Tuesday, June 15, 2010

:: Catatan Perjalanan 2 ::

Saya fikir maklang pasti sudah boleh menarik nafas lega kerana ketiga-tiga orang anaknya (bang zam, ijah dan dik mad) sudah berkahwin. Syukur Alhamdulillah segalanya telah selesai. Tetapi yang menjadi bualan ketika ini pastilah abang long saya yang beza umur hanya 2 tahun lebih muda dari bang zam. Umur yang kalau diikutkan sudah layak untuk mempunyai teman sejati buat menemani hati. Namun apakan daya jodoh belum tiba. Kami hanya mampu berdoa untuk abang long moga cepat ditemukan jodoh selebihnya abang long sendiri kena usahalahkannn...

Hari Isnin, awal-awal pagi lagi saya sudah bersiap-siap untuk ke Pendang menyambung tugas yang masih tertangguh. Harap-harap hari ini akan selesai seperti yang direncanakan. Saya sampai di Pendang kurang lebih jam 9 pagi. Kak Roselah, penyelia Pusat Ujian sudah sedia menanti saya. Tidak menunggu lama, selepas berbasa-basi, bertanya khabar (sudah lama tidak bertemu dengannya) saya terus buat kerja. Syukur Alhamdulillah... akhirnya kerja selesai juga. Saya sampai SP dari Pendang hampir jam 12 tengahari, terus ke bengkel kereta untuk buat alignment dan balancing si Persona itu. Sudah buat temujanji lebih awal dengan tuan punya bengkel (kawan adik, si Sani) untuk menghantar si Persona. Hmmm... mungkin benar anggapan ramai, produk keluaran Proton ni.... tak tahulah nak cakap macam mana kannn... tapi selepas buat alignment dan balancing, banyak perkara pula yang kena tukar pada kereta tu. Walhal, belum cukup setahun pun. Terpaksa akui jugalah yang si Persona ni memang diguna dengan selasak-lasaknya... tapi itulah kan... nama pun kereta baru, takkan lah dah jadi macam-macam. Malas pula rasanya kalau nak difikir-fikirkan sangat. Dah macam pakai kereta second hand sahaja gayanya. Kalau ikutkan rasa hati ni memang terkilan sangatlah, tapi apa nak buat kan ujian Allah itu didatangkan dengan pelbagai cara kan.... mungkin ini satu dari ujianNya juga. Haruslah terima dengan redha dan pasrah sahajalah.

Dalam waktu saya bergundah-gulana dek memikirkan nasib si Persona, mujurlah menerima berita baik yang bisa menceriakan kembali hari-hari saya. Selepas urusan Persona saya kembali ke rumah, masa itulah mendapat berita dari adik dan bang long yang sedang menguruskan perihal tanah arwah abah yang akan diambil oleh *TMB untuk projek membuat landasan. Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki kurniaan dari Allah s.w.t. Dijangka kami akan mendapat jumlah yang agak besar sebagai bayaran pampas an dari pengambilan tanah tersebut. Pembahagian wang pampas an tersebut telah dibuat mengikut hukum faraid, dan memandangkan arwah abah adalah anak lelaki maka tentulah bahagiannya lebih sedikit. Kalau dilihat pada jumlah yang tercatat di dalam surat tu, wahhhh... bisa membeliakkan biji mata...hihihi. Sesungguhnya rezeki Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Syukur...

Begitulah hakikatnya sebuah kehidupan, dalam tempoh masa 24 jam yang Allah beri untuk 1 hari pelbagai perkara yang boleh terjadi. Ada cerita duka, ada cerita gembira. Suka mahupun duka semua itu sebahagian dari ujian Allah untuk hambaNya. Bagaimana kita menerima dan melaluinya haruslah mengikut landasan yang betul yang ditunjukkan olehNya.

Hari ini juga mak masak sedap, yang penting ada kari ikan dan sambal belacan berserta ulam-ulaman yang menjadi penambah perisa warna-warna ceria dalam hidup kami. Malam itu kami rasa agak sunyi kerana si kecil Luqman Afif sudah pulang ke KL dengan mama dan abahnya. Esok, saya, en.hubby dan anak-anak pula akan balik ke KT. Rumah mak bakal sunyi lagi...

No comments: