Tuesday, August 18, 2009

:: Minggu Yang Tak Sihat ::


Sepanjang minggu lepas saya melalui hari-hari yang sangat mengujikan. Saya diserang ulser di merata tempat di dalam mulut. Sebenarnya ulser ini adalah satu perkara biasa bagi saya kerana selang 2 bulan sekali pasti terkena. Namun, kali ini sangat luar biasa sakitnya sebab kena di banyak tempat. Ia menyukarkan saya untuk makan, minum, bercakap, berkumur, menelan…hampir kesemua nikmat itu terasa diambil Tuhan dari saya. Disebabkan itu juga, saya rasa tidak sedap badan, demam bagai. Risau juga sebab wabak yang satu itu pun sedang mengganas. Dek kerana ulser tu juga, semua mood saya hilang entah kemana. Hilang mood untuk bekerja, membaca…malah nak buat apa-apa pun rasa malas saja.

Syukur alhamdulillahhhhh, selepas tujuh hari ia sudah semakin sembuh. Dan segala nikmat itu Tuhan pinjamkan semula kepada saya. Jika difikirkan balik, saya pasti ada hikmahnya. Mungkin selama ini saya terlampau leka dengan nikmatNya, maka Tuhan mahu saya kembali mengingatiNya. Mungkin Dia mahu saya menjaga lidah saya agar hanya membicarakan perkara yang baik-baik saja, tidak bercakap yang sia-sia. Saya pasti Tuhan sedang menguji saya, agar saya sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaanNya, mensyukuri segala pemberianNya. Saya hanya insan biasa yang sering terleka, kadang-kadang tergelincir, adakalanya menjadi pelupa. Moga Tuhan masih menyayangi saya dan sebab itulah Dia turunkan ujian ini agar saya bisa bangun dari kelekaan itu.

Sedikit info tentang ulser (dipetik dari Malaysian Dental Association.http://www.mda.org.my/)

Ulser Mulut

oleh Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir ( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Pernahkah anda merasa perit dan sakit di bahagian dalam pipi atau di bawah bibir? Apabila anda memeriksa dengan menggunakan cermin muka, anda akan melihat satu tompokan putih. Ibu akan menasihatkan supaya anda meletakkan secubit garam pada bahagian itu supaya ia cepat sembuh. Tompokan putih itu ialah sejenis kudis yang terdapat di dalam bahagian lembut mulut kita. Tompokan itu dinamakan ulser mulut. Selain bahagian pipi, lidah juga mudah mendapat ulser. Rasa sakitnya menyebabkan anda hilang selera untuk mengambil makanan atau minuman panas. Malahan sukar untuk bertutur. Ulser mulut sebenarnya merupakan tindak balas terhadap jangkitan bakteria, virus atau fungus. Ulser boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal umur. selain jangkitan bakteria atau fungus, ulser juga boleh disebabkan kerana kecedaraan fizikal seperti tergigit bibir atau lidah, terkena dawai alat ortodontik dan sebagainya. Ulser juga boleh timbul kerana kekurangan zat makanan, tekanan, kurang rehat atau tidur dan keadaan mulut yang kotor. Rawatan tertentu seperti rawatan sinar X atau ubat kimia khas (kemotherapi) terutama kepada penyakit kanser boleh menyebabkan terjadinya ulser mulut. Ulser mulut yang tidak serius kurang merasa sakit dan akan sembuh dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas mendapat rawatan. Ulser boleh dirawat dengan meletakkan garam ke atas tompokan putih tadi. Awas! cara ini amat menyakitkan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan rawatan dengan sejenis krim atau gel yang terdapat di kedai farmasi.
Rasa sakit kerana ulser boleh juga diredakan berkumur-kumur dengan air garam suam atau ubt kumur antibakteria. Tetapi cara yang paling baik ialah dengan mengamalkan petua berikut:
a. Banyak minum air suam.
b. Berehat dan tidur dengan cukup.
c. Amalkan tabiat menjaga agar mulut dan gigi berada pada tahap kesihatan yang baik.
d. Mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pastikan anda mengambil cukup vitamin B12
dan vitamin c.
Jika ulser mulut anda tidak sembuh malah semakin merebak, anda mesti segera berjumpa dengan doktor gigi. Ulser mulut yang lambat sembuh mungkin tanda awal barah mulut.

No comments: