Friday, February 25, 2011

:: Melentur buluh... ::

Saya fikir anak-anak zaman ini cukup mewah. Mungkin ada segelintir yang tidak dan masih hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun saya percaya majoriti anak-anak zaman ini sangat beruntung. Apa sahaja yang dimahu seboleh-bolehnya akan dituruti. Apa sahaja kehendak seboleh-bolehnya akan dipenuhi.

Sangat berbeza dengan kehidupan saya dahulu. Segala keinginan, kemahuan seboleh mungkin dipendam. Tidak ada keberanian untuk meminta apalagi mengamuk tidak tentu pasal. Mencari penyakit namanya itu. Tapi lain betul dengan anak-anak sekarang ini kan. Seboleh mungkin segala keperluan, kehendak mahupun keinginan akan ibu dan abah usahakan. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak kan. Namun, bila difikirkan semula... salahkah cara didikan, cara asuhan?

Kadang-kadang jadi serba-salah dibuatnya. Begitu besar tanggungjawab kita. Sikap anak-anak adalah cerminan sikap ibu bapa... bukan begitu? Semuanya bermula dari ibu bapa. Bagaimana anak-anak dicorakkan, dididik, semuanya datang dari ibu bapa. Jadi hendak salahkan anak-anak pun tak boleh juga ye...

Sebagai ibu bapa kita mengharapkan yang terbaik diberi, yang terbaik juga akan kita peroleh. Namun adakala ia terjadi sebaliknya. Iyelah, kita hanya merancang namun yang menentukan adalah Dia. Sebagai manusia, tidak banyak, sedikit terpalit jua rasa kecewa. Risau pun ia juga.

Ini sekadar luahan hati seorang ibu yang sedikit kecewa sebab sudah 2 kali anak sulungnya tertinggal baju sekolah di sekolah. Bermakna sudah kehilangan 2 pasang baju sekolah. Bila disuruh cari semula keesokkanya harinya, langsung tidak berjumpa. Sangat mudah fikiran mereka. Agaknya sebab kebiasaannya apa sahaja kehendak mereka dipenuhi, langsung mereka jadi tidak pandai menghargai.

Ya Tuhan... sabarkanlah hati...

No comments: