
Orang kampung mula berbaik-baik dengan Billu hanya semata-mata untuk memenuhi hajat masing-masing yang ingin berjumpa dengan Sahir Khan (agaknya inilah realitinya di India kan…pelakon superstar menjadi pujaan berlebih-lebihan malah gambar-gambar mereka diletak setara dengan gambar-gambar tuhan mereka). Semakin hari mereka semakin taksub untuk bertemu dengan pelakon berkenaan dan sentiasa mendesak Billu agar menunaikan permintaan dan menjadi perantara antara mereka dan Sahir. Billu berada dalam dilema antara sahabat lama dan masyarakat kampung Budbuda. Sebolehnya dia tidak mahu menggunakan ikatan persahabatannya itu untuk kepentingannya sendiri mahupun orang lain. Kehidupan Billu berubah sekali lagi apabila dia gagal memenuhi permintaan orang kampung. Masyarakat kampung kembali memulaukannya sekeluarga.
Di hari terakhir pengambaran, Sahir Khan telah berkunjung di sekolah kampung tersebut sebagai memenuhi permintaan Guru Besar sekolah. Dalam ucapannya Sahir telah menceritakan bagaimana dia berjaya menjadi seorang pelakon disegani. Betapa azam dan kerja kuat telah menjadikannya berjaya dan paling penting dalam ucapannya itu, beliau menyebut tentang seorang sahabat yang merupakan insan penting dalam kejayaannya iaitu sahabat yang bernama Billu. Billu yang mendengar ucapan Sahir merasa sangat terharu dan terus kembali ke rumahnya. Atas kekesalan orang kampung, mereka mempertemukan kembali dua orang sahabat ini.
Filem ini telah memberi sebuah nilai persahabatan kepada saya. Betapa antara dua sahabat sejati, keikhlasan menjadi tunjang utama. Balasan atas kebaikan kepada seorang sahabat tidak ternilai, cukup kalau sahabat itu tidak terus melupakan ikatan persahabatan yang telah terjalin itu, walaupun jarak masa bisa memisahkan. Menariknya dan menjadi satu kebetulan pula, sedang kami menonton filem ini, cik hubby menerima SMS dari seorang kenalan, mengucapkan Selamat Hari Persahabatan (betulke semalam ‘Friendship Day’?). Dan satu kebetulan juga bilamana dalam minggu ini juga, saya menjadi keluh kesah dek seorang sahabat yang sedikit meragui ikatan persahabatan yang telah terjalin antara kami sejak sekian lama. Semuanya bagai berkait antara satu dengan yang lain.
p/s: Tiba-tiba saya jadi rindu pada mereka yang pernah menjadi sahabat.
