Thursday, January 12, 2012

:: Cemburu agaknya... ::

Setiap hari, Puan Ilham, En Rul dan anak-anak hanya menaiki sebuah kereta untuk ke destinasi masing-masing (selalu juga Puan Ilham berangan-angan untuk memiliki sebuah lagi kereta... entah bila agaknya). Sejak sesi persekolahan bermula mereka akan keluar rumah lebih kurang 10 minit sebelum jam 7 pagi. Kebiasaannya, En. Rul akan menghantar Puan Ilham terlebih dahulu ke pejabat kerana jalan yang diambil akan melalui pejabat Puan Ilham terlebih dahulu dan kemudian barulah En. Rul meneruskan perjalanan menghantar anak-anak ke sekolah seterusnya destinasi terakhir adalah pejabat En Rul.

Rutin yang begitulah yang dilalui oleh mereka sekeluarga setiap hari sejak dua minggu memasuki tahun baru kecuali pada hari minggu. Selalunya anak-anak akan diam sepanjang perjalanan, maklumlah awal-awal pagi. Mood masing-masing masih belum terjana lagi. Akan tetapi lain sikit jadinya pagi ini apabila abang mula mempersoalkan kenapa Puan Ilham selalu sampai lebih awal di pejabat berbanding dia dan adik. Nada suaranya seakan-akan tidak puas hati, dan masih mempersoalkan mengapa tidak dihantar dia dan adiknya terlebih dahulu ke sekolah. 

Nampaknya abang ada rasa cemburu sebab ibunya dapat sampai lebih awal, seawal jam 7 pagi. Hari pun masih gelap lagi. Walaupun dia dan adik akan sampai ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi, tetapi harapannya kalau boleh dapat sampai lebih awal. Lebih baik lagi kalau dia antara pelajar yang terawal tiba di sekolah. Puan Ilham hanya boleh menerangkan sebab musabab kenapa perkara itu berlaku seperti itu dan mengharap anak sulungnya dapat memahaminya. Puan Ilham menegaskan lagi kepada anak-anaknya, bahawa yang paling penting adalah mereka tidak lewat tiba di sekolah. 

Susah sebenarnya untuk memuaskan hati anak-anak. Ada sahaja yang hendak dipersoalkan. Kenapa begini? Kenapa begitu? Kenapa tidak boleh dibuat begini? Tidak boleh dibuat begitu? Kenapa harus begini? Harus begitu? Seingat Puan Ilham, sewaktu di zaman kanak-kanaknya dulu, dia dan adik-beradiknya langsung tidak berani untuk mempersoalkan apa sahaja yang abah dan mak sediakan untuk mereka. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup mereka, diterima sahaja dengan redha meskipun adakala terbetik juga perasaan tidak puas hati, namun semua hanya dipendamkan sahaja dalam hati. 

Anak-anak zaman sekarang sangat berlainan pemikiran dan pandangan mereka. Mereka mungkin lebih 'advance' tapi puncanya dari siapa? Dari didikan ibu bapa kah? Atau pengaruh dari televisyenkah? Ataupun bagaimana? Bagi Puan Ilham, dia hanya mencuba yang terbaik. Dia masih belajar dan akan terus belajar menjadi ibu yang baik, yang cemerlang.... yang hebat. Meski dia tahu cabaran di hadapan begitu sukar dan tidak mudah untuk didepani. Semua cabaran, ujian dan dugaan bukanlah alasan untuk mengaku kalah dan menjadi orang yang tewas. Kerana dia tahu, anak-anak yang dimiliki adalah amanah dan tanggungjawab yang dianugerah olehNya. 

No comments: