Wednesday, June 15, 2011

...

Dia berkursus 5 hari. Semalam baru masuk hari kedua. Dari awal lagi sejak terpilih mengikuti kursus ini, dia memang teruja. Pertama, sebab kursus akan berlangsung selama 5 hari maka sekurang-kurangnya dia dapat memenuhi sebahagian kuota mengikuti kursus sekurang-kurangnya 7 hari dalam setahun. Kedua, sebab tajuk dan pengisian kursus itu sendiri yang dia rasa sangat menarik dan penting dalam melaksanakan kerja-kerjanya seharian. Dia fikir, pasti dia akan banyak belajar dan mendapat banyak pengetahuan melalui kursus ini.

Tetapi petang semalam dia hampir tertewas. Dia suka dengan penceramah yang mengajar. Si penceramah memang sangat mahir dan luas pengetahuannya dalam bidang dan subjek yang diajarnya dalam kursus ini. Kandungan pelajarannya pun sangat bagus, efektif dan seimbang. Seimbang bererti ada teori dan latihan menjadikan kursus tidak membosankan. Tetapi entah di mana silapnya dia petang semalam? Dia sukar sekali mengawal diri.

Sebaik bermula sesi kedua selepas rehat tengahari, dia mula hilang fokus. Dia tidak lagi dapat menumpukan perhatian pada apa yang diterangkan oleh pengajar. Dia rasa macam berada di awang-awangan. Dia sebenarnya mengantuk dan hampir terlena!!! (atau memang dia sudah tertidur waktu sesi berlangsung?)

Dia rasa kesal teramat sangat. Macam-macam yang telah dia usahakan supaya tidak terlelap begitu sahaja tapi ternyata menahan kantuk adalah satu perkara yang menyeksakan. Terasa berdenyut-denyut kepalanya. Dia cari punca.... punca yang menyebabkan dia jadi begini. Dia mula terfikir mungkin sebab perut yang kenyang sangat yang telah diisi dengan hidangan pagi mahupun tengahari yang begitu menyelerakan? Ataupun mungkin sebab sesi kelas petang itu yang berlangsung dengan penerangan panjang lebar oleh pengajar tanpa ada satu sesi latihan pun? Sesungguhnya dia telah hilang punca.

Dia cuba-cuba panggung kepala melihat sekeliling sama ada teman-teman lain turut menghadapi dilema sepertinya. Oh! ternyata bukan hanya dia seorang yang sedang mengalaminya.... malah boleh dia katakan seluruh isi kelas seperti terhilang fokus. Hahaha!!! dia hanya gelak dalam hati. Dia perasan juga yang pengajar pun macam perasan akan senario yang sedang berlaku ini. Mujur juga ada rehat untuk minum petang sekejap. Dia rasa sangat-sangat lega waktu itu. Selepas minum petang, kelas bersambung kembali untuk tempoh sejam sebelum ditamatkan untuk sesi hari kedua. Fuuuhhhhh!!!

Dia berharap hari ini dia tidak akan melalui saat-saat yang menyeksakan itu lagi. Nanti dia juga yang malu sendiri. Tetapi, seandainya pisang berbuah dua kali? Apa yang harus dia katakan lagi? Mungkin dia perlu bekalkan gula-gula sikit sebagai salah satu langkah untuk mencegah....hmmmm

No comments: