Wednesday, February 03, 2010

:: Hikmah di sebalik kejadian ::

Baru-baru ini rumah seorang kawan sudah dipecah masuk pencuri. Bilik tidur utama dan kedua telah diselongkar habis. Waktu kejadian saya anggarkan antara jam 3 hingga 5 petang sebabnya waktu itu adalah waktu yang sangat senggang dan lengang sekali. Kejadian pula berlaku pada hari bekerja maka tentulah ramai yang tidak berada di rumah waktu itu dan kalau ada pun pasti tidak akan perasan sebab antara waktu itulah semua orang berada di dalam rumah. Kawan saya ini hanya menyedarinya waktu sampai di rumah dalam jam 7 malam. Banyak juga barang berharga yang kena kebas antaranya...'laptop', telefon bimbit dan barang kemas.

Hmmm...sudah pasti ini adalah ujian yang sangat getir buat beliau dan suami. Bekerja keras siang malam, akhirnya begini pula jadinya. Saya pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian, ujian dan dugaan yang Allah berikan. Ada peringatan yang Allah sedang tunjukkan buat hambaNya... malah bukan untuk dia saja malah peringatan juga untuk kita yang berada di sekelilingnya. Percaya atau tidak keadaan di sekitar kita bukan lagi kawasan yang dijamin selamat...bahkan di dalam rumah sendiri juga belum tentu selamat. Hanya kita perlu berwaspada. Mujur juga waktu kejadian tidak ada sesiapa di rumah, malah tidak juga melibatkan kecederaan atau lebih teruk mungkin terjadi kematian seperti yang sering kita dengar sejak akhir-akhir ini. Barang boleh dicari, diganti tapi kalau nyawa?

Kehilangan juga mungkin untuk memberi peringatan bahawa sebahagian rezeki yang kita peroleh itu sebenarnya bukan milik kita sendiri. Sebahagiannya mungkin milik orang lain tanpa kita sedari... lalu Allah menarik sebahagian itu dari kita. Cuma caranya ditarik saja berbeza-beza. Memang sudah pasti sang pencuri itu memang bersalah, namun jika kita fikir dari sudut hikmah di sebalik kejadian itu sendiri... maka sudah tentu tiba masa untuk kembali muhasabah diri. Ingatan ini sebenarnya lebih kepada diri sendiri. Sesekali dikejutkan dengan peristiwa begini, walaupun ianya tidak terjadi pada diri sendiri... membangunkan kembali jiwa yang sedang leka, menyedarkan hati yang hanya berat kepada duniawi, mengingatkan nurani bahawa akhirat sana adalah yang hakiki. Kita harus bangkit kembali insafi diri.

p/s: teringat mak di SP yang berseorangan di rumah. Moga mak dilindungi olehNya... insyaallah

No comments: