Thursday, March 03, 2011

:: Gudang buku ::

Semalam balik dari pejabat langsung tidak sempat menatap suratkhabar. Kalau sudah tidak sempat tatap tu bermakna tidak sempat jugalah membacanya kannnn. Macam sibuk benar gayanya. Biasalah, bila sudah memegang posisi sebagai isteri dan juga ibu adakala membelek dan menjaga diri sendiri juga tidak sempat.

Pagi tadi sedang bersiap-siap sebelum menunaikan solat Subuh, nampak suratkhabar semalam di tepi katil. Waktu masih ada beberapa minit lagi sebelum azan. Waktu yang sesingkat inilah cuba membelek suratkhabar. Bukan baca sangat pun, lebih kepada menyelak helaian demi helaian sahaja. Tiba-tiba sampai ke sisipan akhbar seperti di bawah. Sisipan helaian dari suratkhabar Kosmo. Hati menjadi tertarik untuk membaca namun masa tidak lagi mampu untuk menunggu. Perihal tentang buku apa sahaja yang tidak menariknya bagi saya kan. Cukup sahaja dengan perkataan buku itu sendiri sudah mampu buat jiwa saya bergelodak hehehe....


Saya padamkan niat untuk terus membaca sisipan tersebut dan meneruskan aktiviti yang sepatutnya. Namun disebabkan tarikan yang kuat dengan buku, sebelum bertolak ke pejabat sempat lagi saya mengambil sisipan tersebut untuk dibaca di pejabat.

Apa cerita sebenarnya di sebalik GUDANG BUKU itu? Penulis menulis tentang pilihan lokasi kedai buku terbaik di Malaysia. Menarik tu. Hasil daripada survey yang dibuat penulis di beberapa forum atas talian dan juga blog-blog peminat buku tegar, didapati antara kedai buku pilihan paling popular adalah Kinokinuya di KLCC. Kedai Kino bukan sahaja kedai buku fizikal malah menyediakan perkhidmatan jual buku atas talian. Jadi pembeli dari seluruh negara juga dapat menikmati segala buku yang dijual di Kino. Ini memang saya tidak nafikan kerana Kino menyediakan begitu banyak pilihan buku buat pembaca. Apa yang dicari pasti akan dijumpai. Malah lebih puas berkunjung ke kedainya kerana suasana dan kawasannya yang sangat luas. Sangat selesa dan mudah mencari.

Turut disebut beberapa kedai yang menjual buku-buku terpakai. Antaranya Payless Bookstore di PJ, Junk Bookstore di Jalan Tun H.S. Lee dan juga di tingkat atas Pasar Chowrasta, Pulau Pinang. Pembaca juga punya banyak pilihan untuk membeli buku atas talian jika tidak punya masa untuk ke kedai buku. Sekian banyak perkhidmatan jualan buku atas talian yang disediakan boleh menjadi pilihan pembaca. Teringat pula satu kedai jual buku terpakai yang selalu saya kunjungi suatu waktu dahulu, Book Chest di tingkat paling atas kompleks The Mall. Kedai ini bukan sahaja menjual malah turut menyediakan perkhidmatan menyewa buku. Sudah bertahun rasanya tidak berkunjung kesana semenjak dah duduk jauh ni.

Penulis turut menyenaraikan kedai buku BookXcess yang menawarkan buku-buku baru berbahasa Inggeris dengan harga yang jauh lebih murah dari harga sebenar pasaran. BookXcess terletak Amcorp Mall, PJ. Ini yang terbaru yang saya dengar. Mungkin lepas ini boleh ajak en.hubby meninjau buku-buku di sana pula.

Biasanya saya dan en.hubby selalu berkunjung ke MPH ataupun kedai buku Popular. Tidak ada pula disebut penulis kedua-dua buah kedai buku tersebut. Ikut pilihan dan kesukaan masing-masinglah kan mana satu kedai buku pilihan. Apa yang penting kecintaan kepada buku dan kegilaan untuk membacanya sentiasa ada dan kemudian tanamkan pula minat itu kepada anak-anak dan generasi akan datang.

Bacalah...

1 comment:

khay ke'ai said...

payless byk buku terpakai, lagi2 peminat readers digest yg lama2 sgt byk...best2...