Tuesday, June 22, 2010

:: Catatan Perjalanan 3 ::

Pagi Selasa itu, saya bangun agak awal, sebelum waktu Subuh. Kami bercadang untuk bertolak balik ke KT awal pagi memandangkan kami hanya akan bermalam untuk semalam saja di sana. Waktu ini saya sibuk kemas barang-barang semua masuk dalam beg. Selesai semua, mandi, solat Subuh... kemudian baru saya kejutkan anak-anak dan en. Hubby. Kononnya hendak keluar awal, alih-alih pukul 8 pagi masing-masing baru nak bersarapan. Waktu bersarapan inilah sesi memujuk mak agar ikut kami sekeluarga pun bermula. Tidak pasti pula bagaimana isu ini boleh timbul tetapi setengah jam kemudian setelah sesi pujuk-memujuk, mak bersetuju ikut kami. Siap ajak Banglong sekali. Lagipun kami tidak akan berlama di KT. Esoknya sudah nak balik Puchong.

Maka, mak pun masa tu mulalah kalut kemas baju, kemas rumah yang bakal ditinggalkan. Hampir pukul 11 pagi baru kami bertolak dari SP menuju ke KT. Budak 2 orang itulah yang paling seronok sebab tok dan paklong ikut sekali. Riuh rendah jadinya dalam kereta sepanjang perjalanan.

Kami berhenti minum dan isi minyak di Pengkalan Hulu. Singgah satu kedai makan mamak muslim berhadapan dengan stesen Petronas Pengkalan Hulu. Kami pekena capati cecah sambal sardine. Boleh tahan ummmphhh!!! juga rasanya atau sebenarnya waktu itu memang perut sudah lapar? Wallahua’lammm....

Meneruskan perjalanan sejam kemudian, melalui lebuhraya Grik merentasi banjaran Titiwangsa. Suasana dalam kereta masih maintain bising dengan suara anak-anak. Langsung tak dapat nak lelapkan mata biarpun sebentar cuma.


Kami berhenti sekali lagi di hentian rehat Perah untuk melunaskan tuntutan alam masing-masing. Dah lega semua... terus gerak. Sempat juga si abang mengepaw paklongnya beli jajan. Tapi tak mengapa juga, boleh ibu, abah dan tok tumpang sekaki makan keropok udang si abang.


Waktu melepasi jam 2.30 petang, kami berhenti untuk makan tengahari di satu hentian rehat yang saya tidak ingat namanya. Kami makan bekalan nasi dan lauk-pauk yang dibawa dari rumah. Kami masih berada di kawasan banjaran tanah tinggi. Pemandangan dari sini sangat indah dan nyaman walaupun waktu itu panas agak terik. Angin gunung masih terasa damai dan mendinginkan. Apalagi lensa kamera menjadi mangsa untuk merakamkan suasana indah ini. Selepas makan, mak ada menyuarakan, nak solat Zuhur di sini ke. Bila melihat orang yang agak ramai di hentian rehat ini, saya menyarankan pada mak agar solat jama’ ta'khir saja nanti di mana-mana masjid dalam perjalanan. Mak pun mengiyakan sajalah saranan saya tu. Kami kemudian meneruskan perjalanan.









Sampai kawasan Bukit Bunga, kami berhenti singgah. Bila dah singgah Bukit Bunga ni, haruslah ada wang yang mengalir keluarkan... hmmm. Lama juga di sini, hampir sejam. Kurang lebih jam 5.30 petang kami gerak semula dan waktu ini mulalah sibuk cari masjid untuk solat Zuhur dan Asar secara Jama’.


Sesungguhnya kuasa Allah itu sangat besar. Kerana kita telah melengah-lengahkan kewajipan terhadapnya, maka Dia turunkan pelbagai halangan pada hambaNya yang khilaf ini. Masjid pertama kami singgah...tak ada air. Masyaallah, macamana ni? Waktu Asar sudah hampir ke hujungnya. Kami teruskan perjalanan dan jumpa lagi sebuah masjid. Syukur sangat dah masa ni. Tup tup... tak ada air juga. Ya Allah, sungguh pantas balasanMu kepada hamba yang khilaf ini. Kami gerak lagi sambil mencari masjid. Akhirnya jumpa sebuah masjid di daerah Besut. Syukur Alhamdulillah... tidak lagi berhalangan. Kami dapat menunaikan solat Asar dan Zuhur jama’ walau waktu itu jam sudah menunjukkan hampir 7 petang. Sebentar sahaja lagi waktu Maghrib bakal menjengah. Saya mohon maaf pada mak. Saya benar-benar terpukul dengan kejadian seperti ini. Sangat menginsafkan. Alangkah baiknya jika kita solat di awal waktu dan kejadian seperti itu mungkin tidak terjadi.


Usai solat kami teruskan perjalanan. Tidak singgah dan berhenti di mana-mana lagi. Kami sampai rumah mak mertua saya kurang lebih jam 8.30 malam. Syukur alhamdulillahhhh...

No comments: