Friday, April 02, 2010

:: Jauh Perjalanan Luas Pandangan – Bhg.1 ::

Tiket AA ke KK telah ditempah sejak bulan 5 tahun lepas. Waktu tu ada promosi tambang murah. Saya pilih ke KK sebab en. Hubby dah lama teringin nak kesana. Masa saya outstation kesana dulu, dia memang dok geram saja nak ikut tapi tak dapat... ada saja halangannya. Kalau dulu saya pergi atas urusan kerja, kali ini nak berseronok-seronok pula dengan en. Hubby dan anak-anak. Memandangkan waktu kami pergi ni musim cuti sekolah, saya sudah uruskan segalanya lebih awal; tempah sewa kereta, tempahan hotel...itinerary di sana...

Kami bertolak pada 17/3, penerbangan jam 11 pagi. Syukur kerana semuanya mengikut jadual. Kami sampai KK jam 1.40 petang. Ini merupakan pengalaman pertama adik menaiki kapal terbang. Mujurlah dia pun ok saja, asyik gelak saja sepanjang penerbangan(apa yang dia rasa kelakar sangat pun tak tahulah). Cerita abang pun tak kurang kelakar juga sebabnya masa awal-awal baru berlepas dia asyik tanya saya; bila diorang nak bagi minuman. Abang tak pernah naik AA, dulu dia naik MAS masa nak balik KL dari KT. Jadi dia ingat AA ni macam MAS le, ada servis minuman ringan hahaha....sabar jelah. Tidak mahu menghampakan anak-anak, kami beli le air kat atas tu. Cukup air saja, nak makan nanti bila sampai hehehe (kejamkannn).

Waktu sampai airport, kereta yang kami sewa dah ada menunggu. Macam ni punya servis le bestkan. Semuanya on time...setakat ni puas hati dan lega. Ambil kereta, tengok-tengok keadaan kereta, dah puas hati, selesaikan bayaran terus kami gerak ke Kundasang. Hari pertama ni kami akan bermalam di Strawbery Garden Hotel, Kundasang. Perjalanan dari KK ke Kundasang mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. En. Hubby seronok bawa kereta di Sabah ni sebab, tak ada berebu-rebut nak laju-laju. Semuanya cool dan steady saja. Jalan ke Kundasang melalui Tuaran, Tamparuli pun tenang-tenang saja.
Perjalanan ke Kundasang hanya berpandukan papan tanda dan pengalaman saya kesini dulu.



Alhamdulillahhh kami sampai dengan selamatnya, terus check-in hotel. Hotel ni kategori hotel bajet sahaja; bagi kami oklah untuk tidur, mandi-manda dan berehat untuk satu malam. Saya pilih hotel ni juga sebab ada kebun strawberry dan kebun bunga ros yang memang nampak cantik, hidup subur, segar-bugar di tanah tinggi ni. Aman damai dan segar saja rasanya... Selepas check-in kami keluar ke pekan Ranau untuk makan. Masa ni perut masing-masing dah lapar sangat. Memang anak-anak pun dah bising. Untuk ke pekan Ranau hanya mengambil masa 20 minit saja memandu kereta. Ranau hanya sebuah pekan kecil, tapi menjadi tumpuan penduduk tempatan yang berdekatan terutamanya dari Kundasang untuk mendapatkan barangan keperluan harian dan menguruskan segala urusan. Kami balik ke hotel waktu hari sudah menjelang senja. Sempat juga singgah di pekan Kundasang beli buah-buahan. Di sini banyak gerai buah-buahan dan sayur-sayuran segar.



Masa nilah kami dapat lihat pemandangan indah ciptaan Tuhan; puncak Gunung Kinabalu sayup mata memandang. Pengalaman pertama en.Hubby menikmati pemandangan yang sangat indah ini dan pastinya tidak lupa merakamkan momen indah ini. Subhanallahhhh...indah sungguh ciptaan Tuhan.

Anak-anak pun kelihatan sangat teruja sekali. Malamnya kami hanya berehat di bilik sambil menikmati buah-buahan potong yang dibeli tadi. Suasana sangat nyaman dan dingin sekali, tidak perlu pendingin hawa mahupun kipas. Kesejukan asli begitu meresap mencengkam tulang-temulang sampailah ke pagi.





Di sini waktunya sejam lebih awal dari Semenanjung. Jadi haruslah bangun lebih awal kerana waktu Subuh di sini jam 4.30 pagi. Dugaan betul nak bangun dengan cuaca dingin sejuk lagi mendamaikan. Masa ni berselubung dengan selimut lagi sedap rasanya...masyaallah...harus paksa diri. Satu lagi dugaan, air paipnya sangatlah sejuk, terasa ngilu saja bila terkena barisan gigi-gigi. Harus juga menggagahkan diri huhuhu...Pukul 6 pagi di sini sudah seperti pukul 7 di Semenanjung, sudah hampir terang-benderang. Gerak anak-anak semua bangun mandi, banyak lagi program yang menanti. Pagi ini kami akan terus check-out, tapi sebelum itu kami dibawa melawat kebun strawberry dan bunga ros. Hishhh....gerammm tengok buah-buah strawberry, rasa macam nak petik saja, tapi tidak dibenarkan ya! Sebelah kebun strawberry, kebun bunga ros.




Bermacam-macam spesis warna bunga ros yang ditanam. Cantikkkkk sangat, pun tak boleh dipetik ya! Geram...geram... Mengikut pemilik hotel, kebiasaannya buah strawberry yang dipetik terus dari ladang akan diletakkan dan dijual di cafe selepas jam 9 pagi. Hmmm...nampaknya tak ada rezeki kami kali ini untuk menikmati buah strawberry segar terus dari ladang.



Kami bersarapan pagi di pekan Kundasang, di sebuah restoran berhadapan betul-betul dengan gunung Kinabalu. Tapi waktu ni tak dapat tengok puncak sebab dilitupi kabus tebal.


Lepas sarapan, kami ke Kundasang War Memorial. Memorial ini dibina khas untuk mengingati mereka yang terkorban sewaktu berjuang pada perang Dunia Kedua terutamanya askar British dan Australia.


Di sini ada tiga taman yang dibina iaitu British Garden, Borneo Garden dan Australian Garden. Di taman ini anda boleh temui pelbagai jenis spesis bunga-bungaan yang tumbuh segar.


Di tingkat atas sekali anda dapat menikmati udara nyaman Kundasang dan dapat melihat seluruh Kundasang yang berbukit-bukau saujana mata memandang.


Kami teruskan perjalanan ke Desa Dairy Farm. Harus naik mendaki bukit lebih tinggi dan jauh ke dalam.




Di sini sekali lagi kami menikmati pemandangan yang sangat indah sambil menikmati susu segar terbaik dari ladang. Sayang juga tidak dapat minum susu perahan sendiri kerana aktiviti perahan susu hanya dibuka pada jam 3 petang sahaja. Susu segar ini hanya dipasarkan di seluruh negeri Sabah dan Sarawak sahaja.




Turun dari Dairy Farm, kami terus ke Poring Hot Spring. Untuk kesana dari Kundasang melalui pekan Ranau mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan. Apa yang ada di sini? Selain dari kolam air panas, ada pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan.



Tidak mahu kolam air panas boleh mandi di slide pool (anak-anak saja mandi di sini). Sementara saya menemani anak-anak bersukaria berendam dalam kolam, en. Hubby buat rondaan untuk merakamkan momen-momen indah yang ada di sini.


Di sini anda boleh berkelah di air terjun (jalan masuk jauh ke dalam hutan sikit). Tapi en.hubby cakap air terjun yang mengalir tidak meriah dan kurang cantik mencacatkan pemandangan disebabkan cuaca panas (masalah kemarau sebabkan kekurangan air).


Boleh juga merasai canopy walk ( melalui titi gantung), ada 3 stesen dan untuk sampai ke setiap stesen ni memang mencabar betul lagi-lagi untuk mereka yang gayat macam saya. Kalau nak rasa anda lebih tinggi daripada pokok-pokok di dalam hutan tu bolehlah cuba canopy walk ni. Jika berminat dengan rama-rama, anda juga boleh mengunjungi Taman Rama-rama. Tapi nak masuk kena bayar juga. Dah puas di Hot Spring kami singgah pekan Ranau sekali lagi untuk makan tengahari jam 2.30 petang.

Dalam perjalanan untuk turun ke KK, kami singgah pula Kinabalu Park. Di sinilah semua para pendaki Gunung Kinabalu memulakan pendakian. Selain dari sini, pendakian juga boleh dimulakan dari Mesilau. Kalau nak mendaki gunung ada bayaran khas dan anda harus naik ke Timpohon Gate (permulaan stesen pendakian). Kami masuk Kinabalu Park dengan kereta terus ke Timpohon Gate.


Dari sini, puncak gunung Kinabalu kelihatan jelas dengan gahnya. Kerana kekaguman yang teramat, en.hubby sudah menanam tekad untuk merancang ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu pula selepas ini bersama Amanputra Hikers. Kami ronda pusing-pusing dalam Kinabalu Park lebih kurang sejam lebih juga kemudian teruskan perjalanan ke KK. Dalam perjalanan menuruni bukit ini, tiba-tiba hujan lebat pula melimpahi bumi. Perjalanan kami agak terbatas kerana kabus tebal hingga terpaksa memasang lampu hazard untuk keselamatan. Kami sampai KK dalam pukul 6 petang dan terus ke Hotel Tang Dynasti untuk check-in. Urusan pendaftaran tidak mengambil masa yang lama memandangkan tempahan awal telah dibuat. Waktu ini lega rasanya dapat berehat setelah seharian penuh dengan aktiviti.

Kami keluar semula ke Bandar KK untuk makan malam sambil pusing-pusing Bandar. Pada awalnya bercadang untuk makan di satu tempat yang telah direkomenkan oleh seorang kawan. Tapi bila kami sampai kat tempat tu, Nampak gelap saja. Rupa-rupanya blackout. Eh! Macamana nak makan dalam gelap macam tu kannnn. En.hubby terus calling-calling kawan dia bertanyakan tempat makan lain lagi yang ada di KK ni.



Akhirnya malam pertama di KK kami makan di Tanjung Aru. Boleh tahan sajalah makanan dan harganya. Selepas makan kami ronda-ronda sekejap kemudian terus balik hotel, tidur. Kena caj tenaga untuk meneruskan aktiviti hari esok...

4 comments:

suez said...

fuyyoo kundasang sangat cool okeh! macam new zealand! thanks for sharing, kak kay.

khairanimaisurah said...

sharing is caring kannn... hah! bila nak plan destinasi mana? versi sabah pula.

Tip-top said...

Hi...salam....ni saya nak tanya ni..sebab saya ni kan nak g KK this end of the month.
Boleh share tak hotel mana yg awak duduk kat kundasang tu?mcm best je...and berapa awak sewa kereta kat sana? terima kasih..boleh reply saya tak?(juicyvalentine@hotmail.com)

vimax said...

thanks for article