Monday, January 23, 2012

:: Memberi makna pada ceritanya... ::

Dia ingin menjadi insan yang lebih matang, sematang usianya kini. Ingin memberi makna tersendiri pada ceritanya... untuk menjadi kenang-kenangan dan sebuah coretan kehidupan. Sebab itu dia perlukan perubahan. Lalu dia pilih yang ini...

Saturday, January 14, 2012

:: Hari minggu adalah hari untuk... ::

Owhhh!!!! lega rasanya bila dapat bertemu kembali si hari minggu. Ialah kononnya hari cuti, hari rehat, tidak pergi kerja, tidak ke sekolah... Tapi, kalau bagi ibu-ibu seperti dirinya ini, hari minggu bukanlah hari untuk berehat-rehat, bersenang-lenang begitu sahaja. 

Bagi dirinya... hari minggu adalah hari untuk mendobi kain-baju(tambahan sepanjang minggu cuaca asyik tidak menentu, kejap hujan,kejap panas...susah betul hendak jemur kain baju), hari untuk mengemas rumah(kalau hari bekerja memang sah-sah rumah akan jadi tunggang-langgang), hari untuk masak lauk yang best sikit ( kalau hari biasa, masak pun yang biasa-biasa dan mudah sahaja), hari untuk melayan diri-sendiri ( hari-hari biasa...mandi pun asal cukup syarat je, cuci muka pun cepat-cepat tak sempat nak belek). Jadi hari minggu inilah peluang yang ada untuk berlama-lama di bilik air, membelai-belai diri....sambil basuh bilik air. Hari minggu juga boleh baring sambil baca novel kegemaran, menghadap laptop lama-lama sikit sambil layan drama korea online (maadu.com).

Apa cerita dengan anak-anak pula? Owhhhh!!! anak-anak juga sibuk dengan aktiviti masing-masing. Mereka juga agaknya macam ibunya juga yang sentiasa menanti hari minggu setelah lebih 5 hari lebih banyak masa dihabiskan di sekolah. Akan tetapi, anak-anak bukannya berehat pun kan.... ada sahaja aktiviti mereka.... menonton rancangan televisyen kegemaran (hari sekolah memang tidak dibenarkan menonton tv), main game (hari sekolah tidak dibenarkan juga), main dengan kawan-kawan (anak-anak jiran berdekatan).

Begitu banyak yang ingin dilunaskan pada hari minggu, namun tidak kesemuanya dapat dilaksanakan dalam tempoh hanya dua hari. Bakal bertemu kembali hari Isnin, dan rutin biasa pun kembali mengambil-alih.... dan begitulah yang seterusnya sehingga bertemu kembali dengan hari minggu yang berikutnya...

Mungkin hujung minggu hadapan lain sikit aktivitinya. Maklumlah masing-masing bakal bercuti panjang selama empat hari. Perancangannya sudah ada untuk aktiviti keluarga dan mungkin ini adalah rangka percutian pertama untuk 2012 ini..... insyaallahhhhh semoga apa yang dirancang dapat berjalan lancar. 

Thursday, January 12, 2012

:: Bual... ::

Situasi : Waktu petang dalam perjalanan balik ke rumah. Suasana petang yang agak suram dan masing-masing nampak sangat keletihan; En. Rul, Puan Ilham dan anak-anak. Keadaan betul-betul hening kerana anak-anak Puan Ilham tertidur dalam kereta. Konon ingin memecah kesunyian yang makin terasa, Puan Ilham bersuara.

Puan Ilham : Yang, hari ni budak-budak ada kerja sekolah tak?

En. Rul : Esok ni, adik kena pakai baju sukan. Ada dia bawa balik surat tadi dalam beg.

Puan Ilham : Hmmm... (terus bersandar sambil pejam mata. Langsung tidak berhajat untuk bertanya apa-apa. mungkin diam lebih baik)

:: Cemburu agaknya... ::

Setiap hari, Puan Ilham, En Rul dan anak-anak hanya menaiki sebuah kereta untuk ke destinasi masing-masing (selalu juga Puan Ilham berangan-angan untuk memiliki sebuah lagi kereta... entah bila agaknya). Sejak sesi persekolahan bermula mereka akan keluar rumah lebih kurang 10 minit sebelum jam 7 pagi. Kebiasaannya, En. Rul akan menghantar Puan Ilham terlebih dahulu ke pejabat kerana jalan yang diambil akan melalui pejabat Puan Ilham terlebih dahulu dan kemudian barulah En. Rul meneruskan perjalanan menghantar anak-anak ke sekolah seterusnya destinasi terakhir adalah pejabat En Rul.

Rutin yang begitulah yang dilalui oleh mereka sekeluarga setiap hari sejak dua minggu memasuki tahun baru kecuali pada hari minggu. Selalunya anak-anak akan diam sepanjang perjalanan, maklumlah awal-awal pagi. Mood masing-masing masih belum terjana lagi. Akan tetapi lain sikit jadinya pagi ini apabila abang mula mempersoalkan kenapa Puan Ilham selalu sampai lebih awal di pejabat berbanding dia dan adik. Nada suaranya seakan-akan tidak puas hati, dan masih mempersoalkan mengapa tidak dihantar dia dan adiknya terlebih dahulu ke sekolah. 

Nampaknya abang ada rasa cemburu sebab ibunya dapat sampai lebih awal, seawal jam 7 pagi. Hari pun masih gelap lagi. Walaupun dia dan adik akan sampai ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi, tetapi harapannya kalau boleh dapat sampai lebih awal. Lebih baik lagi kalau dia antara pelajar yang terawal tiba di sekolah. Puan Ilham hanya boleh menerangkan sebab musabab kenapa perkara itu berlaku seperti itu dan mengharap anak sulungnya dapat memahaminya. Puan Ilham menegaskan lagi kepada anak-anaknya, bahawa yang paling penting adalah mereka tidak lewat tiba di sekolah. 

Susah sebenarnya untuk memuaskan hati anak-anak. Ada sahaja yang hendak dipersoalkan. Kenapa begini? Kenapa begitu? Kenapa tidak boleh dibuat begini? Tidak boleh dibuat begitu? Kenapa harus begini? Harus begitu? Seingat Puan Ilham, sewaktu di zaman kanak-kanaknya dulu, dia dan adik-beradiknya langsung tidak berani untuk mempersoalkan apa sahaja yang abah dan mak sediakan untuk mereka. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup mereka, diterima sahaja dengan redha meskipun adakala terbetik juga perasaan tidak puas hati, namun semua hanya dipendamkan sahaja dalam hati. 

Anak-anak zaman sekarang sangat berlainan pemikiran dan pandangan mereka. Mereka mungkin lebih 'advance' tapi puncanya dari siapa? Dari didikan ibu bapa kah? Atau pengaruh dari televisyenkah? Ataupun bagaimana? Bagi Puan Ilham, dia hanya mencuba yang terbaik. Dia masih belajar dan akan terus belajar menjadi ibu yang baik, yang cemerlang.... yang hebat. Meski dia tahu cabaran di hadapan begitu sukar dan tidak mudah untuk didepani. Semua cabaran, ujian dan dugaan bukanlah alasan untuk mengaku kalah dan menjadi orang yang tewas. Kerana dia tahu, anak-anak yang dimiliki adalah amanah dan tanggungjawab yang dianugerah olehNya. 

Tuesday, January 10, 2012

:: Suatu saat... ::

Puan Ilham kembali sibuk sebaik sesi persekolahan tahun ini bermula. Tiada lagi bangun pagi hari bekerja yang bersenang-lenang bergolek-golek di atas katil sepertimana sebulan yang lalu.Tiada lagi masa untuk boleh lelap-lelapkan mata seminit dua lagi walau waktu sudah menginjak 6.30 pagi. Jangan lagi hendak perasan setakat gosok baju sendiri dan si suami sahaja. Inilah rutin luar biasa sejak lebih sebulan yang lalu. Puan Ilham terpaksa terima hakikat rutin biasa kembali menjengah dan tidak ada lagi alasan apa-apa.

Tahun ini bertambah lagi seorang anak Puan Ilham ke sekolah kebangsaan. Permata hati Puan Ilham hanya dua orang. Jadi kedua-dua buah hati pengarang jantung Puan Ilham sudah bersekolah. Memang kelam-kelibut hendak menguruskan kedua-duanya. Tapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Anak kedua digelar adik, agak cerewet orangnya jika hendak dibandingkan dengan abang. Awal-awal lagi adik sudah beri pesanan pada Puan Ilham bahawa dia hendak bawa bekal ke sekolah setiap hari. Adik tidak mahu beli makanan di kantin. Maksudnya di sini, Puan Ilham harus menyediakan bekal untuk adik dan secara tidak langsung juga pada abang setiap hari…..ya…setiap hari.

Sebelum ini pun, Puan Ilham pernah berazam untuk sediakan bekal setiap hari pada abang tapi adakala Puan Ilham terbabas juga dan sebenarnya pun lebih banyak yang terbabas dari tidak. Kiranya azam Puan Ilham tahun lepas kira gagal juga lah. Tahun ini Puan Ilham tidak lagi simpan azam sebegitu tapi dia bertekad untuk cuba sehabis baik untuk anak-anaknya. Kalau diikutkan pun, memang lebih baik anak-anak dibekalkan makanan dari rumah yang disediakan sendiri oleh ibu kannnn. Di samping menjaga kesihatan dan kebersihan, dapat juga mengeratkan kasih sayang…. Begitulah tekad Puan Ilham.

Jadual Puan Ilham bermula seawal jam 5 pagi setiap hari. Pengurusan dan pengagihan masa adalah sangat penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Anak-anak Puan Ilham boleh sampai ke sekolah ikut masa ditetapkan, begitu juga dengan en.Rul boleh sampai ke pejabat sebelum pukul 8 pagi dan Puan Ilham sendiri akan tiba di pejabatnya lebih awal.

Petang selepas waktu bekerja, Puan Ilham dan keluarga akan tiba di rumah lebih kurang jam 6 petang. Kini tiada lagi istilah relaks dan rehat bagi Puan Ilham sebaik tiba di rumah selepas seharian di pejabat. Puan Ilham akan menyambung tugasannya sebagai suri di rumah hinggalah tiba waktu untuk tidur. Tugasan di sebelah malam harus disiapkan pada malam itu juga. Tidak boleh ditangguh-tangguh dan kalau tertangguh segala-galanya akan menjadi lebih kelam-kabut. Silap haribulan boleh jadi ribut juga.

Puan Ilham harus memastikan makan malam disediakan, urusan baju sekolah anak-anak dibereskan, membasuh kain baju kotor, melihat kerja sekolah anak-anak, memeriksa beg sekolah anak-anak, mendengar cerita luahan anak-anak dan menonton rancangan kegemaran Puan Ilham juga. Ohhhhh…ya…tugas Puan Ilham sebagai seorang isteri kepada En. Rul juga tidak boleh diabaikan.

Begitulah rutin Puan Ilham setiap hari. Yang lebih memeningkan kepala Puan Ilham sekarang ini adalah untuk memikirkan menu bekalan yang perlu disediakan setiap hari. Padanya, menu yang perlu disediakan haruslah ringkas dan lebih mudah untuk disediakan pada awal pagi. Dan yang paling penting anak-anaknya suka dan boleh makan sampai habis. Dalam keadaan ini Puan Ilham tidak boleh syok sendiri, dia harus mementingkan selera anak-anak bagi memastikan anak-anaknya dapat belajar dengan lebih baik dan bertenaga sepanjang hari.

Tidak mudah bukan tugas seorang ibu. Banyak betul tanggungjawabnya dan bukan setakat tanggungjawab secara lahiriah sahaja malah dari segi kerohanian juga harus dititik-beratkan. Memikirkan semua ini, adakala Puan Ilham menjadi takut dan bimbang. Mampukah dia memikulkan segala tanggungjawab yang tergalas dibahunya ini? Puan Ilham percaya, ibu-ibu tidak kira di mana jua berada pastinya seperti dirinya juga. Hanya inginkan yang terbaik dalam hidup, yang terbaik untuk suami, untuk anak-anak, untuk ibu bapa serta untuk semua orang disekelilingnya. Tapi sebelum melakukan yang terbaik untuk semua orang, dia juga harus lebih adil kepada dirinya sendiri terlebih dahulu. Perlu lakukan yang terbaik untuk dirinya juga sebagai benteng pertahanan dan kekuatan diri dan yang selebihnya dan paling penting , Puan Ilham berserah dan berdoa kepdaNya yang Esa.

Tuesday, January 03, 2012

:: Mula ::

Pagi ini saya menegur seseorang. Saya ucapkan pada dia 'Selamat tahun baru' sambil tersenyum. Dia lantas memandang saya sambil tersenyum juga dan kemudian kedengaran tertawa kecil tercetus dari bibir mungilnya. Dalam beberapa saat itu, hati kecil saya sempat berkata-kata; bukan respon yang begitu sebenarnya yang saya jangkakan tapi... omelan dalam hati terhenti bila dia berkata "Alaaaa... tahun saja baru, jumpa orang yang sama juga kannn". 

Ya... benar juga katanya, saban tahun angka sahaja yang berubah dan kita masih juga orang yang sama. Tetapi hati kecil saya sedikit menyangkal kata-katanya. Saya jawab, "yaaa...orangnya memang sama tapi semangat tu yang baru"... terus saya tertawa kecil dan langsung masing-masing mula membuat hal sendiri.

Setiap manusia ada pandangannya masing-masing. Memang setiap tahun hanya angka sahaja yang berubah, angka pada usia juga berubah tapi... Apakah kita masih ingin menjadi orang yang sama? Masih mahu menjadi kita yang dulu-dulu juga? Atau kita rasa kita juga perlu berubah? Akhirnya terpulang juga pada diri masing-masing. 

Sebenarnya, baik juga kan kalau kita ambil permulaan tahun sama ada tahun baru hijrah mahupun tahun masihi sebagai penanda aras atau titik tolak permulaan untuk kita berubah dan menjadi manusia yang lebih baik. Jika tidak banyak pun, sedikit mesti kita ada rasa sesuatu kan bila sahaja tiba saatnya tahun beralih. Saya punya rasa itu. Rasa yang tiba-tiba terimbau kehidupan yang berlalu, perjalanan hidup yang lepas, kisah pencapaian, kisah kegagalan, kegembiraan, kesedihan, kekecewaan dan macam-macam lagi. Dan rasa yang begitulah yang tiba-tiba mencetus satu semangat baru untuk menjadikan semuanya lebih baik dari yang sebelumnya.

Mungkin ini juga saatnya untuk menilai dan memuhasabah diri semula. Biar yang telah lepas itu kita jadikan pedoman dan panduan untuk menuju dan melalui hari-hari yang bakal mendatang. Yang lepas itu adalah sejarah, namun sejarah bukan untuk dilupakan. Kerana sejarah juga adalah garis panduan yang bisa melorong sebuah kehidupan dalam hitam ataupun putih.