Monday, July 26, 2010

:: Mega Mendung ::

Hujan petang membawa ke malam. Mengulit tidur dalam dingin yang panjang. Mengharap pagi yang hening memberi keceriaan namun angin dingin mengheret hati menjadi beku sedingin angin. Ada sesuatu masih terbuku... tersimpul rapi belum mahu terungkai.

Hati itu tetap dingin walau tengahari memberi bahang. Cuaca terik tidak mampu mengusir dinginnya hati. Hati-hati yang telah kering... kini makin kontang berdebu.
Datanglah angin... bawalah debu-debu yang menyelimuti sekeping hati itu. Araklah mega mendung yang berselubung dalam jiwa. Mendung itu tidak memberi kebahagiaan. Awan pekat gelap membawa pergi segala keceriaan.

Kerasnya hati bila ego menguasai diri. Terkadang ego akhirnya menjerat diri. Malukah diri andai menuntut untuk dimaafi? Bukan untuk kepentingan diri. Hanya ingin hidup menjadi harmoni.

Sukarkah untuk memberi maaf? Kerana manusia sering membuat silap. Bukan untuk diri sendiri. Untuk mereka yang belum mengerti.

Sukar benarkah untuk memahami? Walau betapa besarnya perbezaan. Hakikatnya perbezaan itulah yang melengkapkan.

Bagaimana lagi untuk berkata-kata? Andai hati-hati itu saling menjauhi. Keping-keping hati sedang pecah-pecah. Mahukah ia bercantum kembali?

Bertautlah hati menjadi sekeping master piece. Mendung berlalulah... hati dan jiwa ingin bahagia. Biar sekeping hati itu kembali merah dan menyala-nyala. Membara membawa pesanan cinta penenang jiwa.

Berkembanglah bunga-bunga selepas hujan berhenti. Biar sekeping hati itu turut kembang melagukan lagu indah kasih sayang.

No comments: