Monday, May 31, 2010

:: Hujung minggu yang panjang... ::

dan juga padat buat saya. Syukur alhamdulillah kerana saya berjaya akhirnya menghadiri bengkel penulisan yang berlangsung selama 3 hari bermula hari Jumaat lalu. Setelah beberapa kali asyik menangguhkan hasrat, maka kali ini saya dengan penuh tekad dan nekad untuk mengikuti bengkel ini biarpun harus melaburkan sejumlah wang. Terima kasih yang tidak terhingga untuk en. hubby kerana memahami minat saya dan sentiasa menyokong kecenderungan saya ini. Moga en. hubby akan sentiasa menjadi pendorong terkuat saya untuk mengorak langkah seterusnya.

Puas...ya, itu yang saya rasakan saat ini. Saya puas kerana penyertaan saya dalam bengkel ini membuka mata saya seluas-luasnya untuk meneroka lebih jauh ke dalam bidang penulisan. Sepanjang 3 hari, terlalu banyak perkara baru yang saya pelajari. Pelbagai maklumat yang saya perolehi. Ianya benar-benar membuka minda saya bahawa tiada apa yang mustahil di dunia ini selagi kita berusaha dan terus mencuba.

Sudah jadi alumni Akademi Penulis

Rasa beruntung juga kerana saya dapat mengenali rakan-rakan baru dari pelbagai latar kehidupan dan bidang kerjaya dari pelbagai peringkat umur. Meski kumpulan peserta ini tidak ramai, hanya 13 orang saja, namun latar berwarna-warni kumpulan ini memberi inspirasi baru buat saya. Ianya benar-benar membakar semangat saya.

Unik. Azhar membawa peralatan tulisannya sendiri, pen pelbagai warna untuk mencatat nota. Saya sendiri hanya menggunakan pen yang dibekalkan oleh penganjur. Begitulah manusia dengan pelbagai sifat dan ragam.


Cik fasilitator Salina Ibrahim. Pengalaman dan kejayaannya menyuntik semangat.

Ada sesuatu sedang melingkari fikiran saya waktu ini. Saya fikir, saya harus memulakannya. Tidak boleh bertangguh lagi. Ya, en.hubby juga sudah mencabar. Idea itu sudah ada, malah sedang menari-nari di kotak fikiran... berlegar-legar di jiwa rasa... hanya menunggu waktu untuk melontar kata.

Mereka yang berkongsi minat dan rasa.

No comments: