Thursday, January 07, 2010

:: Gangguan jiwa ::

Kita semua pernah alami gangguan jiwa. Selagi kita bernama manusia, menjadi khalifah di muka bumi, menjalani kehidupan di alam fana ini maka selang masa itu kita pasti pernah alami gangguan pada jiwa. Dengan liku hidup sehari-hari, sama ada manusia itu adalah ibu, bapa, anak, isteri, suami, pekerja, majikan, datuk, nenek mahupun siapa saja, tekanan pasti wujud dalam apa jua bentuk. Bukankah tekanan itu merupakan salah satu gangguan jiwa? Tekanan hadir dalam pelbagai bentuk sepanjang kita memenuhi peranan sebagai manusia, melaksanakan tanggungjawab kita dan berbagai lagi fungsi seorang manusia demi kelangsungan sebuah kehidupan. Cuma apa yang membezakan kita dengan seorang pesakit jiwa? Kita manusia adalah sama, namun bagaimana kita mengawal tekanan agar tidak mempengaruhi fikiran sehingga hilang segala kewarasan... itulah perbezaannya.

Persoalannya, kenapa semakin ramai yang tidak dapat mengawal gangguan yang berlaku dalam jiwa mereka. Dan seperti kebetulan pula, bilangan yang ramai itu juga adalah di kalangan umat Islam. Bukankah Islam itu adalah agama yang menenangkan lagi mendamaikan. Apakah umat Islam kini semakin jauh dari Penciptanya? Gerun mendengar khabar hampir setiap minggu ada saja kes-kes gangguan jiwa ini sehingga membawa kepada peristiwa pembunuhan. Apakah sudah hilang kewarasan akal sebagai manusia khasnya umatNya. Terbaru, seorang anak yang telah membunuh ahli keluarganya termasuk bapanya(kepalanya di penggal), datuk dan neneknya dan juga adik perempuannya. Saya percaya dia juga sedang mengalami gangguan jiwa yang sangat kronik.

Ingin saya berkongsi pengalaman berhadapan dengan orang yang mengalami masalah seumpama ini. Ia berlaku pada kawan baik saya sendiri. Kisahnya bermula sekitar hujung tahun 1996. Kami berkawan baik sejak di sekolah menengah, malah kami juga saling mengenali keluarga masing-masing. Si N yang saya kenal merupakan seorang yang sangat aktif dan sentiasa berfikiran positif. Sehinggalah saya menyambung pelajaran di I*M dan N meneruskan perjuangan mengambil peperiksaan STPM. Kami masih berhubung melalui surat walaupun jarak memisahkan. Namun saya perasan melalui bait-bait surat N kepada saya, dia semakin tertekan dengan kehidupannya. Dia merindui kenangan-kenangan yang kami lalui dulu. Dia semakin lemah untuk mengharungi STPM. Dia merasa sangat rendah diri dan hampir hilang keyakinan diri. Dan akhirnya keputusan STPMnya sangat mengecewakan. Namun dia cuba menghadapi dengan tabah dan saya juga berusaha sebaik mungkin memberi dorongan dan kata-kata semangat buat N. Saya amat berharap kami akan berjaya tidak kira walau di mana kami berada dan walau apa jalan yang kami lalui sekalipun. Mengukuhkan lagi ikatan persahabatan ini, kami pasti akan berjumpa setiap kali saya pulang cuti semester.

Penghujung 1996, N dimaklumkan oleh ibunya yang menelefon saya sendiri telah mengalami kemurungan. Dia menjadi seorang yang sangat pendiam, tidak mahu bercakap, berjumpa dengan sesiapapun. Malahan kadang-kadang dia akan bercakap-cakap seorang diri. Kelihatannya dia seperti sedang berbual dengan seseorang. Saya melihat sendiri keadaannya waktu itu semasa pulang bercuti. Saya tidak berseorangan ke rumah N, seorang lagi kawan baik kami J turut bersama. Melihat N...hati jadi luluh, sayu dan pilu. Hilang sudah keceriaan pada hidupnya yang dulu yang sentiasa menceriakan orang lain. Nekad untuk menyelami jiwa N, saya dan J sepakat untuk bermalam di rumah N untuk beberapa hari. Rupanya itu juga yang diharapkan oleh keluarga N terutama ibunya. Mereka amat berharap dengan kehadiran kami dapat mengembalikan N yang dulu. Saya dan J ingin membantu N, kami ingin merungkai segala masalah N dan mencari jalan keluar kepada ujian yang dilalui N ini. Kami ingin sangat tahu bagaimana semua ini boleh terjadi kepada N. Apa yang berlaku seterusnya? Nantikan sambungan kisah N...

No comments: