Monday, June 14, 2010

:: Catatan Perjalanan 1 ::

Jumaat minggu lalu(4 Jun ) saya dan anak-anak bertolak balik ke Sp pada sebelah malam. Saya memilih perjalanan malam kerana harus ke Pendang pada Sabtu pagi atas urusan kerja. Maka letih atau tidak harus gagahkan diri memandu malam walau hakikatnya ini kali pertama saya harus memandu sendirian untuk perjalanan malam sejauh ini tanpa en.hubby disisi. En.hubby membuat keputusan saat akhir untuk mengikut rombongan ke Rumah Anak Yatim di Pengkalan Hulu atas sebab-sebab yang tertentu. Mujur juga sudah berpakat dengan adik dan banglong untuk konvoi dan hanya akan berjumpa di R&R Rawang.

Kami bertolak jam 9 malam, tetapi sebelum itu singgah di Shah Alam untuk bertemu dengan Dik Yah. Ada barang yang dikirim. Dari Shah Alam sudah jam 10, syukur perjalanan lancar, kereta pun tidak terlalu banyak. Sampai di hentian Rawang bertemu banglong dan adik. Kami berehat sekejap sambil makan dan minum sebelum meneruskan perjalanan 30 minit kemudian. Kali ini banglong yang memandu kereta saya. Syukur sangat rasanya...sebab mata saya memang tidak tahan kantuk. Mungkin tidak cukup tidur dan rehat. Amaran jika anda memilih untuk memandu di waktu malam untuk perjalanan yang jauh, harus mendapat rehat dan tidur yang cukup. Adik, banglong dan saya sebenarnya sama saja. Oleh kerana siangnya kami bekerja kemudian memaksa diri memandu malam maka badan terasa beban lelah yang teramat sangat. Akhirnya kami berhenti tidur sekejap di hentian Bukit Gantang.

Kami meneruskan perjalanan sejam kemudian. Sepanjang perjalanan bermula dari Ipoh kalau tidak salah, diiringi oleh hujan lebat yang menimpa bumi. Hujan yang turun agak menjejaskan perjalanan dan terpaksa memandu dengan sangat berhati-hati.

Sampai SP menjelang jam 7 pagi. Satu perjalanan malam yang sangat panjang rasanya. Badan pun sudah menjadi letih lesu. Namun syukur alhamdulillahhhh.... kami sampai rumah mak dengan selamat. Sebaik sampai, saya pula hanya dapat berehat sebentar sahaja kerana perlu bersiap-siap untuk ke Pendang sepertimana dirancang. Namun apa yang dirancang tidak semestinya terjadi kalau itu sudah takdirnya. Kerja masih tidak dapat diselesaikan pada hari itu atas sebab teknikal. Maka ianya akan disambung pada hari Isnin. Terkilan juga sebab seharusnya kalau kerja selesai pada hari Sabtu, ada urusan lain yang menanti pada Isnin. Tapi itulah kan... kita manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua yang menentukan segalanya. Saya terus balik dari Pendang dan dapat juga mengikut rombongan pengantin ( abang zam anak maklang)ke majlis sebelah pihak perempuan. Kenduri sebelah lelaki (rumah maklang) akan berlangsung esoknya (Ahad).

Kompang dipalu, pengantin baru

Hari Ahad menjadi hari yang sangat sibuk. Sejak dari pergi sampailah ke Maghrib berumah bertangga di rumah maklang. Walau letih hati tetap seronok sebab dapat berbakti dengan mak saudara, dapat jumpa sanak-saudara. En. hubby menyusul dari program di Pengkalan Hulu petang Ahad itu. Alhamdulillahhh majlis kenduri abang zam selesai dengan jayanya. Kami sekeluarga memang macam ni, rapat dengan semua sepupu sepapat walau sejak-sejak sudah dewasa ni sudah jarang sangat bertemu . Hubungan yang ada tu tetap terjalin mesra. Moga ikatan kekeluargaan antara kami akan kekal erat hingga ke akhir hayat.... insyaallahhhh...






Marhaban yaaa marhaban... diiring doa moga ikatan perkahwinan berkekalan hingga ke akhir hayat


Si kecil Luqman Afif juga ada ye!

Di stesen keretapi cinta kita bersemi ( dongeng semata)




Balik kampung waktu ini terasa sangat mendamaikan pandangan mata dan jiwa kerana sawah bendang sedang menghijau oleh pokok padi yang sedang masak. Bilah-bilah daun padi melambai-lambai ditiup angin memberi kesegaran walau cuaca panas membahang... oh! Kampungku!!!

No comments: