Monday, May 31, 2010

:: Hujung minggu yang panjang... ::

dan juga padat buat saya. Syukur alhamdulillah kerana saya berjaya akhirnya menghadiri bengkel penulisan yang berlangsung selama 3 hari bermula hari Jumaat lalu. Setelah beberapa kali asyik menangguhkan hasrat, maka kali ini saya dengan penuh tekad dan nekad untuk mengikuti bengkel ini biarpun harus melaburkan sejumlah wang. Terima kasih yang tidak terhingga untuk en. hubby kerana memahami minat saya dan sentiasa menyokong kecenderungan saya ini. Moga en. hubby akan sentiasa menjadi pendorong terkuat saya untuk mengorak langkah seterusnya.

Puas...ya, itu yang saya rasakan saat ini. Saya puas kerana penyertaan saya dalam bengkel ini membuka mata saya seluas-luasnya untuk meneroka lebih jauh ke dalam bidang penulisan. Sepanjang 3 hari, terlalu banyak perkara baru yang saya pelajari. Pelbagai maklumat yang saya perolehi. Ianya benar-benar membuka minda saya bahawa tiada apa yang mustahil di dunia ini selagi kita berusaha dan terus mencuba.

Sudah jadi alumni Akademi Penulis

Rasa beruntung juga kerana saya dapat mengenali rakan-rakan baru dari pelbagai latar kehidupan dan bidang kerjaya dari pelbagai peringkat umur. Meski kumpulan peserta ini tidak ramai, hanya 13 orang saja, namun latar berwarna-warni kumpulan ini memberi inspirasi baru buat saya. Ianya benar-benar membakar semangat saya.

Unik. Azhar membawa peralatan tulisannya sendiri, pen pelbagai warna untuk mencatat nota. Saya sendiri hanya menggunakan pen yang dibekalkan oleh penganjur. Begitulah manusia dengan pelbagai sifat dan ragam.


Cik fasilitator Salina Ibrahim. Pengalaman dan kejayaannya menyuntik semangat.

Ada sesuatu sedang melingkari fikiran saya waktu ini. Saya fikir, saya harus memulakannya. Tidak boleh bertangguh lagi. Ya, en.hubby juga sudah mencabar. Idea itu sudah ada, malah sedang menari-nari di kotak fikiran... berlegar-legar di jiwa rasa... hanya menunggu waktu untuk melontar kata.

Mereka yang berkongsi minat dan rasa.

Tuesday, May 25, 2010

:: 9 ::

Cerita tentang kita...
Drama hidup kita
Kitalah pelakonnya...
Kitalah hero dan heroin

Pentas kisah kita...
Destinasi hidup bersama
Kitalah peneraju utama...
Menjadi nakhoda mengemudi kapal kehidupan

Laluan kita...
Menuju ke destinasi
Kita harungi segala onak dan duri...
Cabaran dan dugaan kita rentangi

Titian perjalanan kita...
Tetap bersama berpimpinan tangan
Meski ujian dan rintangan...
Datang menggegar iman

Antara kita...
Meski ada yang berbeza
Kita terima dengan redha...
Kitalah pelengkap "a missing master piece"

Kita...sudah 9...
Mungkin bukan lama
Namun sangat signifikan...
Menguatkan ikatan yang bernama perkahwinan

- Selamat Ulangtahun Perkahwinan KITA ke-9 -

Saturday, May 22, 2010

:: Kari ::

Sudah agak lama rasanya saya tak masak kari ikan....hmmmm...berbulan juga le. Tiba-tiba hari ni terasa pula nak masak. Petang semalam sudah siap-siap beli lauk basah dan bahan-bahan dapur semua. Maklumlahkan, dah lama tak memasak maka bahan-bahan pun dah banyak yang kehabisan.
Hujan pula pagi ini kan... terbit pula rasa malas. Macam nak berlingkar di katil saja hehehe.... Mujurlah si abang ada kelas bolasepak, nak tak nak kena bangun awal juga. En. hubby hantar abang ke padang bola, saya di rumah macam biasale.....rutin...komitmen... Semangat nak masak, keluarkan ikan dari dalam peti ais. Hampir tengahari, ingat nak masak nasi dulu, tup tup... alamak! tong beras sudah kosong....huhuhu... dah pukul 12 dah ni. Itulah kannnn... dah lama sangat tak memasak, tak sedar pun beras habis. Bergegas ke kedai pula beli beras. Cakap dengan en. hubby, hari ni lambat sikit lah kita makan tengahari.

Lambat tak lambat...hampir pukul 3 baru siap masak bagai. Taraaaa....



Masih tak terlawan kari air tangan arwah tok, mak, maklang, makngah, makcik... Memang jauh benar rasanya....hihihi (Ni tak sabar nak balik SP...rindu kari ikan mak)



Bila cerita pasal kari ni, tetiba teringat dengan arwah tok dan wan. Arwah wan suka sangat makan kari ikan. Hari-hari mesti arwah tok kena masak kari ikan...hari-hari tau! Tak pernah jemu. Ditambah lagi dengan menu ikan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman....pergghhhh...terus kecur air liur. Memang itulah menunya tiap-tiap hari sejak dulu. Lauk-pauk sampingan lain ada juga tok masak....sambal tumis sotong, ayam masak kicap, daging goreng kunyit.... Arwah tok dulu memang masak banyak jenis lauk untuk makan tengahari. Sebabnya arwah wan, kalau ke pasar mesti beli macam-macam kemudian balik rumah dia paksa tok masak. Nanti tok pun bebel-bebel seorang di dapur tapi dia masak juga. Hehehe....seronok sangat bila terkenang saat-saat itu.

Masa sekolah dulu, tiap-tiap hari singgah rumah arwah tok dan wan tengahari lepas sekolah...jadi habuan cucu-cucu le lauk-pauk yang bermacam jenis tu. Singgah rumah arwah tok dan wan sebab mengaji Al-Quran. Arwah wan ni pun ada satu perangai juga, dia suka paksa anak cucu makan dan habiskan semua lauk yang arwah tok masak. Walaupun ada lauk yang tak berapa digemari, jenuh dia suruh rasa juga. Arwah selalu cakap, "belum rasa belum tau....cuba rasa dulu, kalau tak suka tok sah ambik dahhh"....huhuhu... kalau tak mahu juga, arwah akan cedokkan lauk tu masuk dalam pinggan kita....hah! kalau dah sampai tahap tu...nak kata apalagi kannnn...telan sajalah jawabnya...

Hmmm.....semua itu kenangan...Al-Fatihah untuk arwah tok dan wan, semoga mereka berdua berada di kalangan orang-orang yang beriman....aminnn.

Thursday, May 20, 2010

:: Hujan ::

Sudah 2 hari berturut-turut (semalam dan kelmarin), sebelah petang... hujan turun selebat-lebatnya. Kebetulan pula petang waktu hendak balik kerja. Ya hujan...panas semua itu rahmat dari Allah.

Tapi agak pelik sekarang ini, sebab hujan turun bukan serentak di semua tempat. Hujan sekarang turun setompok...setompok. Macam semalam, di Cyberjaya hujan selebat-lebatnya siap dengan tiupan angin kencang. Tapi elok masuk kawasan Putrajaya, cuaca cerah secerahnya. Kuasa Allah juakan...

Petang semalam, saya basah lencun sebab meredah hujan ke tempat parking kereta. Mula-mula tu gerun juga nak mengharungi hujan, tapi mengenangkan yang saya harus segera ambil anak-anak di sekolah, saya redah juga. Lagipun payung semuanya ada dalam kereta. Sampai Putrajaya, hujan sudah tiada. Rasa pelik dan janggal pula bila turun dari kereta dengan kebasahan di tempat yang kering.... Orang sekeliling pun melontar pandangan yang semacam saja. Nak kata apa lagikan...tersengih sajalah... Waktu di sekolah adik tu, cikgu dia tanya..." dah hujan ke kak kat luar tu?"..."ek!!?...taklah, kat luar belum hujan, akak ni basah kena hujan kat Cyber"...tersengih lagi...

Tuesday, May 18, 2010

:: Minggu Ini ::

Sepanjang minggu ini abang dan adik menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun. Harapan dan doa ibu semoga abang dan adik akan dapat harunginya dengan tenang dan akan beroleh kejayaan....insyaallahhh. Anak-anak yang ambil periksa, tapi ibu pula yang berdebar-debar terlebih.

Minggu ni pun saya macam malas saja nak menulis apa-apa di sini sebabnya sedang tekun berulit dengan buku-buku. Lepas satu habis, sambung satu lagi. Masih banyak buku-buku di rak yang sedang menunggu giliran. Sabar ye teman-teman terbaikku...

Teman...

Bicara bisumu

Aku rindu...


Teman...

Bicaraku

Setia kau dengari...


Teman...

Sukaku

Dukaku

Kau pandang

Seakan mengerti...


Teman...

Kau memberi

Untuk kukecapi

Nikmat tak terperi...


Teman...

Kita berkongsi

Saling memahami

Kau tetap di hati...

Friday, May 14, 2010

:: Dulu simen sekarang Fiber Glass ::

Selasa lepas saya bawa en.hubyy ke hospital untuk temujanji semula dengan doktor selepas seminggu simen kaki. Temujanjinya pagi, tapi sewaktu kami sampai jam 9 pagi tu parking dah penuh. Ramai betul orang sakit ye....terpaksa parking dekat luar tepi jalan sinun.

Pendaftaran seperti biasa kemudian ke bhg. ortopedik menunggu pula ikut no. giliran. Kemudian en.hubby diarah untuk X-ray kaki tanpa buka simen terlebih dulu. Kami ikut sajalah. Dah X-ray, tunggu giliran jumpa doktor pula. Dapat jumpa doktor pun dah hampir jam 12 tengahari. Hari Selasa tu memang bhg. ortopediklah paling rama pesakit. Ada yang patah tangan, patah kaki, pasang besi di kepala pun ada....hushhh...dasyat...ngeri pun ada.

Masa jumpa doktor, doktor pelik kenapa tak buka simen sebelum X-ray....hmmm manalah kami tahu kannn. Jururawat dekat kaunter pun tak cakap apa, suruh pergi X-ray saja. Doktor kata tak apa...bukan salah kami. Doktor pun belek-belek lah gambar X-ray tu. Nampak jelas bahagian yang retak tu dah ok cuma ligamen yang koyak tu masih besar...dalam 1 setengah inci koyakan. Tiba-tiba masuk pula seorang doktor pakar....rupa-rupanya itu doktor yang konsult en.hubby minggu sebelumnya. Dia suruh pergi buka simen dulu lepas tu jumpa balik dia.

Dah buka simen... doktor picit-picit kaki en.hubby. Picit sini, tanya..sakit tak?....picit sana, tanya lagi..sakit tak?...Bila dia dah puas hati...dia buat keputusan, kaki tu harus disimen semula untuk 3 minggu huhuhuhu... Doktor kata tak ada pilihan sebab ligamen yang koyak akan baik sendiri dengan semulajadi tapi mengambil masa. Kalau tak balut, bahagian yang koyak tu susah nak baik. Mula-mula dok fikir tak nak balut, konon nak balik kampung cuba rawatan tradisional. Kemudian fikir balik... bomoh patah ada, bomoh retak-retak pun ada tapi kalau bomoh ligamen ni tak pernah dengar lagi... Maka tak nak ambil risiko, en.hubby setuju le nak balut semula kaki tu. Kali ni kami pilih balut dengan fiber glass. Ianya lebih ringan berbanding dengan simen.

Bosan menunggu kaki en.hubby dibalut semula....saya sempat ambil gambar sepanjang proses membalut

Yang baju hijau tu seorang saja yang pandai balut guna fiber glass. Jenuh kami menunggu dia sehingga jam 2.30 petang sebab dia keluar pergi makan tengahari. Mula-mula kaki tu disarungkan dulu stokin..... Stokin tu akan digunting dihujungnya untuk buat pintu keluarkan jari kaki hehehe...

Lepas disarungkan stokin, balut pula dengan kain kapas (kalau tak salah le).


Yang berwarna tu le fiber glass... sebenarnya ia ada beberapa pilihan warna, biru, hijau, ungu, merah jambu, kuning dan juga merah. Tapi masa tu, stok yang ada hanya warna ungu dan biru. Kalau diikutkan nak pilih warna hijau... baru le sama warna dengan motor kannn...signifikan le kaki balut hijau sebab jatuh dari motor hijau hehehe.... Lapisan pertama dibalut dengan fiber warna biru dan lapisan kedua pula warna ungu.

Dah siap...

Menunggu ambil ubat semua....jam 3.30 petang baru selesai semua dan terus balik. Kali ni nampak macam mudah sikit en.hubby nak gerak walaupun masih perlu menggunakan tongkat. Dapat lagi cuti sakit 3 minggu.




Thursday, May 13, 2010

:: Secebis kisah semalam ::

Peristiwa petang semalam sangat menguji ketahanan jiwa. Rasa ralat pun masih bersisa hingga ke hari ini. Tapi benda dah jadi kan... apa nak dikata lagi.

Petang semalam sewaktu nak balik ke rumah selepas ambil anak-anak semua di sekolah... kebiasaannya kami akan melalui jalan belakang bertanah merah. Lebih cepat, kira jalan shorcut lah. Bila jalan tanah merah ni, faham-faham sajalah... tanahnya tidak rata malah berbatu-batu pula tu kan. Memang bergoyang je lah selagi tak sampai. Ok... elok saja sampai simpang berakhirnya jalan tanah merah tu, selisih dengan sebuah kereta, tapi kereta tu menunggu saya keluar simpang dulu. Ok juga... saya pun yakin keluar simpang sambil berhati-hati yang amat sangat (kononnya) sehingga tak perasan langgar divider di sebelah kiri. Kereta satu lagi tu sebelah kanan saya. Dengar juga bunyi yang sangat kuat, tapi saya terus je masuk simpang nak ke rumah. Elok sampai rumah... terus turun tengok kereta....oppppssss....skirting sebelah kiri dah tanggal...huhuhu... Saya panggil en.hubby, dia tanya kenapa tak ambil skirt yang tanggal tu. Manalah saya tahu.... terus start kereta keluar pergi ambil balik skirt yang tanggal tu. Malu tak usah cakap le... masa tu memang tengah banyak kereta lalu lalang. Terpaksa tebalkan muka mengutip si skirt....sudahlah panjang hishhh...

Dah cacat kereta ni, skirt tertanggal, lepas tu sebelah bawah pintu depan pun kemek sikit.

Sebahagian skirt yang tanggal tu. Tak boleh nak snap gambar penuh, panjang sangat... huhuhu sadisss..sadisss...

Sebenarnya hati saya sudah galau, sebabnya sewaktu keluar dari pejabat, hujan turun renyai-renyai....tup tup...viper sebelah kiri tak berapa ok, asyik tersangkut-sangkut. Tak tahulah kenapa, terpaksa berharap dengan viper yang sebelah lagi tu saja. Ditambah lagi dengan kejadian skirt tanggal tu, bertambah lagi galau di hati.

Sampai rumah...saya rasa letihhhhh sangat. Letih perasaan, letih kaki, tangan, badan semua. Bila dah sampai tahap tu, memang tak boleh tahan airmata ni terus mengalir dengan lajunya huhuhu.... waktu tu berharap sangat en. hubby akan menenangkan saya, memujuk ke....hmmm tak ada maknanya.... dari rasa letih terus saya angin satu badan... itupun en.hubby langsung tak layan. Tak mahu layan perasaan sangat... saya terus mandi, ambil wuduk... sembahyang Maghrib. Syukur alhamdulillahhhh.... hanya solat menjadi ubat penenang jiwa yang paling mujarab.

Lepas tu saya turun masuk dapur, tugas biasa sudah menanti. Hati sudah reda sikit tapi mulut masih diam rasa tak mahu bercakap dengan sesiapa pun. Tiba-tiba en.hubby datang pada saya dan memeluk saya.... Syukur dia masih memahami. Pasal kereta, saya serah pada dia...

Perasaan sudah benar-benar lega walau masih terkilan di hati dengan kejadian petang tadi. Sambil buat kerja rumah sambil menonton perlawanan badminton Piala Thomas, peringkat suku akhir (Malaysia vs Denmark). Tumpuan dan fokus hanya pada perlawanan, yang galau, yang sedih, yang merajuk tadi tu sudah hilang entah kemana....Yeyyy!!! Malaysia dapat masuk separuh akhir...walau ia sangat mendebarkannnn...dup dap dup dapppp.... Esok... separuh akhir Malaysia bertemu China... lawan seteru yang lama selain Indonesia...

Monday, May 10, 2010

:: Bahasa tubuh dan air muka ::

Tengahari tadi saya ke kedai Celcom nak bayar bil Broadband. Beratur depan kaunter dan saya orang yang ketiga, di belakang saya ada 2 orang wanita. Ini baru kali kedua saya pergi bayar bil, jadi saya dok mengintai orang depan saya...owhhh kena bagi no akaun, tapi saya tak bawa bil dan tak ingat pula no akaun. Macamana ni? Yang jaga kaunter tu seorang wanita dan di sebelahnya yang membantu mungkin juga memantau tu seorang lelaki (mungkin tuan punya kedai). Sampai giliran saya, saya tanya..." saya tak ingat le no akaun...camana ye?". Lelaki tu tanya, "tak bawa bil?"... saya jawab..."tak, lupa." Kemudian lelaki itu bersuara lagi..." Kad pengenalan bawa? Hah! bagi sini...". Wahhhh... hebat betul nada suaranya. Tanpa banyak soal, saya bagi saja IC....sambil tu dia dok membebel-bebel....."ni yang susah ni, kerja jadi lambat...bla..bla...bla...".

Saya sudah perasan....sepanjang saya beratur, kedua-dua lelaki dan wanita terbabit kelihatan kurang mesra pelanggan. Dari air muka dan bahasa tubuh mereka, sudah dapat dibaca keadaannya. Ikhlaskah mereka? Atau...waktu itu ada masalah dalamankah yang timbul? Mungkin juga masing-masing berada dalam tekanan emosi yang tidak dapat dikawal hingga boleh kita terjemahkan terus dari reaksi fizikal mereka? Wallahhua'lammm...

Malas saya nak fikir, sebab terfikir juga mungkin saya seorang saja yang perasan keadaan itu. Orang lain tak ada apa-apa pun. Tapi sewaktu saya berurusan tu, ada pelanggan lain yang datang untuk urusan lain dan beliau dilayan oleh si lelaki tadi. Melalui perbualan antara si lelaki dan pelanggannya itu, ketara sangat perasaan tak berapa ikhlas nak melayan si lelaki tadi. Senyumannya pun macam dibuat-buat saja. Tiba-tiba 2 wanita di belakang saya mengomel aka mengumpat pasal lelaki itu. Rupa-rupanya diorang pun perasan sikap si lelaki tuan punya kedai tu...hmmm?

Bahasa tubuh dan air muka kadang-kadang memang tidak dapat menyembunyikan apa yang kita rasa kan??? Biarlah segigih mana kita cuba sembunyikan perasaan sebenar...tapi sedikit sebanyak tetap boleh diterka. Yang melihatpun sedikit sebanyak akan terasa...

:: Pahit jadi Penawar ::

Syukur alhamdulillah hari Jumaat petang abang dah kebah dari demam. Badan dah betul-betul sejuk, nampak dia pun semakin cergas seperti biasa. Syukur kerana Dia mendengar doa seorang ibu ini, memohon agar anak-anak, suami dan keluarga diberi kesihatan yang baik. Tunggu giliran en. hubby pula esok nak buka simen di kaki. Harap-harap kakinya semkin sembuh dan tak perlu lagi bersimen selepas ini. Tapi mak mertua dah pesan, jangan pasang simen lagi walau selepas buka esok kakinya masih tak ok. Mak mertua suruh balik kampung berubat cara kampung pula. Sebenarnya kami pun fikir perkara yang sama.... tengoklah macamana.

Nak cerita juga pasal abang waktu dia demam tu. Abang ni memang dari kecil punyalah susah nak makan ubat berbanding dengan adik yang memang pantang nampak ubat asyik nak rasa saja. Tiap-tiap kali nak bagi makan ubat, kena pegang dan peluk dia kuat-kuat. Kalau tidak, habis segala ubat akan gagal masuk ke mulut. Bila dah besar sikit ni, tak adalah nak pegang-pegang lagi dah...tapi mulut ibu ni puas le berbuih memujuk, paksa makan ubat. Dia punya kerenah sebelum makan ubat tu memang tak boleh tahan. Setitik ubat belum masuk, dah habis dulu segelas air. Segala macam doa keluar dari mulut dia, konon nak kuatkan diri nak telan ubat tu hihihi... lawak pun ada abang ni. Asyik la dok cakap ubat tak sedap... ubat tak sedap. Mana ada ubat yang sedap sayang oi!!! Pahit lagi ada le.... tapi yang pahit itulah sebenarnya yang menjadi penawar kannn...

Cerita pasal pahitnya ubat ni, teringat pula saya dengan ulam-ulaman.... semua ulam sedap dan bagus tapi yang paling pahit juga yang paling bagus sebagai penawar segala penyakit...kannn...kannn...iyela agaknya....saya bagi contoh yang dekat dengan saya sajala...ulam peria katak (buah peria yang kecil tu)....peria tu kan sangat pahit rasanya tapi sebenarnya ia jadi penawar darah tinggi. Banyak lagi contoh lain tapi yang itu saja saya tahu sebab mak paksa saya makan masa kena darah tinggi dulu. Masa mula-mula rasa tu.... masyaallah..memang tak suka tapi sekarang dah ok...bak kata pepatah "alah bisa tegal biasa".

Dalam hidup ni pun macam tu juga lah kannn... kadang-kadang kepahitan itu sebenarnya menjadi penyembuh paling mujarab. Kalau yang pahit ditelan dengan redha... maka insyaallah pasti lambat laun akan terasa kemanisannya.

p/s : Agaknya abang ni turun perangai saya kot... saya pun jenis susah nak telan ubat juga, sampai ke la ni...hehehe....

Friday, May 07, 2010

:: Sakit itu ujian ::

Susah hati ibu bila tengok anak yang tiap-tiap hari cergas tak boleh duduk diam tiba-tiba terbaring dengan muka monyok... Macam tu lah abang kalau badan tak sihat, demam. Malam kelmarin lagi dia mengadu, mata dia macam panas-panas je.... "Ibu, abang rasa macam nak demam je ni". "Hmmm...nanti ibu rasa...". Ok, badan dia dah panas sikit.... jadi terus bagi makan ubat kemudian terus tidur.

Bangun pagi semalam, dia cakap.... dia pening kepala. Tapi ibu rasa badan, tak panas dah. En. hubby suruh abang bangun pergi mandi, siap-siap untuk pergi sekolah. En.hubby kata, kot-kot lepas mandi hilang pening kepala. Walaupun ibu ada rasa cuak sikit dan rasa lain macam, tapi ibu suruh juga abang ikut kata abah. Tapi itulah kannn.... naluri seorang ibu.... kalau yang kebiasaannya dah jadi luar biasa, mesti ada sesuatu tak kena. Biasanya si abang ni tak susah sangat nak bangun pagi...tapi pagi tu dia rasa pening tak boleh nak bangun. Tapi sebab abah suruh juga maka kami ikutlah...

Dalam kereta...abang baring saja di kerusi belakang. Hati ibu dah risau, macamana nanti kat sekolah. Abahnya tadi dah pesan, kalau tak larat sangat bagitahu cikgu, suruh telefon ibu. Sampai sekolah, badan abang dah makin panas. Jumpa cikgu di bilik guru, bagitahu cikgu nak bawa abang pergi klinik, dan confirm dia tak masuk sekolah hari tu. Sekolah sekarang pun memang tak tolak ansur kalau ada murid yang demam ke, batuk ke, selsema....sebab nak cegah H1N1 tulah kannn... semua ambil tindakan berjaga-jaga. Balik, terus bawa abang pergi klinik. Hmmmm...tinggi juga demam dia. Doktor bagi cuti sakit 2 hari, dan secara tidak langsung ibu pun terpaksa ambil cuti cemas, nak uruskan abang kat rumah. Walaupun abahnya ada kat rumah, tapi macamana dia nak jaga si anak dengan kaki yang bersimen tu kannnn....

Sehingga pagi ni, demamnya masih belum kebah. Tapi doktor ada pesan, kalau selepas 4 hari demam masih tak baik, kena pergi klinik semula. Hari ini abang duduk dengan abah kat rumah. Harap-harap abang akan baik dengan cepat... insyaallahhhh.

Moga Allah memelihara kesihatan saya agar saya dapat menjaga dan menguruskan keluarga sepanjang waktu ini....insyaallahhhh.

Wednesday, May 05, 2010

:: Kalau itu takdirnya... ::

Semalam saya menemani en. hubby ke hospital untuk Xray kaki. Setelah lebih 2 minggu kejadian jatuh motor tu, baru semalam en.hubby terbuka hati nak pergi hospital. Itupun selepas dah tak tahan menanggung rasa sakit berdenyut dekat buku lali. Patutle pun bengkaknya tak surut-surut.

Perihal petang semalam, temujanjinya pukul 3 petang, kami sampai awal dalam jam 2.30 petang. Oklah...dah daftar semua, kira nampak macam dapat selesai awal le. Mula-mula daftar di bhg. ortopedik, kena buat Xray dulu (lokasi lain, kena jalan jauh sikit). Lepas Xray, kembali semula ke bhg.ortopedik untuk berjumpa dengan doktor (tunggu giliran juga). Gambar Xray dihantar terus kepada doktor. Masa jumpa doktor, baru dapat tahu juru Xray salah scan... dia tak shoot dekat buku lali, hanya lutut saja. Kena pergi semula bilik Xray. Lepas tu patah balik jumpa doktor. Alih-alih, juru Xray masih buat salah. Pergi semula dan kali ini bersama-sama dengan doktor. Kali ketiga Xray ni baru ok... dan terjawable persoalan.... ada sedikit retakan dan juga koyakan ligamen di bahagian buku lali. Hmmmm.... selepas ditelek sekali lagi oleh doktor pakar.... maka inilah hasilnya...

Kaki en.hubby telah disimenkan. Simen ni masih basah hanya akan kering sepenuhnya selepas 2 hari. Sebab tu le kena lapik dengan surat khabar, taknak kesan putih simen tu melekat atas kerusi. En. hubby dapat MC 7 hari. Dan sehingga itu, perlu belajar menggunakan tongkat dan sehingga itulah saya pun kembali menjadi supir....huhuhu

Banyak yang boleh difikirkan dan diambil iktibar di atas semua ini kan.... sememangnya ada hikmah disebalik setiap kejadian itu. Bersyukurlah kerana kita masih diberi peluang untuk menikmati segala nikmat yang ada di dunia ini... meskipun ia hanya pinjam-pinjaman semata. Hanya Dia yang berkuasa memiliki segalanya.

Monday, May 03, 2010

:: April dan Buku ::

Hari tu masa pergi PBAKL bulan Mac lalu dan setelah membeli sejumlah buku, kononnya bulan April akan berehat dari membeli bukulah....kononnya... Tapi itulah, kalau dah pergi shopping complex, dan kalau tak singgah ke kedai buku memang tak sah. Dan...kalau dah masuk ke kedai buku tu memang tak sah le kalau tidak membeli sebiji dua.

Maka dengan itu inilah hasilnya kalau dah menyinggah kedai buku untuk bulan April...

~ Setenang Cahaya Hati (Salina Ibrahim) ~

Novel ni dah ada masa PBAKL lalu, tapi saya tak ingat pula nak beli. Saya tahu tentang kewujudannya dan ia memang sepatutnya ada dalam senarai beli saya tapi entah kenapa boleh lupa pula. Masa singgah MPH Alamanda ternampak novel ni terus ambil. Bila nak baca? Tunggulah giliran...


~ Karipap Karipap Cinta (Nazri M Annuar) ~


Buku ini saya beli kerana tertarik dengan judulnya. Hanya kerana itu tapi saya belum sempat membacanya(juga perlu tunggu giliran) dan tidak tahulah pula cerita berkisar tentang apa.



~ DIARY of a Wimpy Kid ~

Kenapa ye saya beli buku ini? Hmmm...mungkin sebab ilustrasi kulit depannya itu yang buat saya tertarik. Ini adalah buku baru karya Jeff Kinney dan ada 2 lagi judul untuk siri buku ini. Saya beli satu dulu untuk baca dan menilai, kalau ok mungkin saya akan beli yang 2 judul lagi tu. Buku ini macam blog, jurnal atau diarilah...dan yang menariknya ada ilustrasi kartun bersama-sama cerita.


~ Travelog Cinta Abadi - Roza Roslan ~


Buku terbaru dan terakhir saya beli dalam bulan April. Beli terus dari Prof Muhd Kamil, ini merupakan karya pertama isteri beliau Pn. Roza (ada t/tangan Pn.Roza). Sebelum ini saya dah baca 2 buah buku karya Prof Muhd Kamil... Travelog Haji dan Travelog Dakwah... dan sememangnya kedua-dua buah buku in sangat mengesankan. Kerana itu juga saya terdorong untuk membeli dan membaca Travelog Cinta Abadi ini. Sekarang sedang berulit dengannya... sungguh tidak adilkan...yang akhir dibeli...tapi didahulukan membacanya...