Sunday, January 16, 2011

:: Ada apa dengan Interlok ::

Tiba-tiba sahaja novel Interlok ini menjadi popular. Novel karya SN Abdullah Hussain ini menjadi kontroversi dan diperkatakan di mana-mana sahaja. Kononnya ada kandungan dalam novel ini yang menyentuh sensitiviti sesetengah kaum. Jadi kononnya sebab itu juga tidak sesuai untuk dijadikan rujukan kepada pelajar sekolah. Sehingga ada segelintir pihak yang sanggup membakarnya pula.

Saya di sini sebenarnya bukanlah hendak mengulas perihal cerita novel itu sendiri. Saya sendiri tidak pernah membaca karya tersebut. Tetapi saya juga kini mungkin tergolong dalam golongan yang sedang mencari novel tersebut untuk dibaca. Saya percaya, pasti ada yang tercari-cari novel tersebut walaupun sebelum ini tidak pernah minat hendak menelek sebarang karya sastera. Tapi sebab ia sudah menjadi begitu popular sekarang maka pasti ada yang tercari-cari.

Saya akui hanya membaca sebuah sahaja karya SN Abdullah Hussain iaitu IMAM. Novel itu saya beli tahun 1999 dan sejak itu telah berulang kali saya membaca novel tersebut sehingga kini tidak pernah jemu. Nampaknya saya memang suka dengan penulisan beliau. Jadi satu peluang buat saya juga untuk memiliki karya beliau yang lainnya selepas ini. Sebelum ini tidak pula saya berusaha untuk mencari karya beliau yang lain selain dari IMAM.

Dalam pada saya mencari-cari di mana boleh saya dapatkan novel Interlok ini, tiba-tiba jenguk ke blog penulis Nisah Haron... saya jumpa apa yang saya cari. Hasil info dari blog Nisah Haron ini, saya terus berkunjung kesini untuk membuat pesanan. Mungkin minggu hadapan baru dapat saya miliki novel tersebut. Saya membaca bukan untuk apa-apa, bukan juga untuk sesiapa tetapi untuk diri sendiri... untuk menambah rencah dalam hidup. Saya membaca untuk mencambahkan ilmu dalam diri. Dan yang paling penting kerana saya suka, saya minat. Titik.

No comments: