Friday, May 25, 2012

:: Dari kekasih untuk kekasih... ::

Duhai kekasihku...

Izinkan daku berbicara di sini untuk menyatakan rasa hati dan luahan jiwaku kepadamu. Ku kira ini adalah warkah cinta pertama dariku buatmu sejak kita berkenalan 12 tahun yang lalu. Zaman kita zaman teknologi... mana mungkin juga untukku melayangkan waima sepucuk surat sedangkan hampir setiap hari juga kita pasti bertemu. Kukira juga ini adalah tinta istimewa dariku untukmu sempena hari yang paling istimewa untuk kita berdua.

Kekasihku...

Tidak lama untuk kita mengambil keputusan yang amat penting dalam hidup kita berdua ini ya... Kita hanya berkenalan tidak sampai setahun lalu mengambil keputusan untuk bersatu menghadapi hidup bersama. Ya... demikianlah jodoh kita yang telah ditentukan olehNya. Masih terngiang-ngiang di kepala saat-saat dikau melafazkan kalimah keramat itu. Aku terima nikahnya... Saat itu, semakin kuat rasa dalam hati bahawa aku telah benar-benar bersedia untuk melangkah bersamamu. Membina masa hadapan kita bersama... Mengharungi hitam putih kehidupan bersama...

Kini... setelah 11 tahun berlalu dan kita masih bersama dengan kuasaNya. Syukur aku kepadaNya kerana ikatan suci ini masih terpelihara sehingga kini dan semoga ianya kekal hingga ke akhir hayat kita berdua.

Kita berdua telah melalui dan mengharungi segala fasa rencah kehidupan sebagai suami dan juga isteri. Aku isterimu dan engkau adalah suami. Kita tempuh segala onak dan duri walau adakala ianya merobek jiwa,mengocak ketenangan hati. Ternyata melalui fasa-fasa awal hidup bersama terasa begitu sukar namun kita redah segala rintangan, kita cantas segala halangan. Ada waktu juga benteng keegoan harus diketepikan. Ada ketika airmata juga pernah menjadi peneman memujuk jiwa yang dalam kesedihan. Daku percaya bukan kerana kita tidak sesuai bersama... namun itu semua adalah hakikat... hakikat di mana dua jiwa yang berbeza ingin menjadi satu. Kita adalah dua insan yang berbeza... manusia biasa yang punya cara, punya gaya, punya fikiran, punya kehidupan yang nyata berbeza. Namun perbezaan itulah yang  sebenarnya melengkapkan hidup kita.

Aku bahagia hidup denganmu wahai sang kekasih. Terima kasih Tuhan kerana mempertemukan diriku dengan dirimu. Kita dipertemukan untuk saling melengkapi. Kau ada lebih dan kurang, aku juga ada lebih dan ada yang kurang. Sepanjang perjalanan kehidupan kau dan aku ini, kita berusaha untuk menampung mana yang kurang dan mengawal mana yang terlebih. Paling penting kita berusaha... ya sayang...

Kita harus percaya bahawa Tuhan sering menguji. Dia datangkan ujian buat kita untuk menyedarkan kita yang pastinya selalu terleka. Fasa demi fasa kita tempuh dengan tidak sedikit ujian dariNya. Namun aku tetap bersyukur kerana kita mampu untuk bertahan dan perjuangan kita dalam kehidupan ini harus tetap dipertahankan.

Sayangku...

Hidup kita bertambah serinya dengan kehadiran dua cahayamata kilauan ayahbonda. Dikurniakan dua permata jiwa lelaki dan perempuan amanah dari Yang Esa. Nikmat yang mana lagi harus kita dustakan? Syukur lagi buat kesekian kalinya kepada Dia. Mereka berdua menjadikan hidup kita berdua lebih ceria dan meriah. Begitupun... disebalik nikmat terindah ini masih banyak ujian dan dugaan yang diberiNya buat kita. Ya.... ujian itu pasti buat kita menilai diri disisiNya bukan?

11 tahun yang penuh warna-warni. 11 tahun yang ada putih dan hitam. Ada cerah ada kelam. Cinta dan kasih semakin hangat dan mendalam. Aku dan dirimu masih tetap satu.

Kekasihku... pujangga jiwa...

Ditinta ini juga kumohon kemaafan darimu seandainya sepanjang ikatan ini ada salah dan khilafku terhadap dirimu. Aku percaya itu... kerana aku ini insan biasa yang bisa berbuat salah dan dosa. Maafkanlah diriku andai ada perilakuku, tutur kataku yang telah mengoyak, merobek hati kecilmu. Aku pinta juga darimu semoga kita bersama-sama memperbaiki diri juga keluarga yang sedang kita bina ini kearah redha dan rahmatNya.

Ingatlah duhai sang kekasih... Aku pelengkapmu dan kamu melengkapi aku...

"Selamat ulangtahun perkahwinan KITA yang  ke-11 en.hubby"

No comments: