Friday, June 17, 2011

::...::

Sudah lama dia perasan akan hal ini. Sejak beberapa tahun melihat anak-anak semakin membesar, dia dapat rasa bahawa anaknya yang sulung banyak ikut dia. Walaupun anak sulung dia lelaki tetapi kebanyakan perangai dan sifatnya memang macam dia masa kecil dulu. Anak sulung dia ni dipanggil abang sejak dapat adik. Sebelum dapat adik, kami panggilnya dengan panggilan namanya sendiri. Dia pun suka bila kami panggil dia abang.


Seharusnyalah sebab dia abang, gaya dan laku pun mesti macam seorang abang kan. Tapi abang ni, dia perasan macam lain sikit. Abang agak manja berbanding adik. Dia pun tak tahulah manja mengada-ada ke, memangnya manja ke. Cuma kadang-kadang dia rasa geram campur bimbang kalau-kalau nanti abang tak pandai hendak berdikari. Semuanya masih mengharapkan dia. Kalau perangai manja-manja ni memanglah tidak mengikut dia pun. Dia dulu masa kecil mana ada manja. Sampai besar memang mampu berdikari.... alhamdulillahhh...Tapi bila dia fikir-fikir balik, mungkin puncanya daripada dia juga. Sebagai ibu, memang kalau boleh semua perkara dia hendak tolong selesaikan. Dia macam tak harap dan ada rasa tak puas hati kalau orang lain buatkan. Paling senang, biar semua benda dia buat. Itulah gamaknya anak-anak naik lemak, semua benda pun tak boleh buat sendiri kan. Tapi sekarang, mula ada rasa bimbang dalam hatinya. Mungkin sudah tiba masanya dia biar anak-anak terutamanya abang belajar berdikari sikit-sikit. Dia sudah fikir dan dia pun mesti mulakan dari sekarang.



Itu satu hal. Ada satu hal lagi yang dah buat hatinya jadi walang. Dia memang risau pasal perkembangan pelajaran abang. Dia perasan sejak dari abang di tadika, pencapaian akademik abang tidak begitu cemerlang. Kira boleh tahan saja. Masa abang masuk Tahun 1 pun abang kena masuk kelas Kia dulu sampai 6 bulan. Alhamdulillah....belum sampai 6 bulan dalam kelas Kia, pencapaian abang agak memberangsangkan. Kemudian bermulalah episod perjuangan abang bersama-sama rakan Tahun 1 yang lainnya seperti biasa. Perkembangan pelajaran di Tahun 1 menunjukkan peningkatan yang positif. Masuk Tahun 2 pun masih sama. Tidaklah begitu cemerlang namun bukan juga terlalu lemah. Bukannya dia tidak usaha untuk tingkatkan pencapaian abang. Selalu juga dia beli buku latihan untuk abang. Tapi dia sendiri tak faham kenapa abang ni 'rajin' sangat. Sindrom anak lelaki agaknya.... bukan tak boleh cuma tak rajin saja.


Dia memang dapat kesan dari awal, abang ni sangat lemah dalam matematik. Bila diingat-ingat semula dia dulu pun masa belajar memang lemah mata pelajaran ini juga. Masa peperiksaan UPSR dulu pun dia dapat 4A1B dan B itu adalah matematik. Begitulah seterusnya sehingga dia masuk sekolah menengah sampailah masuk IPT. Mata pelajaran matematiklah yang paling sedih, syahdu syahdan bila keluar keputusan. Tapi kalau Bahasa Melayu memang dia tip toplah. Senario ini samalah macam abang. Itu yang dia yakin sangat yang abang tu memang turun perangai dan sifat dia sebijik.


Tahun ini abang sudah pun di Tahun 3. Kalau tanya perasaan dia saat ini memanglah jawabnya risau campur bimbang. Pencapaian matematik masih jauh dari jangkauan. Walhal sejak awal tahun dia hantar abang ke kelas tusyen. Dia harap dengan kelas tambahan ini abang dapat memperbaiki kemampuan abang. Tapi dari pemerhatian dia, pencapaian matematik abang masih di takuk lama. Dia mengaku dalam diam sunyi sepi hati ini memang ada terselit rasa kecewa. Dia tak boleh zahirkan perasaan kecewa ini tapi dia harus bangkit bantu abang.


Langkah pertama yang dia ambil sekarang ini adalah minta pertolongan maksu (adik bongsu dia). Maksu memang bijak matematik, minat matematik, cinta matematik kalau tidak masakanlah maksu jadi pensyarah matematik kan. Dia harap dengan kelebihan dan ilmu pengetahuan yang maksu ada ini dapat bantu abang. Inilah pengorbanan dari maksu yang dia mohon sangat-sangat. Perngorbanan dalam erti kata korban masa dan tenaga maksu demi kejayaan anak buah maksu ini.


Dia memang dalam mode risau ini, tapi dalam masa sama dia sentiasa mengharap dan mendoakan kejayaan anak-anak. Yelah kan, ibu bapa mana yang tak mahu tengok anak-anak berjaya kan... baik dalam akademik mahupun kehidupan. Dia sendiri pun sebenarnya kena banyak berubah sebab untuk melihat anak-anak menjadi orang yang cemerlang, ibu bapa terlebih dahulu harus menjadi insan dan ibu bapa yang juga cemerlang. Namun begitu, dalam usaha untuk menjadi ibu bapa cemerlang banyak yang dia perlu ubah, baiki, tambah. Sebab dia rasa dia masih insan yang lemah, yang lalai, yang leka dalam nikmat dunia sedangkan dalam kehidupan dia tanggungjawab dan amanah yang perlu dia pikul bukannya sikit dan mudah. Dia tak mahulah menjadi seperti 'ketam mengajar anaknya berjalan betul'. Beratkan sebenarnya tanggungjawab kita ni...

3 comments:

khay ke'ai said...

apa perkembangan anak murid maksu arini?? maseh sakit kah? maklumla orang nak jadi 'pengayuh basikal terkenal di dunia..' hero kena sakit dulu...

khay ke'ai said...

maksu yang comel, inshaAllah akan berusaha membantu anak kecil ini hingga ke titisan terakhir...mohon Allah permudahkan, terangkan hati abang...

khairanimaisurah said...

dah baik dah pun mksu oi!!... esoknya pi sekolah dah siap berlari2