Wednesday, July 29, 2009

~ Warkah Buat Teman ~

Menemui temanku yang dikasihi…

Apa khabar mu di sana? Aku mendoakan semoga dikau sihat sejahtera di samping keluarga tercinta. Sudah berapa lama agaknya kita tidak bersua sejak tamat pengajian di daerah S itu ya. Walaupun selepas itu hubungan kita seperti biskut gayanya, sekejap ada, sekejap tiada. Namun, semua itu tidak pernah menjadikan aku lupa pada setiap kenangan yang pernah kita lalui bersama. Hakikatnya ikatan persahabatan kita umpama jauh di mata, dekat di hati. Aku sentiasa merindui mu teman. Betapa di daerah itu kita berjuang untuk berjaya, berkongsi segala rasa; suka dan duka lalu kita semakin saling mengenali. Walaupun kita hanya rapat sewaktu di semester-semester akhir pengajian, aku amat menyenangi diri mu. Kau terima seadanya aku sebagai seorang insan yang punya kelemahan mahupun kelebihan. Aku senang untuk berkongsi segala-galanya dengan mu teman. Waktu itu, dikau menjadi penghiburku di kala gundah, pembangkit semangatku di kala aku hampir tersungkur, pembimbingku saat aku seakan-akan tergelincir. Begitu juga dengan dirimu, pendek kata kita ini saling melengkapi.

Hadirnya Cinta...

Temanku,

Masihkah dikau ingat wahai teman, pada ketika perasaan yang satu itu mula mengetuk pintu hatimu. Aku tidak pasti sama ada aku orang pertama yang mengetahuinya ataupun tidak, tapi aku bangga sebagai temanmu kerana kau memilih untuk berkongsi rasa itu dengan diriku. Percayalah teman bahawa rasa cinta itu sememangnya sangat indah. Bila kita sedar akan kehadirannya….ada rasa getar di hati, rasa rindu yang membuai, rasa ingin selalu disamping. Namun, waktu itu kulihat dikau seakan-akan masih bermain tarik tali dengan H. Setiap malam kita berbicara mengenainya, aku cuba yakinkan dikau tentang rasa itu. Mungkin sudah tiba masanya untukmu menerima cinta itu dari H. Telah kulihat kesungguhan H dalam memenangi hatimu. Aku jadi tersentuh dan terharu. Akhirnya aku gembira dengan perkembangan cerita cinta kau dan H. Dan waktu itu aku sangat berharap agar cinta kau dan dia akan berjaya sampai ke destinasi. Namun…takdir telah menentukan bahawa manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua yang berhak menentukan segala-galanya.

Teman yang disayangi,

Seperti yang dikau maklum, pada ketika dirimu sedang asyik menyulam cinta dengan H, rasa itu juga telah menjengukku. Aku tidak pernah menolak rasa yang datang itu kerana aku senang untuk melalui saat-saat indah seperti itu. Tentu kau masih ingat Z kan. Bermula dengan hanya menjadi peneman sewaktu kau berjumpa H, kami mula menjalinkan sesuatu yang lebih indah dari itu. Sejak itu kita berempat sentiasa bersama.

Ingat tak lagi teman, kita berempat pernah mengikrar sebuah janji? Tempoh perjanjian itu telah lama kita lepasi dan perjanjian tetap tinggal perjanjian yang tak pernah tertunai. Tapi…tak mengapalah. Itu semua cerita lama. Usahlah kita ungkit kembali, kelak hanya menyeksa diri. Seperti yang telah aku jelaskan, kita hanya mampu merancang.

Kembali pada kisahku dan Z. Sebaik sahaja kita berpisah kerana perjuangan yang sudah sampai penghujung, kisah kita berempat bagai turut sama berada di garisan penamatnya. Aku tidak langsung mengetahui perkembangan kau berdua, begitu juga kau yang pastinya tidak mengetahui apa yang terjadi seterusnya antara aku dan Z. Waktu bagai mengejar kita dan sudah tentu dalam tempoh perpisahan kita ini pelbagai perkara telah kita lalui. Antara kau, aku, H dan juga Z… masing-masing menelusuri jalan-jalan dan lorong-lorong kehidupan yang berbeza. Pada diriku sendiri, sebaik aku melangkah keluar dari medan perjuangan itu, di hadapan ku sudah terbentang sebuah perjuangan yang lebih besar yang harus didepani. Aku sudah tidak punya ruang untuk melayan emosi berlebih-lebihan dan kisah indah perihal perasaan dan hati sudah kuketepikan sementara. Sejak itu juga antara aku dan Z semakin sepi.

Duhai teman,

Dapatkah kau bayangkan betapa sudah lama kita tidak bertemu, bersua dan saling menukar cerita. Sehinggalah di satu laman sosial telah mempertemukan kita walaupun sekadar di alam maya. Tahukah saat itu adalah saat yang ku tunggu-tunggu. Sepanjang perjalanan ini aku tidak pernah melupakan mu teman. Ingin sekali aku tahu perkembangan dirimu. Syukur kepada Yang Esa kerana pertemuan ini akhirnya dapat juga aku merisik khabar mu nun jauh di sana. Syukur kepadaNya juga kerana kau kini sedang menjalani episod yang bahagia ku kira. Begitu juga aku di sini. Kita masing-masing sudah punya kehidupan sendiri, keluarga sendiri dan dikelilingi orang-orang yang kita sayangi. Seiring itu juga, aku pasti kita berdua telah menjadi 2 orang insan yang semakin matang untuk mendepani liku-liku kehidupan yang semakin mencabar ini.

Biar kupujuk rajukmu…

Teman yang dirindui,

Pintaku padamu, janganlah kau selak lagi kisah lama itu. Kisah itu telah ku jilidkan menjadi sebuah buku kenangan dan buku itu telah kusimpankan baik-baik di dalam perpustakaan hatiku. Jika boleh, tidak ingin lagi aku singkap semua yang telah dilalui dan terjadi itu. Apa yang terjadi akan ku jadikan pengajaran dan iktibar buat diriku. Sesungguhnya tidak pernah kunafikan ianya adalah sebuah kenangan yang terindah. Untuk apa lagi kita berbicara soal itu seandainya ia hanya akan merobek dan mencarik hati.

Aku ingin kita teruskan ikatan antara kita ini tanpa keraguan, hanya keikhlasan. Inilah kehidupan kita dan teruskanlah episod kebahagiaan ini untuk mendapat kebahagiaan yang lebih di masa depan. Walaupun sejarah tidak harus kita tinggalkan namun jangan kita biarkan sejarah itu terus menghantui seluruh hidup kita. Kumohon seribu kemaafan andainya warkah ini bisa melukakan perasaanmu. Sungguh, bukan itu yang kuinginkan. Aku hanya mohon sedikit pengertian dari mu bahawa sehingga saat ini dan selamanya… kau tetap temanku yang sejati. Meski hidup kita berbeza, namun hati kita tetap sama.

No comments: