Friday, January 01, 2021

:: Entri penutup 2020...Musibah membawa hikmah ::

 Assalamualaikum...

Malam ni adalah malam terakhir bagi tahun 2020 yang penuh dengan bermacam rencah cerita kehidupan, ujian, dugaan dan pengalaman biarpun yang manis yang pahit. Bukan sahaja buat diri aku, malah aku percaya 2020 memberi kesan pada semua orang di seluruh pelusuk dunia. Ingin aku coretkan catitan kehidupan aku sepanjang 2020 di sini untuk kenangan peribadi yang tak mungkin akan dilupa sampai bila-bila. Rupa-rupanya ini entri ke 2 untuk tahun ni hihi.. 

Aku mula dengan awal tahun.. yang bongsu si adik mula memasuki tahun 1. Agak mencabar bila hantar ke sekolah maklumla anak bongsu, manjanya memang berlebih-lebihan sangat. Hampir seminggu aku bercuti menguruskan hal sekolahnya. Hari pertama ok tak nangis malah sangat bersemangat. Masuk hari kedua dah menangis-nangis...aduhaiii adik. Hantar ke KAFA pun begitu, ke sekolah kebangsaan pun sama saja gayanya. Aku memang buat kering jugak le... tak larat dah nak memujuk. Cerita kakak pula, kononnya tahun ni akan menduduki PT3 tapi disebabkan Covid19 dibatalkan sudah. Eh senyum sengih juga anak dara nan seorang tu.. Cerita abang pula...alhamdulillah nampak progress yang agak baik di kolej vokasional. InshaAllah pilihan ini akan melorongnya kepada kejayaan..

Menjelang  bulan Februari 2020, dunia dikejutkan pula dengan serangan virus Covid19 yang mula dikesan di salah sebuah wilayah di negara China. Kita dah mula merasa kerisauan dan akhirnya kerisauan itu adalah benar bila Covid19 dikesan di negara yang kucintai ini. Tak silap aku masa tu dah masuk bulan Mac. Waktu cuti sekolah pertengahan bulan Mac tu, kami balik kampung SP tapi tak sampai beberapa hari kerajaan umum PKP di seluruh negara. Sehari sebelum PKP bermula kami pulang semula ke rumah.. takut pula terkandas di SP huhu.. Maka bermulalah episod berkurung di rumah beberapa bulan... sekolah ditutup, pejabat ditutup dan kedai-kedai makan juga ditutup.. dan pelbagai syarat PKP lagi yang harus dipatuhi oleh semua orang. Disebalik musibah yang menimpa ini pasti ada hikmah yang kita peroleh malah banyak sangat hikmah yang Allah SWT bagi... berpuasa Ramadhan, berterawih bersama keluarga di rumah, menyambut Syawal juga hanya bersama keluarga terdekat... malah solat sunat Aidilfitri pun kita buat di rumah hanya bersama keluarga. Selepas PKP, masuk pula fasa PKPB... dah boleh berkerja, banyak kedai-kedai dah buka, sekolah juga mula dibuka tetapi dengan SOP yang ditetapkan. Masing-masing harus bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan keluarga kerana sehingga kini virus ini masih wujud di kalangan kita. 

Menjelang hari Raya Korban (Haji) berlaku pula tragedi yang tidak disangka...ya jelas malang tidak berbau. Aku ditimpa kemalangan sehingga menyebabkan kaki dibahagian betis sebelah kiriku patah... kejadian berlaku sehari sebelum Raya Haji dan malam raya tu aku merasa bermalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang dan Allah SWT sebaik-baik perancang. Peristiwa ini adalah turning point buat kami sekeluarga... kehidupan berubah 100%  Mengikut perkiraan doktor, bahagian yang patah ni harus dipasang implan (besi). Aku mendengar penjelasan doktor dengan muka tenang namun dalam hati sangat bergetaran penuh debar. Aku minta ditukarkan ke hospital Putrajaya memandangkan proses ini pasti akan mengambil masa yang agak lama walhal anak-anak perlu kembali ke sekolah dan en suami juga harus berkerja. Alhamdulillah doktor bagi kebenaran dan keesokkannya aku discaj setelah segala surat dan CD xray disediakan oleh pihak hospital untuk dirujuk ke Putrajaya. Untuk sementara, bahagian yang patah tu di pasangkan simen. Syukur Alhamdulillah...segala urusanku dan keluarga dipermudahkan olehNya. Dalam hati aku tidak henti-henti memohon padaNya semoga dilancar dan dimudahkan segala-galanya buat diri ku. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.. Ya ALLAH Ya Tuhanku..aku menerima semua ini dengan penuh redha dan syukur kerana hikmah yang diperoleh di sebalik semua ini lebih besar dari segala kesakitan yang dialami. Ia mengubah segala-galanya yang kalau boleh nak aku ceritakan semuanya di sini namun biarlah ia terus tersimpan semat dalam sanubari. Setelah lebih 4 bulan selepas pembedahan memasukkan implan....alhamdulillah aku kini semakin pulih. Temujanji dengan doktor masih berlangsung sebulan sekali dan sesi fisioterapi pun masih harus dijalani. 

Selepas sekolah dibuka semula tak sampai pun beberapa bulan, ditutup semula kerana bimbang dengan peningkatan kes Covid. Maka berkampung lagilah anak-anak dirumah bersamaku yang sedang bercuti sakit ini. Bermula pula era pembelajaran secara online buat anak-anak.. agak mencabar namun berjaya ditempuh. Kita harus bersedia dengan era digital ini yang tidak dapat tidak harus diterima dalam dunia teknologi yang semakin berkembang canggih. Akhirnya sekolah ditutup sehinggalah Januari 2021 nanti.. 

Kesimpulan daripada semua ini...ambil dan hadapilah secara terbuka dan positif. Sebagai umat Islam, disebalik musibah dan ujian yang berlaku carilah hikmah yang Maha Pencipta turunkan untuk kita. Bukalah minda, hati, mata dan jiwa raga...muhasabah diri. Banyak yang harus diteliti, diperbaiki... baik dari segi hubungan kita dengan Pencipta...dengan sesama kita manusia bahkan dengan seluruh makhluk ciptaanNya di mukabumi ini. Ujian ini banyak menyedarkan diriku sendiri... memang begitulah kita manusia...ketika Allah bagi nikmat sering kita leka kita lupa..bila didatangkan musibah hingga merangkak-rangkak kembali mencariNya. Aku lah manusia seperti itu...

Kutangguhkan dulu coretan kali ini.. InshaAllah akan kuteruskan mencoret, bercerita.. Selamat Tahun Baru 2021!!!!


Wassalammm....:)

 


No comments: