Sunday, March 28, 2010

:: Jalan-jalan Cari Buku ::

Selepas balik dari bercuti di Sabah, saya ingat takkan berpeluang lagi nak berkunjung ke PBAKL tahun ini. Agak kecewa juga rasanya hati andai kata tidak dapat kesana. Namun perancangan Allah jua yang terbaik, akhirnya sampai juga saya malah bersama-sama dengan en.hubby dan anak-anak. Walaupun hari ini adalah hari terakhir namun saya lega. Saya lega dapat juga bersama-sama meriahkan pesta ilmu ini, juga dapat membawa anak-anak bersama merasai kemeriahannya. Tahun-tahun sebelum ini, saya berseorangan ke pesta ilmu ini dan sememangnya saya ingin bersendirian begitu sebabnya hanya saya saja yang tahu.

Kami sampai di PWTC waktu jam menunjukkan tepat 12 tengahari. Waktu itu panas terik mentari tepat di atas kepala. Dalam keadaan saya yang kurang sihat ini, saya kuatkan hati dan semangat saya bertambah kuat bila membayangkan buku-buku yang bakal saya temui nanti. Waktu ini pengunjung sudah semakin ramai, dan kepala saya semakin berdenyut-denyut. Namun semua itu seakan hilang bila mula berada di lautan buku dan saat berkunjung dari satu booth ke satu booth. Dah habis pusing di sini, kami gerak pula dewan Tun Razak 3. Di sini saya mencari-cari booth Jemari Seni Publishing... jumpa juga akhirnya. Seronok dapat jumpa Kak Noor Suraya, sempat juga membeli beberapa buah novel. Kami teruskan penjelajahan dan waktu ini anak-anak dah mula buat perangai. Masing-masing dah letih, lapar...dan macam-macam kerenah lagi.

Di booth PTS, para petugasnya memakai topi ala cowboy (berkilat dan berwarna-warni) memberi kelainan . Menarik bukan, kreativiti mereka menjadi salah satu daya tarikan untuk menarik pengunjung.

Mendapatkan tandatangan Faisal Tehrani dalam buku terbaru beliau; Bahlut. Tak sempat nak pose, en.hubby dah terus snap.

Setelah lebih 2 jam setengah berjalan-jalan... maka inilah hasilnya yang dibawa balik.
Kali ini hasil tangkapan tidaklah sebanyak tahun lepas. Bajet harus juga dikawal, almaklumlahkan baru balik dari bercuti ni. Kali ini juga saya lebih banyak membeli buku-buku latihan untuk si abang dan adik.


Beli juga buku cerita untuk abang. Ini pilihan abang sendiri walaupun saya sedikit terkejut dengan pilihannya. Rupanya ini genre cerita yang dia suka, padahal abang ni sangat le penakut orangnya.

Ini buku latihan kedua yang adik buat lepas Maghrib tadi. Petang tadi adik dah siapkan satu buku.

No comments: