Tuesday, January 10, 2012

:: Suatu saat... ::

Puan Ilham kembali sibuk sebaik sesi persekolahan tahun ini bermula. Tiada lagi bangun pagi hari bekerja yang bersenang-lenang bergolek-golek di atas katil sepertimana sebulan yang lalu.Tiada lagi masa untuk boleh lelap-lelapkan mata seminit dua lagi walau waktu sudah menginjak 6.30 pagi. Jangan lagi hendak perasan setakat gosok baju sendiri dan si suami sahaja. Inilah rutin luar biasa sejak lebih sebulan yang lalu. Puan Ilham terpaksa terima hakikat rutin biasa kembali menjengah dan tidak ada lagi alasan apa-apa.

Tahun ini bertambah lagi seorang anak Puan Ilham ke sekolah kebangsaan. Permata hati Puan Ilham hanya dua orang. Jadi kedua-dua buah hati pengarang jantung Puan Ilham sudah bersekolah. Memang kelam-kelibut hendak menguruskan kedua-duanya. Tapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Anak kedua digelar adik, agak cerewet orangnya jika hendak dibandingkan dengan abang. Awal-awal lagi adik sudah beri pesanan pada Puan Ilham bahawa dia hendak bawa bekal ke sekolah setiap hari. Adik tidak mahu beli makanan di kantin. Maksudnya di sini, Puan Ilham harus menyediakan bekal untuk adik dan secara tidak langsung juga pada abang setiap hari…..ya…setiap hari.

Sebelum ini pun, Puan Ilham pernah berazam untuk sediakan bekal setiap hari pada abang tapi adakala Puan Ilham terbabas juga dan sebenarnya pun lebih banyak yang terbabas dari tidak. Kiranya azam Puan Ilham tahun lepas kira gagal juga lah. Tahun ini Puan Ilham tidak lagi simpan azam sebegitu tapi dia bertekad untuk cuba sehabis baik untuk anak-anaknya. Kalau diikutkan pun, memang lebih baik anak-anak dibekalkan makanan dari rumah yang disediakan sendiri oleh ibu kannnn. Di samping menjaga kesihatan dan kebersihan, dapat juga mengeratkan kasih sayang…. Begitulah tekad Puan Ilham.

Jadual Puan Ilham bermula seawal jam 5 pagi setiap hari. Pengurusan dan pengagihan masa adalah sangat penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Anak-anak Puan Ilham boleh sampai ke sekolah ikut masa ditetapkan, begitu juga dengan en.Rul boleh sampai ke pejabat sebelum pukul 8 pagi dan Puan Ilham sendiri akan tiba di pejabatnya lebih awal.

Petang selepas waktu bekerja, Puan Ilham dan keluarga akan tiba di rumah lebih kurang jam 6 petang. Kini tiada lagi istilah relaks dan rehat bagi Puan Ilham sebaik tiba di rumah selepas seharian di pejabat. Puan Ilham akan menyambung tugasannya sebagai suri di rumah hinggalah tiba waktu untuk tidur. Tugasan di sebelah malam harus disiapkan pada malam itu juga. Tidak boleh ditangguh-tangguh dan kalau tertangguh segala-galanya akan menjadi lebih kelam-kabut. Silap haribulan boleh jadi ribut juga.

Puan Ilham harus memastikan makan malam disediakan, urusan baju sekolah anak-anak dibereskan, membasuh kain baju kotor, melihat kerja sekolah anak-anak, memeriksa beg sekolah anak-anak, mendengar cerita luahan anak-anak dan menonton rancangan kegemaran Puan Ilham juga. Ohhhhh…ya…tugas Puan Ilham sebagai seorang isteri kepada En. Rul juga tidak boleh diabaikan.

Begitulah rutin Puan Ilham setiap hari. Yang lebih memeningkan kepala Puan Ilham sekarang ini adalah untuk memikirkan menu bekalan yang perlu disediakan setiap hari. Padanya, menu yang perlu disediakan haruslah ringkas dan lebih mudah untuk disediakan pada awal pagi. Dan yang paling penting anak-anaknya suka dan boleh makan sampai habis. Dalam keadaan ini Puan Ilham tidak boleh syok sendiri, dia harus mementingkan selera anak-anak bagi memastikan anak-anaknya dapat belajar dengan lebih baik dan bertenaga sepanjang hari.

Tidak mudah bukan tugas seorang ibu. Banyak betul tanggungjawabnya dan bukan setakat tanggungjawab secara lahiriah sahaja malah dari segi kerohanian juga harus dititik-beratkan. Memikirkan semua ini, adakala Puan Ilham menjadi takut dan bimbang. Mampukah dia memikulkan segala tanggungjawab yang tergalas dibahunya ini? Puan Ilham percaya, ibu-ibu tidak kira di mana jua berada pastinya seperti dirinya juga. Hanya inginkan yang terbaik dalam hidup, yang terbaik untuk suami, untuk anak-anak, untuk ibu bapa serta untuk semua orang disekelilingnya. Tapi sebelum melakukan yang terbaik untuk semua orang, dia juga harus lebih adil kepada dirinya sendiri terlebih dahulu. Perlu lakukan yang terbaik untuk dirinya juga sebagai benteng pertahanan dan kekuatan diri dan yang selebihnya dan paling penting , Puan Ilham berserah dan berdoa kepdaNya yang Esa.

No comments: