Tuesday, September 29, 2009

:: Corat-coret Raya 2009 ::

  • Tahun ni berkelana dari KL-Kuala Terengganu-Kedah dengan kereta baru…ecewah.
    Pertama kali si persona jalan jauuuuuuh sangat siap merentas Banjaran Titiwangsa. Syukur alhamdulillahhhh perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Anak-anak pun lebih selesa, tak banyak kerenah.

  • Tahun ni juga, perjalanan balik kampong ke KT tidak tersangkut dengan kesesakan. Kereta memang banyak tapi masih ok, cuma nak lepas keluar dari KL aje (laluan MRR2) yang sesak sikit. Dah masuk LPT semuanya lancar.

  • Kebiasaannya di KT, kalau tiba hari raya jalan akan sesak tapi berbeza pulak tahun ni nampak macam ok je. Dengar juga ada kesesakan di beberapa laluan, tapi semuanya masih terkawal. Mungkin tahun ni polis trafik sudah bersedia lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

  • Satu kebetulan pulak, baju raya tahun ni semua bertema biru. Mak mertua, abah mertua, adik-adik ipar dan saya sekeluarga semuanya mengenakan baju raya biru, kecuali Niza. Niza kata, dah puas cari kain warna biru tapi tak jumpa yang berkenan.

  • Sejak berkahwin, saya dan en. hubby mengamalkan sistem giliran beraya di kampong siapa dulu. Tahun ni giliran beraya di KT lebih dahulu dan kebiasaannya akan balik ke kampong satu lagi pada setiap raya ketiga, berbeza pulak tahun ni kami balik SP pada hari raya keempat. Tak tahulah kenapa saya jadi sangat bermurah hati untuk tinggal lebih lama di KT….hehehe.

  • Buat pertama kalinya dalam hidup saya, hari raya pertama saya tidak menjamah sebarang jenis biskut raya walaupun banyak rumah yang telah kami kunjungi. Dari awal pagi sampailah ke malamnya, semuanya saya bedal hidangan berat semata seperti nasi minyak (air tangan mak mertua), sate beserta nasi impit dan kuah kacang dan juga nasi dagang.

  • Memandangkan si abang berjaya berpuasa (2 hari saja tinggal puasa),nikmat Syawal tu lebih dirasai. Si abang sangat teruja nak sambut raya…memang ‘excited’ habis. Bila hari raya, si abang macam kemaruk je nak makan, kalau boleh semua dia nak rasa, nak telan. Maklum le kan hampir sebulan berpuasa…edisi lepas geram agaknya.

  • Raya tahun ni jugak telah menambahkan jumlah duit raya yang harus dihulurkan memandangkan bertambahnya bilangan ahli keluarga. Saya juga yang belum tambah-tambah. Tak tahu le bila agaknya Tuhan nak kurniakan rezeki ketiga ni.

  • Hari raya ketiga, mak mertua buat rumah terbuka untuk saudara-mara dan kenalan terdekat. Saya hanya menyumbangkan pudding triffle saja. Hidangan utamanya pulut kuning. Kebiasaannya pulut kuning digandingkan dengan gulai ayam, tapi kali ini agak pelik kerana dihidangkan dengan gulai ikan aye. Rasanya macam makan nasi dagang le pulok.

  • Rumah terbuka mak mertua saya juga telah mengeratkan lagi ukhuwah antara mak mertua dengan rakan semasjidnya yang juga mak kepada rakan sepejabat saya (Yana) yang mana rumah mak si Yana ni dekat aje dengan rumah mak mertua …wahhhh berapa sikit punya panjang alkisahnya. Sebelum ni mak mertua ngan mak Yana hanya berkenalan di masjid saja, tak sangka pula bila Yana bawa maknya beraya….dah macam jejak kasih hahaha…maka makin bertambah erat dan mesra le diorang lepas ni…insyaallahhhh.

  • Tahun ni saya beraya dengan mak di R&R Jeli. Mana tidaknya, hari raya keempat tu saya dalam perjalanan balik ke SP manakala mak saya ikut rombongan meminang adik sepupu saya ke Kuala Krai. Jadi, kami pun berjanji le untuk berjumpa di pertengahan jalan memandangkan saya tidak ikut serta dalam rombongan tu. Syahdu betul bila dapat jumpa mak bersalam, berpeluk cium bagai. Maklumle tahun ni, raya pertama mak hanya bersama dengan banglong dan dikyah saja tiga beranak. Takpa mak… tahun depan insyaallahhh kemeriahan raya pertama itu akan kembali.


  • Pertama kalinya dalam sejarah raya saya, menonton wayang di musim raya. Hari raya keempat,sampai aje SP, malamnya en.hubby ajak tengok wayang filem Jin Notti hahaha… dah pesan awal-awal minta dikyah belikan tiket untuk tayangan malam…ntah apa-apa en.hubby ni. Filem ni boleh tahan je la…macam tak percaya pulak KRU yang buat filem merapu macam ni.

  • Raya tahun ni amat bermakna juga buat kami sekeluarga sebab dapat beraya dengan orang baru yang telah lama kami nantikan…Luqman Afif bin Khairul Shakir (satu-satunya anak saudara saya buat masa ini). Baru berusia 3 bulan tapi dah bermacam kerenah dan akalnya… geram betul tapi makngah saaaaayang sangat kat Luqman.


  • Setelah 4 tahun berlalu , saya berjumpa semula dengan seorang kawan sama belajar di ITM dulu di musim raya ini. Kali terakhir kami jumpa, si Fidah dah ada 2 orang permata hati dan saya pula masa tu sedang mengandungkan si adik. Dan kini selepas 4 tahun, si Fidah sudah punya 5 orang permata dan saya masih 2 huhuhu. Sangat ‘express’.


  • Di sebalik keceriaan sambut raya tahun ni, ada juga khabar yang tak berapa gembira. Tok saudara saya sebelah mak sedang terlantar sakit. Dan yang paling sedihnya, dulu toksu nilah yang paling banyak cakap, kiranya kalau dia dah mula bercakap memang tak ada tanda berhenti langsung… itulah ‘trademark’nya yang buat kami takkan lupa. Tapi kini, mulut riuh itu sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya lirikan matanya yang bening sayu merenung kami satu persatu. Saya doakan semoga dia cepat sembuh dan seandainya Tuhan lebih menyayangi dia, moga dia pergi dengan tenang dan aman insyaallahhhh…

  • Di sebalik kemeriahan raya yang mengeratkan ikatan ukhuwah, ada juga ikatan yang terlerai. Sangat terkejut saat menerima khabar seorang saudara yang terlerai sudah ikatan akad bersama si suami. Sedangkan baru sahaja tahun lepas saya menghadiri majlis walimahnya. Dan yang lebih sedihnya bila mengenangkan nasib anaknya yang baru berusia sembilan bulan. Namun, apa daya kita, jodoh pertemuan itu semuanya di tangan Tuhan.

  • Ada juga kisah saudara terdekat yang terlerai kasih dengan ibunya hanya kerana dendam lama. Sejak sebelum puasa sehingga Syawal menjelma tidak langsung berasa untuk mengunjungi si ibu. Khabar yang saya dengar, sejak raya pertama si ibu sudah beberapa kali pengsan dan dimasukkan ke hospital, mungkin kerana terlampau memikir dan merindui si anak. Kisah ini menjadi teladan khususnya pada saya dan kepada sesiapa saja yang bergelar anak dan masih mempunyai ibu dan bapa. Apalah sangat kita ini sebagai anak jika nak dibandingkan dengan ibu yang telah bersusah payah mengandung, melahirkan serta membesarkan kita sehingga berjaya sebegini.

  • Hari raya kelima, saya dan keluarga menziarahi maklong(satu-satunya kakak arwah abah) di BM. Suasana kampung masih terasa di sini…nyaman, tenang, sangat mendamaikan…anak-anak paling teruja dapat menikmati suasana seperti ini yang hanya setahun sekali saja dapat kami nikmati. Si abang dapat panjat pokok rambutan yang agak rendang sampai tak mahu turun. Teruja sangat kelihatannya…si adik pun kalau boleh teringin juga nak memanjat tetapi hajatnya tak kesampaian dek kerana baju kurung yang dipakainya. Itu belum lagi saya bawa meniti batas-batas sawah sambil menyedut angin sepoi-sepoi bahasa, menikmati panorama bendang yang luas mata memandang. Pasti lebih teruja…rindunya saya pada zaman kecil saya dulu.


  • Cerita dikyah yang berjumpa kembali dengan rakan-rakan sekolah rendahnya di musim raya kali ini menggamit kenangan saya pada zaman muda-muda saya dahulu. Saya mula menyelak semula album-album gambar lama dari zaman kecil hingga remaja saya. Rindu amat saya pada zaman-zaman itu. Lihat gambar-gambar lama arwah abah menggamit rasa rindu pada arwah abah…dan airmata saya menitis tanpa saya sedari. Sangat nostalgik raya kali ini.

  • Begitulah cerita raya saya pada Syawal 1430H ini. Ada kisah gembira, ada kisah duka. Semuanya memberi keinsafan, peringatan mahupun pengajaran buat saya. Semoga saya dan keluarga mahupun sesiapa jua lebih menghargai kehidupan ini.

  • Raya yang disambut hanya secara sederhana dengan bajet yang juga sederhana namun meriahnya tetap ada.

  • Hari Isnin sudah kembali bekerja…lalu tunggu apa lagi, sudah-sudahlah cerita raya…mari kita buat kerja hahaha…

Friday, September 18, 2009

:: Tak sabar nak balik kampung ::

Sudah saya katakan, kita manusia hanya mampu merancang Tuhan jua yang menentukan. Akhirnya...dapat juga saya sekeluarga balik SP raya tahun ni. Disebabkan beberapa rancangan yang sudah bertukar maka dapatle saya beraya di kampung sendiri juga. Awal pagi tadi, bila cakap dengan en. hubby, dia jeling aje....hahaha minta maaf ye en.hubby, tak dapat le awak nak berlama-lama kat Ganu sana. Keadilan harus ditegakkan huhuhu. Saya ni pun bukannya jenis yang berkira sangat, apa yang penting saling timbang rasa kannn...mesti semuanya akan jadi baik.

Oklah...kes balik kampung dah selesai. Hari ni saya dan en.hubby masih bekerja, tapi setengah hari saja. Kami akan bertolak balik Ganu lepas berbuka. Barang-barang semua belum kemas lagi, rumah yang nak tinggal pun belum 'settle' lagi. Tunggulah kejap lagi balik akan bekerja keras le siapkan semua. Saya dan keluarga akan bercuti hingga 27 September. Sehingga itu, blog pun turut bercuti, jadi inilah 'entry' terakhir bulan Ramadhan.

Harapan saya sempena Aidilftiri ini, moga kita semua mendapat rahmat dan redha dariNya. Moga dipelihara dari segala bencana, penyakit merbahaya dan segala macam ancaman lagi... insyaallahhhh.

Wednesday, September 16, 2009

:: الالليقوء يا رمضان ::


Malam ini tiba-tiba jiwa terasa syahdu, sendu, rindu segala bagai. Terasa betapa cepat masa berlalu, sedar-sedar Ramadhan ini bakal pergi. Mungkinkah kita akan bertemu lagi atau mungkin ini Ramadhan terakhir. Hikmah bulan ini sangat besar, berada dalam Ramadhan…hati rasa tenang walau pelbagai dugaan mendatang, masa terasa lapang walaupun kesibukannya sama seperti di bulan-bulan lain, hidup seperti lebih terurus walau dikekang dengan bermacam halangan, terasa lebih komited dengan Yang Maha Esa walau sebelum ini banyak perkara-perkara ibadah dilengahkan. Terasa sayang pula untuk meninggalkan bulan istimewa ini namun apa kan daya kita. Saya berharap apa yang dirasa, dilalui atau dipraktik dalam Ramadhan ini dapat diteruskan di bulan-bulan yang seterusnya. Harus lebih istiqomah. Kenapa agaknya ye, perasaan kita akan jadi lain macam sajakan bila dalam bulan Ramadhan. Mungkin itulah istimewanya madrasah Ramadhan. Itulah yang saya rasa, tidaklah saya tahu andai ada yang berkongsi rasa seperti saya.



Ramadhan ini kulalui
Penuh keinsafan diri
Menampung kekhilafanku ini

Ramadhan ini kulalui
Mendekatkanku dengan Rabbul Izzati
Betapa aku semakin jauh selama ini

Ramadhan ini kulalui
Membuka pintu hati
Menambah kesabaran diri
Menghadapi ujian duniawi

Ramadhan…yaaaa…ramadhan
Sebulan lalu ahlan wasahlan
Hampir sebulan kini bakal meninggalkan
Ilalliqooo’ Ya Ramadhan
Selamat tinggal duhai Ramadhan

Ramadhan…yaaaa…ramadhan
Akan ada lagikah pertemuan dengan mu


- Nurilhami (12.20 am) -

Monday, September 14, 2009

:: Terakhir Ramadhan ::

Mood beraya sudah tiba, mood bekerja pula yang dah menurun. Tapi masih ada kerja yang perlu siap sebelum raya, sabar je la dengan bos ni. Minggu ni kiranya nak selesai persiapan sebelum balik kampung, tukar duit raya, ambil kuih raya, 'shopping' untuk raya. Pendek kata tajuk besarnya minggu ini RAYA hahaha. Alhamdulillah, semalam dah 'shopping' terakhir untuk raya, dah beli kasut anak-anak, baju cik hubby, perhiasan rumah serba sikit segala bagai. Cukup lah sekadar bersederhana saja. Tahun ini saya akan beraya di rumah mertua, kemungkinan tak balik SP langsung...sedih juga tapi takpe la nak buat macam mana. Kadang-kadang apa yang dirancang tu belum tentu dapat berjalan dengan lancar kan.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran buat cik hubby tercinta hari ini 14 September 2009 bersamaan 24 Ramadhan 1430H. Moga tahun ini bakal memberi seribu rahmat, limpahan rezeki dan kejayaan buat cik hubby dariNya...insyaallah.


p/s: akhirnya dia menerima saya sebagai kawan...saya hanya mampu tersenyum dalam bahagia

Wednesday, September 09, 2009

:: 090909 ::

Tarikh yang agak istimewa....dan hanya berlaku sekali dalam seumur hidup. Hari ini juga saya sampai lewat ke pejabat sebab jalan tutup, ada paip pecah.

Monday, September 07, 2009

:: Alkisah di bulan puasa ::

Selepas berbuka, si ibu langsung menunaikan solat Maghrib, kemudian mengaji sekejap sementara menunggu waktu Isya’. Selesai solat Isya’, si ibu melayan anak yang bongsu makan, masa ni si ibu pun turut makan. Waktu ini, abah dan abang sudah ke surau untuk solat sunat Tarawikh. Lepas makan, si ibu hanya sempat berehat sekejap sebelum menyambung semula kerja-kerja di dapur untuk persiapan sahur esoknya. Si ibu memang suka sediakan segalanya lebih awal supaya tak kelam kelibut. Nasi dah dimasak, lauk-pauk dah disediakan untuk bersahur. Dapatlah si ibu berehat sebentar sementara menunggu abah dan abang balik dari surau. Kebiasaannya, 2 orang lelaki kesayangan si ibu ini akan makan nasi juga selepas balik dari surau. Dengan penuh rasa tanggungjawab dan kecintaan, si ibu menyedia dan melayan mereka di meja makan. Setelah selesai semuanya, si ibu pun berkemas-kemas dan bersiap sedia untuk masuk tidur bersama anak-anak. Sebelum tidur, si ibu akan mengingatkan anak-anak baca doa tidur dan untuk si abang akan niat berpuasa esok hari terlebih dulu. Si ibu akan bangun pada jam 4.30 pagi untuk persediaan bersahur. Lebih kurang pukul 5 pagi, barulah si ibu akan kejutkan abah dan abang untuk bersahur. Begitulah rutin seorang ibu setiap hari termasuklah hari-hari yang si ibu bekerja.

Tidak tahu kenapa dan di mana silapnya, dalam tempoh tiga hari, 2 kali berselang sehari, si ibu sudah terlewat untuk bangun bersahur. Rutin yang biasa dilakukan si ibu, jam gerak sudah dikunci tapi sedar-sedar jam sudah menunjukkan 5.40 pagi. Si ibu merasa sangat kesal kerana kasihan dengan si abang yang baru belajar berpuasa. Bukan tak biasa terlajak waktu bersahur di tahun-tahun sebelum ini, cuma rasa ralat sebab anak sulung si ibu baru tahun ini nak belajar puasa. Bagi ibu dah abah yang dah dewasa ini tidaklah menjadi hal sangat seandainya tak bersahur. Tetapi bagi si anak ni, tentulah cabaran yang sangat besar buatnya untuk mengharungi puasa sehari tanpa bersahur terlebih dahulu. Ditambah pula si abang ni jenis yang kuat makan, kemudian pula siangnya digoda dengan si adik yang makan nasi walaupun hanya lauk daging goreng kicap. Akhirnya si abang dah tak tahan dengan godaan merayu-rayu dengan si ibu untuk pecahkan puasanya. Si ibu sudah pening kepala, rasa kasihan pun ada. Dan akhirnya juga si ibu dengan penuh sayang dan cinta kepada anak, membenarkan si abang untuk berbuka itupun setelah memujuk si abang supaya bertahan sampai ke tengahari. Hari kedua terlajak sahur, hari bersekolah. Si abang merajuk dan menangis kerana sekali lagi tak dapat bersahur. Tapi kali ini si ibu memujuk si abang dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat bertahan sehingga waktu berbuka. Harapan si ibu, di sekolah nanti si abang akan lupa dengan perutnya yang sedang berlapar itu dengan segala macam aktiviti di sekolahnya. Si ibu akan sentiasa berdoa agar anaknya ini akan terus kuat dan mampu bertahan…insyaallahhhh.

Begitulah alkisahnya…..si ibu kini sedang mencari jalan bagaimana tidak akan terlajak sahur lagi. Macamana ye???

Tuesday, September 01, 2009

:: Ronda-ronda Kuala Lumpur ::

Sabtu dan Ahad baru ni, kami lepaskan gian nak jalan-jalan di KL. Memang dah lama betul tak masuk bandar KL macam dulu-dulu sewaktu masih kerja di KL. Hari Sabtu tu, mula-mula pergi Kajang dulu, ambil baju yang saya tempah kemudian terus pergi Kg. Baru sebab en.hubby nak cari bubur lambuk. Kami sempat le jalan-jalan kat PaRam Kg. Baru tu, beli kuih-muih sejenis dua. Kemudian beli bubur lambuk Kg. Baru yang sangat sedap dan popular itu. En. hubby ni dah dapat apa yang dia idamkan, terus je ajak balik. Tapi saya pun tak kisah, kiranya masih sempat balik tu masa nasi minyak dan kari ayam untuk iftar.

Hari Ahad, sekali lagi kami ronda-ronda nun jauh ke KL sampai ke Selayang terus pula sampai Tmn. Melawati. Mula-mula tu biasa le masuk Kg. Baru dulu sebab nak beli bubur lambuk. Parah betul en.hubby ni, asal bulan puasa aje dah macam kemaruk bubur lambuk. Dah dapat yang dihajati, pusing-pusing bandar sekejap kemudian terus pergi Selayang Mall. Selayang Mall ni le tempat lepak kami masa duduk Kepong dulu-dulu. Sudah alang-alang sampai di sini, en.hubby cakap cari baju raya terus le. Ini kiranya jalan-jalan sambil ber’shopping’ raya. Selepas aktiviti di Selayang Mall, saya pula buang tabiat ajak en.hubby pergi menjengah ke PaRam Tmn. Melawati. Teringat juga dulu-dulu masa duduk Keramat, rajin juga pergi PaRam kat sini. PaRam di sini memang tersangat le meriahnya. Makanan-makanan yang dijual di sini juga tersangatlah menggoda kalbu. Inilah kunjungan pertama kami ke PaRam tahun ini dalam erti kata kunjungan yang sebenar-benarnya…cewahhh. Boleh dikatakan setiap gerai yang kami singgah bermula gerai pertama lagi buat kami rasa nak beli semua…nafsu…nafsu. Semuanya nampak sangat sedap…si abang tu pun macam-macam dia teringin. Haaa…baru rasa penangan orang berpuasa ni. Istighfar banyak-banyak dalam diri, bahawa ini semua hanya kerana nafsu orang yang berpuasa. Memandangkan jangkaan sampai rumah nanti dah tak sempat nak memasak apa-apa untuk iftar, kami beli le siap-siap di sini. Alhamdulillah…nafsu masih boleh dikawal, kami beli yang patut-patut saja. Sangat murah rezeki kami hari ini sebab jiran kiri kanan turut memberi juadah …pendek kata macam-macam ada. Jenuh juga nak menghabiskan kesemuanya. Syukur…syukur alhamdulillah atas rezeki yang diperolehi.

Hari Isnin, masih cuti sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 52. (Betulkah kita sudah merdeka?) Tidak ke mana-mana hari ini dan juadah untuk iftar pun yang sempoi-sempoi saja. Kerahan tenaga untuk si abang supaya siapkan kerja sekolahnya yang menimbun itu. Hari terakhir cuti sebelum sekolah dibuka baru dia nak kelam kelibut buat kerja sekolah. Dari awal minggu bercuti lagi, hari-hari saya membebel suruh buat, tapi macam-macam helah dia. Macam dah nak naik angin jugak le dengan kerenah si abang ni. Mujur le dalam bulan Ramadhan kannn…angin kus-kus ala-ala nak ke tahap meroyan ni terpaksa saya kawal. Malamnya tidur lambat sikit dari kebiasaan, gara-gara en.kerja sekolah yang ‘last minute’ baru nak dibuat tu. Siap juga akhirnya dengan segala macam drama swasta, cerekarama mahupun telefilem oleh si abang…siap dengan babak nangis, mengamuk, menjerit bagai… sabar ajelah.