukan khas untuk semua bapa...tak kiralah anda panggil papa ke, ayah ke atau abah atau apa saja panggilan untuk seorang bapa. Tetapi pada saya ia sebuah filem untuk semua...untuk bapa, mak, anak mahupun kawan-kawan, rakan taulan, jiran-jiran juga pada mereka yang tidak dikenali. Sebagai buah tangan terbaru Tayangan Unggul dan diarahkan oleh Afdlin Shauki ia adalah sebuah filem lain daripada biasa yang diarahkan olehnya sebelum ini.


Filem ini dibawa kepada kita secara santai namun membawa maksud yang tersirat. Mungkin juga ia paparan realiti hidup kita. Bukan mudah bagi seorang bapa mengasuh, menjaga dan membesarkan seorang anak apatah lagi jika anak itu perempuan dan tanpa seorang ibu. Inilah realiti kehidupan dan inilah yang harus ditempuhi oleh Saadom. Saadom mungkin mewakili segelintir golongan bapa di dunia ini yang terpaksa membesarkan anak perempuannya Miasara seorang diri tanpa bantuan seorang ibu dan isteri. Saadom menjadi seorang bapa yang terlampau 'protective'. Segala pergerakan Miasara dikawal dan aturan hidup Miasara ditentukan oleh Saadom. Setelah membesar menjadi remaja tentulah Miasara menjadi rimas dengan tindakan Papanya itu. Kita juga pernah merasa begitukan sewaktu remaja dulu. Terasa dikawal, dikongkong untuk melakukan apa saja. Waktu inilah saya mula merasa sebak terkenangkan arwah abah. Walaupun seorang bapa tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya namun adakala tindakannya itu kadang-kadang tidak kita sedari telah menunjukkan bahawa dia sememangnya menyayangi kita.

Filem ini telah menyentuh jiwa seorang anak, seorang bapa. Filem ini juga punya pelbagai rasa...ada gembira, ada jenaka, juga ada sedih dan duka. Walaupun ada sesetengah 'scene' itu yang tak berapa saya faham namun kecacatan itu boleh diabaikan dengan sentuhan cerita dan maksud dalam cerita yang ingin disampaikan. Kita jarang mengangkat kisah pengorbanan seorang bapa namun filem ini telah menyerlahkan seorang bapa sebagai hero dalam kehidupan. Saya suka ini cerita...

Tuesday, October 13, 2009

:: Cik Arr ::

Cik Arr datang dalam hidup kami seminggu selepas hari lahir adik yang ke-3 tahun. En. hubby hadiahkan Cik Arr kepada adik sempena harijadi adik. Masa tu adik gembira sangat, cuma ibu saja yang tak berapa suka. Tapi untuk adik, ibu rela terima Cik Arr sebagai sebahagian dari hidup kami. En. hubby dan adik punya kegemaran yang sama, dan dua-dua sama penyayang. Sebab tu dua orang cinta hati ibu ni suka sangat dengan Cik Arr. Sejak itu juga ibu cuba membiasakan diri dengan Cik Arr, walaupun dalam takut-takut tapi ibu pun sebenarnya dah jatuh sayang dengan Cik Arr. Di awal-awal kehadiran Cik Arr, semua orang ambil berat pasal Cik Arr. Semua nak jaga Cik Arr, bagi makan Cik Arr, mandikan Cik Arr, kemaskan tempat tinggal Cik Arr, main-main dengan Cik Arr. Kalau nak bercuti lama-lama pun fikir 2 ke 3 kali dulu sebab sayang nak tinggalkan Cik Arr. Akhirnya kalau kami bercuti panjang, dengan Cik Arr sekali kami angkut bawa.

Setahun kemudian...perhatian kepada Cik Arr dah semakin kurang. Abang dan adik sibuk dengan hal masing-masing. Hanya en. hubby saja yang selalu melayan Cik Arr. Cik Arr semakin sunyi...lagipun Cik Arr tak ada teman untuk bermain. Kalau kami balik kampung pun, Cik Arr kami tinggalkan saja di rumah. Minta tolong jiran bagi makan dan minum pada Cik Arr. Tanpa en. hubby perasan, ibu tahu yang en. hubby sangat sedih bila terpaksa tinggalkan Cik Arr sendirian. Lebih-lebih lagi kalau en. hubby kena 'outstation'. Ibu dah cakap awal-awal dengan en. hubby yang ibu memang tak sanggup nak jaga Cik Arr sebab ibu ni penakut. Adik dan abang bukannya boleh harap sangat.

Dah masuk tahun kedua Cik Arr bersama kami, ibu suarakan cadangan kepada en. hubby supaya lepaskan Cik Arr. Sama ada jual balik dia atau bagi saja kepada sesiapa yang nak. Ibu kesian tengok Cik Arr, semakin terbiar dan dibiarkan. Sejak en. hubby belajar semula ni, lagi terbiarlah Cik Arr. Ibu sangat tak sampai hati melihat keadaan Cik Arr tapi ibu tak berdaya nak tolong Cik Arr. Adik pun dah lama tak main dengan Cik Arr, bercakap-cakap dengan dia sambil bagi dia makan macam dulu-dulu.

Akhirnya pagi semalam, en. hubby cakap dah ada orang nak ambil Cik Arr. Tersentap sekejap hati ibu mendengarnya...rasa sayu pun ada. Tapi ibu rasa dah sampai masanya Cik Arr pergi dari hidup kami. Kami dah tak mampu lagi nak jaga Cik Arr. Semalam dalam pukul 11 lebih en.hubby baru balik dari kelas...dia cakap dah nak hantar Cik Arr kepada tuan baru dia. Adik dan abang dah tidur waktu tu, jadi mereka tak tahu apa yang berlaku. Bangun pagi tadi, seperti biasa ibu siapkan abang dan adik untuk ke sekolah. Sedang kami bersiap-siap nak keluar rumah, tiba-tiba tanpa ibu sangka adik pergi menjenguk Cik Arr. Adik terus menjerit...."Ibu!!!! rabbit adik dah tak ada!!!"....Riaksi adik masa tu sangat terkejut, macam nak nangis pun ada. Ibu diam tidak terkata. Terus adik cari en. hubby mengadu hal. En. hubby buat-buat terkejut dengan kehilangan Cik Arr. Adik sangat sedih...akhirnya en. hubby cakap pada adik..."Rabbit dah lari sebab adik tak jaga dia ". Adik jawab balik..."Lepas ni adik jagalah dia, adik bagi dia makan". Ohhh....kata-kata adik itu menyentap tangkai hati saya. Sampai dalam kereta sepanjang perjalanan kami pagi tadi adik masih tertanya-tanya pasal kehilangan Cik Arr dan akhirnya en. hubby janji ngan adik hujung minggu ni nak bawa semua pergi Zoo....huhuhu...ibu tahu en. hubby semalam pun mengalir airmata saat perpisahan dengan Cik Arr. Kami semua harus lupakan Cik Arr demi kebaikan Cik Arr. Moga Cik Arr lebih bahagia dengan tuan baru Cik Arr.

Monday, October 12, 2009

:: Mentang-mentanglah bangunan ni dia yang punya ::

Boleh saja dia buat sesuka hati tanpa memikirkan masalah orang lain. Pagi-pagi Isnin ni sudah buat saya marah dan naik angin, malah bukan saya saja, orang lain yang bekerja di sini pun mesti bengang. Buat orang sakit hati betullah K*N ni. Kalau dah tahu nak buat jamuan raya kat tengah-tengah jalan tu, uruslah betul-betul trafik tu supaya kenderaan-kenderaan lain yang nak masuk tidak jadi kelam kelibut dan tersangkut. Buat rancangan awal-awal supaya laluan biasa orang guna tu dilencongkan ke laluan alternatif lain. Ini tidak...pak guard yang jaga pun macam 'blur' je, tak tau nak buat macam mana. Apa daaaa.......!!!!

Saturday, October 10, 2009

:: Bubur Nasi + Sup Ayam ::

Hanya ini saja yang dapat membuka selera anak-anak minggu ni. Bangun awal pagi tadi tanak bubur seperiuk sambil mengemas rumah, membasuh segala bagai, lepas tu baru buat supnya. En. hubby pun awal-awal pagi lagi dah keluar, ada kejohanan badminton di Putrajaya. Dia tidak akan ada di rumah untuk seharian, dan kami anak-beranak pula harus seharian terperuk di rumah. Lagipun saya memang tidak dapat kemana-mana hari ni sebab harus bekerja (saya yang sedia berkhidmat untuk negara...ecewahhh). Syukur alhamdulillah, si abang sudah baik dari demam cuma masih tak lalu nak makan sebab mulutnya dah pecah-pecah ('ulser'), satu hal lagi si abang ni memang liat sungguh nak makan ubat, tu yang nak kebah demam tu ambil masa sikit. Kalau diikutkan hari ni Nita nak datang rumah, ntah apa halnya baru kejap tadi hantar mesej tak jadi pula. Katanya nak datang hujung minggu depan. Apa-apa ajelah cik Nita oi!!

Esok mak dah nak balik SP, naik bas jam 11.00 pagi. Mujur esok tak kena kerja, jadi boleh hantar mak dan lepas tu boleh le pergi jalan-jalan hehehe. Cuma yang tak 'best' sebab esok pun en.hubby tak ada, masih dengan kejohanan badminton. Asyik sibuk je memanjang....sabarlah wahai hati...

Tengah fikir apa nak masak untuk makan tengahari ni. Untuk anak-anak dah 'settle' dengan menu seperti tajuk 'entry di atas. Ni dok pikir menu untuk memenuhi selera tekak ibu pula...nak jalan-jalan cari resepi kejap ek!

Wednesday, October 07, 2009

:: Emosi ::

Termasuk hari ni dah 2 hari si abang demam panas...bermakna saya pun terpaksa le cuti 2 hari juga sebab nak jaga dia. Si abang mula demam Isnin malam, lepas makan ubat nampak macam ok, tapi bila saya rasa badan dia tengah malam tu, mak aih...panas pulak dah badan dia. Bila tengok keadaan dia macam tu, hari selasa tak pergi sekolah le, saya pun ambil cuti kecemasan. Saya harap satu hari rehat dia pun akan ok, sampai ke malam panas badan dia masih tak surut-surut. Lepas makan ubat, badan dia ok, dah sejuk tapi tak lama kemudian panas balik. Macam tu le dia sepanjang hari. Risau betul saya. hari ni dah bawa dia pergi klinik lain, harap-harap dia akan ok le lepas nih.

Bila tengok dia, saya pulak jadi terlebih emosi. Kesian kan...biasanya anak-anak ni takkan duduk diam, ada je aktiviti dia. tapi bila demam macam nih, lemah aje gayanya. Nak buat apa pun tak nak, asyik baring tidur aje. Emosi ibu macam saya ni mudah sangat tersentuh. Yang buat lagi beremosi tu sebab kalau dia demam, dia dok diam je, tak banyak kerenah. Waktu-waktu macam ni le saya pun mula teringat mak saya. Macam tu juga le kan mak kita dulu, kalau anak-anak sakit, demam...dia le yang sangat prihatin, waktu bila kena makan ubat, jelum kepala dengan air asam jawa (nak bagi sejuk badan), masak macam-macam ikut selera anak-anak yang sedang demam, tidur malam tak lena (kejap-kejap bangun 'check' suhu badan, panas lagi ke tak), kalau yang kerja tu memang ambil cuti le sebab nak jaga anak. Bila kita sendiri dah jadi ibu, baru kita tau pengorbanan sebenar seorang ibu kannn....padahal dulu-dulu kalau ada yang tak puas hati ngan mak, mesti merajuk le, tak nak makan le...tanda protes. sekarang baru tau langit tinggi rendah, kadang-kadang kalau masa anak demam tu, ibu pun demam tapi sebab kasih kepada anak, ibu boleh lupa yang dia pun tengah sakit. Hilang semua rasa tak sedap badan sebab masa tu kesihatan anak-anak yang lebih penting.

Saya pun tak tahu lah kenapa rasa sangat beremosi hari ni. Takkan sebab dah tua kot...dah mula jadi sensitif.