Monday, March 07, 2011

:: Imbau Kenangan - Seutas jam tangan , sebuah basikal dan seutas rantai emas ::

Sejak lahir sehinggalah usia saya mencecah 9 tahun kalau tidak silap, saya dan keluarga tinggal bersama-sama dengan arwah tok dan wan. Waktu itu kehidupan kami boleh dikatakan agak susah sebab arwah abah berkerja sendiri dan tiada pendapatan tetap. Walau hidup dalam serba sederhana saya dan adik-beradik tetap membesar dengan baik di bawah asuhan mak, arwah abah, arwah tok dan juga arwah wan.

Sebenarnya saya bukanlah antara cucu kesayangan arwah tok dan wan namun begitu saya percaya bahawa arwah wan sangat sayangkan saya dan saya juga begitu. Sehinggalah kami berpindah ke rumah sendiri yang arwah abah beli, arwah wan sentiasa mengambil-berat kebajikan kami adik-beradik.

Yang paling saya ingat dan ianya antara memori indah yang sangat peribadi antara saya dengan arwah wan yang tidak mungkin saya lupakan adalah pemberian hadiah dari arwah kepada saya setiap kali selepas mendapat keputusan peperiksaan besar. Selepas keluar keputusan UPSR, SRP dan juga SPM, ada hadiah untuk saya. Paling istimewanya kerana arwah membawa saya bersama-sama (hanya kami berdua) untuk membeli hadiah-hadiah tersebut. Saya boleh pilih yang mana satu paling berkenan.

Hadiah pertama saya peroleh ialah seutas jam tangan jenama Alba. Sebaik selepas mendapat keputusan terus arwah wan bawa saya ke sebuah kedai jam di pekan. Waktu itu sangat mengujakan hati saya dan sepanjang perjalanan di atas motor saya asyiklah tersenyum sahaja. Jam tangan tersebut bertahan saya pakai sehingga menginjak usia 15 tahun.


Hadiah yang berikutnya saya peroleh dari arwah wan adalah sebuah basikal Wrangler selepas keluar keputusan SRP. Masih segar dalam ingatan, waktu itu selepas Zohor, arwah datang rumah dan terus bawa saya ke kedai basikal di Pekan Lama. Saya diberi peluang untuk memilih basikal mana saya suka. Bahagianya saya waktu itu dapat basikal baru. Sangat bangga membawa basikal baru ke sekolah.

Selepas dapat keputusan SPM pula, saya dihadiahkan oleh arwah wan dan tok dengan seutas rantai leher. Rasanya inilah hadiah paling mahal yang pernah saya peroleh waktu itu. Lebih istimewa kerana loket pada rantai terukir huruf K (huruf mula nama saya). Syukur Alhamdulillah kerana rantai leher tersebut masih berada di leher saya sehingga kini tidak pernah ditanggal.


Sesungguhnya kenangan bersama kedua-dua arwah tok dan wan masih segar dalam ingatan dan memori saya. Mereka antara orang yang paling rapat sepanjang kehidupan saya. Banyak lagi kenangan-kenangan pahit manis saya bersama mereka berdua. Insyaallah ingin sekali saya mencoretkannya di sini. Al-Fatihah untuk kedua-duanya dan juga untuk arwah abah…

3 comments:

Anonymous said...

Al fatihah buat arwah tok wan...
seronok kan dapat hadiah...
mau senyum aje sepanjang hari (^__^) ~

khairanimaisurah said...

manje, tq. kita ni bukannya senang sangat, sesekali dapat hadiah ni fuuhhhh kira best sgt dah. Lagilah hadiah yg ada sentimental value ni kannn

khay ke'ai said...

basikal merah angah yg sgt berjasa :-)