Friday, January 01, 2021

:: Entri penutup 2020...Musibah membawa hikmah ::

 Assalamualaikum...

Malam ni adalah malam terakhir bagi tahun 2020 yang penuh dengan bermacam rencah cerita kehidupan, ujian, dugaan dan pengalaman biarpun yang manis yang pahit. Bukan sahaja buat diri aku, malah aku percaya 2020 memberi kesan pada semua orang di seluruh pelusuk dunia. Ingin aku coretkan catitan kehidupan aku sepanjang 2020 di sini untuk kenangan peribadi yang tak mungkin akan dilupa sampai bila-bila. Rupa-rupanya ini entri ke 2 untuk tahun ni hihi.. 

Aku mula dengan awal tahun.. yang bongsu si adik mula memasuki tahun 1. Agak mencabar bila hantar ke sekolah maklumla anak bongsu, manjanya memang berlebih-lebihan sangat. Hampir seminggu aku bercuti menguruskan hal sekolahnya. Hari pertama ok tak nangis malah sangat bersemangat. Masuk hari kedua dah menangis-nangis...aduhaiii adik. Hantar ke KAFA pun begitu, ke sekolah kebangsaan pun sama saja gayanya. Aku memang buat kering jugak le... tak larat dah nak memujuk. Cerita kakak pula, kononnya tahun ni akan menduduki PT3 tapi disebabkan Covid19 dibatalkan sudah. Eh senyum sengih juga anak dara nan seorang tu.. Cerita abang pula...alhamdulillah nampak progress yang agak baik di kolej vokasional. InshaAllah pilihan ini akan melorongnya kepada kejayaan..

Menjelang  bulan Februari 2020, dunia dikejutkan pula dengan serangan virus Covid19 yang mula dikesan di salah sebuah wilayah di negara China. Kita dah mula merasa kerisauan dan akhirnya kerisauan itu adalah benar bila Covid19 dikesan di negara yang kucintai ini. Tak silap aku masa tu dah masuk bulan Mac. Waktu cuti sekolah pertengahan bulan Mac tu, kami balik kampung SP tapi tak sampai beberapa hari kerajaan umum PKP di seluruh negara. Sehari sebelum PKP bermula kami pulang semula ke rumah.. takut pula terkandas di SP huhu.. Maka bermulalah episod berkurung di rumah beberapa bulan... sekolah ditutup, pejabat ditutup dan kedai-kedai makan juga ditutup.. dan pelbagai syarat PKP lagi yang harus dipatuhi oleh semua orang. Disebalik musibah yang menimpa ini pasti ada hikmah yang kita peroleh malah banyak sangat hikmah yang Allah SWT bagi... berpuasa Ramadhan, berterawih bersama keluarga di rumah, menyambut Syawal juga hanya bersama keluarga terdekat... malah solat sunat Aidilfitri pun kita buat di rumah hanya bersama keluarga. Selepas PKP, masuk pula fasa PKPB... dah boleh berkerja, banyak kedai-kedai dah buka, sekolah juga mula dibuka tetapi dengan SOP yang ditetapkan. Masing-masing harus bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan keluarga kerana sehingga kini virus ini masih wujud di kalangan kita. 

Menjelang hari Raya Korban (Haji) berlaku pula tragedi yang tidak disangka...ya jelas malang tidak berbau. Aku ditimpa kemalangan sehingga menyebabkan kaki dibahagian betis sebelah kiriku patah... kejadian berlaku sehari sebelum Raya Haji dan malam raya tu aku merasa bermalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang dan Allah SWT sebaik-baik perancang. Peristiwa ini adalah turning point buat kami sekeluarga... kehidupan berubah 100%  Mengikut perkiraan doktor, bahagian yang patah ni harus dipasang implan (besi). Aku mendengar penjelasan doktor dengan muka tenang namun dalam hati sangat bergetaran penuh debar. Aku minta ditukarkan ke hospital Putrajaya memandangkan proses ini pasti akan mengambil masa yang agak lama walhal anak-anak perlu kembali ke sekolah dan en suami juga harus berkerja. Alhamdulillah doktor bagi kebenaran dan keesokkannya aku discaj setelah segala surat dan CD xray disediakan oleh pihak hospital untuk dirujuk ke Putrajaya. Untuk sementara, bahagian yang patah tu di pasangkan simen. Syukur Alhamdulillah...segala urusanku dan keluarga dipermudahkan olehNya. Dalam hati aku tidak henti-henti memohon padaNya semoga dilancar dan dimudahkan segala-galanya buat diri ku. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.. Ya ALLAH Ya Tuhanku..aku menerima semua ini dengan penuh redha dan syukur kerana hikmah yang diperoleh di sebalik semua ini lebih besar dari segala kesakitan yang dialami. Ia mengubah segala-galanya yang kalau boleh nak aku ceritakan semuanya di sini namun biarlah ia terus tersimpan semat dalam sanubari. Setelah lebih 4 bulan selepas pembedahan memasukkan implan....alhamdulillah aku kini semakin pulih. Temujanji dengan doktor masih berlangsung sebulan sekali dan sesi fisioterapi pun masih harus dijalani. 

Selepas sekolah dibuka semula tak sampai pun beberapa bulan, ditutup semula kerana bimbang dengan peningkatan kes Covid. Maka berkampung lagilah anak-anak dirumah bersamaku yang sedang bercuti sakit ini. Bermula pula era pembelajaran secara online buat anak-anak.. agak mencabar namun berjaya ditempuh. Kita harus bersedia dengan era digital ini yang tidak dapat tidak harus diterima dalam dunia teknologi yang semakin berkembang canggih. Akhirnya sekolah ditutup sehinggalah Januari 2021 nanti.. 

Kesimpulan daripada semua ini...ambil dan hadapilah secara terbuka dan positif. Sebagai umat Islam, disebalik musibah dan ujian yang berlaku carilah hikmah yang Maha Pencipta turunkan untuk kita. Bukalah minda, hati, mata dan jiwa raga...muhasabah diri. Banyak yang harus diteliti, diperbaiki... baik dari segi hubungan kita dengan Pencipta...dengan sesama kita manusia bahkan dengan seluruh makhluk ciptaanNya di mukabumi ini. Ujian ini banyak menyedarkan diriku sendiri... memang begitulah kita manusia...ketika Allah bagi nikmat sering kita leka kita lupa..bila didatangkan musibah hingga merangkak-rangkak kembali mencariNya. Aku lah manusia seperti itu...

Kutangguhkan dulu coretan kali ini.. InshaAllah akan kuteruskan mencoret, bercerita.. Selamat Tahun Baru 2021!!!!


Wassalammm....:)

 


Friday, June 19, 2020

~~ Apa khabar kau di sana??? ~~

Assalamualaikumm....

Haha apa khabar wahai teman diari bisuku... dah lama tak bersua. Tak tau kenapa hari ini rasa hendak kembali bercerita. Ku harap ini adalah permulaan yang baik untuk kembali. Ada orang kata writing a blog is so yesterday... Takpe la...ini masih diari bisuku meskipun aku dah lama sangat tak berbual dengannya. Rasa rindu pulak bertandang.

Semoga ilham akan datang laju seperti air sungai yang mengalir....


Saturday, January 14, 2017

:: Nak buat pizza tiba-tiba jadi roti canai ::

Kononnya pagi tadi nak buat pizza untuk sarapan. Walaupun tiada dalam perancangan awal, tapi sebab semalam pergi Tesco beli barang, terus rasa nak buat pizza... ececeh... maka teruslah cari barang dengan konfiden huhuhu.. Pagi ni bangun semangat le nak mula projek pizzaku itu. Keluarkan semua bahan-bahan... Semangat nak buat ni dah lama sejak terjumpa cara nak buat yang paling simple tanpa perlu bersusah payah uli doh semua bagai... Inilah masalahku bermula kuikuikui... sebelum beli barang tak tengok betul-betul jenis roti yang kena beli untuk dijadikan sebagai base.. aku main agak-agak saja. 

Tadi pun dengan konfiden jugak aku mulakan projek... memandangkan ovenku dah tak bole guna maka aku bakar pizza dalam microwave oven. Dan seterusnyaaa..... lepas dah keluarkan dari microwave aku jadi pelik, kenapa roti ku tak kembang... tapi sedapp ecehhh... tapi masih pelik.. Aku cuba lagi sekeping dengan merendahkan power dan tambahkan masa membakar. Hasilnya punnnn sama jugak... errmmm tak boleh jadi ni. Maka masa tu barulah rasa nak rujuk resepi semula. Dan sudahnya aku temuilah jawapannya.... dalam resepi kata guna roti pita, aku pula p beli roti paratha kuang kuang kuang... dah pula tu roti paratha original takde yang ada hanya roti paratha bawang, pun aku belasah saja beli adoiiyaiiii.... Inilah dia.... konon-konon macam pandai sangat, paras konfiden pun tinggi sangat... hahahaha menggelakkan diri sendirilah sudahnya. Kena gelak dengan anak-anak dan En Pari juga.... huishhh malu malu... Akhirnya roti paratha yang lebih tu aku bakar sekejap atas pan jadi roti canai. Kebetulan pula ada gulai daging lebihan semalam yang aku masak, jadilah kuah pencicah roti canaiku.

Kejadian pagi tadi memang tak ada bukti bergambar... tak teringat langsung nak ambil gambar ke apa sebab dok musykil kenapa pizzaku tidak menjadi. Akan tetapi tidak mengapa, semangatku masih belum luntur. Esok nak pergi cari roti pita dan kita cuba lagi ye!! Biasalah kan... apa-apa benda pun biasanya cubaan kali pertama tu mesti tak jadikan... mesti ada saja yang tak kena, ada saja halangannya.. yang penting kita jangan putus asa. Teruskan mencuba dan cuba lagi sampai kita berjaya. Kalau ada pun yang baru pertama kali cuba pun dah jadi dengan sempurna tu kira rezeki lah... alhamdulillah.

Thursday, January 12, 2017

:: Paya Indah Wetland Dengkil ::

Ini nak throwback sikit aktiviti masa cuti sekolah yang lalu. Sesekali seronok juga bawa anak-anak  back to nature kan... Kali ini abahnya En Pari bawa kami berkunjung ke Paya Indah Wetland yang mana lokasinya terletak di daerah Dengkil. Tak jauh mana pun dari rumah. Agak awal juga kami keluar dari rumah dan tak sampai setengah jam kami dah sampai ke destinasi. Jam waktu tu baru menunjukkan ke angka 7.30 pagi.... wow!! awal sangat ni...


Elok sangat le waktu kami sampai tu memang dia baru buka. Waktu beroperasi jam 7.30 pagi setiap hari. Tapi awal-awal pagi ni, biasanya pengunjung datang untuk berjoging sajalah.


Kami malas nak joging... pergi cari makan dulu untuk bersarapan. Masuk ke dalam sikit ada kedai makan kecik saja tapi kira oklah. Bersarapan di situ dulu sambil menikmati suasana pagi yang agak sunyi dan nyaman.


Selesai isi perut maka bermulalah pengembaraan kami di taman wetland..... Pertama sekali pergi ke kolam buaya. Kalau tidak silap ada lebih kurang 13 ekor buaya ditempatkan di sini. Semuanya didatangkan khas dari kolam buaya yang di Langkawi tu. 


Ambil-ambil gambar sikit, kemudian teruskan perjalanan. Kita mendaki sikit untuk ke menara tinjau. 


Menara tinjau di Taman Wetland ini agak tinggi bagi orang yang gayat macam aku huhuhu... Memang tak sampai atas lah jawabnya. Si kecil tu pun tiba-tiba jadi penakut jugak sama macam ibu. 


Kami berdua hanya berjaya sampai ke tingkat kedua sahaja. En Pari, abang dan kakak naik sampai atas. Mengikut kata mereka memang cantik sangat pandangan saujana mata memandang.


Di sini ada juga disediakan kemudahan sewa basikal malah agak murah kadar sewanya. Basikal single tu hanya rm5 sejam manakala basikal yang ada carriage tu rm8 sejam. Kita berbasikal di taman wetland pulak.

Best sangat... dah lama tak berkayuh rasa rindu juga. Teringat pulak dulu-dulu zaman sekolah... tiap-tiap pagi berbasikal dengan kawan baik aku bergandingan ke sekolah.


Di sini ada juga kolam yang menempatkan burung Undan Putih atau lebih dikenali dengan nama White Pelican. Cantik burung ni berenang-renang dalam kolam.


Sambil berbasikal kita ke tempat Badak Air pula. Badak air ini lebih popular dipanggil Hyppo. Boleh tahan besar juga saiz seekor hyppo. Pengunjung berkesempatan untuk memberi makan kepada hyppo di sini. Untuk info, peluang untuk turut sama memberi makan kepada hyppo di sini hanyalah pada hari minggu dan cuti umum sahaja. Itupun ikut waktu yang telah ditetapkan... tak ingat pula pukul berapa masa kami pergi tu....rasanya jam 10 pagi. Pihak penjaga taman ini telah sediakan makanan untuk semua hyppo... sambil dia bagi makan tu kita pengunjung pun berpeluang jugaklah... Hyppo ni makan hanya buah-buahan dan daun-daun sahaja tapi kuantitinya boleh tahan jugalah banyak.... tengok badanlah kan kikiki...



Itu dia sang badak air... sikit punya luas dia punya nganga....


Burung pelican yang comel :)


Ohhh ya lupa pula.... kami turut berpeluang melihat dan memberi makan pada sang buaya juga. Aktiviti ini juga hanya dapat dilihat pada hari minggu dan cuti umum pada jam 11 pagi. Hari tu lebih kurang 20 ekor ayam dijamu pada sang buaya... 

Selepas aktiviti melihat sang buaya menjamu selera.. kita bergerak pula ke tempat kura-kura dan landak. Ada banyak spesis kura-kura... yang tempatan ada yang import pun ada. Budak-budak memang seronoklah kan dapat tengok semua ni. Mak ayah ni seronok ambil gambar saja...


Pengunjung berpeluang untuk memegang sendiri kura-kura yang dilepaskan.. Adik nampak takut sikit dengan cik kura-kura tu hehe...


Sampai ke tengahari juga lah kami di taman wetland ni. Anak-anak semua nampak enjoy tapi agak letih memandangkan hari pun dah menginjak ke tengahari dan panas matahari pun dah mula menyengat. Selesai pengembaraan di Paya Indah Wetland....

Destinasi terakhir sebelum pulang ke rumah.... kita cari makan dulu....


Tuesday, January 10, 2017

:: Kembali ke sekolah... rutin biasa ::

Assalamualaikum....

Minggu ini sudah memasuki minggu kedua tahun 2017 dan juga minggu kedua persekolahan. Selepas bercuti selama sebulan lebih macam tu, abang dan kakak kembali ke sekolah dengan menggalas tanggungjawab yang lebih mencabar....tahun peperiksaan...jeng jeng jeng...ibu dan abah yang lebih berdebar nampaknya, sebab tengok anak-anak macam takda apa-apa pun...macam rilek je. Tapi aku ingat lagi, dalam masa cuti sekolah hari tu, selepas insiden abang terkantoi tu dan selepas abah tahu dan selepas tu terpaksa menjalani sikit hukuman... abang ada berbisik dan berjanji dengan aku yang dia akan buat terbaik untuk PT3 nanti. Allah..... sebagai ibu syukur alhamdulillah bila dia cakap macam tu sebab sekurang-kurangnya dia fikir dan ambil berat juga. Semoga istikhomah ya abang...

Memandangkan tahun ini ada peperiksaan besar menanti kedua-dua beradik tu, kita bagi diorang kelas tuisyen....sebagai galakan dan rangsangan untuk mereka lebih fokus kepada pelajaran. Minggu ini juga team rugby abang dah mula latihan setiap petang kecuali Jumaat. Memang agak memenatkan namun terpaksa tempuh jugak la. Kelas tuisyen diorang pun bukanlah setiap malam, hanya 3 kali seminggu. InshaAllah kita cuba yang terbaik.

Owhhh hari ni dah hari kedua aku cuti cemas sebab si adik pula demam dan muntah-muntah. Dia tak ada selera makan sampai perut pun dah masuk angin. Makan sikit muntah... makan sikit muntah sampai akhirnya muntah keluar air saja. Kesian dan sedih sangat tengok adik. Selalunya aktif dan tak berhenti bercakap.... ni diam asyik baring saja takde tenaga. Ya Allah berilah kesembuhan pada adik... Semoga hari ni dapat pujuk dia untuk makan...

Memikirkan kerja-kerja di pejabat pun satu hal juga. Masih banyak kerja yang tertangguh, ditambah lagi awal tahun ni kan. Semoga diri ini diberi kerajinan dan semangat untuk berkerja dengan lebih komited.... inshaAllah..

Sunday, January 01, 2017

:: Setahun berlalu...dan kini 2017 ::

Bismillahhrrohmanirrohhiiim...

Hampir setahun sejak entry terakhir. How time flies.... Ini bukan semangat baru, bukan juga azam baru tapi setelah setahun sepanjang 2016, aku mula rasa rindu nak menggerakkan jari jemari mengetuk bait-bait huruf di keyboard ASUS ini. Bukan sebelum ini tak rindu.. rindu jugak cuma mungkin rindu tidak membuak-buak seperti hari ini... atau aku sekadar mengambil kesempatan sempena 1 Januari 2017 untuk kembali kesini.. ya mungkin.

Apa berlaku sepanjang tahun 2016? errrmmm macam-macam.. pentas kehidupan..begitulah, ada hitam ada putih, diuji diduga, gembira sedih... pelbagai. Cuma 2016 lebih sikit ujian dan dugaannya... tak tahu nak cerita macamana dan aku rasa cerita itu ada baiknya aku simpan semat dalam hati saja, sebab yakin hanya pada Allah aku mengadu dan berserah... hanya Allah swt maha mendengar, maha mengetahui, maha mengasihani. Yakin bahawa Allah swt tidak akan menguji hambanya diluar dari keupayaan hamba itu untuk menerima ujian. Ya..aku yakin. Dan semua orang pasti akan diuji...dan ujian itu pelbagai. Maka aku yakinkan diri kuatkan hati, jangan bersangka buruk dengan Dia Pencipta sekalian alam. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmah disebaliknya... kita yang kena buka mata pintu hati biar jelas hikmah dan nikmat yang sedang diberi.

Setiap apa yang berlaku itu, aku simpan buat panduan dan kenangan dalam hidup. Semuanya bererti pengalaman dan pengalaman itu sangat mendewasakan. Pengalaman pahit manis, perit pedih suka mahupun duka semuanyaaa.... aku lipat kemas, ikat bundle, compile dan simpan namun tidakkan ku lupa dan buang sama sekali sebab semuanya memberi kesan yang sangat mendalam dan buat bekalan supaya aku lebih cekal untuk mengharungi kehidupan mendatang. 

2016 juga merupakan tahun yang mengubah angka depan usiaku...dari 3 ke 4... menjadi wanita dewasa yang lebih matang seiring usia ya.. begitulah yang aku rasakan. Matang dalam erti kata kita lebih rasional dan terkawal bila diuji, bila sesuatu yang tidak kita jangka berlaku dalam hidup, sesuatu yang kita ingin tidak kita peroleh, sesuatu yang kita rancang tidak menjadi... kita lebih tenang menerima, dan tidak mudah melatah malah lebih mudah mencari jalan solusi. 

Setiap apa yang berlaku juga mengajar aku tentang banyak perkara. Menyedarkan aku yang sangat jauh tersasar kealpaan. Aku..adakala lupa pada Sang Pencipta dan bila Dia beri ujian maka waktu dan ketika itulah aku rasa Dia sebenarnya sedang menjentik mengetuk akal dan jiwa aku untuk kembali padaNya yang Satu. Ya begitulah aku yakin cara Dia memberi teguran pada aku. Betapa selama ini tanpa aku sedar aku seakan semakin jauh dengan Sang Pencipta. Ya Allah....sesungguhnya aku sangat bersyukur dengan teguran ini. Sebab itu tandanya Kau masih sayangkan hambaMu ini Ya Allah... 

2017....penuh pengharapan aku ingin menjadi insan yang lebih baik, menjadi hambaNya yang lebih baik dan taat, menjadi anak yang lebih baik, menjadi isteri yang lebih baik buat suami, menjadi ibu yang lebih baik buat anak-anak, menjadi kakak yang lebih baik buat adik-adik. Aku berharap kehidupan aku sekeluarga akan lebih baik daripada sebelumnya... baik dari segi kasih sayang, ekonomi, emosi, kesihatan dan segalanya. Yang pasti... ujian, cabaran dan dugaan tetap akan menjengah... begitu sudah takdir kehidupan manusia di dunia dan aku sangat berharap aku akan lebih kuat dan bersedia untuk mengharungi semuanya.... inshaAllah... dan pastinya ujian dan cabaran itu berbeza bukan..

Yang jelas... tahun 2017 adalah tahun yang sangat mendebarkan buat aku dan en hubby (lepas ni akan aku panggil En Pari kikiki...) Sebab apa berdebar sebab abang dan kakak kedua-duanya akan menghadapi peperiksaan penting, PT3 dan UPSR. Aku dan En Pari akan cuba beri yang terbaik buat anak-anak selain dari doa dan tawakal yang tak pernah terhenti. Semuanya demi melihat kejayaan mereka. Kami bukanlah mengharapkan kejayaan yang sangat gilang-gemilang tapi sekurang-kurangnya dapat membanggakan dan membuahkan bunga kejayaan di hati kami.... inshaAllah. Membesar dan mendidik anak-anak pada zaman ini sangatlah mencabar dan menguji kesabaran. Tiga orang anak dengan pelbagai peringkat usia.... abang(sudah remaja), kakak (peralihan dari kanak-kanak ke remaja) dan adik dah nak masuk 4 tahun....phewwww pening migrain boleh tahan dengan macam-macam kerenah dan perangai. Boleh berperang juga kadang-kadang. 

Besar juga harapan dan perancangan aku dan En Pari untuk tahun ini. Yang paling penting kami cuba untuk perbaiki diri sebagai ibu bapa, sebagai suami dan isteri..dan diri masing-masing. Marilah kita jadi insan yang sentiasa positif, sentiasa bersangka baik, sentiasa berbuat baik dengan semua orang, sentiasa bersedekah, tingkatkan amalan.. Semoga apa yang diharap, dirancang, didoakan akan Allah swt kabulkan...inshaAllah.




Sunday, January 31, 2016

~Tahun baru 2016~

Assalamualaikum...

Salam tahun baru... eh?? hari ni dah 31 Januari pun kan...baru terasa nak menaip.  Cepat betul masa berlalu.....masa memang takkan pernah menunggu

Kali ini hendak bercerita pasal buku lah... dah lama sangat ni tak borak-borak perihal buku, novel dan sewaktu dengannya. Statistik pembacaan aku sendiri pun semakin menjunam sejak tahun lepas. Memang merosot pun... walhal masih banyak buku-buku baru yang dibeli masih belum aku jengah, aku baca. Kali ini awal-awal tahun ni aku dah tetapkan sasaran dan menyahut cabaran untuk membaca lebih banyak. Pertama sekali muat turun aplikasi Goodreads ke dalam handphone dan lepas tu tetapkan sasaran dalam Reading Challenges, untuk tahun ni aku sasar untuk baca 10 buah buku hihihi... tak berani hendak letak banyak. Ini 10 buah entah boleh tercapai ataupun tidak?? Tapi insyaAllah akan cuba juga. Goodreads ni merupakan salah satu 'social networking site' buat pencinta buku... di sini kita boleh berhubung, berkomunikasi, berkongsi dengan semua pencinta buku perihal buku. Di goodreads juga kita boleh tahu review buku-buku yang mungkin kita nak baca, buku yang memang best dan di rekomen baik untuk dibaca... dan macam-macam lagilah.

Jadi sekarang ni aku dah bejaya menghabiskan sebuah novel... Cinta Si Wedding Planner. Sebenarnya segan nak sebut di sini sebab dah lama aku tak baca novel-novel bergenre seperti ini dan memang tidak merancang pun hendak baca... yela kalau tidak mesti sejak novel ni keluar di pasaran lagi aku dah beli kan. Errrmmmm entah macam mana boleh aku terpengaruh sejak menonton drama Cinta Si Wedding Planner adaptasi dari novel tu..yang sedang ditayang di tv sekarang ni.. tup tup rasa nak baca pulak novelnya heheh..

Sekarang ini sedang berulit dengan novel karya terbaru Ramlee Awang Mursyid berjudul SUNAN CINTA NAN SAKTI. Karya beliau ini merupakan kesinambungan daripada novel trilogi sebelum ini tentang Laksamana Sunan bermula dari Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari, Sunan Musafir dan terkini... Sunan Cinta Nan Sakti.

[sumber laman Alaf21]
 
Selain dari novel-novel trilogi kisah Laksamana Sunan ini, Ramlee Awang Mursyid juga telah menulis banyak lagi novel-novel lain tetapi kesemuanya adalah genre thriller dan aku juga mempunyai hampir kesemua koleksi tersebut. Dan juga... inilah satu-satunya karya penulis yang aku dan en.hubby berkongsi kegemaran. Asal beli je novel dari penulis ini, memang berebut le siapa nak baca dulu... selalunya en.hubby lah yang menang heheh... kita bagi canlah dekat dia kann..
Jadi sekarang ini dalam senarai Reading Challenges yang aku dah buat tu, kira dah nak masuk 2 bukulah aku baca untuk tahun ini... belum ada perancangan hendak menelek buku mana pula selepas ini. Harap-harap semangat hendak membaca itu masih kuat dalam diri.. Yess!!! caiyokkk!!!!
 

Saturday, November 21, 2015

~ Surprise... surprise....and... surprise ~

En.hubby bukan jenis yang tunjuk romantik... bukan jenis selalu nak sebut I love you ke, hari-hari nak sms/wassap ke melainkan kalau ada apa-apa hal... akan tetapi dia tetap ada cara tersendiri menunjukkan kasih sayangnya auuuwww maksudnya dia tetap romantik la dengan cara dia sendiri... hihihi
 
Ni nak cerita hal petang semalam... lepas balik kerja dah sampai rumah. Tiba-tiba dia tanya nak tak barang ni, dia nak bagi ni... Owhhhh apehal ni.. barang apa nak bagi ni... saspen pulak kita kikiki.. tapi dia cakap pulak kalau nak kena sayang dulu 20 kali auuuwwww romantik pula gitu malu rasa depan anak-anak... tapi excited gak ni dalam masa sama. Jadi sebab excited nak barang tu en. hubby senyum lebar dapat ciuman 20kali dekat pipi hihihi Lepas tu dia keluarkan lah barang yang dimaksudkannn jeng jeng jeng.... Aku terus wow!!! 20kali (ok..tipu je wow sekali) memang tak pernah kuduga la en. hubby yang tak romantik ni boleh beli benda ni special untukku... memang tak sangka sebab dia bagi barang kosmetik kauuuu alat make up bahasa mudahnya...
 
Tersengeh gumbira jadinya diriku ini.... mari kira tengok brand apa ni... macam tak pernah tau pun brand Victoria Jackson... ok ok takpa kita tengok dulu... kejap-kejap nanti kita google la kannn
 
 
Malam semalam semangat menggugel jenama Victoria Jackson(VJ).... ok jumpa. Dah lama sebenarnya kosmetik jenama VJ ni, cuma baru beberapa tahun kebelakangan ni masuk pasaran Malaysia. Yang en hubby bagi ni Survival Kit, kat dalam satu bekas tu semua ada... lipstick banyak pilihan warna, eye shadow pelbagai pilihan warna juga, blusher 2 warna, mascara, lip pensil dan eyeliner berserta berus-berus yang diperlukan... lengkap dalam satu kit dan sesuai untuk travel juga. Ehem ehem.... cek memang suka sangat la.... dah lama sangat rasanya tak membeli barang make up dan memang dah kehabisan dah pun. Lagipun kita ni bukan jenis bermake up sangat, bila angin terasa nak bermake up berlawa-lawa tu datang barula guna. Dan sebab itu le macam tak kisah sangat kalau tak ada pun kan...
 
Yang kotak kecil sikit sebelah tu adalah Shimmer Powder color gold... dapat percuma bila beli Survival Kit. Ini petang Sabtu yang tengah free ni merajinkan diri buka youtube tutorial make up hikhikhik Sebab en hubby beli jadi kita make up cantik-cantik kat rumah saja la ye khas untuk tatapan suami. Nanti nanti kalau ada jemputan majlis kahwin ke boleh la cuba jugakkan heh.. Ok jugalah alat make up VJ ni.. paling best dia punya lipstick tu sebab jenis matte...tahan lama sikit gitu.. Yang tak best mascara kot sebab bila lama-lama tu dia macam cair je, tengok bawah mata hitam je..
 
Walau apa pun... terima kasih banyak-banyak en hubby dengan pemberian hadiah yang tiba-tiba ini. Jarang sangat buat kejutan tapi sesekali buat kejutan memang wow sangattt... saya suka saya suka...
 
 

Monday, November 09, 2015

Breastfeeding ; Baik untuk bayi, Baik untuk Ibu

Cerita pasal breastfeeding atau penyusuan susu ibu ni kan terus teringat pengalaman aku sendiri menyusukan ketiga-tiga anak... si abang, si kakak dan adik. Walaupun masing-masing breastfeed tak lama tapi Alhamdulillah mereka dapat juga menikmati hak mereka yang sangat berharga ini. Si abang dan kakak hanya berjaya dalam 4 bulan sahaja memandangkan waktu itu aku tak dapat banyak info tentang kebaikan breastfeeding ni walaupun masa tu hospital tempat aku bersalinkan abang dan kakak adalah hospital rakan bayi. Hahaha memang kelakarkan.... sepatutnya aku dapat semangat dari situ tapi lepas keluar hospital, habis pantang, masuk kerja terus campur dah dengan susu formula. Semangat tak kuat, info pasal breastfeeding kurang, galakan dari orang-orang paling rapat tidak memberangsangkan membuatkan aku tidak berjaya breastfeed abang dan kakak untuk tempoh yang sepatutnya.... malah tak sampai 6 bulan pun. Tapi masa tu tak rasa ralat apa sangat sehinggalah bila aku mengandungkan adik sekitar tahun 2013.

Masa tu dekat pejabat ada beberapa orang kawan pejabat yang lebih muda memang menyusukan anak masing-masing. Aku macam wow! teruja, kagum dan teringin dalam masa yang sama. Aku tengok mereka sangat hebat sebab gigih mengepam di pejabat setiap hari demi untuk memenuhi hak kepada amanah yang diberi. Jadi masa tu aku mula gigih juga mencari maklumat tentang kebaikan dan kelebihan breastfeeding dan berazam nak menyusukan anak yang ketiga ini kalau boleh sampai dia cukup 2 tahun lah...

Dan... dalam sepanjang pencarian inilah aku dapat kumpul banyak sangat tentang breastfeeding. Pertama mengenai kebaikan dan kelebihan jika anda menyusukan anak-anak anda sendiri. Malah kebaikannya bukan sahaja pada bayi malah pada ibu itu sendiri. Sangat banyak kebaikannya, antaranya ia membina antibodi semulajadi dalam tubuh bayi yang dapat melindungi dari penyakit cirit-birit, jangkitan kuman serta alahan. Susu ibu juga mempunyai zat yang penting dalam membantu perkembangan otak bayi anda. Malah tempoh penyusuan itu dapat mengeratkan lagi ikatan antara ibu dan anak...
Lebih menarik... ibu juga mendapat kebaikan dari penyusuan bayi kita. Menyusukan bayi antara salah satu kaedah mengurangkan berat badan ibu. Bayangkan ianya dapat membakar 600kalori sehari... bestkan.. Aktiviti penyusuan juga dapat mengurangkan risiko si ibu untuk mendapat kanser payudara dan ia juga sebagai salah satu cara merancang keluarga yang agak berkesan.
Alhamdulillah akhirnya dengan segala maklumat dan info pasal breastfeeding serta sokongan kuat  dari kawan-kawan dan en.hubby dapat juga si adik menikmati dan membesar dengan susu ibu selama lebih kurang 1 tahun lebih. Malah sehingga kini adik yang dah menjangkau usia 2 tahun lebih masih sesekali minta dari ibu hihihi nak lepas gian agaknya.. 
Untuk semua ibu-ibu, insyaAllah cubalah kita penuhi hak anak-anak dengan menyusukan mereka dengan susu badan sendiri paling cepat kalau boleh sehingga anak berusia 6 bulan, kemudian jika dapat sehingga anak berusia setahun dan lebih baik sekiranya dapat kita teruskan sehingga anak berusia 2 tahun. Tiada yang mustahil melainkan dengan usaha dan tawakal kepada Allah... insyaAllah rezeki itu ada.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyusuan susu ibu, boleh juga layari laman ini

Friday, October 16, 2015

2 Muharram 1437H - The Arc Cafe, Cyberjaya

Alhamdulillah hari ini berpuasa. Hari ini agak letih jadi macam malas nak masak tambahan lagi lauk-lauk basah dalam peti sejuk pun dah kehabisan. Wassap en hubby ajak makan di luar heheh... nasib dia ok saja. Tadi berbuka dengan kurma, air, roti saja... sebab lepas Maghrib nak keluar. Malam tadi kami makan di The Arc Café, Cyberjaya.... kafe milik kenalan aku dan en hubby juga ni... Malam ni tekak terasa nak cuba Teppanyaki. Seumur hidup tak pernah makan pun... apa salahnya kita cuba kannnn
 
 
Aku dengan abang saja makan teppanyaki manakala en hubby dengan kakak masing-masing order Lamb Chopp dan Chicken Chopp.
 
Selain Teppanyaki, di kafe ini menghidangkan pelbagai jenis menu yang lain juga. Nak makan gril-gril macam chicken chopp, lamb chopp ada, nak menu goreng-goreng macam nasi goreng ke apa semua pun ada. Macam-macam ada la di sini..
 
 
Kali ini aku cuba teppanyaki ayam manakala si abang order teppnyaki udang.
 
 Kami pilih tempat duduk betul-betul mengadap tempat masak teppnyaki tu. Ala macam kat restoran Jepun tu kikiki... ralit juga menengokkan tokei kafe sendiri yang masak ni kikiki...
 Ini teppanyaki ayam... ibu punya... errrmmmm boleh tahan juga nak menghabiskannya ni.
 Si abang punya teppanyaki udang...
Alhamdulillah untuk rezeki malam ini. Sedap juga le... tapi tak taule nak cakap lagi sedap ke atau macamana berbanding di tempat lain sebab tak pernah cuba pun sebelum ni kannn...
 

Wednesday, October 14, 2015

Riadah Cuti Awal Muharram, Taman Botani, Taman Wetland

Dah banyak hari dok fikir cuti awal Muharram nak buat apa ye? Atau nak pergi mana-mana ke? Dalam kepala ni terfikir kalau pergi kayuh basikal di Taman Botani Putrajaya ni best jugakkan. Bawa si kecil tu sambil beriadah dengan abah, abang dan kakak. Tapi dalam masa yang sama berat juga rasa hati bila mengenangkan cuaca dan kualiti udara yang tak berapa nak best sangat nih... sisa-sisa jerebu masih kelihatan... tak dapat lagi kita nak menghirup udara segar walaupun di pagi hari.. kelabu asap saja yang dok nampak huhuhu
 
Semalam buat usul pada en hubby... jom abah esok pagi2 kita bawa anak-anak pegi Taman Botani. Alhamdulillah usul diterima dengan positif hihi.. Maka pesanlah si ibu kepada anak-anaknya supaya tidur awal sebab esok kita nak pergi kayuh basikal, apalagi... semangat le budak-budak tu bila dengar kehkehkeh... seronok rasa hati ibu bila dapat menggembirakan hati anak-anak kannn
 
Keluar rumah pagi tadi dalam pukul 7.30 macam tu. Dah lama sangat ni tak pergi ke sana memang tak pasti le pukul berapa boleh sewa basikal. Semalam ada juga google tengok... katanya buka dari jam 7 pagi hingga 7 petang. Sekali sampai kaunter untuk sewa basikal belum buka pun lagi. Kaunter buka jam 9.00 pagi rupanya... Ohh ye untuk sewa basikal rm4.00 sejam untuk basikal single dan rm6 untuk yang ada sekali dengan baby carrier... kalau tak silap la sebab lupa pulak nak ambil gambar bayaran sewa basikal dekat depan kaunter tu tadi. Dah tak jadi sewa basikal maka kita jalan-jalan sambil jogging lah....
 
 
 Datang awal-awal pagi baru seronok sebab cuaca tak panas lagi... masih rasa kedinginan pagi ditambah dengan pelbagai jenis pokok-pokok besar yang meredupkan lagi suasana. Terasa nyaman juga udara walaupun sebenarnya jerebu pun dok ada..
 
 Budak kecik ni dah 2 tahun usianya. Seronok tengok dia berlari-lari dengan abang dan kakak. Tapi sebab kat dalam ni jalannya boleh tahan juga berbukit sikit itu yang sekejap-sekejap minta abahnya dukung.
 
Boleh tahan juga kawasan Taman Botani ni... agak luas. Tapi masih best sebab dapat tengok hijau-hijau saja..
 
 Jalan-jalan sikit nampak kerusi terus abahnya letak duduk. Abah pun penat juga dukung budak kecik ni.
 
 Dua beranak melepaskan lelah sebentar.
 
 Selfie dengan ibu... adik tengok apa tu?
 Kakak.... dah 10 tahun dah anak dara hikhikik.
 Abang dah tinggi daripada ibu dah pun... dah remaja.
 Kita selfie lagi...
 
 
 
 Dah penat tu berjalan dalam Taman Botani. Masa nak keluar tu nampak ramai dah orang dok beratur sewa basikal. Anak-anak masa ni memang frust lah tak dapat naik basikalkan... Tetiba abah kata jom pegi Taman Wetland pulak... kat sana pun boleh sewa basikal.
 Sebelum naik basikal, sarapan pagi dulu dekat café di Taman Wetland. Harga ok lah tak mahal sangat dan makanan biasa le untuk sarapan ada nasi lemak, kueteaw goreng, mee goreng segala. Dah isi minyak ok... jom kayuh... Kat sini harga sewa basikal agak mahal berbanding di Taman Botani. Basikal single rm10 tak kira ada carrier ataupun tak. Kalau basikal double tu bayaran sewanya rm15.
 Amboii sengehhh senyum... akhirnya dapat juga naik basikalkan...
Boleh tahan jugakle penat dan lenguh kaki semua bagai berkayuh... Dah lama sangat nih tak kayuh basikal tambah dengan faktor usia, pastu tak rajin nak bersenam bagai... sekali sekala macam ni huishhhh termengah-mengah jugakle... boleh tahan semput jadinya kikiki...
 
Lebih kurang sejam jugakle berkayuh dengan anak-anak. Kalau nak ikutkan anak-anak taknak balik lagi tapi memandangkan hari dah makin panas campur ibu pun dah letih... nak balik masak lagi kan untuk makan tengahari maka jomlah balik anak-anak oiiii... Lain kali pulak kita cuba naik paddle boat dengan berkayak pulak.
 
Sampai rumah dekat jam 11 lebih la... pastu meh bersilat di dapur le pulak....

1 Muharram 1437H

Salam Maal Hijrah... salam tahun baru. Urrmmmm boleh tahan lama juga blog ni sepi tanpa entry, tanpa cerita, tanpa kisah. Hari ni tetiba jari rasa nak menaip pulak.
 
Agaknya apa azam baru tahun ni ya? Buku lama sudah ditutup, kembali dengan lembaran buku baru. Hanya mengharap catatan yang bakal dicatit dalam buku baru ini lebih banyak kebaikan dari keburukan. Sebagai hambaNya, aku berharap akan menjadi manusia yang lebih baik dari semalam dan aku juga berdoa agar semua di antara kita akan beroleh kehidupan yang lebih baik juga. Tidak dilupakan juga doa buat suami, anak-anak yang kian membesar, buat mak ratu dalam hati selamanya, adik-adik, anak-anak saudara... senantiasa berharap dan berdoa agar kehidupan kita di pentas dunia yang kian mencabar ini dapat diharung dengan penuh hemah, penuh sabar, penuh toleransi, penuh keinsafan.
 
Setiap tindak-tanduk kita dalam mengharungi perjalanan kehidupan dunia harus seimbang antara permainan jiwa dan kewarasan akal. Berpegang pada asas dan benteng yang kuat untuk melawan arus globalisasi dunia yang aku rasa kian mengganas.
 
Takut juga bila memikirkan masa depan yang bakal anak-anak lalui... dengan pelbagai fahaman, budaya, modenisasi yang cuba di suntik dalam minda manusia sejagat yang kebanyakannya lebih kepada mengikis pegangan agama yang harus dipertahankan. Kumohon moga kita semua dipelihara Allah dari segala musibah dan diberi kekuatan iman untuk mengharungi semua ini.
 
Tanggungjawab kita semua sebagai ibu dan bapa sangat berat kala ini.... sebab kita harus bina dan sediakan benteng keimanan yang sangat kuat dan utuh dalam diri dan minda anak-anak untuk menjalani kehidupan mendatang. Itulah yang aku risau sangat... benteng dalam diri pun tidak sekuat mana.. apakan lagi hendak bina benteng dalam diri anak-anak. Tapi tidak boleh tidak dan tiada alasan sebenarnya untuk lepas dari tanggungjawab ini.
 
Uishhhh dah banyak juga menaip ni ek... memang kalau nak difikirkan pasal masa depan, pasal hidup takkan pernah habis dan takkan berhenti pun. Sempena tahun baru Hijrah ini mehle kita bersama-sama perbaiki diri, perkuatkan lagi iman dalam hati.... semoga hidup kita lebih diberkati.... aaamin inshaAllah...

~ Melaka Bandaraya Bersejarah Part2 Akhir ~


Assalamualaikum... selepas beberapa minggu dari entry terakhir, ini barulah dapat update. Nampak gaya sepanjang bulan 3 sampai awal April adalah minggu yang sangat sibuk. Kali ini nak sambung cerita cuti kami di Melaka...

Lepas solat di Masjid Cina Melaka tu terus bertolak ke Afamosa Resort. Kali ini kami tempah villa 3 bilik. Part paling best sebab kolam mandi privasi... untuk kita kita aja gitu. Feeling orang kaya sekejap sebab duduk banglo ada kolam mandi sendiri hihihi...



Punyalah teruja sampai lupa nak ambil gambar suasana dalam dan luar kawasan villa. Jadi marilah menjamu mata dengan gambar yang dipinjam dari laman web AFamosa ye...



Lebih kuranglah suasana dalam villa yang kami inap seperti dalam gambar ni. Memang agak luas dan selesa. Cuma di villa ni tidak boleh buat sebarang aktiviti masak memasak ye.... Sama sajalah macam bilik-bilik hotel yang biasa tu. Kalau nak buat barbekiu boleh tempah dengan pihak AFamosa sendiri... diorang akan sediakan dengan kadar bayaran tertentu lah semestinya.



Masuk saja villa, letak beg, barang apa semua... anak-anak dah tergedik-gedik nak terjun kolam. Kolam mandi terletak di laman belakang villa. Tidaklah besar sangat tapi kira oklah..


Jom berendam


Bukan anak-anak saja tergedik-gedik.... mak bapak pun sama naik hehehe...



Masa untuk kita enjoy!!!!



Dah dekat nak maghrib barulah anak-anak naik... kalau tak dipanggil mahu sampai ke malam nak terjun tiruk.


Selepas Maghrib, semua bersiap-siap pula.... kita nak terjah makan ikan bakar di Muara Sungai Duyung. Memang lokasi agak jauh dari Afamosa sebab terpaksa turun balik menghala ke bandaraya Melaka. Tapi tidak mengapalahkan sesekali nak merasa makan di sini. Katanya restoran sini agak popular jugak selain di Umbai sana nun.

Keesokkan paginya meneruskan acara terjun tiruk lagi. Seronok sangat bila tengok anak-anak semua enjoy. Puas dapat mandi kolam tak kira masa.. Eh...eh..tok pun enjoy ya heheh...

Pukul 11 pagi anak-anak dah kena paksa naik, nak bersiap-siap untuk checkout jam 12 tengahari. Sebelum bergerak pulang, kami singgah di pekan Alor Gajah untuk makan tengahari. Selesai makan tengahari, maksu dan keluarga sambung berjalan-jalan di pusat bandar, keluarga Ijah pulak menuju ke Nilai katanya sebelum balik. Kami pulak terus saja balik ke rumah dadadada....

Demikianlah sudah hikayat cerita melawat Melaka Bandaraya Bersejarah....kot-kot berjalan ke tempat lain pulak, kita cerita-cerita lagi...


Sunday, April 19, 2015

:: ILHAM'S BOOK SHELVES ::

Bismillahirrahmaanirrahim....
 
Alhamdulillah syukur pada Allah akhirnya dapat juga memulakan projek saya yang dah lama ingin dilaksanakan. Walaupun secara kecil-kecilan, kedai buku atas talian ILHAM'S BOOK SHELVES diharap akan menjadi titik mula.
 
Sebagai permulaan, saya hanya menjual buku-buku keluaran syarikat penerbitan PTS sahaja. InshaAllah... pada masa akan datang dapat dikembangkan ke banyak lagi syarikat penerbitan lain. ILHAM'S BOOK SHELVES sedang dikemaskini secara berperingkat, almaklumlah kedai baru beroperasi kan.. mungkin banyak lagi kekurangan dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.
 
Segala maklumat buku terbaru atau sedia ada akan dikemaskini begitu juga dengan promosi yang ditawarkan. InshaAllah harga terbaik yang saya tawarkan...
 
Sekian dulu buat masa ini... Jangan segan jangan malu, jemputlah berkunjung ke ILHAM'S BOOK SHELVES sekarang.

Monday, March 23, 2015

~ Melaka Bandaraya Bersejarah Part 1 ~

Permulaan cuti sekolah penggal pertama tahun ini telah berjaya diisi dengan agenda percutian singkat ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Rancangan percutian ni pun hanya dibuat last minute juga tapi kira sempatlah untuk booking tempat penginapan. Konsep percutian kali ini adalah santai-santai rehatkan minda sahaja. Kali ini hanya pilih dua tiga tempat sahaja untuk dikunjungi. Namapun percutian singkat kan, mana nak sempat lawat semua pun.


Hari Sabtu keluar agak awal tapi pergi sarapan dulu berdekatan dengan kawasan rumah saja. Sarapan roti canai dengan kari kambing sedap.... bukan mamak punya ini cina muslim punya khabarnya kalau tak silap. Sedap rotinya lembut saja pastu cicah dengan kari kambing, ada kelainan sikit di situ. Errrmmmm pasal roti canai ni nantilah cerita di lain entry. Lepas sarapan terus bertolak menuju ke destinasi.


Mari berwefie anak-beranak dulu sementara menunggu sebuah lagi kereta rombongan yang belum sampai. Kami tunggu tepi jalan lepas sikit dari tol Ayer Keroh.


Bersama bondaku tercinta yang turut sama. Nampak sorang sikit oklah kan.

Destinasi pertama yang kami kunjungi sebaik saja memasuki Melaka adalah perigi Hang Tuah. Kunjungan ke Melaka terdahulu tidak sempat berkunjung kesini. Apa ada di sini? Apa lagi perigilah kan ngeh ngeh ngeh... Nasib baiklah dekat kawasan perigi Hang Tuah ini ada berbumbung. Tidaklah rasa menyengat sangat bahang panas.


Puteri Santubong Puteri Sejinjang melawat perigi Hang Tuah Laksamana Melaka


Ambiklah juga 2 botol air dari perigi ni buat basuh-basuh muka.... sejuk nyaman je kan air perigi.



Dalam panas membahang posing tetap posing..


Dari dulu minat sungguh dengan seni bina rekaan rumah-rumah tradisional Melaka. Lagi-lagi tangga batu warna-warni depan rumah. Cantikkkkk saja...


Marilah bergambar depan rumah orang. Ehh tapi ini rasanya homestay ni..


Dari perigi Hang Tuah kita bergerak pula ke Muzium Hang Tuah (Hang Tuah Center). Tak jauh mana pun, bersebelahan dengan kawasan perigi Hang Tuah saja. Hari ini kita menelusuri sejarah Hang Tuah lah nampaknya ye.


Argghhhh berkenan betullah tangga macam ni..


Sebelum masuk ke dalam, bergambar dulu dengan Panglima Penyambut Tetamu Keras Kaku ni dulu. Owhhh nak masuk dalam muzium ni kena bayar tiket juga. Kalau tidak silap tiket berharga RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.


Bawa anak-anak mengenali sejarah Hang Tuah lima bersaudara.


Boleh juga belajar silat kat dalam ni. Sebelum tu sarung dulu baju silat yang disediakan. Jangan bimbang banyak saiz, untuk dewasa pun ada juga.


Ewahhh Hanisah... ada gaya dah tu. Lepas sarungkan baju pegilah kat tengah-tengah gelanggang yang disediakan pastu mainkan video pengajaran silat kat situ... Hah ikutlah langkah-langkah yang diajar satu persatu. Bunga silat yang mudah saja di tunjuk. Ada ambil video diorang belajar silat tuh... nanti cuba upload.


Kanak-kanak riang berlari bebas dalam muzium sebab tak ramai orang lagi waktu ni. Sila... sila buat macam rumah sendiri ye anak-anak.




Bergambar di hadapan tangga batu adalah wajib...



Tun Fatimah dan Tun Teja.... auuuwwwww!!

Sebenarnya kawasan Hang Tuah Center agak luas. Ada rumah Hang Lekiu, Hang Lekir dan sebagainya. Tetapi kami tak pergi jenguk pun sebab cuaca panas sangat dah malas nak jalan huhuhu...

Dari Hang Tuah Center kami menuju pula ke Muzium Kapal Selam. Susah sikit nak mencari lokasi kapal selam ni sebab masing-masing belum pernah sampai kesitu. Mengikut pencarian lokasinya terletak di kawasan Pantai Klebang dekat dengan Dataran 1 Malaysia... maka menujulah kami kesana.


Inilah kapal selam SMD Quessant Agosta 70 dari Perancis yang dijadikan muzium. Ia merupakan Muzium Kapal Selam pertama negara.


Dalam kapal selam... boleh tahan sempit juga kawasan dalam kapal ni. Agak menyeramkan juga huhuhu... tengok muka anak-anak pun masing-masing macam cuak pun ada jugak tu.


Di bawah ni, bukan orang betul ya... tapi serius saspen macam real je...


Ruang dapur dalam kapal selam. Serius kecil sungguh ruangnya... macamana diorang masak pun entah.



Sekejap saja kami di atas... tak ada apa sangat nak ditengok pun. Kira oklah untuk menambah pengetahuan dan dapat kenal suasana sebenar dalam kapal selam.

Berteduh di bawah kapal..


Ada ruang tempat duduk untuk menonton tayangan berkenaan muzium kapal selam ni. Tapi kami tak menonton pun, sekadar berehat-rehat melepaskan lelah.


Ini kejadian masa dok berehat-rehat tu, tiba-tiba nampak en.hubby berpergangan tangan dengan anak amoi mana tah hihihi... Budak cina ni baru sampai je kat situ dengan famili dia... masa tu juga en.hubby dok sibuk ronda sambil ambil gambar... tiba-tiba budak cina ni pegang tangan en.hubby. Agaknya dia ingat tu bapanya kan.. dok gelak sakan le kami. Mak dengan kakak budak cina tu pun dok tahan gelak sambil panggil dia. Lepas tu dia macam baru tersedar yang dia silap orang terus keras kejung kat situ tersipu malu hikhikhik... kesiannnnn dia..


Memandangkan kami dah tak jauh dengan tempat minum coconut shake yang agak popular maka marilah kita menuju kesana pulak untuk menghilangkan haus tekak. Klebang Original Coconut Shake ni memang popular kan di kalangan pelancong. Haruslah dicuba ye tak...

Jalan nak masuk kesini agak sempit sampai ada abang Rela yang mengawal lalu lintas kenderaan keluar masuk. Memang sesak pun nak kesini... ramai sungguh manusia..


Tengok...ramai tak ramai penuh semua meja... Mujur kami dapat meja walau kena masuk sampai hujung ke dalam. Demi nak cuba coconut shake popular sangat nih...


Alhamdulillah sedap juga coconut shake nih. Untuk saya yang memang tak minum air kelapa ni kira satu kemajuanlah sebab dah cuba minum juga. Mungkin boleh telan sebab air kelapa ni dicampur dengan aiskrim vanila hihihi... Tapi serius sedaplah...

Dari Klebang bergerak pula kita menuju ke Masjid Cina Melaka. Dah lama teringin sangat nak berkunjung ke sini sejak tahu mengenai kewujudannya. Binaan bangunan masjid bercirikan seni bina dari negara China memang menarik perhatian dan memberi kelainan. Tidak susah mencari lokasi masjid ini... kalau dari Pusat Bandar, cari saja jalan menuju ke Stadium Jebat... masjid ini terletak di kawasan belakang stadium, kena masuk dalam jugalah melalui jalan sisi stadium tu.


Gabungan warna merah dan putih menguasai ruang dalam dan juga luar masjid.


Suasana di bahagian luar dewan solat.


Pandangan dari luar..




Alhamdulillah sempat menunaikan solat Zohor di sini. Waktu ini cuaca panas yang sangat terik dan membahang... gagah jua ambil gambar.



Grup foto untuk kenang-kenangan. InshaAllah kami datang lagi suatu masa nanti...


Sekianlah dulu cerita kunjungan ke Melaka bahagian 1. Lepas ni sambung Part 2 pulak. Mungkin lepas balik dari outstation ke Sabah nanti.