
Filem ini dibawa kepada kita secara santai namun membawa maksud yang tersirat. Mungkin juga ia paparan realiti hidup kita. Bukan mudah bagi seorang bapa mengasuh, menjaga dan membesarkan seorang anak apatah lagi jika anak itu perempuan dan tanpa seorang ibu. Inilah realiti kehidupan dan inilah yang harus ditempuhi oleh Saadom. Saadom mungkin mewakili segelintir golongan bapa di dunia ini yang terpaksa membesarkan anak perempuannya Miasara seorang diri tanpa bantuan seorang ibu dan isteri. Saadom menjadi seorang bapa yang terlampau 'protective'. Segala pergerakan Miasara dikawal dan aturan hidup Miasara ditentukan oleh Saadom. Setelah membesar menjadi remaja tentulah Miasara menjadi rimas dengan tindakan Papanya itu. Kita juga pernah merasa begitukan sewaktu remaja dulu. Terasa dikawal, dikongkong untuk melakukan apa saja. Waktu inilah saya mula merasa sebak terkenangkan arwah abah. Walaupun seorang bapa tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya namun adakala tindakannya itu kadang-kadang tidak kita sedari telah menunjukkan bahawa dia sememangnya menyayangi kita.
Filem ini telah menyentuh jiwa seorang anak, seorang bapa. Filem ini juga punya pelbagai rasa...ada gembira, ada jenaka, juga ada sedih dan duka. Walaupun ada sesetengah 'scene' itu yang tak berapa saya faham namun kecacatan itu boleh diabaikan dengan sentuhan cerita dan maksud dalam cerita yang ingin disampaikan. Kita jarang mengangkat kisah pengorbanan seorang bapa namun filem ini telah menyerlahkan seorang bapa sebagai hero dalam kehidupan. Saya suka ini cerita...
No comments:
Post a Comment